VOCALIST

Thursday, March 1, 2012

BAIAH ADALAH USAHA RASULULLAH SAW

Berbai'ah dan berjanji setia sesama muslim untuk melakukan kebaikan dan amalan soleh apatah lagi berbai'ah untuk berjihad menentang kezaliman dan penindasan serta memperjuangkan Islam merupakan sebahagian sunnah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat serta para ulama terdahulu dan terkemudian.

Sebuah gerakan Islam yang meletakkan landasan perjuangannya berasaskan Islam merujuk kepada al-Quran dan Hadis sudah pasti selayaknya melakukan bai'ah sebagaimana yang disunnahkan.

Adapun selain daripada itu matlamatnya apatah lagi berpendirian bahawa agama tidak wajar digunakan dalam berpolitik sudah pasti tidak merujuk kepada sunnah Rasulullah saw dan akan gagal melihat kepentingan berbai'ah.

Bai’ah merupakan istilah al-Quran dan Hadis. Ia bermaksud memberikan janji untuk menunaikan dan melaksanakan sesuatu. Dalam hadis riwayat Nasaei daripada sahabat Nabi s.a.w. bernama Ubadah bin Somit, Rasulullah s.a.w. telah menyeru sahabat-sahabat daripada Madinah pada tahun ke 11 menjadi Nabi untuk berbai'ah yang dikenali sebagai bai’ah Nisa'. Bai’ah tersebut mengandungi janji untuk menyembah Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan yang lain, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak lelaki, tidak mereka-reka cerita palsu dan tidak menderhakai Nabi s.a.w. dalam perkara ma'ruf.

Sebaik sahaja mereka berbai'ah, baginda lantas bersabda bermaksud: "sesiapa yang selepas ini melakukan apa-apa perkara yang dibai'ahkan tadi lalu ditimpa balasan (di dunia) itu adalah kaffarah baginya. Sesiapa yang tidak terkena balasan maka urusannya terserah kepada Allah. Sekiranya Allah mahu Allah berikan keampunan kepadanya, sekiranya Allah mahu Allah boleh membalasnya disebabkan perlakuan tadi".

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa orang yang melanggar bai'ah boleh dihukum dan dibalas di dunia oleh Allah.

Bai'ah terbahagi kepada dua. Pertamanya bai’ah kepimpinan dan pemerintahan atau bai'ah kepada khalifah dan pemerintah Islam seperti bai'ah sahabat kepada Nabi s.a.w. di Madinah dan bai'ah sahabat-sahabat kepada Abu Bakar untuk menjadi khalifah selepas wafatnya Rasulullah s.a.w.

Keduanya, bai'ah untuk melakukan ketaatan dan amalan soleh seperti solat dan jihad.

Dalam hadis sahih Bukhari, Muslim, Ibn Hibban dan Abi Dawud terdapat hadis yang sangat banyak menceritakan bai'ah antara Nabi s.a.w. dan sahabat antaranya bai'ah untuk saling menasihati sesama Muslim, berbai’ah untuk tidak lari dari medan perang, berbai'ah untuk melakukan lima solat yang wajib, bai'ah untuk menunaikan zakat, bai'ah untuk berjihad, bai'ah untuk menyatakan kebenaran di mana sahaja kita berada dan bai'ah untuk mati bersama dalam perjuangan Islam.

Menyertai pilihan raya sebagai calon wakil rakyat dengan matlamat untuk menegakkan agama Allah dan prinsip Islam dalam pemerintahan negara merupakan sebahagian amalan soleh. Oleh itu, bai'ah bagi calon pilihan raya sebuah gerakan Islam seterusnya tidak meninggalkan perjuangan Islam selepas terpilih menjadi wakil rakyat adalah sunat dilakukan untuk menjamin tidak berlakunya sebarang pengkhianatan terhadap amanah perjuangan.

Amat malang sekali kedapatan sebahagian yang menasabkan diri kepada ilmu termasuk berjawatan mufti berbicara tentang bai'ah tanpa ilmu, hanya dengan hawa nafsu dan pemikiran sendiri tanpa merujuk kepada al-Quran dan Sunnah Rasulillah s.a.w. Kita menyeru mereka untuk bertaubat kepada Allah kerana bercakap tanpa ilmu dan tanpa merujuk sunnah Rasulillah s.a.w.


No comments:

Post a Comment