VOCALIST

Friday, December 30, 2011

USTAZ ZAHARUDDIN : SAMBUT TAHUN BARU MASEHI

Soalan

Saya pernah terbaca bahawa haram bagi kita umat Islam menyambut perayaan Tahun Baru pada malam 31 Disember? Apa pandangan ustaz dalam perkara ini?


Jawapan

Pertamanya, sebagai umat Muhammad SAW, kita di ajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui "hawl" (tempoh wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha.

Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.

Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.

Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-

* Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu.

Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah " Al-‘Adat Muhakkamah"

Ertinya : "Adat yang tidak bercanggah dengan Syara' boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan". (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).

Terdapat satu keadah lain berbunyi : " Innama tu'tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat"

Ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority". (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)

* Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala itu, sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga. Namun ia tidak semestinya menjadikan seluruh sambutan menjadi haram jika percampuran itu tidak menjadi satu agenda penganjur, tatkala itu, mereka yang bercampur atas kehendak sendiri melakukan dosa secara individu dan ia dari jenis 'haram lighairihi' atau haram yang datang akibat dari sebab-sebab luaran.

* Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).

* Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara'. Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan pada pandangan saya.

AMBANG 2012 VERSI SENDUK

Jumaat 30 Disember 2011 - Malam ini Budak Senduk mencipta satu lagi kelainan apabila meraikan ambang 2012 di Surau Assomadiyah. Program yang berlangsung seusai solat Isyak berjemaah ini melibatkan hampir keseluruhan budak muda.

Walaupun disambut sehari lebih awal dari tarikh sebenar, simbolik kedatangan 2012 berjaya dirai bersama-sama pada hakikatnya. Program Ambang 2012 diisi dengan 'show' dari grup Hadrah Budaya Warisan dan hidangan ayam bakar.

Sehari sebelumnya, budak-budak ini secara berjemaah bertungkus lumus mengusahakan agenda tangkapan ayam disekitar Surau Assomadiyah. Sebanyak 11 ekor ayam 'brand' kampung Senduk telah dicekup beramai-ramai yang penyempurnaannya selesai lewat jam 12 tengah malam. Ayam-ayam yang bertaraf pemastautin tetap ini lena, kencing dan beraknya di pokok rambutan sekitar kejiranan surau. Sedikit kelegaan buat tuan rumah berkenaan.

Tahniah harus diucapkan buat kesungguhan yang telah ditunjukkan budak muda tadi.

Biasanya, ambang tahun baru disambut 'girang' diiringi percikan bunga api dan konsert artis 'separuh bogel'. Ramai mengambil kesempatan malam dengan menayang kekasih hati yang status seksnya masih anak dara orang. Lebih busuk, 'sekolah Tiger' dan 'sekolah Carlsberg' dibuka tak beryuran malam tu. Dan semuanya dengan 'izin' penjaga. Mak Ayah yang 'spoting' katanya.

Ketika orang lain kalut memikir untuk berpesta, budak Senduk telah ketengahkan satu formula baru sambutan yang titiknya bermula ditempat ibadah.

"Asyik tahun baru bunga api !.. Asyik tahun baru keluar Taiping !.. Buat la lain sikit.." Luah pengurus acara malam itu. Dan inilah kelainannya.

"Tahun depan kita sambut Awal Muharam pulak!!" Tambah pengerusi Uki (bukan nama sebenar)..

Thursday, December 29, 2011

AKU SEMUT MERAH @ SBPA

Memangla ada anjakan gaji untuk kami. Tapi untuk mereka (anjakan) adalah luarbiasa tingginya. Bayangkan gaji setinggi RM 60,000 sebulan berbanding kami 2,3 ribu saja. Kalau sekadar 4 bulan gaji saja mereka layak miliki banglo, kami ni walau macamana pun terpaksa kehulu-kehilir meminjam. Bukan untuk rumah pertama saja, untuk bertunang sekalipun terpaksa berhutang. Terasa semakin menjurang-jurang perbezaan kita...
"Muzik please!!" lagu ini didekasikan buat SBPA..

AKU SEMUT MERAH

Untuk apa kau mencintaiku
Orang yang tak punya apa-apa
Kau akan kecewa setelah kau tahu
Siapa aku sesungguhnya

Bukan aku tak mencintaimu
Tapi betapa diriku malu
Kau si raja harta
Ku raja sengsara
Antara kita jauh berbeda
Bukan aku tak mencintaimu

Chorus (cara nyanyian : lontarkan vokal dengan penuh perasaan sambil membayangkan orang-orang yang berpangkat dan bergaji besar 'gila' disekeliling anda)

..Aku orang kecil
Engkau orang besar
Kau ibarat gajah
Ku hanya semut merah

Aku orang kecil
Engkau orang besar
Tiada sebanding
Untuk saling menyinta
Lebih baik engkau dan aku
Berteman biasa saja

Jangan sehingga kami membentuk kerajaan Semut..

Wednesday, December 28, 2011

GAYA POLITIK BUDAK MUDA

Kini generasi sudah berbeza seiring wajah dan stail pendokongnya.
Prospek kekuatan yang disemai tok-tok lebai dulu suburnya mula dapat dirasa. Anak-anak yang mereka 'halau' keluar dulu mula dedahkan bakti. Mereka datang dengan gelombang luarbiasa yang sukar disekat. Momentum inilah yang Rasulullah SAW perolehi seterusnya memberikan kekuatan kepada baginda untuk menukar pendekatan dakwah secara terang-terangan. Nabi SAW waktu ini memiliki pemuda-pemuda hebat luarbiasa.

Ali ibn Abi Talib (8 tahun), Zubayr ibn Al-Awwam (8 tahun), Talhah ibn Ubaydullah (11 tahun), Al-Arqam ibn Abi-Arqam.(12 tahun), Abdullah ibn Mas’ud (14 tahun), Sa’id ibn Zayd (bawah 20 tahun), Sa’d ibn abi Waqqas (17 tahun), Sa’ud ibn Rabi’ah (17 tahun), Ja’far ibn Abi Talib (18 tahun), Suhayb Al- Rumi (bawah 20 tahun), Zayd ibn Harithah (lebih kurang 20 tahun), 'Uthman ibn ‘Affan (lebih kurang 20 tahun), Tulayb ibn ‘Umayr (lebih kurang 20 tahun), Khabbab ibn Al-Arrat (lebih kurang 20 tahun), ‘Amir ibn Fuhayrah (23 tahun), Mus’ab ibn Umayr (24 tahun), Al-Miqdad ibn Al-Aswad (24 tahun), 'Abdullah ibn Jash (25 tahun), ‘Umar ibn Al-Khattab (26 tahun), Abu Ubaydah ibn Al-Jarrah (27 tahun), ‘Utbah ibn Ghazwan (27 tahun), Abu Hudhayfah Ibn ‘Utbah (30 tahun), Bilal ibn Rabah (lebih kurang 30 tahun), ‘Ayyash ibn Rabi’ah (lebih kurang 30 tahun), ‘Amir ibn Rabi’ah (lebih kurang 30 tahun), Na’im Ibn ‘Abdullah (lebih kurang 30 tahun), ‘Uthman (30 tahun), Abdullah (30 tahun), Qudamah (19 tahun), Al-Saib (lebih kurang 20 tahun, Abu Salamah ‘Abdullah ibn ‘Abd Al-Asad Al-Makhzumi (lebih kurang 30 tahun), ‘Abd Al-Rahman Ibn ‘Auf (lebih kurang 30 tahun), Ammar Ibn Yasir (diantara 30 dan 40 tahun), Abu Bakar Al- Siddiq (37 tahun), Hamzah Ibn ‘Abd Al-Muttalib (42 tahun), ‘Ubaydah Ibn Al-Harith (50 tahun).

Jika dibandingkan dengan tawaran dari 'kabinet' Quraisy waktu ini, Nabi Muhammad SAW tidak memiliki apa-apa harta untuk ditawarkan. Rasulullah sekadar membawa khabar berita baik untuk masa depan orang muda beserta pakej pekerti hebat baginda SAW yang sememangnya diakui. Tanpa sebarang keraguan sahabat muda tadi terus menerima idea Islam yang diperkenalkan oleh Allah melalui perantaraan Rasulullah. Ini merupakan kematangan politik yang dianugerah Allah SWT buat mereka.

Ketika rakan-rakan Quraisy galak berhibur, seks bebas, alkohol dan berparti. Ketika fesyen Jahiliyah menjadi fenomena buat Arab Quraisy waktu ini, 'team' ini tepat memilih jalan kontradisi walaupun sedar seksa bebannya. Mereka mencipta semangat 'ultra' dan membayangi kekuatan dakwah Nabi SAW.

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

(Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. 16:125)

Jamaah Islam yang tertanggung perit pantas disambar fenomena luarbiasa ini. Pelbagai profession, dari sehebat-hebat doktor hinggalah sehebat-hebat mekanik motor. Budak-budak muda yang dididik dulukala kini kembali untuk membentuk sof yang nyata kukuh. Walaupun skuad milik Sahabat RA bukan sesuai dijadikan bandingan tapi kekuatan semirip inilah yang pernah dimiliki Rasulullah SAW sehingga Allah perintahkan Baginda dan sahabat keluar berdakwah secara terang-terangan. Datang dengan pelbagai idea dan formasi.

Dengan hanya berbekal 'tablet' dan 'android' mereka bergerak. Berpersatuan
melalui manipulasi medium 'facebook', 'blog' dan 'twitter'. Mereka kini bergaya dan sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Terimakasih orang lama dan 'welcome back' budak muda..

Tuesday, December 27, 2011

NASIHAT LUKMAN KEPADA ANAKNYA

Satu-satunya manusia yang bukan nabi, bukan pula Rasul tapi kisah hidupnya diabadikan dalam Al-Quran adalah Lukman Al Hakim. Kenapa, tidak lain, kerana hidupnya penuh hikmah. Suatu hari ia pernah menasihati anaknya tentang hidup.

Wahai anakku ! Elakkan dirimu dari berhutang kerana sesungguhnya dengan berhutang itu akan menjadikan dirimu hina diwaktu siang hari dan menjadikan dirimu gelisah di waktu malam hari.

Wahai anakku ! Sekiranya kedua ibu bapamu memarahimu kerana sesuatu kesalahan yang telah kamu lakukan maka kemarahan kedua mereka itu adalah seperti baja untuk menyuburkan tanaman.

Wahai anakku ! Engkau akan dapat rasakan betapa beratnya ketika mengangkat batu yang besar atau besi yang padat tetapi ada yang lebih berat dari itu iaitu apabila kamu mempunyai jiran tetangga yang jahat.

Wahai anakku ! Tidaklah dinamakan kebaikan sekalipun kamu sibuk mencari dan mengumpul ilmu pengetahuan tetapi tidak pernah mengamalkannya. Perbuatan ini tak ubah seperti seorang pencari kayu api yang sentiasa menambah timbunan kayunya sedangkan ia tidak mampu untuk mengangkatnya.

Wahai anakku ! Berhati-hatilah terhadap tutur bicaramu, peliharalah budi bahasamu dan sentiasalah bermanis muka nescaya kamu akan disenangi dan disukai oleh orang yang berada di sekelilingmu. Perumpamaannya seolah mereka telah mendapat barang yang amat berharga darimu.

Wahai anakku ! Jika kamu mahu mencari sahabat sejati maka kamu ujilah ia terlebih dahulu dengan berpura-pura membuatkan ia marah terhadapmu. Sekiranya dalam kemarahan itu ia masih mahu menasihati, menyedarkan dan menginsafkan kamu, maka dialah sahabat yang dicari. Jika berlaku sebaliknya maka berwaspadalah kamu terhadapnya.

Wahai anakku ! Bila kamu mempunyai teman yang karib maka jadikanlah dirimu sebagai seorang yang tidak mengharapkan sesuatu apapun darinya sebaliknya biarkanlah temanmu itu sahaja yang mengharapkan sesuatu darimu.

Wahai anakku ! Jagalah dirimu selalu supaya tidak terlalu condong kepada dunia dan segala kesenangan dan kemewahannya kerana Allah tidak menciptakan kamu hanya untuk kehidupan di dunia sahaja. Ketahuilah tidak ada makhluk yang lebih hina selain dari mereka yang telah diperdayakan oleh dunia.

Wahai anakku ! Janganlah kamu ketawa jika tiada sesuatu yang menggelikan, janganlah kamu berjalan jika tiada arah hala tujuan, janganlah kamu bertanya tentang sesuatu yang tidak memberi apa-apa faedah pun kepadamu dan janganlah kamu mensia-siakan hartamu pada jalan maksiat.

Wahai anakku ! Sesiapa yang bersifat penyayang sudah tentu dia akan disayang, sesiapa yang bersifat pendiam sudah tentu dia akan selamat dari mengeluarkan perkataan yang sia-sia. Ketahuilah sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari mengeluarkan ucapan kotor, sudah tentu ia akan menyesal kelak.

Wahai anakku ! Bergaul dan berkawanlah dengan orang-orang yang soleh dan berilmu. Bukalah pintu hatimu dan dengarlah segala nasihat dan tunjuk ajar darinya. Sesungguhnya nasihat dari mereka bagaikan mutiara hikmah yang bercahaya yang dapat menyuburkan hatimu seperti tanah kering lalu disirami air hujan.

Wahai anakku ! Sesungguhnya kehidupan kita ini diibaratkan seperti sebuah kapal yang belayar di lautan dalam dan telah banyak manusia yang karam didalamnya. Jika kita ingin selamat maka belayarlah dengan kapal yang bernama takwa, isi kandungannya ialah iman sedang layarnya pula ialah tawakal kepada Allah.

Wahai anakku ! Bila kamu menerima dua undangan majlis, satu majlis perkahwinan dan satu lagi majlis takziah kematian, maka utamakanlah majlis kematian kerana dengan menghadiri majlis ini akan mengingatkan kamu kepada kampung akhirat, sedangkan dengan menghadiri majlis perkahwinan akan mengingatkan kamu kepada keseronokkan dunia sahaja.

Wahai anakku ! Janganlah kamu terus menelan apa saja yang kamu rasa manis dan meludah setiap apa yang kamu rasa pahit. Ingatlah, tidak semua yang manis itu akan menjadikan kita segar dan tidak semua yang pahit itu akan menjadikan kita segar.

Wahai anakku ! Janganlah kamu makan dengan terlalu kenyang yang berlebih-lebihan. Sesungguhnya adalah lebih baik jika bahagian dari yang kenyang itu diberikan kepada anjing sahaja.

“Anakku, jika makanan telah memenuhi perutmu, maka akan matilah pikiran dan kebijaksanaanmu. Semua anggota badanmu akan malas untuk melakukan ibadah, dan hilang pulalah ketulusan dan kebersihan hati. Padahal hanya dengan hati bersih manusia bisa menikmati lazatnya berdzikir.

“Anakku, kalau sejak kecil engkau rajin belajar dan menuntut ilmu. Dewasa kelak engkau akan memetik buahnya dan menikmatinya.”

Wahai anakku ! Carilah harta di dunia ini sekadar keperluanmu sahaja dan nafkahkanlah hartamu yang selebihnya pada jalan Allah sebagai bekalan di akhirat. Janganlah kamu membuat dunia ini kelak dirimu akan menjadi pengemis dan membebankan pula orang lain tetapi jangan pula kamu terlalu mengejar dunia sehingga terlupa bahawa kamu akan mati. Ketahuilah, apa yang kamu makan dan pakai itu semuanya dari tanah belaka.

Wahai anakku ! Jangan kamu melantik seseorang yang bodoh menjadi utusanmu. Jika tiada siapa yang lebih cerdas, pintar dan bijak maka yang sebaiknya dirimu sendirilah yang menjadi utusan.

Wahai anakku ! Orang yang bersedia untuk mendengar nasihat dan bimbingan dari orang yang lebih alim, maka dia layak untuk mendapat penjagaan dari Allah tetapi bagi orang yang insaf dan sedar setelah menerima teguran maka dia lebih layak untuk mendapat kemulian dari Allah.

“Anakku, aku sudah pernah memikul batu-batu besar, aku juga sudah mengangkat besi-besi berat. Tapi tidak pernah kurasakan sesuatu yang lebih berat daripada tangan yang buruk perangainya.”

“Anakku, aku sudah merasakan semua benda yang pahit. Tapi tidak pernah kurasakan yang lebih pahit dari kemiskinan dan kehinaan.

“Anakku, aku sudah mengalami penderitaan dan bermacam kesusahan. Tetapi aku belum pernah merasakan penderitaan yang lebih susah daripada menanggung hutang.”

“Anakku, sepanjang hidupku aku berpegang pada lapan wasiat para nabi. Kalimat itu adalah:
1. Jika kau beribadah pada Allah, jagalah fikiranmu baik-baik.
2. Jika kau berada di rumah orang lain, maka jagalah pandanganmu.
3. Jika kau berada di tengah-tengah majlis, jagalah lidahmu.
4. Jika kau hadir dalam jamuan makan, jagalah perangaimu.
5. Ingatlah Allah selalu.
6. Ingatlah maut yang akan menjemputmu
7. Lupakan budi baik yang kau kerjakan pada orang lain.
8. Lupakan semua kesalahan orang lain terhadapmu.

NASIHAT LUKMAN PADA AL-QURAN

Dan ingatlah ketika Lukman berkata kepada anaknya (Tsaran) dan ia menasehatinya: “Hai anaku janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar,” (Qs Lukman (31) : 13)

Hai anaku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada dalam batu atau di langit atau berada di dalam bumi, niscaya Allah akan mendatangkannya (membawanya) sesengguhnya Allah maha halus lagi maha mengetahui.” (qs Lukman (31) : 16)

Hai anaku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (Allah).” (Qs Lukman : 17)

Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan dimuka bumi dengan angkuh.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang orang yang sombong lagi membanggakan diri ( Qs Lukman : 18)

Dan sederhanakanlah kamu dalam berjalan dan rendahkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruknya suara ialah suara keldai. (Qs Lukman : 19)

Nasihat Lukman Hakim kepada putranya selain dari Al-quran.

Wahai anaku, jagalah duniamu demi kehidupan akhiratmu, nescaya engkau memperolehi kedua-duanya dengan beruntung.

Wahai anaku, janganlah mencampuri urusan duniamu terlalu dalam yang membuat rosak urusan akhiratmu dan janganlah meninggalkan dunia sama sekali sehingga engkau menjadi beban orang lain.

Wahai anakku, sebagaimana tidur demikianlah engkau mati, dan sebagai mana engkau bangun demikianlah engkau dibangkitkan. Beramallah dengan amal soleh niscaya engkau tidur dan bangun seperti pengantin baru, dan janganlah beramal dengan amal yang buruk, sebab engkau akan tidur dan bangun ketakutan, seperti orang yang dicari-cari penguasa untuk ditumpahkan darahnya (dibunuh).

Wahai anakku apabila terdapat pada diri seseorang 5 perkara: agama, harta, sifat malu, baik budi dan dermawan, maka dia seorang yang bersih lagi takwa menjadi kekasih Allah dan lepas dari gangguan syaitan.

Monday, December 26, 2011

FROM SENDUK WITH LOVE

Ahad 25 Dec 2011- Adalah satu hari yang sangat bertuah bagi Unit Hadrah Budaya Warisan. Unit 'emas' Sidang Senduk ini berpeluang menghibur pasangan pengantin yang lokasinya kali ini diluar mukim Senduk. Mereka sekali lagi berjaya menyempurnakan peranan kecil meraikan cinta mempelai di Kampung Tasek Ipoh. Dan aksi di Ipoh ini menandakan berakhirnya 'show' untuk musim 2011.

Berobjektif menghadiahkan satu hiburan 'alternatif' buat rumah kenduri, Budaya Warisan mengharapkan supaya pihak tuan punya kenduri mengenang sedikit jariah ikhlas dari mereka. Ini kerana semua ahli Budaya Warisan sebulat suara memutuskan untuk menolak sebarang sumbangan tuan kenduri buat mengisi poket masing-masing. Dan segala sumbangan tadi akan diisi ke akaun Sidang Senduk yang akan diguna bagi keperluan pelbagai agenda kebajikan termasuk kuliah ilmu dan pembangunan infrasruktur lain.

Dan memori Ipoh hari ini menjadikan ahli Budaya Warisan sangat segak mengenakan 'jersi' baru mereka. Suit baju korporat ini adalah juga hasil sumbangan bersama titik peluh ahli dan tuan walimatul urus. Pihak Budaya Warisan sedaya upaya sasarkan pada 'show' Ipoh, semua 'player' dapat beraksi dengan gaya baru. Ianya berhasil.

Budaya Warisan dan Sidang Senduk mengucapkan terima kasih buat kepada semua yang terlibat dan memohon jutaan ampun jika sepanjang jelajah berlaku salah laku yang tak disengajakan.

Raikan Cinta dari Sidang Senduk..

Lokasi Jelajah 2011 (Nov/Dis)

Kamal Lodge
Kg Tengah
Air Puteh
Kamunting
Kg Berchat
Changkat Jering
Trong
Batu 7
Kg Senduk
Tasek Ipoh
(Maaf..jika ada yg tak tersenarai)

Wednesday, December 21, 2011

SPBA : PENINDASAN SENYAP

Orang-orang Melayu yang berada dalam sektor awam jelas dipinggirkan oleh Kerajaan, malah diperlakukan seperti buruh paksa, sekiranya sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dilaksanakan tahun depan.

Realiti itu terserlah apabila sistem tersebut bukan memberikan keistimewaan kepada kakitangan yang berada di Kumpulan Sokongan yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu, malah lebih mementingkan mereka yang berada di dalam Kumpulan Premier dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Kumpulan Premier terbahagi kepada empat iaitu Premier 1 yang meletakkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) di dalamnya , Premier 2, Premier 3 dan Premier 4 yang kesemuanya akan menerima kenaikan gaji amat tinggi menerusi SBPA.

Mereka yang berada di dalam Kumpulan Premier hanya berjumlah 36 dan sekiranya SBPA dilaksanakan nanti bagi menggantikan Sistem Saraan Malayasia (SSM) yang digunakan sekarang, KSN akan menerima kenaikan gaji amat tinggi sehingga RM60,000 sebulan.

KSN turut menerima bayaran-bayaran lain termasuk imbuhan tetap sebanyak RM9,300 sebulan, elaun perumahan RM3,750 sebulan, elaun pembantu rumah sebanyak RM2,000 sebulan, elaun kemudahan untuk perkhidmatan, penanggungan kerja, bayaran untuk isteri mengiringi suami ke majlis-majlis tertentu, elaun pakaian, air, letrik dan gas.

Mereka yang berada di dalam Premier 2 akan menerima gaji RM42,000 sebulan, Premier 3 sebanyak RM40,000 sebulan dan Premier 4 sebanyak RM35,000.

Imbuhan tetap bagi mereka yang berada di dalam Premier 2 sebanyak RM8,200, Premier 3 (RM8,100) dan Premier 4 (RM8,000), manakala elaun perumahan masing-masing sebanyak RM2,750 sebulan dan elaun pembantu rumah sebanyak RM1,000 sebulan.

Mereka juga akan turut menerima bayaran-bayaran elaun lain yang agak tinggi termasuk elaun kemudahan untuk perkhidmatan, penanggungan kerja, bayaran untuk isteri mengiringi suami ke majlis-majlis tertentu, elaun pakaian, air, letrik dan gas.

Kumpulan Pengurusan Tertinggi pula akan menerima kenaikan gaji agak tinggi sehingga sebanyak RM5,000 sebulan.

Gaji minima mereka yang berada dalam Turus (VU4/VK4) sebanyak RM15,850 dan maksima RM25,230, manakala gaji minima bagi Gred Utama Khas A atau Jusa A (VU5/VK5) sebanyak RM14,760 dan maksima RM22,880 sebulan.

Gaji minima bagi mereka yang berada dalam Gred Utama Khas B (Jusa B) sebanyak RM13,775 dan maksima RM20,750 sebulan, manakala gaji minima bagi Gred Utama Khas C atau Jusa C sebanyak RM12,000 dan maksima RM17,770 sebulan.

Jurang yang berlaku antara Kumpulan Premier serta Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Sokongan, tambahnya, amat ketara apabila Kumpulan Sokongan hanya akan menerima kenaikan gaji antara RM80.00 ke RM100.00 sebulan.

Penganiayaan terhadap Kumpulan Sokongan lebih ketara apabila mereka dimestikan menurunkan tandatangan bagi persetujuan untuk pelaksanaan SBPA sehingga 31 Disember ini, tanpa dijelaskan kedudukan sebenar tangga gaji mereka serta lain-lain bayaran.

Berbanding Kumpulan Premier dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi yang telah dimaklumkan lebih awal tentang tangga gaji dan bayaran-bayaran lain yang akan diterima oleh mereka sebelum sistem tersebut dilaksanakan, malah sejak beberapa minggu lalu.

Ini menjadikan mereka yang berada di dalam Kumpulan Sokongan menjadi serba salah, tertekan dan terhina dengan apa yang dilakukan oleh Kerajaan dibawah pemerintahan sekarang terhadap mereka.

Mereka mewakili sejumlah besar daripada 1.4 juta orang kakitangan sektor awam yang kebanyakannya orang Melayu.

Lebih jauh dari itu, beliau menyifatkan perlaksanaan skim tersebut bertujuan untuk menjaga kepentingan KSN yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada bulan Mei tahun depan.

Sekiranya skim itu terlaksana awal tahun depan, bermakna KSN yang akan bersara nanti akan berpeluang menikmati pencen yang tinggi kerana berkesempatan berkhidmat ketika skim itu dilaksanakan dengan menikmati gaji RM60,000 sebulan.

Kerajaan dilihat terlampau perihatin mendahulukan kepentingan individu tertentu dalam perkhidmatan awam termasuk KSN, sehingga sanggup menekan dan menganiaya pekerja-pekerja lain yang jauh lebih besar jumlahnya.

Sehubungan itu, usaha Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) perlu disokong untuk mempertahankan pendiriannya bagi mendesak Kerajaan menjelaskan status tangga gaji Kumpulan Sokongan terlebih dahulu, sebelum meminta kakitangan yang berada di dalam kumpulan itu menurunkan tandatangan masing-masing.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs perlu segera menubuhkan jawatankuasa khas bersama bagi membincangkan perkara itu demi kepentingan kakitangan sektor awam, khususnya mereka yang berada di dalam Kumpulan Sokongan, yang jelas teraniaya sekiranya skim SBPA dilaksanakan. Pekerja awam khususnya kumpulan Sokongan sepatutnya berada dalam situasi 'tidak selesa' dengan penindasan ini.

Adakah anda salah seorang darinya?

Sumber Penganalisis Bebas Ekonomi

Monday, December 19, 2011

BUKAN 360,000, BUKAN

Bukan 360,000 pengundi hantu, bukan
Bukan 360,000 peminat cerita seram, bukan
Bukan 360,000 artis realiti TV, bukan
Bukan 360,000 penonton konsert jom heboh, bukan
Bukan 360,000 pengundi maharaja lawak mega, bukan
Bukan 360,000 peminat artis separuh bogel, bukan
Bukan 360,000 saman, bukan
Bukan 360,000 tol, bukan
Bukan 360,000 ringgit Malaysia, bukan
Bukan 360,000 bayi luar nikah, bukan
Bukan 360,000 cincin, bukan
Bukan 360,000 permata, bukan
Bukan 360,000 kes rasuah, bukan
Bukan 360,000 ekor lembu, bukan
Bukan 360,000 orang penganggur, bukan
Bukan 360,000 demonstran, bukan
Bukan 360,000 revolusioner, bukan
Bukan 360,000 ekar tanah tapi
360,000 hektar tanah telah dijual buat perompak..

Di sunting dari Benz Ali untuk warga FELDA..

Wednesday, December 14, 2011

SHORT STORY : TALES OF POHON MANGGIS

Berboraklah pokok Manggis berdua-duaan dengan pokok Durian sebelah-menyebelah "Sejak susukku mula berhasil, tuan-tuan aku datang jugak menjenguk.." Keluh Manggis. Sudah 10 tahun mereka berdua hidup berjiran. Mereka berdua sudah sangat mengenali hati budi masing-masing. Apa saja isu-semasa mereka akan sentiasa dikongsi bersama-sama sama ada isu dalam negara atau luar negara.

"Popular kau Manggis.. Aku nampak hari-hari tuan kau datang memanjat" Durian merujuk kepada keadaan Manggis yang setiap hari pokoknya dipanjat. Maklumlah, harga Buahnya sudah mencecah RM 3 untuk satu kilogram setelah ditolak kepada tok peraih. Harga sekilogram manggis bergantung kepada permintaan harga dunia. Nilai sekitar RM 3 ke atas bagi sekilogram manggis bisa membuatkan tuan-tuan pokok mengharapkan buahnya boleh masak secepat yang mungkin. Dan satu malapetaka bagi mereka jika harga 'pasaran' menjunam turun.

Hari ini kerja memanjat dan memetik buah manggis sedikit sukar apabila produk dinilai melalui kualiti buah. Walaupun harga dikira mahal tapi mereka terpaksa membayar risikonya kerana buah perlu dipetik menggunakan tangan atau dengan galah khusus untuk elakkan rosak atau 'kematu'. Pada era sebelum tahun 90-an, tiada prasyarat khas untuk kualiti buah. Aktivis era ini hanyalah perlu menggugurkan buah dengan apa saja kreativiti yang mereka ada. Dan buah itu akan dibeli juga oleh si peraih juga mengikut harga semasa. Cuma elakkan buah hitam (terlalu masak).

"Tuan aku dah tidak sekerap dulu datang menjenguk. Maklumlah buah pun dah jarang-jarang. Pokok-pokok lalang dah mula tumbuh kembali." Sambil mata pokok Durian menoleh kearah sekitar lamannya memerhati keadaan semak-samun yang mekar seperti sebelum ini. Lanskap sekitar pokok Durian ketika buahnya sedang membesar terang-benderang dihias tuannya. Ini untuk memudahkan tuannya mengusahakan kutipan harian. Dalam keadaan ini tidak berlaku tuannya tertinggal walaupun sebiji buah. Tambahan, bila harga durian menjangkau RM 7 untuk sebiji mengikut saiz terbesar.

"Dulu, dimaklumkan dalam sehari tuan aku berjaya mengumpul sehingga RM 300 untuk satu hari kutipan." Sambung Durian lagi bersungguh-sungguh. Kalau sebulan boleh capai RM 9000 mengikut sifir kasar. "..Berapalah gaji kasar PM agaknya?" Manggis menyoal hatinya.

"Durian.." Manggis memperlahankan rentak diskusi. Durian yang sedang mengelamun tiba-tiba tersentak.
"Ingat lagi tak.. Dulu, masa harga jatuh menjunam. Banyak kawan-kawan kita ditebang disana-sini." Mereka berdua sedikit sedih apabila mengenang tragedi menyayat hati suatu ketika dahulu. Apabila harga semasa jatuh mendadak, banyak pokok durian dan manggis ditebang dan pemilik tanah beralih kepada produk tanaman yang lebih menguntungkan dan tiada faktor musim contohnya kelapa sawit.

"Yela.. Kita ni kan bermusim. Kena akuila kelemahan kita.. " Akur Durian lemah. Biasanya buah Durian dan Manggis datang mengikut musim-musim tertentu. Tidak semestinya setiap tahun. Adakala musim tersebut tidak muncul walau setahun berlalu. Dan kalau kena musimnya, berpakej pulak dengan buah-buah lain seperti rambutan, langsat, cempedak dan duku.

"Ada satu perkara Manggis yang aku khuatir tentang tuan aku." Durian bersuara lagi.

"Apa dia?" Soal Manggis ingin tahu.

"Aku takut akibat terlalu sibuk mencari untung, tuan aku meninggalkan jemaah Subuh semata-mata mengejar kepentingan dirinya." Inilah realiti yang bakal ditelan Si Durian. Misi mengutip buah perlu diusahakan awal pagi bagi mengelakkan makhluk lain meraih untung melalui jalan pintas. Syariat sekalipun tidak mustahil dilanggar.

"Aku jugak Durian, aku takut tuan aku terlalu letih sehingga gagal bersama-sama berjemaah Maghrib."

Tuesday, December 13, 2011

BUATLAH AMAL KEBAIKAN

Buatlah amal baik.. Sesungguhnya setiap kebaikan yang kita usaha akan dinilai Allah SWT walau sebesar zarah sekalipun.

'Faman ya'mal mithqala zarratin khairan yarah'

Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrah sekalipun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (Surah Al-Zalzalah-7)

Buatlah amal yang terbaik.. Allah SWT ingatkan manusia, di masyhar nanti apa saja amalan baik akan dicongak satu-persatu walaupun sehalus zarah. Segalanya akan ditayang kepada semua melalui 'skrin besar' nanti. Yang baik diganjarkan baik dan begitulah sebaliknya.

Buatlah amal kebaikan.. Manusia termasuk Perdana Menteri sekalipun tidak mampu membayar ganjaran sehebat Allah kerana mereka juga turut dikira amalannya. Mereka juga takkan terlepas dari 'audit' Allah SWT.

Buatlah amal baik.. Setiap amal yang baik akan berterusan membantu kita saat berstatus 'solo' dialam barzakh kelak. Nabi SAW berpesan 3 aset utama yang kekal bergerak walaupun sudah terputus hubungan dunianya termasuklah amal kebaikan.

Buatlah amal kebaikan.. Amal akan rosak jika seseorang pengamal sibuk memikir akan ganjaran yang bukan hasil dari pemilik asal Ar-Razzaq. Kerana dialah sebaik-baik Pengira Kebaikan dan Pengurnia Rezeki.

Buatlah amal yang terbaik.. Berusahalah agar setiap kebaikan itu beroleh redho Allah SWT diakhirnya. Mengharapkan redho selain-Nya berupaya mengikis keikhlasan dan bakal menggugat sebarang kebergantungan kepada Allah SWT.

Bermula dengan senyum dan sedekah..

Buatlah amal kebaikan..

Sunday, December 11, 2011

ABU BAKAR RA DAN MANIS CINTANYA

Disaat mula bertapaknya Islam di Tanah Arab, ramai dikalangan sahabat Nabi SAW dipaksa menanggung derita atas penerimaan akidah mereka. Pelbagai bentuk dan gaya penyeksaan telah dikhaskan buat semata-mata bagi menterbalikkan kembali kepercayaan akidah mereka. Seksaan ini turut terbeban buat sahabat ulung Saiyidina Abu Bakar RA.

Pada suatu hari setelah Abu Bakar RA menyatakan keislamannya, Dia telah dipukul bertubi-tubi oleh oleh kaumnya. Termasuk juga Utbah bin Rabi’ah. Utbah membelasahnya dengan kedua terompahnya yang kasar hingga wajah Abu Bakar RA bengkak dan berbilur. Setelah Abu Bakar RA jatuh terguling, dia telah dipijak-pijak oleh Utbah diperutnya sehingga pengsan, malah mukanya sudah tidak dapat dibezakan lagi daripada hidungnya.

Kaum Bani Tamim bangkit mengangkat Abu Bakar RA dengan dibungkus kain dan dibawa masuk ke rumahnya. Mereka yakin, melihat keadaannya itu, Abu Bakar RA pasti akan mati.

Ketika Abu Bakar RA mulai sedar, ucapan pertama yang keluar dari mulutnya, ”Bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW?”

Mendengar pertanyaan ini, kaumnya (yakni Bani Tamim) yang masih belum beriman mengherdiknya, kerana Abu Bakar RA tidak mempedulikan keadaan dirinya sendiri, malah sibuk merisaukan dan memikirkan keadaan Rasulullah SAW.

Kemudian mereka datang kepada Abu Bakar RA dan berkata kepada keluarganya, ”Sebaiknya dia kamu berikan sedikit makanan dan minuman.”

Ketika ibunya meminta Abu Bakar RA makan dan minum, Abu Bakar hanya bertanya, ”Bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW?”

Abu Bakar RA meminta ibunya pergi dan bertanyakan Ummu Jamil binti Al-Khattab RA berkenaan keadaan dan keselamatan Rasulullah SAW.

Lalu ibunya pergi dan bertanyakan Ummu Jamil RA tentang keadaan Rasulullah SAW, jawab Ummu Jamil RA, ”Aku tidak tahu tentang berita Abu Bakar dan Muhammad bin Abdullah, kalau boleh, biar aku ikut puan untuk bertemu Abu Bakar sendiri.”

Cadangan itu diterima oleh ibu Abu Bakar RA, lalu dia pun mengikutinya pulang.

Ketika Ummu Jamil RA melihat keadaan Abu Bakar RA yang amat menyayatkan hati itu, dia pun berteriak, ”Demi Allah, sesungguhnya orang-orang yang memukulmu sekejam ini benar-benar orang kafir dan fasiq. Semoga Allah menimpakan seksaan kepada mereka!”

Lalu Abu Bakar RA terus bertanya, ”Bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW?”

Jawab Ummu Jamil RA, ”Ibumu masih bersama kita dan dia akan dengar.”

Celah Abu Bakar RA, ”Tidak mengapa walaupun dia dengar.”

Jawab Ummu Jamil RA, ”Rasulullah SAW dalam keadaan sihat dan afiat.”

Abu Bakar RA bertanya lagi, ”Dimanakah baginda sekarang?”

Jawab Ummu Jamil RA, ”Baginda berada di rumah Arqam bin Abi Arqam!”

Kata Abu Bakar RA, ”Demi Allah! Aku tidak akan makan dan minum sebelum aku sendiri benar-benar bertemu Rasulullah SAW!”

Ummu Jamil RA dan ibunya mencegah Abu Bakar RA untuk keluar menemui Rasulullah SAW sehinggalah keadaan di jalanan agak sepi dan tidak ramai orang. Setelah keadaan lebih selamat, barulah Abu Bakar RA, ibunya dan Ummu Jamil RA menyamarkan diri dan pergi bertemu Rasulullah SAW.

(Al-Bidayah wan-Nihayah, Jld 3)

Bayangkan, setelah pengsan disebabkan pukulan-pukulan tanpa belas kasihan yang diterimanya, namun tika kewarasan mula menguasai fikirannya, apa yang terlontar dari bibirnya yang bengkak dan berdarah hanya satu soalan sahaja, ”Bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW?”

Jelas sekali Abu Bakar RA tidak sedikit pun menghiraukan keadaan dirinya. Abu Bakar yang terkenal dengan 'title' As-Siddiq itu sangat-sangat perihatin akan keadaan Rasulullah SAW. Kenapa? Kerana beliau sedar kesihatan Nabi SAW itu mewakili seluruh syiar Islam. Ini bermaksud Abu Bakar utamakan akan kesihatan pemegang panji Islam iaitu Muhammad SAW. Dalam apa jua keadaan sekalipun beliau tetap memikirkan terlebih dahulu kesihatan Rasulullah SAW.

Kalau pun tidak mampu menyaingi cinta Abu Bakar, semangat yang ditunjukkan beliau perlu dicontohi umat Islam. Dalam konteks hari ini, umat Islam perlu sentiasa meletakkan maslahat Syariat Islam sebagai target utama. Syarat paling penting, usaha untuk hadir solat berjemaah. Ikut program-program ilmu yang dianjurkan. Aktifkan diri dalam jemaah-jemaah Islamik. Dan sentiasa berusaha mengukuhkan ukhuwah sesama muslim.

Cinta yang bagaimana sebenarnya yang sedang bergelora di hati Abu Bakar RA ketika itu? Hati yang telah dikuasai hakikat Cinta Rasul ini, pasti membuatkan Allah ’jatuh hati’ kepadanya pula. Rasulullah SAW digelar sebagai Kekasih Allah. Sesiapa yang mempunyai Cinta Rasul, sudah tentu akan turut dicintai oleh Allah SWT.

Umpama ungkapan Allamah Syaikh Abul-Hassan Ali An-Nadwi RAH.A, ”Bahkan apa yang dinamakan perasan cinta itu sendiri telah lenyap dari hati setiap orang selama beberapa abad. Yang ada hanyalah semboyan kosong yang sering dinyanyikan oleh para seniman sepanjang masa.”

Rasulullah sangat -sangat mencintai umatnya sehingga diakhir nyawanya masih menyebut "Ummati..Ummati..". Kita patut membalas cintanya Nabi SAW itu, bukan dengan perkataan semata-mata tapi perlu dibuktikan dengan perbuatan berbentuk sunnatullah.

Wahai diri, renungkanlah, cinta yang bagaimanakah nanti yang engkau akan persembahkan, pada saat kau bertemu Rasulullah SAW di Mahsyar nanti? Oh Allah... ”Sesungguhnya, ku adukan kesusahan dan kesedihanku ini hanya kepada Allah!” (Yusuf 12:86)

Sunday, December 4, 2011

PEMILIK SEGALA TAUFIK DAN HIDAYAH

Allah berfirman bermaksud "Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk diberi hidayah petunjuk kepadanya, nescaya Allah melapangkan dadanya (meembukakan hatinya) untuk menerima Islam" (Surah Al-An'am:125)

Firman Allah lagi bermaksud : "Akan tetapi, Allah menjadikan iman itu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskan didalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka pula perkara yang kamu benci, mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus." (Surah Al-Hujurat:7)

Dalam menafsirkan ayat ini Ibnu Abbas berkata, Allah berfirman menjelaskan bahawa sesiapa yang diberi hidayah maka dilapangkan hatinya untuk mentauhidkan Allah dan beriman dengan-Nya. Demikian juga pendapat yang dikemukakan oleh Abu Malik dan tokoh lain. Sebuah Hadis dari Abi Jaafar katanya, Nabi Muhammad SAW pernah ditanya tentang siapakah yang paling bagus sekali dikalangan orang yang beriman.

Nabi SAW menjawab, "Orang yang paling bagus itu ialah orang paling banyak mengingati mati dan yang paling banyak membuat persiapan untuk menghadapi alam selepas kematian (Kiamat).

Kemudian Nabi ditanya lagi oleh ramai dikalangan sahabat mengenai ayat ini: "Bagaimana Allah melapangkan dada seseorang itu untuk menerima Islam wahai Rasulullah?" Lalu Baginda SAW Bersabda "Cahaya yang dilontarkan didalam hatinya, dan dengannya dilapangkan dadanya."

Mereka bertanya lagi "Apakah ada tanda-tanda yang boleh diketahui wahai Rasulullah?." Nabi SAW bersabda yang bermaksud "Hatinya sentiasa cenderong mengingati hari kekal abadi (hari kiamat), tidak begitu suka akan negeri yang penuh dengan tipu daya (dunia) dan sentiasa mempersiapkan diri menghadapi mati sebelum menemui ajalnya."

Kemudian firman Allah bermaksud "Dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya nescaya ia menjadikan dadanya sempit sesempit-sempitnya." (Surah Al-Anam-125).

Dia nampak Islam itu tidak memiliki jalan, menyusahkan orang, zalim dan menakutkan manusia. Tidak mampu maju dan mundur. Sempit yang tidak boleh pergi jauh. Yang sebenarnya sempit ialah dada dan perasaannya, sedangkan Islam amat luas meliputi masalah dunia dan akhirat.

HASUTAN SETAN

Percaya atau tidak. Hantu dan setan adalah entiti yang 'real' dan wujud. Orang-orang beriman wajib percaya melalui rukun mempercayai benda-benda ghaib. Yang dilarang adalah percaya kewujudan makhluk tadi boleh memberi impak seram buat kita dan secara tak langsung mengurangkan ketakutan buat Allah SWT dan ini dinamakan tahyul. Apabila takut selain Allah bakal dilabel syirik. Dan perlakuan syirik secara automatik mencacatkan rukun iman seseorang dan padahnya ialah kufur.

Jin dan setan itu ada tapi bukan dengan pakej menakutkan. Yang layak untuk menakutkan manusia hanya Allah. Kenapa? Jin dan setan itu juga Allah yang rekacipta. Kejadian 'makhluk asing' ini telah diulang berkali-kali dalam Al-Quran. (Prodesur-prodesur filem juga rasanya seperti bersusah payah menerangkan kewujudan hantu dan setan). Terbaru dalam siri pontianak 'Twilight' dimana manusia dihasut jatuh cinta dengan puak-puak pontianak.

"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku." - Surah az-Zariyat: ayat 56

Manusia, jin dan syaitan dicipta berbeza spesifikasi, model dan perangai mengikut acuan Allah.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah”. Demikianlah ingatan Allah dalam Surah At Tiin, Ayat 4-5.

Allah ciptakan kejadian manusia lebih hebat dari kejadian-kejadian lain. Buktinya seruan Allah supaya semua makhluk sujud kepada Adam disahut kecuali si Iblis laknatullah yang degil itu (siapa yang 'degil' ikutla perangai Iblis).

Selain dari mempercayai wujudnya Jin dan setan ini, Allah juga menyuruh manusia supaya berhati-hati dengannya. Hati-hati bukan bermaksud takut tapi berjaga-jaga dengan pujuk rayunya. Iblis dan syaitan sangat cekap dan profesional dalam tugas menghasut mereka. Manusia yang lemah akan termakan pujukan syaitan. Orang kaya, miskin, tua, muda, ketua cawangan, ketua pemuda, raja dan hulubalang sekalipun boleh hanyut kalau tak kuat iman.

Hantu dan setan ini mempunyai 'network' bukan saja di Tanah Melayu tapi seluruh dunia. Hantu orang Amerika yang paling femes dipanggil Drakula. Tapi di Malaysia kaya dengan beraneka jenis. Hantu galah, bantut, cerah, gelap, polong, penanggal, langsuir, jepun, cina dan macam-macam. Yang terbaru dan terhangat di pasaran ialah Hantu Pilihanraya @ Pengundi Hantu.

Hantu Pilihanraya diakui sendiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan kewujudannya. Spesialnya pengundi hantu ni dia mampu menentukan kerajaan yang dikehendaki hanya melalui pilihanraya. Berbanding hantu-hantu lain yang hanya hebat dari segi rupa, hantu pilihanraya boleh jadi penentu secara langsung dalam politik dan sosio-ekonomi manusia. Mereka semakin popular di Malaysia.

Sedikit harapan, semoga rakyat Malaysia tidak termakan akan hasutan puak syaitan. Terutama dari manusia berwajah syaitan. Golongan yang berangan nak jadi setan (semi-setan) belum terlambat untuk mendoakan hidayah disamping mengharapkan suatu kebaikan buat mereka. Kerana Allah jualah yang terbaik perancangannya.

Saturday, December 3, 2011

PENGGANAS DAN JIHAD

Dah nama orientalis, tiadalah yang mampu mereka fikir selain terus memberi label buruk buat Islam. Satu ketika pemikir-pemikir orientalis cuba melingkupkan mentaliti Umat Islam dengan melekehkan maksud Jihad. Kenyataan begitu hina dengan gambaran Islam didirikan diatas 'mata pedang' bingkas membangkit amarah Umat. Walaupun tanpa mengetahui nasib kritikal umat Islam diawal dakwah sebagaimana motivasi ditiup Nabi SAW buat tentera Islam saat mahu bertembung dengan puak Musyrikin Mekah di Badar.

“Ya Allah s.w.t, sekiranya engkau menangkan musyrikin, nescaya tidak akan ada antara mereka yang menyembah engkau lagi di muka bumi ini.”

Bagaimanapun Barat beriya-iya meminta seluruh dunia sedar Umat Islam itu kejam gaya dakwahnya. Dan Rasulullah SAW seolah mendidik sahabat asas kepada keganasan. Yang ganas itulah jihad. Secara tidak langsung para orientalis inginkan semangat Jihad dikikis perlahan-lahan dari jiwa Umat Islam.

Impaknya, bukan sahaja semakin luntur 'budaya' jihad malah orang Islam turut sama-sama mempromosi penghinaan terhadap semangat Jihad. Lebih teruk umat Islam terutama si pemimpin sudah boleh bertukar idea dan strategi bagaimana memerangi semangat Jihad. Suatu ketika pemimpin Malaysia pernah menyahut kempen barat 'Jom Memerangi Keganasan'. Propaganda bersama yang akhirnya membunuh upaya jihad umat Islam. Mereka gunakan ISA kononnya untuk orang Islam 'ekstrem'. Yang dianggap bersalah tanpa hak bicara. Tapi yang terkurung adalah aktiviti dakwah orang Islam.

Disini, di Tanah air Malaysia, satu persatu serangan melalui program hiburannya terbukti benar-benar melumpuhkan peluang jihad orang Islam. Hedonisme yang berjaya mempengaruhi transformasi mentaliti Umat. Dari program AF hingga mentor dan terbaru Vokal Tanpa Rupa. Dari Jom konsert heboh sampaila ke konsert ikon gay Elton John dan terkini konsert Pit Bull yang bermesej sek dan alkohol. Siapa yang semakin ekstrem sebenarnya? Bagaimana boleh rancangan berbentuk begini diberi ruang seluasnya sebaliknya Slot-slot agama ditapis begitu teliti. Ini belum lagi dimasuk syarat pentauliahan.

Tak pelik jika puak orientalis yang lahirnya sudah diasuh bencikan Islam kemudian meng'imaginasi'kan Islam dengan pelbagai tafsiran. Tapi yang peliknya yang bergelar Islam 'kecik' ini. Ber'bin' dan 'binti' kan nama-nama Islam. Yang jaga aurat pun tak berapa sempurna. Dengan rasuah dan selewengnya dikeliling tiba-tiba nak bersembang bab Jihad..

Apabila orang yang terang-terang mengelirukan nak mengajar orang perihal Jihad dan Islam, adakah layak mereka ini? Samalah halnya orang yang rasuah menyuruh supaya jauhi rasuah begitu juga si pencuri mengajak orang supaya jangan mencuri. Janganlah semata-mata kerana berjaya dengan rekod binaan masjid, bank Islam dan Tabung Haji bermakna sudah sempurna dasar Islamisasi itu. Negara Uncle Sam yang terang-terangan anti-Islam pun mampu membina Rumah Allah. AS jelas memerangi Islam untuk dasar luarnya tapi rakyat Islamnya tidak dilkhianat seperti kebanyakan negara mengaku Islam termasuk Malaysia.

Rasuah dan menyeleweng khazanah negara adalah juga satu bentuk keganasan buat manusia khasnya umat Islam. Bayangkan jika wang seleweng melibatkan jutaan ringgit. RM250 juta diseleweng contohnya. Akan ada orang fakir dan anak yatim menanggung derita. Jadi, siapa yang dizalimi sebenarnya? Siapa yang layak berjihad?

Sunday, November 27, 2011

SASARAN WALIMATUL URUS

Diantara tarikh-tarikh yang popular dalam kalender rakyat Malaysia ialah cuti sekolah. Satu ruang istimewa yang 'relevan' untuk tuan rumah merancang Walimatul Urus walaupun sedar mereka terpaksa berebut dengan keluarga lain. Jadi, bila mencecah ke musim ini, seluruh negara dilanda 'huru-hara' sementara. Pakat-pakat sibuk. Daripada jalan raya hingga ke pakaian, segalanya bergaya. Disebalik kesibukan tanpa disedari terdapat beberapa prosedur penting walimatul urus diabaikan.

Menurut Fiqah, mengadakan kenduri kahwin adalah Sunat muakkad melalui sunnah riwayat Anas Bin Malik bahawa Nabi SAW pernah melihat kesan kuning pada diri Abdul Rahman Bin Auf, lantas Baginda bertanya "Apakah ini?" Beliau terus menjawab "Wahai Rasulullah..aku telah berkahwinkan seorang wanita dengan nilai emas seberat sebiji tamar." Lalu Baginda bersabda dengan maksudnya "Semoga Allah memberkatimu, buatlah Walimah (kenduri) walaupun dengan seekor kambing."
Menurut Imam Nawawi (sharh sahih Muslim), tiada syarat/had khusus dalam menyempurnakan majlis Walimatul Urus bagi memenuhi Sunnah Rasulullah tadi.

Cukuplah sekiranya tercapai Maqasid Syariah (objektif) iaitu pengisytiharan status ikatan pernikahan khususnya buat rakan sahabat, jiran dan kariah sekitar sambil menzahirkan kegembiraan pasangan.
Pengumuman pernikahan diharapkan mampu menyingkirkan sebarang buruk sangka atau fitnah yang boleh mempengaruhi hubungan rumahtangga.

Satu hadis " Umumkan perkahwinan." (Riwayat Ahmad)

Majlis perkahwinan juga wajar dikongsi tetamu seadilnya. Tidak dinafikan keutamaan tuan rumah yang terdesak mahukan 'perfomance' yang sempurna apatah lagi melibatkan hari yang cukup istimewa tapi hadirin juga ada harapan mereka. Menu hidangan wajar diagih samarata buat tetamu. Tidak wujud menu khas buat insan istimewa. Tuan rumah juga dinasihatkan Nabi SAW agar tidak meminggirkan si miskin untuk senarai jemputannya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Seburuk-buruk makanan ialah makanan Walimah yang hanya dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin." (Riwayat Baihaqi)

Maqasid Syariah semakin jauh tersasar apabila pihak tuan rumah terus hanyut dalam kemewahan. Sampai satu ketika masing-masing 'berperang' untuk menonjolkan kekayaan mereka sehingga sanggup menghabiskan jutaan ringgit. Kemewahan kemudian diselit pula unsur haram seperti pesta nyanyian libatkan percampuran bukan muhrim yang akhirnya suatu kegagalan dalam matlamal asal. Kemewahan yang dicapai tadi tanpa disedari merupakan satu bentuk pembaziran. Bertambah buruk apabila terpaksa memikul beban hutang. Awasilah budaya yang cenderong kepada kemewahan diupacara kenduri.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Makanlah dan minumlah namun jangan kamu membazir, Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang yang membazir." (Al-A'raf 7:31)

Suatu pensyariatan memiliki Maqasidnya. Sunnah dalam perkahwinan melalui jalan Maqasid jika diamalkan bakal menghadiahkan ganjaran keberkatan dan hikmah tertentu bukan sahaja buat kedua mempelai tapi semua yang terlibat termasuk keluarga, kerabat dan orang sekeliling. Tuan rumah harus sensitif dalam memelihara disiplin Rasulullah
SAW supaya tidak tertanggung sebarang kerugian didunia dan akhirat.

Tahniah dan Selamat menempuh gerbang rumahtangga. Tahniah juga kerana berjaya menghidupkan Sunnatullah dari Sidang Senduk.

Tuesday, November 22, 2011

GARUDA MELAWAN HARIMAU

Manisnya Kem Pemain Bolasepak Malaysia selepas memenangi Emas untuk kali ke-2 berturut-turut di sukan SEA 2011 di Indonesia belum hilang. Berganda manisnya bila pingat yang dijuarai terkalung di depan penyokong tuan rumah di stadium 'keramat' mereka Gelora Bung Karno (Senayan sebelum ni). Bak kata pengulas legenda Hasbullah Awang, emas dari bolasepak adalah umpama 'ibu segala pingat'. Ada juga meletakkan status pingat untuk acara bolasepak begitu tinggi sehingga acara lain terlekeh begitu saja. "pingat lain tak dapat pun ok". Untuk bolasepak mengikut sifir matematiknya, pingat terkumpul ialah tidak kurang dari 20 butir. Mungkin disitu nilaian cukupnya.

Rakyat Malaysia juga sukar menyembunyikan keseronokan 'menggila' hasil pencapaian yang bagi mereka begitu membanggakan. Tulisan-tulisan di dinding laman sembang maya (facebook & tweeter) cukup untuk menggambarkan penghargaan peminat buat sukan nombor 1 di Malaysia. Semua pemain dapat nikmatnya dari se gagal Ahmad Fakri hinggalah ke si penyelamat Khairul Fahmi.

Hasil 'kegeligaan' media dua-dua pihak, pertembungan antara Harimau dengan Garuda digambarkan begitu hangat-sehangatnya. Kedua kem digambar seolah kompeni perang. Daripada sebelum 'kick-off' sehingga keputusan termaklum, semua lapisan manusia sibuk 'interframe' kedalam kehangatan pertemuan ini.

Antara yang ikut terletup ialah pemimpin-pemimpin diplomat negara kedua-dua pihak. Tidak salah mencari keuntungan politik tapi jangan sampai menyelit fitnah yang tak berfaedah apatah lagi ditengah gelora ketegangan. Bukan disini masanya untuk menyalahi mana-mana pihak.

Sebelum dari itu tercetus pertelingkahan besar diantara rakyat kedua-dua negara diatas sebab beberapa masalah berpunca dari rasa 'tension' Indonesia kepada dasar 'imigrasi' rakyat mereka di Malaysia.

Para pemimpin terutamanya pembuat dasar perlu akui kesan Krisis Kewangan 1997 membuatkan negara Malaysia telah membuka pintu kemasukan buruh Indon seluasnya. Kita juga secara 'tak sengaja' membenarkan tenaga tanpa izin merentas Selat Melaka dengan tongkang dan bot pancing yang bersesak-sesak tanpa kawalan. Kehadiran mereka ini kemudiannya memberi impak terutama dari sudut sosial yang buruk kepada keadaan jenayah di Malaysia secara tak langsung. Kerajaan melalui media klasiknya terus-menerus menyalahkan pendatang tanpa izin disamping menyembunyikan ketirisan pihak berwajib dari segi penguatkuasaan.

Ketidak-sengajaan sekali lagi menjemput media kedua-dua negara untuk mempromosi semula konfrontasi kedua-dua negara yang rehat sebentar melalui kepopularan sukan bolasepak. Semua tumpang hangat. Hasilnya, muncul kembali perkataan 'Ganyang Malaysia' (imbas kembali konfrontasi Malaysia-Indonesia 1960). Segelintir Mat Indon kembali membakar Jalur Gemilang, berdemo 'baling taik' dan mengeji irama Negaraku. Mereka semakin agresif dengan pelbagai ugutan bahaya termasuk penggunaan senjata tradisi 'buluh runcing'. Malaysia seumpama 'zionis' Israel jadinya. Satu keadaan yang diakui pasti menggerunkan rakyat Malaysia disana terutama pemain bolasepak apabila terpaksa dibekalkan khidmat sekuriti ketat termasuk 'transport' kebal Barakuda nya.

Gelora Bung Karno yang mulanya gegak gempita sunyi berduka. Kita juga patut 'respek buat penyokong mereka yang tidak bertindak menyambut kehampaan mereka dengan menjadikan stadium huru-hara. Tidak kelihatan 'botol terbang' dan pesta letupan. Adakah bayangan disiplin penonton yang sama akan berlaku jika pertemuan berlangsung di Bukit Jalil misalnya.

Dan akhirnya kemenangan Harimau Muda dirai bukan sahaja penuh kegembiraan tapi turut disertai pakej cemuhan buat Pasukan Garuda dan seluruh rakyatnya. Dengan bibik-bibik pun sekali kena tempiasnya. Tiada lagi 'fair play' yang jadi tradisi bolasepak. Kenapa boleh jadi sebegini teruk? Mengapa tergamak segelintir rakyat Indon bertindak diluar tabii? Dimana peranan diplomat kedua-dua negara? Kenapa media perdana tak berperanan sebagai penenang? Adakah benar wujud ketidak adilan buat warga kerja Indon?

Tidak mustahil fenomena konfrontasi kenegaraan ini akan merebak virusnya ke kejiranan lain seperti Myanmar, Thailand dan Bangaladesh jika suatu 'planning' khas tidak diputuskan. Kerajaan wajib mereka formula buat mereformasikan dasar luarnya. Kita mesti membunuh terus barah rasuah dan ketirisan yang menjadi punca yang sakitnya semakin kuat dirasai. Rasuah merupakan dosa buat umat Islam.

Tahniah untuk Emas Malaysia.. Tahniah juga untuk Perak Indonesia..

PENYEMAIAN AKIDAH PASTI

Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". Surah Luqman-13

Luqman bersungguh menasihati anaknya dengan memulakan panggilan sangat baik iaitu "wahai anak kesayanganku" menandakan betapa kasihnya Luqman buat anaknya. Ini merupakan nasihat pertama Luqman sebagai asas penting buat bekalan anaknya didunia dan diakhirat.

Dalam ayat 13 tadi Luqman menitik beratkan aspek Akidah dalam nasihat buat anaknya sebagai tunjang segala-galanya. 3 perkara akidah yang harus kita maklum daripada nasihat Luqman ini ialah ;

1. Kewujudan Zat Allah dan Tiada Tuhan selain Nya
2. Jangan sekali-kali mendua dan menyekutukan Allah SWT
3. Orang-orang yang syirik itu adalah pelaku kezaliman yang besar.

Dalam keadaan dunia khususnya di Malaysia yang diserang pelbagai gejala fitnah dan keruntuhan moral, setiap umat Islam perlu mempunyai benteng akidah yang kuat. Dengan akidah mantap, segala wabak buruk akan susah untuk mempengaruhi kita dan sebaliknya akan terjadi jika akidah tipis. Kezaliman besar yang dimaksudkan dalam nasihat Luqman tadi sebenarnya melalui kewujudan manusia yang berakidah tipis. Mereka inilah (akidah tolak hudud, tolak aurat, terima rasuah, makan duit TOTO dan akidah AF juga Raja Lawak) yang bakal membuat kerosakan. Dan semua umat Islam sama ada ibu bapa dan masyarakat mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam pembinaan akidah seterusnya mencegah sebarang bentuk kezaliman dengan permulaannya adalah dari peringkat kanak-kanak.

"Perumpamaan kaum muslimin yang saling kasih mengasihi dan cinta mencintai antara satu sama lain ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggota berasa sakit maka seluruh tubuh akan turut berasa sakit dan tidak dapat tidur." (Riwayat Bukhari)

Menyedari tanggungjawab tadi PASTI telah diusahakan bagi membina asas akidah bagi kanak-kanak berumur dari 4-6 tahun. 'Stage mumaiyiz' yang bakal mengundang 1001 persoalan di kepala otak mereka. Aspek akidah merupakan perkara penting yang dititikberatkan dalam setiap didikan. Antaranya pendidikan akidah yang ditekankan disini ialah mengenal Allah melalui sifat-sifat Allah dan nama-namaNya. Di sini juga diajar mengenal rukun Islam dan rukun Iman. Selain itu anak-anak PASTI kemudian dibiasakan dengan pelbagai doa harian dan seumpamanya. Dan diharapkan dari penekanan pendidikan yang diberikan tersebut dapat mencapai objektif sebenar iaitu penerapan asas akidah kepada anak-anak.

Selain tanggunjawab yang diambil PASTI, peranan bersama perlu dimainkan oleh ibubapa dan masyarakat bagi pembentukan akidah anak-anak kecil. Realitinya, PASTI hanya bertugas di waktu pembelajaran. Seterusnya masyarakat terutama ibubapa mesti berperanan menyambungnya dirumah. Walaupun dari sudut sumber kewangan, PASTI kekurangan dana yang mantap berbanding institusi PRA sekolah lain (lebih-lebih lagi PERMATA yang mempunyai peruntukan berjuta-juta) tapi sokongan dari ibubapa dan masyarakat membuatkan PASTI terus maju kedepan. Ini disebabkan oleh kesedaran yang diperolehi oleh masyarakat Islam hari ni berkenaan pentingnya pendidikan Islam terutama dari sudut akidah.

Perkara akidah bukan lagi boleh dilihat mudah dan PASTI sedar akan tanggungjawab berat mereka. Kesungguhan semua pihak perlu bagi melihat produk PASTI berguna untuk keluarga, masyarakat dan amnya negara.

Selamat Hari Anugerah buat murid-murid PASTI sesi 2011..
Dan selamat bercuti panjang..

Sunday, November 13, 2011

BERTUHAN KAPITALISMA

Harta kekayaan datang dari tenaga manusia. Harta Qaroon sekali pun ianya terkumpul dari hasil tenaga manusia. Kena loteri pun duitnya berpunca dari tenaga manusia yang telah di tipu. Justeru semua harta kekayaan didalam dunia ini adalah hasil tenaga kerja manusia. Sejarah dunia ini ialah sejarah manusia membuat pekerjaan. Tidak ada harta terpijak.

Tulang empat kerat dan otak fikrah manusialah yang melahirkan dunia yang kita lihat hari ini. Semua kebaikan dalam dunia ini adalah hasil perbuatan manusia. Semua kebejatan dan kerosakan alam ini juga adalah hasil kerja tangan manusia.

Apabila manusia bekerja dia melaburkan tiga pekara asas: tenaga, masa dan fikrah. Tiga pekara inilah yang menjadi asas ekonomi. Dari Zaman Batu, ke Zaman Gangsa, ke Zaman Wap, ke Zaman Leterik, ke Zaman Nuklear hingga ke Zaman Internet hari ini – yang menjadi asas ekonomi masih lagi tiga perkara ini.

Semua harta kekayaan – dalam apa sahaja bentuk - yang di miliki oleh sesiapa pun didalam dunia ini tidak dapat tidak berpunca dari tiga asas ini.

Pak Tani ke sawah – dia membanting tulang – menghabiskan masa dan tenaga untuk menghasilkan padi dan beras. Dia menggunakan akal fikiran untuk mencari masa dan ketika yang baik untuk menyemai, mengubah, merumput dan menuai padi. Pak Cik Felda bertungkus lumus menanam sawit, membaja pokok, memotong buah dan mengumpul buah. Pak Cik Felda juga menggunakan akal fikiran tentang cara terbaik untuk membaja, menarah pokok dan memilih buah.

Tiga pekara ini tidak akan lari sebagai asas ekonomi – masa , tenaga dan fikiran.

Jika sesiapa yang telah membaca buku The Godfather tulisan Mario Puzo akan bertemu dengan ayat – di belakang semua kekayaan ialah jenayah. Kata-kata ini ada unsur-unsur kebenaran. Semua manusia yang kaya raya didalam dunia mendapat harta kekayaan hasil dari merompak – tenaga, masa dan fikiran orang lain.

Towkay atau Tok Peraih yang membeli padi dari Pak Tani akan membelinya dengan harga yang murah. Ertinya Tok Peraih membeli dengan harganya yang tidak setimpal dengan nilai masa, tenaga dan fikiran Pak Tani. Tok Peraih akan menjual padi ini sekali lagi dengan harga yang tinggi – ini dipanggil untung. Untung ini sebenarnya ialah nilai lebihan hasil dari tenaga, masa dan buah fikiran Pak Tani yang menanam padi.

Padi yang telah menjadi beras ini akan bertukar tangan sahingga sampai kepada pengguna. Dalam perjalanan dari sawah ke meja makan - orang-orang tengah ini menokoh tambah nilai harga tenaga asal titik peloh Pak Tani. Si Pengilang, Si Pembungkus, Si Pengangkut, Si Pengiklan dan Si Peruncit – semua ini adalah orang tengah yang hidup kaya raya diatas titik peluh Pak Tani.

Orang-orang tengah ini berligar-ligar memusing-musing perniagaan untuk mendapat keuntungan maksima. Justeru – Pengilang beras jadi kaya, Pengedar beras jadi kaya atau Pembekal beras jadi kaya. Jangan terperanjat ada diantara peniaga beras – di Bursa Saham Wall Street New York atau City of London - tidak pernah melihat sawah dan padi tetapi mereka kaya raya berniaga padi dan beras. Yang terus miskin ialah si Pak Tani. Ini lah satu contoh dalam sistem ekonomi kapitalis dimana harta kekayaan boleh dibuat dengan menggunakan tenaga, masa dan fikiran orang lain.

Mekanisma yang dikatakan menilai harga padi dari Pak Tani ialah Pasaran atau Market. Ini sebenarnya satu pembohongan. Pasaran ini di kawal oleh tuan-tuan pemodal sendiri. Tok Peraih, Si Pengedar, Si Pembekal – semuanya memiliki persatuan yang menjaga kepentingan mereka. Dengan modal besar yang terkumpul mereka mengawal harga untuk memastikan mereka terus mendapat keuntungan maksima. Mereka memastikan harga padi atau apa sahaja yang mereka beli akan terus murah dan manakala harga beras atau apa sahaja yang mereka jual untuk pengguna akan terus mahal.

Pak Tani telah dipisahkan dari orang yang ingin membeli beras. Ruang pisah ini telah dimasuki oleh Orang Tengah atau Lintah Darat yang kerjanya hanya mengaut untung. Untuk mengindah muka hodoh Lintah Darah ini mereka memanggil diri mereka – Ahli Perniagaan, Usahawan, Pemaju, Pengimpot, Pengekpot atau Pengedar. Hakikatnya mereka hidup diatas usaha orang lain.

Kita juga selalu melihat, membaca atau mendengar ada Sang Kontrektor atau Sang Pemaju menjadi kaya raya. Ini bukan bermakna si Pemaju ini hebat, bijak atau dia berjemur dalam panas terik membanting tulang. Apa yang lakukan oleh si Pemaju ialah mencari tenaga kerja buruh termurah. Kerana itu di Malaysia kita mengimpot buruh dari luar negara untuk membayar upah tenaga kerja dengan murah.

Kita panggil ini gaji. Gaji ialah pertukaran masa, tenaga dan fikrah si Buruh yang membuat kerja. Jumlah duit yang dibayar untuk pertukaran ini akan dinilai oleh si Pemaju. Si Pemaju sama seperti Tok Peraiah akan menilai masa, tenaga dan fikrah Buruh ini dengan nilai yang terendah. Gaji yang murah akan menjanjikan keuntungan yang lebat untuk si Pemaju. Justeru si Pemaju binaan tidak akan mengambil buruh dari New Zealand atau Sweden – tidak mungkin – mereka mengambil dari Indonesia, Burma dan Nepal.

Harus kita sedari bahawa seorang buruh Sweden keupayaan kerjanya adalah sama dengan buruh dari Nepal atau Indonesia. Tetapi ada perbezaan bayaran. Perbezaan bayaran ini untuk memastikan si Pemaju mendapat keuntungan yang maksima. Rumah atau bangunan yang di dirikan oleh tenaga buruh dari Indonesia atau Nepal dapat dijual dengan keuntungan lebih banyak. Keuntungan berlaku kerana tukaran tenaga, masa dan fikrah itu tidak setimpal dengan nilai tenaga pemburuhan itu.

Justeru terbukti Si Kontrektor dan Pemaju jadi kaya raya bukan kerana mereka hebat tetapi kerana mereka hidup mengumpul titik peluk dan tenaga beratus-ratus kaum buruh yang kemudiannya dijadikan keuntungan dan modal. Lagi ramai tenaga buruh yang di gunakan lagi besar modal yang dapat di kumpulkan.

Jika kita telah memahami asas dari mana punca modal dan keuntungan datang maka amat senang untuk kita memahami kenapa pula negara-negara Dunia Ketiga – Asia, Afrika dan Latin Amerika terus miskin dan susah. Dari sini kita juga akan faham kenapa Eropah, Jepun, Amerika, Canada dan Australia terus menjadi kaya dan dapat mengumpulkan modal untuk warga mereka hidup lumayan.

Dalam konteks ekonomi kapitalis global - semua negara-negara Dunia Ketiga tarafnya samalah seperti Pak Tani dan Buruh Imigran. Malaysia, Singapura dan China ini adalah buruh-buruh imigran. Thailand, Cina, Indonesia, Vietnam adalah Pak Tani yang mengeluarkan makanan. Hasil dari sistem ini warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika terus hidup dalam kemiskinan. Tenaga, masa dan fikrah warga di negara-negara ini di nilai dengan rendah justeru upah untuk masa, tenaga dan fikrah mereka amat sedikit.

Dalam sistem kapitalis ini, yang mendapat kekayaan adalah kaum pemodal antarabangsa yang berpusat di New York, Paris dan London. Kaum pemodal antrabangsa ini mengajukan kepada kita semua agar menggunakan sistem ekonomi kapitalis yang telah mereka cipta. Warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika di taburkan dengan pelbagai tipu helah dan paksaan agar menerima sistem ekonomi kapitalis tanpa apa-apa pilihan. Kaum pemodal Anglo-Amerika mengatakan bahawa tidak ada sistem ekonomi yang lain melainkan sistem kapitalis. Ini bohong.

Jadi dalam konteks ekonomi kapitalis global, kita di Malaysia dilihat sebagai buruh imigran oleh kaum pemodal Anglo-Amerika. Justeru, buruh imigran tidak memiliki banyak hak. Buruh imigran ini selalu ditakut-takutkan dengan pelbagai undang-undang dan akta. Mereka tidak ada kesatuan yang ampuh untuk memperjuangkan hak mereka.

Buruh imigran ini tidak mungkin akan dapat mengubah dan memperbaiki hidup dalam sistem yang ditaja oleh Tuan Empunya Modal atau Kilang. Sebagai buruh kilang kita akan terus mendapat gaji yang rendah. Kita tidak akan memiliki kualiti kehidupan yang lumayan untuk kita memperluaskan keupayaan diri sebagai insan untuk membuat kebaikan. Malah kita juga dilarang untuk berilmu dan berfikiran bebas.

Seperti Pak Tani di Kuala Muda Kedah hidup mereka akan berterusan dalam kemiskinan kerana Tok Peraih Beras dan Tuan Punya Kilang Beras tidak akan membenarkan Pak Tani ini faham akan susur galur perjalanan sekampit padi itu. Pemodal pemodal antara bangsa di Bursa Saham Wall Street dan City of London tidak akan membenarkan Pak Tani dan Buruh Kilang mengubah cara urus niaga ini. Mereka menyediakan mandor-mador yang ganas untuk memastikan sistem ekonomi ini berteruskan.

Di Malaysia mandor yang telah di pilih oleh kuasa pemodal Anglo-Amerika semenjak tahun 1957 ialah gerombolan United Malays National Organisation. Mana mungkin Tok Peraih dan Sang Pemaju dan para mandor ini mahu berubah sistem kerana sistem kapitalis ini telah memberi memberi mereka keuntungan maksima dan modal yang melimpah tanpa mereka membanting tulang bekerja. TT

Kalau kepala otak masih geliga mengejar keuntungan, adakah masih ada sisa-sisa kebajikan?
Adakah masih wujud sifat-sifat kemanusiaan?
Apakah masih mampu mengenal antara halal dan haram?
Apakah ada upaya untuk menolak dosa yang datang?
Adakah semakin jauh terpinggir akan niat keikhlasan?

Jika kepala OTAK terlalu sibuk memikir untuk melipat gandakan harta kekayaan atau pening memerah otak mencari punca duit, apa bezanya kita dengan agama Kapitalisma. Satu akidah sesat berasaskan untung semata.

Awasi diri kita dari ber'Tuhan'kan Kapitalisma..

JANGAN JADI BODOH WAHAI KAWAN

Jangan jadi bodoh wahai kawan. Kita ini adalah manusia dan kita punya rasa yang sama untuk menikmati sebuah kehidupan. Merayakan kehidupan untuk sebuah tempoh tertentu.

Tidak perlu jadi bodoh wahai kawan. Kita merayakan hidup dengan segala beban dan semua rasa. Kita meraikan kehidupan dengan segala yang ada, dengan segala yang termampu. Dari jerih dan payah sendiri. Untuk itu, jangan jadi bodoh wahai kawan.

Jangan jadi bodoh wahai kawan. Segala retorik rasis fasis harus kita sama-sama padamkan. Segala retorik taat setia yang jumud wajar kita cerahkan. Segala retorik yang membangkit api permusuhan wajib kita sejukkan. Jangan jadi bodoh wahai kawan.

Jangan jadi bodoh wahai kawan. Segala raja dan segala kepala. Segala ’pemimpin’ dan segala dikeliling mereka. Kitalah yang membayar mereka. Dengan segala cukai dan segala titis peluh kita. Kita bayar mereka dengan segala makanan yang kita makan, dengan batang-batang rokok yang kita hirup asapnya, dengan segala kondom dan segala KY yang kita beli, dengan segala jenis arak yang kita minum dan dengan segala babi yang terjual beli. Cukai ini adalah gaji untuk mereka. Jangan jadi bodoh wahai kawan. Kitalah yang membayar mereka. Maka, berbanggalah kamu wahai kawan!

Jangan jadi bodoh wahai kawan. Kita ini berada disebuah sistem yang gagal. Manusia manusia disini. Yang belajar. Yang terpelajar. Menjadi sebuah produk untuk dijual beli mengikut permintaan pasaran. Produk yang teracu mengikut acuan beku dan pramatang. Ini bukanlah sebuah ejakulasi yang nikmat. Apakah itu kamu kita kami dia bangga? Melainkan mereka yang mampu untuk berpikir dan tidak bodoh seperti mereka.

Kamu jangan bodoh wahai kawan. Perpecahan??? Sila buktikan padaku tamadun mana yang tidak mengalami perpecahan? Malah ais dikutub juga semakin terpisah pecah cair dari hari ke hari. Sila buktikan padaku mana dia tamadun itu? Hukum kekutuban tak pernah gagal! Perpecahan adalah fitrah alam! Lebih lebih lagi, adalah semakin bodoh dan dangkal untuk bersatu dengan enjin kejahatan yang nyata!

Jangan kau bodoh lagi wahai kawan. Mereka juga duduk disana dengan sebuah sistem yang bukan pun punya originaliti lokal.Untuk segala sejarah yang terzahir. Untuk segala realiti silam yang tercipta. Berterimakasihlah pada British! Ya. British yang manusia-manusianya menyalat punggung dengan kertas.Ya British. Yang datangnya dengan 3G. Gold ,Glory and Gospel. Ketahuilah olehmu bahwa sesungguhnya kerana Britishlah telah menyatukan kita. Tanpa mereka. Kesultanan Kelantan mungkin akan memerangi kesultanan Selangor , Kesultanan Johor mungkin merampas takhta kesultanan Perak. Sejarah takkan menipu, apa kamu masih tidak ingat apa yang berlaku kepada kesultanan Johor setelah kedatangan kapal dari seberang laut itu? British menyatukan kita dengan sistem yang terjilid ini. Raja Berpelembagaan. Jangan kamu buta sejarah wahai kawanku. Inilah realiti! Britishlah menyatukan kita dari Perlis hingga Temasik.

Wahai kawanku ketahuilah ini. Dengan segala cukai yang terpungut. Dan segala wang pelaburan internet yang terbeku. Segala hasil mahsul bumi ini. Kita, jika tidak lulus loan dengan bank, kita hanya mampu untuk membuat loan dari peminjam wang berlesen.... dan mereka terus disana dengan segala wang hasil cukai yang diperah dari titis peluh kita. Maka ketawalah kita semua sekarang ini! Hahahahah..

- ihsan dari someone Hafiz

Tuesday, November 8, 2011

PENYEMPURNAAN KORBAN SENDUK

Sehingga jam 4 pm barulah penyempurnaan korban berjaya sepenuhnya. Rekod baru penyembelihan telah dicipta. Manala tak lambat, lembu yang nak dikorban jam 12 tghari baru nampak batang hidung. Katanya lori yang ditumpang tu tayarnya tersangkut dan terpaksa dipanggil trak 'towing'. Dah nak lambat, nak buat macam mana. Yang masuk 'share', petugas serta pemerhati macam mana pun masih setia menanti lebih kurang 2 jam ketibaan lembu yang bakal dikorbankan. Dalam keadaan hujan yang mencurah lebat, tuntutan sunnah korban akhirnya dilaksanakan bersama-sama seperti dianjurkan Rasulullah SAW.

Wahai Fatimah!, berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah, sesungguhnya titisan darahya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosa yang telah lalu". (Riwayat Bazzar dan Ibnu Hibban).

Kali ni Surau Senduk menguruskan 3 ekor lembu untuk dikorbankan. Korban dibuat setelah selesainya Solat Sunat EidulAdha yang diimamkan dan khutbahnya oleh dua produk muda kampung masing-masing Ustaz Emi dan Ustaz Shahrul. Surau juga menyediakan juadah lemang yang dipanggang secara gotong-royong sebelum itu. Dan program korban diakhiri dengan jamuan makan pada jam 4 pm..

Friday, November 4, 2011

CINTA IBRAHIM BUAT HAJAR

Sambil memegang kuat baju Nabi Ibrahim, ditanya Hajar kepada Nabi Ibrahim dalam keadaan amat-amat sedih "Apakah ditinggalkan aku kerana perintah dari Allah SWT?". Air mata Hajar kemudian membasahi sebahagian tubuh Nabi Ismail AS. Hajar juga tidak 'berani' menyoal lagi. Semestinya Hajar sedar betapa taat suaminya kepada Allah.

Tentang taatnya Nabi Ibrahim AS

Sesungguhnya Nabi Ibrahim AS tidak akan meninggalkan isteri tercinta Hajar dan anak kesayangannya Ismail jika tidak kerana taatnya kepada perintah Allah. Anaknya Ismail AS sewaktu ditinggalkan masih lagi disusui Hajar. Nabi Ismail yang dianggarkan berumur lebih kurang 2 tahun telah ditinggalkan serta-merta di tanah tandus (tiada pokok, binatang ternakan dan punca air) berbekalkan sedikit bekalan makanan dan minuman yang dijangka tidak akan bertahan lama. Tiada terdapat rumah-rumah orang apalagi restoran 786. Kalau di Malaysia ni memang ada manusia yang sanggup tapi setaraf 'setan'. Binatang pun tidak tinggalkan kandungannya dicelahan timbunan sampah. Tapi sekarang semua 'boleh'. Oleh kerana itu ketaatan Nabi Ibrahim kepada Allah bukan bererti kegagalan tanggungjawab rumahtangganya.

"Bertawakkallah kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke sini dan Dialah yang akan melindungi mu dan menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sesungguh kalau bukan perintah dan wahyunya, tidak sesekali aku tergamak meninggalkan kamu di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat ku cintai ini. Percayalah wahai Hajar bahwa Allah Yang Maha Kuasa tidak akan melantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya, insya-Allah."

Redho dan Pengorbanan Si Ibu mithali

Nabi Ibrahim AS hanya mampu menanamkan seluruh keyakinan dan kebergantungan baginda kepada rahmat dan pertolongan Allah SWT buat bekalan Hajar. Dari celah-celah bukit dibalik pandangan Hajar, Nabi Ibrahim sempat menadah tangan berdoa supaya Allah mengurniakan segala kebaikan bukan saja buat Hajar dan Ismail tapi seluruh keturunannya. Doa memohon rahmat Allah seterusnya memujuk hati sedihnya. Sebagai Nabi Allah, Ibrahim pasti telah mendidik isterinya Hajar secukup-cukup ketabahan bagi menanggung beban ditinggal suami. Hajar pula bukannya calang-calang ibu. Walaupun telah ditakdirkan kemudiannya terjahan tapak Ismail menghasilkan air namun si ibu tetap berusaha sedaya mungkin untuk menyara anaknya. Redho dan pengorbanan Hajar semestinya dijadikan renungan buat semua kaum ibu masa kini.

Mampu lagikah kita meneladani pengorbanan seorang ibu sehebat Hajar atau seorang suami dan bapa sekuat Nabi Ibrahim?Dimana nikmat Islam yang dirasai hari ini ada rentetan kisah menyayat hati ketiga-tiga insan hebat ini. Sama-sama kita hayati peristiwa 'korban anak-beranak' di Eidul Adha ini..

Tuesday, November 1, 2011

IKTIBAR 'PES'

Terkenang di era budak sekolah dulu cikgu (sekolah aku) selalu mengamanatkan beberapa taktik dan 'fadilat' penting untuk calon-calon 'exam'. Cara-cara selamat untuk 'tackle' soalan esei terutama buat calon STPM yang karangannya tidak kurang dari 360 patah perkataan. Bagi yang serabut bagaimana nak mula menulis bolehla mengaplikasikan kata akronim 'PES' sebagai idea utama. PES 'short form' diambil dari kata penuhnya Politik, Ekonomi dan Sosial. Daripada PES barulah di reka apa-apa yang patut asal kena dengan soalannya. Antara soalan yang ada 'network' dengan PES ini contohnya "sejauhmanakah kesan pendudukan Jepun terhadap Tanah Melayu..". Apalagi..PES la.. Dan kalau dalam dewan tu ada jiran-jiran yang dok gundah gulana, "pes" sekali kat dia.. Dan Insyaalllah kita akan bergaya keluar dari dewan periksa. Tapi Awas! jangan sampai semua soalan nak pakai PES.

Bulan lalu kotak pemikiran kita diisi orang bernama Mat Indera. Bersembang merata manusia bab Sejarah Kemerdekaan kemudiannya. Tiba-tiba profesor dan cikgu sejarah popular dan kembali naik 'rating' masing-masing. Sana-sini sesi kuliah ilmu. Buku-buku sejarah tiba-tiba 'best seller'. Carian di Tok Google femes mendadak. 

Lepas khatam sejarah timbul pulak isu disusuli murtad. Lepas teks sejarah kali ni kitab agama pulak diselak satu-satu. Kitab-kitab yang sahih dari periwayat-periwayat dikaji jadi sandaran. Tok guru, ustaz-ustaz dan pakar agama mengambil alih rating populariti bagi segera menjawab pelbagai persoalan yang timbul. Sehabis-habisnya diguna orang ramai majlis ilmu sebagai tempat rujukan. Disebabkan masing-masing terburu-buru menjawab permasalahan, wujudlah ustaz-ustaz palsu khususnya di 'majlis facebook'. Oleh itu berhati-hati umat Islam!.

Sekarang datang pulak kisah bajet. Orang ramai kalut berbahas dan masing-masing nak jadi pakar. Istilah 'asing' seperti audit, defisit, inflasi, NKRA, KDNK dan PKS yang dulu hanya dikuasai pakar ekonomi kini perbahasannya lebih terbuka. Orang awam mula bijak mencongak ekonomi negara melalui kalkulator peribadi. Mereka sudah sedar bajet mempunyai hubungan langsung dengan kehidupan harian. Mereka semakin arif tentang apa itu sumber kekayaan dan cara agihannya. Rakyat sedar keupayaan mereka dalam menentukan prospek kekayaan negara. Oleh itu bukalah pelbagai journal ekonomi untuk memudahkan penafsiran.

Allah SWT berfirman (yang artinya), “Dan Al-Qur’an itu telah kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian (Al-Israa’: 106).

Kesempatan yang terhidang harus dimanfaatkan sebaiknya terutama buat pen'google'-pen'google' ilmu untuk kembali mengasah pemikiran mereka. Sesuatu isu perlu dilihat dari persepsi yang berbeza. Kalau dipandang dari sudut 'gossip' semata-mata, 'gossip' lah jawabnya diterima dan sebaliknya jika dikaji dari sudut ilmiah, kita akan mendapat ganjaran ilmu. 

Seolah-olah didewan periksa, 'student' yang bijak tak gelabah apabila melihat pegawai soalan datang. Senario dan perasaan yang serupa akan kita hadapi apabila mengucapkan 'goodbai' buat alam sekolah. Ambil iktibar PES. Kita masih lagi boleh buat 'homework'. Tak mustahil rumah kita akan kembali berwarna-warni dengan macam-macam jenis buku lepas ini. Walaupun zaman budak sekolah dah tamat secara rasminya, 'tuntutan' ilmu itu masih lagi mengejar kita. 

Saturday, October 22, 2011

TAPI DIA IALAH PEGUAM SYARIE

Dunia kehakiman Malaysia sudah memasuki fasa kronik dinilai dari tahap integriti yang semakin teruk dan pelik. Sama ada undang-undang sivil atau syarie sekalipun. Pertikaiannya sudah jadi bicara orang awam. Bukan masanya perkara hidup mati di jadi cerita lawak dan fitnah. Apatah lagi mangsa atau si arwah mati dalam klasifikasi kes bunuh. Terbunuh pulak di tempat yang sangat tak sesuai. Matinya sewaktu selesai upacara siasatan di bilik tahanan. Adalah satu perkara yang meragukan apabila kematian itu kesudahannya dalam premis siasatan. Logik akal sukar untuk menafikan kematian yang berlaku adalah disebabkan ada kaitan dengan proses soal siasat walaupun klasifikasi bunuh diri. 

Beginilah jadinya bila sang hakim dan peguam masing-masing gagal dalam pembuktian mereka di gelanggang saksi dan tertuduh. Pasukan yang teringin 'menang' tidak perlu bersusah payah membawa saksi yang 'power', cukup dengan bahan-bahan sekeliling yang kadang-kadang begitu mengejutkan kepala otak. Satu waktu dulu 'tilam' dipaksa hadir ke mahkamah. Kali ni benda-benda meragukan seperti tuala, berus gigi dan CD bergilir-gilir disoal pulak di kandang saksi. Dan kalau tingkap dan pintu boleh diusung ke mahkamah, tidak mustahil ianya turut jadi mangsa. Bayangkan kawan-kawan semua...! 'Orang gila' pun boleh jadi saksi penting dan berpeluang untuk menang kes. ..Kalau la tingkap tu boleh bercakap kan bagus....

Undang-undang syarie turut berjangkit virus yang sama. Perundangan yang hakikatnya menjadi tapak buat umat Islam berlindung ini semakin menghampiri tarikh luputnya. Ianya tidak segagah disangka walaupun tauliah-tauliah  lulusan Syariah bersusun-susun. Peruntukan Qazaf yang diharap dapat melindungi hak muslim dari tuduhan zina atau liwat tidak cukup kuat untuk membela mangsa. Yang tinggal dan masih dibanggakan hanyalah hukum 3,5 dan 6. Angka 6 untuk sebatan itupun turut jadi bahan pertikaian (kes tuntutan Kartini).

Waris-waris perundangan khususnya undang-undang syarie terutama yang memilih profesion khusus diharapkan mengikhtiarkan sesuatu bagi mengembalikan 'respek' umum terhadap keadilan. Elakkan dari membuat kenyataan tidak sesuai dengan kredibiliti terutama yang berlabel pengamal undang-undang syarie. Cuba teliti kenyataan YB Kulim yang juga seorang 'lawyer'
Syariah merangkap 'the riding YB'.

"Inilah Hudud PAS. Ianya bercanggah dengan Islam. Dalam Islam, jika seseorang lelaki itu memasukkan zakarnya kedalam dubur seseorang tidak kira dengan sesiapa pun termasuk dengan isterinya sendiri, ia tetap liwat.."

Memang betul semuanya berstatus liwat. Tetapi takrifan hukuman Liwat adalah sama dengan hukum Zina menurut pendapat kebanyakan Ahli Sunnah Wa Jamaah. Hudud adalah untuk penzina (peliwat). Jelas pergaulan dengan isteri bukan perkara zina dan secara otomatik hukuman Hudud terlepas buat pesalah. Bagaimanapun hukum Ta'zir masih menanti pesalah.

 Kenyataan yang tidak berilmu adalah zalim menurut beberapa pendapat ulama. Lebih zalim jika hasil ceteknya kefahaman dan kenyataannya berpengaruh. Bertambah zalim jika untuk 'cover' pihak tertentu dan ada kepentingan isi perut. Cukup mengelirukan. Nak kata Jahil Syariah, dia adalah peguam Syariah. Kalau begini situasinya, usahkan nak bagi kefahaman untuk Umat Islam, nak mempertahankan akidah pun jadi sukar.

 YB Kulim perlu meminta maaf kepada umat Islam atas dosanya mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Begitu juga taubatnya kepada Allah...  

Friday, October 21, 2011

BUKAN SEKADAR BERHIMPUN

Dalam kuliah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Sofiyuddin di Surau Kampung Senduk baru-baru ni disyarahkan kepada muslimin dan muslimat antaranya berkenaan bagaimana cara untuk mengingati Allah selain dari mengadakan aktiviti tahlil dan sebagainya. Ustaz menyentuh mengenai pelbagai disiplin di'prepare' buat umat Islam khusus bagi mengingati Allah SWT. Selain ibadat khusus seperti solat dan puasa, 'ingat Allah' juga boleh dipraktik dimana sahaja. Ketika aktif berniaga, bercucuk tanam, bekerja dan bersukan juga perlu. Kerana Allah telah menetapkan prosedur atau garis panduan khas mengikut niatnya. Tanpa panduan, segala amalan tidak dinilai disisi-Nya. Dan inilah bukti ingatan kita kepada Allah. Dia memerhati setiap perlakuan hambaNya. Inilah 'takwa' yang kerap dipesan khatib jumaat buat umat Islam. Ustaz kata "tengok ayat 3 surah Al-Baqarah untuk erti takwa"..

3G (Gold, Gospel & Glory)

British 'berkunjung' ke Tanah Melayu satu waktu dulu bukan semata-mata misi monopoli bijih timahnya. Mereka membawa satu 'slogan keramat' ala-1Malaysia iaitu membolot harta (gold), menjajah (glory) dan menyebar 'syiar' Kristian (Gospel). Mereka akhirnya telah berjaya 'memikat' Raja-Raja Melayu di kawasan peranginan Pangkor (1874) secara halus untuk menerima syarat perjanjian berat sebelah. Pemeteraian ini memberi ruang seluasnya buat British untuk 'berpesta dan makan angin' di Tanah Melayu tanpa permit khas. Selain berkuasa luas, dibawa mereka pakej teknologi-teknologi 'sesat' seperti hiburan, judi, arak dan seks maka orang Melayu (Islam) terus mabuk tak sedar diri hingga hari ini. Termasuk dalam pakej juga ialah tertendang dan terterajangnya Ulama disana-sini. Dan sehingga hari ini 'Coverage' 3G masih lagi dinikmati British dan secara tak langsung tercapai niat 'kristianisasi' mereka.

Kolonial yang tertinggal

Hari ni kesan 'kolonism dan imperialism' semakin membeban rakyat Malaysia terutama Umat Islam. Kristianisasi membuah pelbagai kejayaan dengan impak maksimanya kini telah menyerang setiap pintu rumah muslim. Umat Islam seakan sudah habis idea dalam usaha mempertahan. Orang Islam hanya mampu melihat proses 'transformasi' Murtad tanpa sebarang sekatan. Anak muda 'bebas' beragama selagi identiti melayu kekal. Ianya sangat mudah ibarat menukar pakaian. Jangan dipersoal posisi kerusi pemerintah waktu ini. Berselindung disebalik Ketuanan Melayu, Baki kerabat bangsawan selesa meneruskan legasi jajahan terdahulu. Mereka semakin 'sayangkan' kekayaan bumi Malaysia yang bagi mereka tetap akan dipertahan. Kalau masih ingat propaganda kolonial Jepun "Asia untuk orang Asia" mereka popular dengan "Melayu untuk orang Melayu"

Adakah dengan ber'himpun' boleh mengubah suasana tidak selamat ini? Adakah dengan menyuarakan kegelisahan melalui jalan demokrasi dapat menyuraikan keegoan pemerintah? Ingat!! Pemerintah yang sedang dihadapi sekarang dasar sebenarnya lebih kolonial dari kolonial. Sedangkan BERSIH yang jelas bermatlamat murni sekalipun ditolak dan dibakul sampahkan, inikan pula sekadar ber'Himpun'.. Apa yang perlu dilakukan adalah lebih dari ber'himpun'...

Saturday, October 15, 2011

KORBAN UNTUK SYARIAT

 Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah perasaan yang dirasai Nabi Ibrahim AS apabila menerima beban arahan Allah untuk menyembelih darah daging hasil perkongsian dengan Siti Hajar. Apatah lagi anak bakal dikorban itu adalah satu-satunya cahaya mata kesayangan yang ditunggu berpuluh-puluh tahun. Anak yang bakal dikorban pula adalah Nabi Ismail juga dari benih Siti Hajar yang terdahulu mempunyai pengalaman perit apabila ditinggal Nabi Ibrahim sehelai sepinggang di tanah tandus Mekah tanpa apa-apa bekalan. Kisah bagaimana Siti Hajar berlari-lari disekeliling kota Mekah bagi mencari sesuatu juadah buat mengatasi tangisan kelaparan Nabi Ismail as saat susu badannya sudah kering.

Perasaan cinta Nabi Ibrahim kepada Allah mengatasi segalanya melebihi kekuatan cinta pada isteri Siti Hajar dan anak Nabi Ismail. Waktu ini Ismail sudah pun melangkaui usia remaja dan sudah bersedia mengambil alih tugas-tugas Nabi Ibrahim. Demi ketaatannya kepada Allah, Nabi Ibrahim menyampaikan amanat Allah satu-persatu buat Ismail as walaupun keberatan.

  ” Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu , agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar menringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku berikanlah kepadanya pakaian ku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya.”

Ditakdir Allah parang tajam Nabi Ibrahim as tak upaya menyembelih leher Nabi Ismail as yang kemudiannya di gantikan dengan seekor kambing. Allah SWT telah membuktikan 'ketaatan luarbiasa' pasangan anak-beranak Ibrahim dan Ismail dalam menyahut tuntutan syariat.

Bayangkan jika Allah masih mengekalkan pensyariatan sembelihan anak masing-masing sebagai korban hari ini. Anak dan bapa yang longgar akidah akan berkejar sana-sini huru-hara. Akan ada sana-sini pengamal hak asasi berdemo menentang apa yang difikir mereka 'zalim dan kejam'. Akan keluar kenyataan-kenyataan engkar seperti primitif, tak sesuai dan paling hina ialah 'makan sup tangan'. Syariat yang tersedia kekal dan jelas sekalipun diperlekeh dan dipijak sesuka hati puak-puak yang anggap akal mereka melampaui ilmu Allah ini. Malaysia juga 'bangga' kerana memiliki kumpulan dan pasukan yang jelas tidak mesra syariat. Mereka bermatian-matian berusaha memastikan tiada pelaksanaan sebarang hukum syarie terutama pensyariatan hudud yang jelas disebut Al-Quran. Dengan menyorok disebalik Islam, status yang kebanyakan mereka anuti ini sangat mengelirukan masyarakat. Kesan keengkaran merekalah (terutama pemimpin) jadi punca berlakunya gejala zalim seumpama bunuh bayi zuriat sendiri, rompak dan rogol.

Dua pensyariatan (haji dan korban) adalah teladan dari kisah 'popular' Nabi Ibrahim, Ismail dan Siti Hajar. Syariat Nabi Ibrahim ini dipersembahkan dengan terang melalui Al-Quran sebagai ibadah umat Nabi Muhammad SAW. Umat Islam wajib mengisytiharkan kesediaan bagi pelaksanaan sebarang syariat sebagaimana sanggupnya Ibrahim as dan Ismail as menurut perintah Allah tanpa buruk sangka.

Sebarang syariat dari Allah adalah suatu amanah buat manusia yang terbeban terbeban pada diri sebagai pemimpin muka bumi. Jangan biarkan diri kita berada di posisi seorang Islam yang engkar yang boleh membawa kepada kemunafikan. Keengkaran bakal jadi punca pelbagai kerosakan bumi beserta isi dan sabitnya adalah tangan-tangan manusia itu sendiri. Hanya kerana engkar.

“Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan-perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah ar-Rum (30):41].

Selamat menunaikan ibadah Haji dan Korban 2011 khusus buat Makndak Ja dan Ustaz Hatta dan Umat Islam amnya.