VOCALIST

Wednesday, March 20, 2013

PERANG YANG SATU LAGI

Hakikatnya, pilihanraya setiap 5 tahun yang tak serik-serik PAS sertai ini adalah hasil dari keputusan Ulama dulu. Di Tanah Melayu ketika itu, barisan Ulama pendokong gerakan Hizbul Muslimin @ MATA sepakat memilih pilihanraya sebagai medan juang yang baru. Untuk itu mereka sanggup bersabar dengan kaedah demokrasi yang kali ini barat sebagai penganjurnya. Kesepakatan ini terlebih dahulu diteliti dan dirujuk kepada ijtihad Ulama sedunia waktu itu.

Apabila runtuhnya tembok kerajaan Turki Uthmaniah, barat seterusnya menguasai dunia, walaupun masih wujud tentangan kecil diseluruh dunia (cari kisah Tok Janggut, Mat Kilau, Abdul Rahman Limbong dsb). Majoriti Umat Islam terpaksa akur mereka semakin tak bermaya. Situasi ini mendesak pimpinan-pimpinan Islam saat itu memutuskan untuk keluar dari pengaruh gerila setelah memikirkan kerosakan lebih teruk yang telah berlaku. Apabila pilihan diputuskan, skrip demokrasi yang direka barat terpaksa diikuti. Masih boleh berperang tapi semuanya terlebih dahulu perlu mendapat 'lesen' dari PBB.

Keputusan untuk menggunakan pilihanraya sebagai wasilah/jalan untuk menegakkan Deen Islam ini asalnya telah 'direform' Ikhwanul Muslimin di Mesir melalui kerja kuat Imam Hasan AlBana. Maka tertubuhlah pelbagai jenis parti yang berasaskan Islam. Di Tanah Melayu, parti Hizbul Muslimin menjadi pelopor kepada kebangkitan semula Umat Islam. Namun sehingga hari ini gerakan Islam seperti ini masih tetap menjadi sasaran blok barat hingga ramai pejuangnya dibunuh, dipenjara dan seumpamanya. Hizbul Muslimin turut senasib Ikhwanul Muslimin apabila parti tersebut diharamkan dengan alasan dirasuk komunis.

Setelah puluhan tahun penggerak parti-parti Islam ini berjuang, kesan kesabaran mereka, akhir-akhir ini hikmahnya mula terhasil. Gerakan Islam sudah berupaya menekan kuasa barat yang didokong musuh. Gerakan Islam berjaya memanipulasikan demokrasi ala-barat dengan menawarkan demokrasi sebenar berasas Islam.

Mesir sekali lagi mengejutkan dunia apabila parti serpihan Ikhwan Muslimin pimpinan Mursi berjaya memenangi hati rakyat yang sekian lama pemikiran mereka dijajah barat. Kebangkitan di Mesir sekali lagi memberi kesan kepada umat Islam seluruh dunia. Umat Islam mula sedar kekorupan demokrasi barat terhadap mereka.

Di Malaysia, serpihan Hizbul Muslimin, Parti Islam Semalaysia (PAS) mengambil alih peranan untuk memperjuangkan nasib buruk umat Islam dibawah tekanan puak nasionalis UMNO (United Malayan National Organisation). Umat Islam mula menyokong kesabaran PAS yang telah berpuluh tahun menerima kekalahan dalam pilihanraya. Sebelum ni pejuang PAS pernah dilabel pengganas, tuduhan sesat, mengotorkan masjid dengan politik dan pernah juga dilabel komunis. Dibunuh, dikurung dan disekat secara total. PAS kekal bersabar hinggalah parti 'tok lebai' itu kini berdiri disisinya beribu-ribu ulama dan professional.

Untuk pilihanraya 2013, PAS kelihatan gagah bersedia untuk menerajui kebangkitan seluruh kemajmukan rakyat malaysia. PAS telah berjaya menyahut perjuangan dulu yang tidak memilih perang gerila untuk memilih 'perang yang lagi satu' yang diakui sama objektifnya. Tidak lain dan tidak bukan ianya 'perang pilihanraya' yang semata-mata untuk kembalikan daulah Islamiyah. Allahuakbar!!

Monday, March 18, 2013

KEBANGKITAN ABABIL II : STRATEGI AHZAB

Di dalam peperangan Khandak yang juga dikenali sebagai perang Ahzab, Nabi Muhammad S.A.W bersama Para Sahabat merangka pelbagai strategi dan gerak kerja, bukan hanya duduk bersahaja menunggu mukjizat ‘Ababil’ dari Allah Taala. Sekalipun pada waktu itu mereka dikepung, jumlah mereka sedikit dan sumber makanan dicatu. Tetapi hal itu tidak menyebabkan mereka putus harap, malah berusaha mencapai kemenangan. Para Sahabat tidak sekadar bermesyuarat dan mencetuskan gimik-gimik strategi, tetapi gerak kerja adalah kesinambungan dari kemenangan dalam peperangan tersebut. Tiada elemen-elemen perkauman dan nasionalis, apabila cadangan Salman yang berbangsa Farsi itu diangkat Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat sebagai strategi kemenangan.

Kaum Muslimin dibahagikan kepada beberapa kelompok, tiap-tiap 10 orang ditugaskan menggali parit sepanjang 40 hasta. Semuanya berusaha menggali kawasan masing-masing dengan penuh kesungguhan dan Baginda S.A.W turut merangsang dan menyertai mereka.Tiada seorang musyrikin-pun yang mampu melepasi jarak parit tersebut kecuali semuanya terbunuh dek panah yang meluncur laju dari busur tentera Muslimin. Para tentera Muslimin pula dengan sabar menanti kesilapan yang bakal dilakukan oleh musuh-musuhnya, sekalipun pada waktu itu mereka sengsara menahan kelaparan.

Manakala Nu'aim bin Mas’ud dari Bani Ghatafan (salah satu kabilah Yahudi) yang telah masuk Islam tanpa pengetahuan kaumnya, telah ditugaskan oleh Rasulullah S.A.W untuk memporak-perandakan musuh dengan kecerdikan dan tipu-muslihat. Bangsa Ghatafan di-domba oleh Nu’aim agar meragui kafir Quraish, sebaliknya bangsa Quraish turut dihasut supaya tidak percaya kepada Bani Ghatafan sehingga menyebabkan mereka saling curiga-mencurigai. Kata Rasulullah S.A.W kepada Nu’aim, “…Perdayalah mereka semampumu, kerana perang itu adalah muslihat dan tipu daya” (rujuk Al Bidayah wan Nihayah jilid 4 hal.13)

Selepas itu, Rasulullah S.A.W mengadu kepada Allah, “Ya Allah! Tuhan yang menurunkan Al Quran, lakukan segera perhitungan, hancurkanlah tentera Ahzab. Ya Allah! Hancurkan mereka dan berilah kemenangan kepada kami”.

Doa Rasulullah S.A.W dijawab dengan deruan angin lintang, keras dan mencengkam, menghentam dan menerjah ruang gelita malam sehingga menyebabkan musuh Islam kelam-kabut dan takut dengan bayang-bayang sendiri. Akhirnya mereka mengundurkan diri dan generasi terbaik yang ditarbiyah Baginda Nabi ini menerima kemenangan dari Allah Taala. Itulah ‘Ababil’ yang dikurniakan Allah kepada umat Baginda S.A.W setelah dibuktikan dengan ukiran usaha dan gerak kerja. Yakinlah umat Islam pasti menang, tetapi mestilah ia dilengkapkan dengan syarat-syarat kemenangan, “Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!

Akhirnya sekali lagi ditegaskan, kita bukan lagi di zaman Abrahah, iaitu suatu zaman yang menghasilkan kemenangan dari Allah tanpa keringat dan syarat. Tetapi kita adalah umat yang berada di zaman Rasulullah S.A.W yang mengisyaratkan kemenangan hanya setelah didokongnya syariat.

Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W, banyak peristiwa murtad berlaku di tanah Arab malah ada yang mengaku dirinya utusan Allah setelah perginya Al Amin umat ini. Seramai 10’000 mengekor ajaran songsang yang dibawa oleh Musailamatul Kazzab, beserta kesesatan yang bermaharajalela itu tidak pula kelihatan kelibat ‘Ababil’ yang menurunkan batu dari sijjil. Tetapi yang muncul ialah pemuda yang sangat mencintai para Mukminin, membenci kekufuran yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah. Melalui perintah Khalifah pertama Rasulullah S.A.W, Abu Bakar As Siddiq mengarahkan Khalid bin Al Walid membersihkan najis murtad, Musailamah beserta pengikutnya.

Pada tahun 492 H (1099 M), tanah Palestin dikepung, seramai 70’000 orang Islam dibunuh oleh tentera Salibiyyah. Namun, tidak juga kelihatan ‘Ababil’ yang mewakili tentera Allah, membawa kerikil panas dari sijjil. Tetapi yang muncul ialah pemuda yang sangat optimis dengan kemenangan Islam, hidup dan matinya di medan perjuangan menegakkan kalimah Allah. Dia adalah Salahuddin Al Ayyubi dan bersamanya tentera mujahidin yang membersihkan Baitul Maqdis dari penindasan dan kezaliman Salibiyyah.

Kemudian Tatar melanyak Baghdad pada 656 H, berjuta-juta mangsa terbunuh dalam tempoh 40 hari. Kala itu para penguasa dipenggal kepala, kanak-kanak menjadi yatim, isteri-isteri menjadi janda, anak-anak gadis dipaksa menanggung benih onar tentera kejam yang dikepalai Hulago Khan, Jeneral Monggol yang dipuja sebagai dewa perang tak terkalah. Umat Islam mendekam beberapa tahun, dihina dan dipermainkan. Lalu penantian tersebut tidak juga menghasilkan siulan ‘Ababil’, yang membawa batu berapi dari sijjil. Sebaliknya seorang pemuda yang mencintai Rasulullah S.A.W, yang meletakkan ulama sebagai penasihatnya, berhasil mengembalikan kewibawaan umat Islam dengan keyakinan dan semangat jihad. Dia adalah Saifuddin Qutuz.

Puak sesat Qaramithah pernah menawan Kaabah pada 8 Zulhijjah 317 H. Lebih dahsyat dari itu apabila lantai Kaabah dipenuhi darah, Hajarul Aswad dicabut dari tempat asalnya, mereka kencing sambil bertawaf dengan kuda, lalu sambil ketawa berdekah-dekah para pengikut ajaran Qaramithah yang diketuai Abu Tahir Sulaiman Al Janabi itu mengangkat Hajarul Aswad ke langit sambil mengeluarkan perkataan penuh kekufuran, "Di mana Ababil?"

“Di mana batu-batu dari sijjil?!

Dan tidak turun juga Ababil, tiada lontaran batu dari neraka sijjil. Sepanjang tahun pencabulan itu, umat Islam melaksanakan ibadah haji di Makkah tanpa Hajarul Aswad sehinggalah ia dipulangkan kembali pada tahun 339H.

Fahamilah, Islam agama yang menghasilkan natijah dengan gerak kerja, menumbuhkan tauhid dengan amalan, meletakkan asas kemenangan dengan syarat iaitu, "Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!"

tarbawi.my

KEBANGKITAN ABABIL I : TENTERA ABRAHAH

Peristiwa mengenai keangkuhan Abrahah Al Ashram yang membawa ketumbukan tentera bergajah dari Yaman ke Makkah untuk menghancurkan Kaabah, sangat popular di kalangan semua. Ketika perjalanan Abrahah menuju ke Makkah, tentera-tenteranya telah merampas 200 ekor unta milik Abdul Muttalib, Datuk Baginda Nabi S.A.W. Lantaran itu sebelum Abrahah tiba ke Kota Makkah, Abdul Muttalib muncul di hadapannya untuk melakukan rundingan. Abdul Muttalib merupakan ketua gugusan Tanah Arab di sekitar Kota Makkah ketika itu. Beliau mendesak Abrahah agar haknya dikembalikan.

Ketika Abrahah melihat keberanian Abdul Muttalib, terdetiklah perasaan kagumnya terhadap kewibawaan yang dimiliki pemimpin kaum Arab ini. Abrahah bertanya kepadanya dengan nada yang perlahan, "Apakah hajat engkau datang menemuiku?"

“Aku mahu penguasa kerajaan bergajah ini mengembalikan 200 ekor unta yang telah dicuri, unta-unta tersebut adalah milikku”, kata Abdul Muttalib dengan tegas.

Pada mulanya Abrahah menyangka Abdul Muttalib akan meminta supaya dia membatalkan hasratnya membinasakan Kaabah, tetapi hal yang berlaku adalah sebaliknya. Berkatalah Abrahah, "Aku merasa terpesona ketika mula-mula melihatmu. Tetapi keterujaanku itu hilang apabila engkau merendahkan kewibawaan yang ada pada dirimu dengan permintaan kerdil seperti itu".

Menurut Abrahah, jika dia mampu membawa ratusan ekor gajah menuju ke Makkah, apatah lagi 200 ekor unta kurus milik Abdul Muttalib. Tentulah Abrahah mampu melakukannya. Abrahah mula memperkecil-kecilkan Abdul Muttalib kerana tujuan pertemuan itu dilakukan bukan untuk mempertahankan Kaabah, tetapi hanya sebuah permohonan agar unta-unta Abdul Muttalib dikembalikan. Kata Abrahah, "Adakah tujuan kedatanganmu hanya kerana 200 ekor unta? Adakah engkau tidak mempedulikan nasib yang akan menimpa rumah ibadatmu (Kaabah), yang menjadi simbol agamamu, agama nenek moyangmu, agama kaummu yang akan ku musnahkan dengan kekuatan kerajaanku. Adakah engkau melupakan hal yang lebih besar dari itu untuk engkau tanyakan kepadaku?"

Lalu Abdul Muttalib menuturkan kalimah dengan begitu yakin, "Sesungguhnya aku ini adalah pemilik unta yang engkau rampas, sedangkan rumah (Kaabah) itu ada Tuhan yang menjaganya."

Inilah mauqif (pendirian) yang dilontarkan Abdul Muttalib kepada Abrahah. Sebuah pendirian yang boleh dianggap tiada semangat kesateriaan, kerana tindak balas sepi yang dilakukan Abdul Muttalib terhadap pencerobohan yang sewenangnya dilakukan oleh Abrahah. Jikalau hari ini tujuan hidup manusia semata-mata untuk mencapai kenikmatan hidup, ataupun menghimpunkan seluruh kelazatan dunia semahunya, sedangkan pada masa yang sama mereka meletakkan kedudukan agama Allah ibarat melukut di tepi gantang, adakah hamba seperti ini akan diberikan perhatian oleh Allah?! Adakah orang seperti ini akan dibantu oleh Allah?

Sesiapapun yang berpegang dengan iktiqad yang rapuh, hidup dengan jiwa yang kosong tidak memiliki sensitiviti bahawa agamanya sedang diinjak-injak dan dipermainkan, maka bermakna seseorang itu mengalami kejahilan yang sangat serius. Orang seperti ini sebenarnya tidak tahu apakah misi sebenar kedudukannya sebagai manusia yang dihidupkan di atas muka bumi. Tatkala tentera-tentera Abrahah meluru masuk ke Makkah, penduduk Arab yang diketuai oleh Abdul Muttalib itu hanya bersikap pasif. Mereka mengosongkan rumah dan lari menuju ke lereng-lereng bukit, melihat dan membiarkan tentera-tentera Abrahah yang mengendarai gajah, melanyak dan mencabul ruang suci Kota Makkah.

Sikap ‘selamba’ yang ditunjukkan penduduk Makkah waktu itu akhirnya diberikan pertolongan yang hebat dari Allah Taala. Allah menurunkan perajurit-perajurit-Nya berupa burung Ababil, burung-burung yang membawa serpihan-serpihan batu panas dari ‘sijjil’ sehingga berhasil menggagalkan rancangan jahat Abrahah. Persoalannya, mengapa burung-burung Ababil itu hadir? Kenapa Allah memberikan pertolongan kepada kaum yang pasif tidak berjihad mahupun melawan?

Ini kerana, sudah menjadi sunnatullah (ketetapan Allah) kepada kaum yang terdahulu (sebelum umat Islam) bahawa orang yang zalim akan dimusnahkan dengan perkara-perkara ‘hissi’ yang ajaib menurut kekuasaan-Nya. Allah menghancurkan kaum-kaum yang mengkhianati Para Rasul, biarpun realiti yang menimpa kepada orang beriman pada waktu itu mereka tidak mengangkat senjata untuk berjuang, ataupun tidak bertembung dengan musuh di medan perang.

Selain dari kehancuran Abrahah, ada lagi peristiwa-peristiwa lain yang turut menakjubkan berlaku kepada kaum-kaum Para Nabi terdahulu yang tidak beriman. Sunnatullah ini berlaku kepada musuh-musuh Allah dan kerajaan-kerajaan yang zalim, bermula sejak zaman kerasulan Para Nabi yang terdahulu sehinggalah kepada zaman Abrahah yang dicelakakan. Tetapi, Allah telah menetapkan suatu sunnah-Nya yang baharu, iaitu selepas 50 tahun berlalunya peristiwa Abrahah dihancurkan; Iaitu setelah kelahiran Baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Hari ini, ketika keterpurukan melanda di beberapa penjuru wilayah Islam, ketika umat Islam meratap penuh keprihatinan, timbul dalam persoalan kita, bilakah Islam akan kembali berdaulat? Bilakah kemenangan akan diraih setelah berjam-jam kita bermunajat?

Saudara, kita bukan lagi di zaman Abrahah! Dulu Allah mengirimkan burung-burung Ababil menghancur-lantak kekuatan Abrahah dan pasukan bergajahnya, sekarang umat Islam tidak akan memperoleh pertolongan tersebut dengan hanya duduk bersilang panggung menunggu janji-janji kemenangan tersebut. Inilah kaedah sunnatullah yang perlu dilalui oleh umat Islam, berbeza dari zaman-zaman kaum sebelumnya.

“Wahai orang yang beriman jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membelamu (mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian kamu” (Muhammad:7)

Kerana itu, umat Islam mesti bangkit dengan amal yang ikhlas kepada Allah. Jika umat Islam melaksanakan kerja demi kebangkitan syiar-Nya, mereka akan dikurniakan satu keajaiban yang seakan-akan suatu kurniaan seperti Ababil melingkupkan tentera Abrahah.

Allah akan menurunkan pertolongan tersebut dalam bentuk keberkahan dan rahmat, keamanan dan petunjuk kepada mereka yang beriman. Umat Islam yang bekerja untuk agamanya, akan membuatkan mereka yang ingkar sengsara, tidak menentu fikirannya, rungsing jiwanya, bercelaru perasaannya. Tetapi tanpa gerak kerja yang teratur dan tersusun, kemas dan berterusan, berita-berita mengenai pertolongan yang Allah janjikan itu tidak akan dinikmati oleh umat Islam. Hakikatnya, Allah tidak akan memberikan kemenangan kepada umat Islam yang malas. Allah tidak akan menganugerahkan keunggulan kepada umat Islam yang tidak bekerja untuk agamanya.

Tidaklah menghairankan sewaktu kita berterusan memanjatkan doa yang berbunyi, “Ya Allah binasakan orang-orang yang zalim menerusi perbuatan jahatnya dan keluarkanlah kami dari angkara mereka agar kami termasuk di kalangan orang-orang yang diberikan keselamatan!!!”.

Tetapi doa itu tidak memperlihatkan kebenaran sepantas kerlipan mata, tiada apapun perubahan setelah doa itu dibacakan. Adakah Allah tidak memakbulkan permintaan tersebut?

Tidak wahai saudara, Allah pasti akan memperkenankan doa setiap hambaNya, tetapi mesti dengan gerak kerja, bukannya menjadi manusia yang hanya menunggu mukjizat dan keajaiban, menunggu Imam Mahdi dan Nabi Isa diturunkan. Kerana seorang aktivis gerakan Islam mestilah mendokong suatu ketetapan ini,“Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!

tarbawi.my

Friday, March 15, 2013

SIDANG SENDUK : KEKALAHAN SULUNG

Sidangsenduk akur dengan kekalahan sulung mereka dengan MTI untuk tahun ni. Beraksi di gelanggang MTI, sidangsenduk tunduk 6 gol berbalas 3 gol. Kepincangan dibahagian pertahanan dan strategi ampuh jurulatih MTI adalah antara faktor penyumbang kekalahan. Tanda awal kekalahan kelihatan bila skuad Sidang mulakan aksi tanpa kelibat jurulatih En Puad.

Akibat kekurangan latihan kecergasan pemain Sidang dilihat tidak bertahan terutama barisan pertahanan. Apabila usia permainan baru mencecah 10 minit, dua pemain pertahanan telah minta ditukarkan. Pertukaran yang sangat kerap menyebabkan rentak permainan mula berubah sehinggalah skuad MTI berjaya membolosi pintu gol kami.

Pemain-pemain MTI pula berjaya melaksanakan strategi jurulatihnya dengan baik. MTI dilihat kerap menukar-nukar pemainnya terutama posisi 'goli'. Pada separuh masa kedua MTI telah menukar semua pemainnya. Kemudian dilihat kali ini tidak mengenakan jersi pasukan. Faktor-faktor ini telah menyumbangkan kekeliruan buat Sidangsenduk. Penyerang Sidangsenduk dilihat tergamam untuk menyudahkan peluang ealau didepan hanya berdepan satu sama dengan goli akibat kekeliruan.

Dari satu perlawanan berlangsung tahun ini, inilah kekalahan sulung direkodkan buat Sidangsenduk. InsyaAllah Sidangsenduk akan bangkit pada pertemuan akan datang.



Tuesday, March 12, 2013

HIZBUL MUSLIMIN, BAHAYA DARI GUNUNG

Hizbul Muslimin (Hamim) atau Parti Orang Muslimin Malaya (Muslim People's Party of Malaya), merupakan parti Islam pertama di Tanah Melayu telah ditubuhkan pada 17 Mac 1948. Hizbul Muslimin juga parti Islam pertama (tunggal hingga kini) di Tanah Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan dari penjajahan British.

Penubuhan Hizbul Muslimin

Pada Mac 1947, persidangan Islam se-Malaysia (Pan-Malayan Islamic conference) yang pertama telah diadakan di Madrasah Ma'ahad al-Ehya as-Sharif di Gunung Semanggol, Perak. Perhimpunan yang ditaja oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin al-Helmy dianjurkan untuk membincangkan masalah ekonomi yang dihadapi oleh golongan Melayu-Muslim. Ianya bertujuan membawa gerakan-gerakan dan pemikir-pemikir Islam yang lebih aktif secara politik dan progresif di dalam negeri untuk duduk bersama-sama. Inilah ijtihad politik. Hasilnya MATA, Majlis Agama Tertinggi Malaya (Supreme Religious Council) Malaya telah tertubuh.

MATA semakin pro-aktif dengan perhimpunan dan kegiatan politik bagi aktivis Melayu-Muslim untuk prospek masa depan dan keperluan masyarakat umum. Majlis itu juga menganjurkan satu persidangan pada 13–16 Mac 1948 yang membincangkan isu tempatan dan antarabangsa. Peserta-peserta persidangan merasakan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, UMNO tidak melakukan apa yang memadai untuk mengemukakan isu mustahak secara umum dan puak konservatif-nationalis juga tidak memainkan peranan yang cukup untuk kepentingan Melayu-Muslim. Perwakilan UMNO di dalam MATA tidak berpuas-hati dengan nada perbincangan pihak Islamis, yang dirasai terlalu berunsur revolusi dan militan. Perwakilan UMNO telah melaporkan pendapat dan pemerhatian kepada pimpinan mereka menyebabkan pemimpin UMNO Dato' Onn Jaafar mula mengeluarkan amaran mengenai "Hubaya-hubaya, ancaman bahaya dari gunung", yang merujuk kepada Gunung Semanggol, lokasi pergerakan MATA. Pada saat inilah bermulanya titik sejarah penentangan UMNO terhadap 'ancaman' perjuangan Islam di Malaysia. UMNO hari ini menyambung saki-baki prejudis suku-sakat mereka terhadap gerakan Islam.


Parti Orang Muslimin Malaya atau Hizbul Muslimin telah ditubuhkan pada 17 Mac 1948 dipimpini Ustaz Abu Bakar al-Baqir selepas persidangan kedua MATA yang mengisytiharkan supaya MATA diatur-semula sebagai satu parti politik Islam. Dengan penubuhan Hizbul Muslimin, kesemua aktiviti politik telah dipindahkan kepada pertubuhan politik baru itu. MATA pula berperanan sebagai biro hal-ehwal agama parti itu. Walaubagaimanapun, parti politik Islam yang pertama di Malaya ditakdirkan untuk tidak bertahan lama apabila ianya diharamkan oleh kerajaan British dengan dakwaan bahawa Hizbul Muslimin menjalin hubungan dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan. Ordinan Darurat 1948 yang diluluskan menyebabkan Hizbul Muslimin diharamkan dan dianggap bahaya.

Asas pergerakan Hizbul Muslimin perlu dihadam pejuang-pejuang Islam hari ini. Kalau menilai peranan hebat yang Rasulullah SAW dan gerakan Islam di Madinah dan manfaatnya kepada dunia muslim seluruhnya, Hizbul Muslimin bolehlah dianggap gerakan Islam yang bertanggungjawab mencetus kebangkitan Islam di Tanah Melayu khususnya. Hizbul Muslimin bukanlah ancaman malah merupakan cetusan kepada rantai perjuangan Islam yang diasas Rasulullah SAW.

Rujukan : wikipedia

Monday, March 11, 2013

HIJRAH KEPADA POSITIF

Bila 'dipressure' hebat puak Quraisy, Nabi SAW pun akur setelah mendapat 'signal' dari Allah SWT. Lalu berpindahlah beramai-ramai penduduk Kota Mekah ke Madinah dalam keadaan ketakutan. Perpindahan berlaku melalui dua rombongan. Rasulullah SAW bergerak mengikut 'trip' yang kedua. Dan beramai-ramailah mereka bergerak ke Madinah dengan label Muhajirin.

Pihak samseng Quraisy, apabila mendengar info hijrah Nabi segera merancang pembahagian tugas bagi menyekat pergerakan kaum muslim. Dipasangnya 'roadblok' dimerata tempat. Dan ada satu puak khas (special branch) ditugaskan mengepung rumah Baginda SAW seterusnya memancung kepala junjungan Nabi.

Rasulullah SAW apabila tau 'planning' busuk musyrik, segera mengarah Saiyidina Ali RA yang ketika itu berusia 8 tahun untuk mengganti tempat Baginda. Dan atas pertolongan hebat Allah, terselamatlah baginda Rasul yang ditemani Saiyidina Abu Bakar waktu itu.

Hijrah Rasulullah SAW luas iktibarnya. Watak utama selain Nabi dan sahabat lain sudah tentu melalui peranan Saiyidina Ali RA. Usia Saiyidina Ali RA waktu itu terlalu muda (12 tahun) untuk membawa peranan besar sebagai pengganti tempat tidur Nabi. Bayangkan tahap kematangan beliau berbanding orang muda hari ini. Bayangkan juga kepercayaan tinggi Nabi SAW terhadap keupayaan Saiyidina Ali untuk laksana misi.

Bukan peranan biasa, tapi Saiyidina pada usia terlalu muda sudah sanggup menghadapi risiko dibunuh oleh Quraisy. Kerana modus operandi samseng ni sah-sah hendak membunuh. Saiyidina Ali bagaimanapun melihat hikmah disebalik watak yang 'dilakonkan' beliau sehingga Islam kemudian mampu berdiri sama gagah dengan kuasa-kuasa besar lain iaitu Rom dan Parsi.

Begitu juga watak yang dimainkan kaum Muhajirin. Mereka sanggup tinggalkan harta, keluarga dan segalanya untuk berpindah ke tempat yang mereka pun tak tau apa nasibnya. Itu logik akal. Tapi berpunca dari sikap positif yang tinggi kepada Allah, mereka beroleh habuan dari janji Allah. Mereka dididik sempurna untuk memiliki positiviti tinggi oleh Rasul SAW. Yang perlu ada pada Muhajirin adalah istiqamah. Ini janji Allah yang dipesan RasulNya. Bukan selemah janji manusia. Muhajirin begitu positif dan bersangka baik dengan janji Allah. Sangat positif dan bersangka baik dengan gerakan Islam Rasulullah SAW. Dan ini sudah tentunya janji ditepati.


Tuesday, March 5, 2013

PERKARA LEBIH BURUK

Kita sudah pun disaji dengan berjenis-jenis benda jelek sebelum ini. Dan barangkali menjadi-jadi lagi buruknya. Status merbahaya seperti ini adalah suatu fenomena yang meruncing dalam sosio-budaya kita. Amaran Rasulullah SAW bukanlah untuk menakut-nakutkan tapi bertujuan menggalakkan umatnya duduk pada solusi terbaik. Dan ianya bergantung kepada kebijaksanaan kita.

Syeikh Sa’id Hawwa dalam bukunya ‘Al-Islam’ pada halaman 13 juzuk ke-4, ada menukilkan sebuah hadis baginda s.a.w. yang bermaksud berdasarkan satu pertanyaan baginda kepada sahabat-sahabatnya :

"Bagaimana sikap/pendirian/sensitiviti kamu (wahai sahabat-sahabatku), jika terdapat dalam kalangan wanita (dalam kalangan kamu) yang melakukan perkara sumbang (terhadap Allah dan Rasul-Nya), golongan remaja melakukan sesuatu yang menjurus kepada amalan fasiq dan kamu meninggalkan jihad?"

Adakah perkara-perkara seumpama itu telah atau sedang berlaku didepan biji mata kita? Dan setelah dinilai, pastikah kemungkaran yang berlaku akan susut atau lebih buruk dari itu?

Para sahabat bertanya lagi, "Wahai Rasulullah: Apakah perkara seumpama itu berlaku (dalam kalangan kami) duhai Rasulullah?"

"Ya, demi sesungguhnya nyawaku di tangan (Allah), perkara yang lebih buruk daripada itu akan berlaku."

"Apakah perkara yang buruk itu wahai Rasulullah?."

"Bagaimana sikap/pendirian/sensitiviti kamu (wahai sahabat-sahabatku), jika perkara yang makruf itu kamu lihat sebagai perkara yang mungkar dan sebaliknya perkara yang mungkar itu pula kamu lihat sebagai perkara yang makruf?"

Di siaran-siaran arus perdana kini, lumrah untuk menonton si bodoh berpengaruh senang-senang mencabuli pendapat-pendapat agama. Atas tiket kepopularan dan atas nama hak asasi, berlagak berfatwa seolah-olah ulama. Ini adalah satu pembodohan kepada perkara baik. Kita juga menyaksikan orang yang diberi 'tauliah' pula sibuk dan tak jemu-jemu mengampu penguasa jahat. Begitu sibuk mufti-mufti ini mempertahankan kemaksiatan pemerintah atas nama ketaatan kononnya.

Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah : Apakah perkara seumpama itu berlaku (dalam kalangan kami) duhai Rasulullah?"

"Ya, demi sesungguhnya nyawaku di tangan (Allah), perkara yang lebih buruk daripada itu akan berlaku."

"Apakah perkara yang buruk itu wahai Rasulullah?"

"Bagaimana sikap/pendirian/sensitiviti kamu (wahai sahabat-sahabatku), jika kamu suruh/subur-suburkan yang mungkar dan kamu cegah pula yang makruf."

Realiti amaran Rasulullah SAW jelas berlaku dalam masyarakat hari ini. Apa jenis disko lagi yang tak tumbuh? Apa pesta lagi yang kita tak pernah tengok? Apa jenis sumbang mahram lagi yang kita tak dengar? Hari ini semua dah berlaku. Dan apakah amaran Nabi SAW itu kosong?

Muslim patut tau betapa sayangnya Rasulullah SAW kepada umatnya. Dan method penyelesaiannya sudah tertentu terkandung dalam Al-Quran dan SunnahNya. Dan sudah pasti Baginda SAW tidak sanggup melihat umatnya meredhai saja keburukan yang berlaku.


Sunday, March 3, 2013

LAHAD DATU DAN SENGKETA KEZALIMAN

Tak kira apa juga bentuk pelanggaran hak sama ada rompak, curi, tipu, seleweng, rasuah, tindas, ceroboh, pecah amanah, ganas dan rasuah, ia tetap duduk di status yang sama iaitu kezaliman. Dan semua insan (ada hati perut) patut membencinya melalui fitrah perikemanusiaan. Semua tidak mengira agama, bangsa, taraf kulit, ideologi wajar berdiri difikrah yang sama.

Itulah akal anugerah Allah yang membezakan antara manusia dengan haiwan lain. Akal kurniaan Allah turut miliki pakej panduan terbaiknya iaitu syariat. Dan manusia perlu sedar dan guna keistimewaan mereka ni yang statusnya bersifat dulu kini dan selamanya.

Waspada mengawal akal fikiran. Kesilapan akal memikir membawa kepada kesilapan menilai, buat keputusan salah seterusnya segala tindakan jadi salah dan zalim. Ulama akan jadi penyemak, ustaz jadi penyesat, lawyer jadi loyar buruk, penyedekah kepada perasuah, pemimpin akan jadi petualang dan rakyat boleh jadi pemberontak.

Isu Lahad Datu sebenarnya menuntut supaya kita lebih sensitif kepada isu semasa. Lebih-lebih lagi bersangkut dengan maruah dan kedaulatan negara. Kita mesti memiliki suatu pendirian yang terbaik. Rakyat Malaysia perlu berpendirian sama dalam hal memerangi kezaliman. Jangan pulak semasa ramai pihak diselubung ketakutan di sana, kita disini seronok bersengketa. lebih buruk kita disini relek dan leka dengan macam-macam pesta.

Kami di Sidang Senduk konsisten mengutuk sebarang bentuk pelanggaran hak @ kezaliman yang mampu mencemarkan maruah dan kedaulatan Malaysia di Lahad Datu. Kami menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak keselamatan untuk memikirkan penyelesaian. Mereka lebih arif. Kami turut bersimpati jika ada anggota yang menjadi mangsa disebalik tragedi Lahad Datu. Bagi kita muslim biasa, doa adalah senjata. Berdoalah kepada Allah semoga diberi petunjuk dan kemenangan kepada kebenaran dalam memerangi kezaliman.