Hizbul Muslimin (Hamim) atau Parti Orang Muslimin Malaya (Muslim People's Party of Malaya), merupakan parti Islam pertama di Tanah Melayu telah ditubuhkan pada 17 Mac 1948. Hizbul Muslimin juga parti Islam pertama (tunggal hingga kini) di Tanah Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan dari penjajahan British.
Penubuhan Hizbul Muslimin
Pada Mac 1947, persidangan Islam se-Malaysia (Pan-Malayan Islamic conference) yang pertama telah diadakan di Madrasah Ma'ahad al-Ehya as-Sharif di Gunung Semanggol, Perak. Perhimpunan yang ditaja oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin al-Helmy dianjurkan untuk membincangkan masalah ekonomi yang dihadapi oleh golongan Melayu-Muslim. Ianya bertujuan membawa gerakan-gerakan dan pemikir-pemikir Islam yang lebih aktif secara politik dan progresif di dalam negeri untuk duduk bersama-sama. Inilah ijtihad politik. Hasilnya MATA, Majlis Agama Tertinggi Malaya (Supreme Religious Council) Malaya telah tertubuh.
MATA semakin pro-aktif dengan perhimpunan dan kegiatan politik bagi aktivis Melayu-Muslim untuk prospek masa depan dan keperluan masyarakat umum. Majlis itu juga menganjurkan satu persidangan pada 13–16 Mac 1948 yang membincangkan isu tempatan dan antarabangsa. Peserta-peserta persidangan merasakan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, UMNO tidak melakukan apa yang memadai untuk mengemukakan isu mustahak secara umum dan puak konservatif-nationalis juga tidak memainkan peranan yang cukup untuk kepentingan Melayu-Muslim. Perwakilan UMNO di dalam MATA tidak berpuas-hati dengan nada perbincangan pihak Islamis, yang dirasai terlalu berunsur revolusi dan militan. Perwakilan UMNO telah melaporkan pendapat dan pemerhatian kepada pimpinan mereka menyebabkan pemimpin UMNO Dato' Onn Jaafar mula mengeluarkan amaran mengenai "Hubaya-hubaya, ancaman bahaya dari gunung", yang merujuk kepada Gunung Semanggol, lokasi pergerakan MATA. Pada saat inilah bermulanya titik sejarah penentangan UMNO terhadap 'ancaman' perjuangan Islam di Malaysia. UMNO hari ini menyambung saki-baki prejudis suku-sakat mereka terhadap gerakan Islam.
Parti Orang Muslimin Malaya atau Hizbul Muslimin telah ditubuhkan pada 17 Mac 1948 dipimpini Ustaz Abu Bakar al-Baqir selepas persidangan kedua MATA yang mengisytiharkan supaya MATA diatur-semula sebagai satu parti politik Islam. Dengan penubuhan Hizbul Muslimin, kesemua aktiviti politik telah dipindahkan kepada pertubuhan politik baru itu. MATA pula berperanan sebagai biro hal-ehwal agama parti itu. Walaubagaimanapun, parti politik Islam yang pertama di Malaya ditakdirkan untuk tidak bertahan lama apabila ianya diharamkan oleh kerajaan British dengan dakwaan bahawa Hizbul Muslimin menjalin hubungan dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan. Ordinan Darurat 1948 yang diluluskan menyebabkan Hizbul Muslimin diharamkan dan dianggap bahaya.
Asas pergerakan Hizbul Muslimin perlu dihadam pejuang-pejuang Islam hari ini. Kalau menilai peranan hebat yang Rasulullah SAW dan gerakan Islam di Madinah dan manfaatnya kepada dunia muslim seluruhnya, Hizbul Muslimin bolehlah dianggap gerakan Islam yang bertanggungjawab mencetus kebangkitan Islam di Tanah Melayu khususnya. Hizbul Muslimin bukanlah ancaman malah merupakan cetusan kepada rantai perjuangan Islam yang diasas Rasulullah SAW.
Rujukan : wikipedia
No comments:
Post a Comment