VOCALIST

Tuesday, November 18, 2014

29 TAHUN TRAGEDI BERDARAH MEMALI: MENYELAK JENDELA PILU

Baling sebuah daerah yang sarat dengan peristiwa besar negara dan melakar sejarah. Di saat tanah leluhur ini diselimuti perlawanan dengan gerila Bintang Tiga, maka Baling dipilih untuk dijadikan medan perbincangan solusi antara PKM dan pihak Kerajaan pada tahun 1955. Pada tahun 1974 pula, ekoran daripada harga getah yang merudum, maka Baling menyaksikan kebangkitan rakyat tani yang digalang oleh gerakan mahasiswa Malaysia sehingga menyebabkan ribuan anak-anak kampus ditahan oleh pihak berkuasa dalam lanjutan bantahan di kuala Lumpur.
Akta Universiti Dan Kolej telah dipinda dan diketatkan pasca bantahan gerakan mahasiswa paling besar dalam sejarah negara ini. Kejerihan rakyat Baling telah memacu kebangkitan anak muda prihatin negara ini yang menjadi kuasa semak dan imbang yang berkesan.
Baling sekali lagi melakar sejarah, namun dengan lebih tragis dan merobek jantung hati dengan berlakunya peristiwa berdarah Memali pada 19 November 1985. 14 penyokong PAS dan empat orang polis terkorban akibat kerakusan dan kesilapan regim BN menanggani peristiwa ini yang mengundang kritikan berpanjangan sepanjang tiga dekad ini. Dekad 1980an adalah dasawarsa kebangkitan Islam yang menyaksikan kerajaan BN melancarkan kempen Penerapan Nilai Islam untuk menghadapi kebangkitan Islam yang sedang bersemarak hangat.
Tokoh utama yang menjadi watak tragedi ini ialah assyahid Ustaz Ibrahim Mahmud yang dikenali juga sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau adalah pendakwah dan ulama yang pernah mendapat pendidikan di Deoband India, Universiti al Azhar Mesir dan juga Maahad Dakwah di Tripoli Libya. Beliau yang juga pemidato yang handal sehingga pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik di Wilayah Persekutuan, aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di Lembah Klang . Ustaz Ibrahim berkerja dibawah Pusat Islam sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke daerah kelahirannya untuk sepenuh masa menyebarkan pencerahan dan ilmu agama untuk masyarakat desa yang dahagakan ilmu.
Ustaz Ibrahim mengasaskan pusat pengajian Islam di kampung Memali Baling, aktif menyampaikan kuliah agama di Utara Semenanjung dan popularitinya dengan pantas mencuat dikalangan masyarakat Utara Semenanjung. Beliau pernah bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 1978 di DUN Bayu, namun tewas tipis kepada calon BN. Selain itu pernah menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kedah, juga Pengerusi ABIM daerah Baling.
Pada tahun 1984 , berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan pemuda pas dibawah ISA , antaranya ustaz Abu bakar Chik, ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. UMNO kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah dimana sahaja beliau dijemput.
Dalam perhimpunan Agong UMNO pada tahun 1985, sekali lagi wakil UMNO Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan UMNO di Kedah. Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihanraya kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang sedang melanda .
Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa. Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat , manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juneid mengistiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.
Peristiwa Memali tetap utuh bersemayam ditangkai hati kita yang cintakan kebenaran. Walaupun terabai di mahkamah dunia namun mahkamah akhirat pasti kezaliman ini disingkap tirainya yang berlapis-lapis. Ustaz Ibrahim Mahmud adalah ikon perlawanan diantara hak dan batil, juga keteladanan dijalan dakwah yang penuh dengan hamparan mehnah dan ibtila'. Sosok pendakwah yang mengorbankan kesenangan hidup untuk menjadi lantera dalam kegelapan pekat kejahilan masyarakat desa Baling. " Daripada hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati bergalang tanah" frasa kata itu terpacul daripada mulut almarhum sebagai manifestasi menyintai kebenaran dan tidak akan bermanis muka dengan kebatilan. Semoga kita semua tidak melupakan Tragedi berdarah Memali 29 tahun lalu walaupun dalam gema ratib " Putrajaya" kita, mereka menyiram baja perjuangan!

OLEH: DR RIDUAN MOHAMAD NOR
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah Pusat)

TRAGEDI MEMALI : SUATU PENILAIAN (Part 1)

           Peristiwa Memali menggamit semula kenangan. Tun Musa Hitam berkata beliau tiada niat mahu mencetuskan polemik baru berkaitan Memali. Ia dihidupkan semula berikutan respons beliau kepada soalan yang diajukan oleh moderator dalam program diskusi yang diadakan. Beliau adalah antara dua ahli panel dalam majlis diskusi anjuran kerajaan negeri Kelantan bertemakan “Politik Malaysia: Dahulu dan Sekarang”. Profesor Dr Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia berperanan sebagai moderator.

Format diskusi menyamai program “Hard Talk” BBC London yang meletakkan syarat bahawa ahli panel tidak dibenar menggunakan skrip atau nota lebih awal tetapi bersedia menghadapi apa juga soalan yang diajukan oleh moderator.

Sepanjang dua jam, moderator diskusi bersikap combative, aggresive serta provocative. Di penghujung diskusi, beliau telah diajukan soalan berkaitan peristiwa Memali yang dapat dirumuskan berpusat kepada tiga perkara berikut:

1. Pengesahan bahawa beliau pada hari peristiwa Memali berlaku, Tun Dr Mahathir berada di negara China dan beliau adalah pemangku perdana menteri.
2. Beliau bertanggungjawab sepenuhnya kepada peristiwa tersebut.
3. Bagaimanakah perasaan beliau dengan peristiwa Memali.
Walau apapun yang telah dibincang dan dibangkitkan, peristiwa itu telah pun berlalu. Pada saya, tiada gunanya lagi kita membangkitkan perkara yang telah lepas. Namun itu tidak bermakna kita tidak dapat mengambil beberapa pengajaran dari peristiwa tersebut. Mengungkapkan kisah yang lepas memang tiada guna, namun menjadikan ia sebagai pedoman dan panduan di masa hadapan amat besar kesannya terhadap masa depan generasi kita. Memang benar, tidak ada gunanya kita menyimpan amarah dendam yang tak sudah. Allah s.w.t memerintahkan kita agar kita menjadi insan yang sentiasa tabah dan sabar menghadapi dugaan serta memaafkan orang yang telah melakukan kezaliman terhadap kita.

                               

'Post-mortem' yang sederhana ini cuba untuk mengungkapkan beberapa kesilapan kerajaan ketika mengambil tindakan terhadap penduduk di kampung Memali khususnya buat Asy-Syahid Ibrahim Libya dan pengikutnya. Ini penting agar kerajaan dan penyokong UMNO khususnya tidak mengulangi lagi peristiwa sebegini terhadap rakyat yang tidak bersalah.

Saya melihat, antara kelemahan dan kepincangan yang terjadi semasa berlakunya Tragedi Memali 1985 ialah :
  1. Kerajaan khususnya UMNO bertindak kerana kejahilan mereka.
  2. Anggota keselamatan digunakan untuk melumpuhkan musuh politik mereka. 
  3. Akta I.S.A yang zalim dan kejam.
  4. Majlis Fatwa mengeluarkan hukum yang berat sebelah.
  5. Media yang tidak adil.
  6. Ruang hak asasi manusia yang rendah.
  7. Sistem kehakiman yang tempang.
Semua perkara-perkara diatas, sekarang ini hampir kebanyakannya sedang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat dalam rangka usaha memulihkan semula sistem pentadbiran negara. Kita tidak mengatakan bahawa kerajaan sekarang tidak melakukan apa-apa pembaharuan lansung, namun pembaharuan yang ada sangat lemah dan tidak memberansangkan. Sebahagiannya telah pun tercapai (terhapusnya Akta ISA) namun yang lainnya masih ditakuk lama. Itupun di atas desakan dan tekanan hebat pakatan pembangkang sekian lama dengan sokongan NGO-NGO hak asasi manusia. Jika tidak, ISA masih digunakan hingga kini. 

Kerajaan UMNO bertindak atas kejahilan mereka terhadap perjuangan Islam dan gerakan Islam.

Salah satu kesilapan besar pasukan keselamatan kita pada waktu itu ialah mereka bertindak dalam keadaan kekurangan maklumat atau maklumat yang tidak tepat. Hal ini berpunca daripada Kerajaan yang memberi arahan, iaitu UMNO.

Walau apapun alasan yang diberi kerajaan, mereka tidak dapat menyembunyikan hakikat sebenar KEJAHILAN UMNO terhadap gelombang kebangkitan Islam serta gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia sepanjang zaman. Manakan tidak mereka memang tidak mesra dengan gerakan-gerakan ini hatta mereka amat sukar untuk mengiktiraf HAMAS (Harakah Muqawwamah Islamiyah) sebagai kerajaan yang sah di Palestin selepas mereka memenangi pilihanraya dengan mengalahkan Parti Fatah. Dan dengan sebab itu juga jangan terkejut apabila pemimpin kanan Hamas, Khalid Meshaal ketika menjadi tetamu dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas mengatakan yang mereka masih baru dalam membina hubungan dengan Parti UMNO dibandingkan dengan PAS yang telah lama mereka kenali. Mereka akui mereka lebih rapat dengan PAS dalam arena politik Malaysia sejak sekian lama.

                             

Selain itu UMNO juga tidak terkesan dengan perkembangan gelombang kebangkitan Revolusi Islam di Iran pimpinan Ayatollah Ruhollah Khomeini di era 80an. Berlainan dengan PAS, mereka memerhatikan perkembangan ini dengan penuh minat. Malah tidak keberatan untuk menghantar rombongan bagi meninjau perkembangan revolusi disana serta cuba membawa balik model pemerintahan Ulama' untuk diterapkan di Malaysia.

Hubungan PAS dengan Ikhwanul Muslimin pula bukan sesuatu yang baru. Ia bermula se-awal 50-an lagi apabila Dr Zulkifli Mohamad (bekas Yang Dipertua PAS) mendapat tarbiyah lansung dari Imam Hassan Al-Banna dan Asy-Syahid As-Sayyid Qutb (kami respek) ketika belajar di Mesir. Kekaguman beliau terhadap perjuangan Islam yang dibawa Ikhwanul Muslimin telah menyeret beliau untuk menyertai PAS pada awal 50-an. Kemudian ia diteruskan oleh pemimpin-pemimpin sesudahnya yang mendapat tarbiyah lansung dari Ikhwanul Muslimin dan bahan-bahan penulisan tokoh-tokoh Ikhwan mewarnai sistem tarbiyah dan rujukan utama dalam PAS. Itu belum dikira penyertaan PAS dalam solidariti gerakan Islam sedunia yang menghubungkan PAS dengan Jami'at Islami Pakistan, Parti Masyumi dari Indonesia, Parti Al-Ummah di Sudan, Parti Keadilan Sejahtera (PKS- Indonesia), Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP-Turki) dan banyak lagi.

Segala hubungan yang terjalin dan perkembangan yang berlaku, ianya bertitik tolak dari kesedaran untuk mengembalikan maruah dan harga diri umat Islam setelah sistem Khilafah Turki tumbang pada 1914. Hasrat umat Islam pada ketika itu sangat tinggi untuk mengembalikan Islam dalam tampuk pemerintahan negara. (kecuali UMNO). Umat mahu melihat Al-Quran dan Sunnah dijadikan perlembagaan dan rujukan tertinggi. Maka sebahagian dari tokoh-tokoh penggerak Islam ini menubuhkan parti-parti politik di negara masing-masing demi mencapai cita-cita tersebut. PAS sedari awal penubuhannya hingga kini memerhatikan dengan penuh minat perkembangan kebangkitan Islam dan evolusi yang berlaku sepanjang zaman. Meskipun hasrat umat Islam pada waktu itu dianggap terlalu idealistik jika dibandingkan dengan suasana perubahan dan pembentukan negara moden yang dialami oleh dunia ketika itu, namun hasrat itu patut dipandang tinggi dan dihormati.


Berlainan dengan UMNO, mereka sangat asing dan ganjil dengan gerakan-gerakan Islam tadi. Mereka juga tidak begitu berminat dengan gelombang kebangkitan Islam sepanjang zaman sejak kejatuhan zaman kegemilangan Khalifah Islam Turki. Ini tidaklah menghairankan kerana rata-rata pemimpin-pemimpin UMNO mendapat didikan dan asuhan dari barat. Patutlah Inggeris lebih rela menyerahkan kuasa kepada UMNO dibandingkan dengan gerakan-gerakan Islam seperti Hizbul Muslimin. Ini kerana ciri-ciri yang ada pada mereka sangat menyenangkan hati Inggeris.

Sistem dan corak yang ditinggalkan Inggeris diteruskan oleh anak didik mereka iaitu UMNO. Meskipun mendakwa mereka benci penjajah, namun bentuk pemikiran dan corak perjuangan mereka memang diwarisi dari Inggeris iaitu mereka menegakkan kebangsaan semata-mata. Oleh sebab itu tidak hairanlah apabila mereka boleh menerima pemimpin-pemimpin yang tidak beriltizam & patuh dengan syariat Islam kerana pada mereka asalkan melayu yang berkuasa dan hak-hak melayu dijamin dan dipelihara! faktor-faktor agama tidak dititik beratkan sebaliknya yang diutamakan ialah kemampuan dari segi kewangan dan keupayaan memimpin dan memerintah semata-mata!

Ini berlainan dengan PAS yang tidak menolak aspek keupayaan memimpin, membawa pembangunan dan kemakmuran ekonomi selain hak-hak peribumi terpelihara namun aspek penghayatan agama hendaklah terlebih dahulu diutamakan. Ini kerana mesej yang dibawa Islam bukan untuk menyelamatkan kehidupan dunia semata-mata sebaliknya untuk menyelamatkan kehidupan manusia di dunia dan akhirat.

Akibat dari sikap yang terasing dari sebarang perkembangan kebangkitan Islam dan gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia, ditambah dengan pemahaman agama yang disempitkan sekadar urusan peribadi semata-mata, menyebabkan mereka telah melakukan kesimpulan dan prasangka yang salah terhadap gelombang kebangkitan Islam dan aktivis-aktivis gerakan Islam. Lebih memburukkan keadaan apabila parti seperti UMNO ini mendapat kuasa memerintah, mereka telah memberi gambaran yang salah terhadap anggota keselamatan dan agensi-agensi keselamatan dibawah kerajaan. Mereka termakan dengan gambaran yang diberi oleh dunia barat bahawa gerakan-gerakan Islam adalah ekstremis dan pelampau agama. Kebetulan pemahaman UMNO yang sempit terhadap agama seakan membenarkan lagi kenyataan itu. UMNO merasakan bahawa laungan jihad tidak perlu sebab orang melayu memang telah lama beragama Islam disamping kerajaan telah menyediakan pelbagai keperluan umat Islam seperti masjid dan surau!

'Taghuut': Suatu istilah yang popular sekitar era-80 an dahulu (Ihsan gambar : Saki-baki koleksi yang masih ada dirumah penulis)

Dengan sebab itu UMNO dalam sejarahnya juga fobia dengan slogan-slogan yang mereka sifatkan sebagai radikal seperti 'Allah matlamat kami, jihad jalan kami" atau "mati syahid cita-cita kami" disamping istilah-istilah sensitif seperti Taghut dan jahiliyyah moden. Bagi PAS atau kita selaku umat Islam, tiada apa yang tidak kena dengan slogan-slogan tersebut. Ia kebetulan sepadan dengan suasana di dalam UMNO itu sendiri pada ketika itu yang tidak seperti UMNO yang kita lihat pada hari ini. Kenyataan-kenyataan yang menghina Islam, meperlekehkan Islam serta fahaman yang memisahkan antara agama dan pemerintahan yang sangat menebal ketika itu mendorong PAS terpaksa memberi penegasan yang keras berhubung penjelasan terhadap batas-batas iman dan batas-batas kufur. Dan selain itu juga prasangka mereka berpunca dari pemahaman sempit mereka terhadap definisi Jihad dengan menganggap bahawa semua slogan-slogan yang mendorong kearah semangat jihad boleh mencetuskan suasana huru-hara dan mengganggu ketenteraman dalam masyarakat.

Faktor inilah akhirnya mendorong kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir pada waktu itu mengambil tindakan menahan ramai aktivis-aktivis gerakan Islam terutamanya PAS dibawah Akta ISA. Ada diantaranya yang di tahan berbulan-bulan malah ada yang sehingga bertahun-tahun. Sedangkan mereka tidak menimbulkan apa-apa hasutan sebaliknya hanya menyeru manusia agar kembali pada Islam yang syumul dan lengkap, serta meninggalkan berhala Taghut dan segala bentuk jahilyyah moden!! Kegagalan UMNO membezakan antara perjuangan Islam yang tulen dan ajaran sesat yang berleluasa di tanah air ketika itu mendorong mereka mengambil pendekatan yang salah keatas pejuang-pejuang Islam seperti Asy-Syahid Ibrahim Libya.

Keenganan Asy-Syahid Ibrahim Mahmud untuk ditahan dibawah ISA menunjukkan sikap tegas beliau terhadap undang-undang yang disifatkan zalim dan tidak adil. Beliau menentang segala bentuk penindasan yang dikenakan keatas tokoh-tokoh pendakwah Islam dan aktivis-aktivis gerakan Islam yang menyeru agar masyarakat kembali kepada penghayatan Islam yang sebenar. Beliau lebih rela mati mempertahankan maruah dan harga diri dari dirinya dihumban kedalam tahanan yang tiada hak baginya untuk mendapatkan perbicaraan dan peluang membela diri. Akhirnya setelah pelbagai percubaan dan rundingan diadakan bagi menahan beliau, kerajaan telah mengambil tindakan yang kejam dengan membunuh beliau dan pengikut-pengikutnya. Kesimpulannya, tindakan kerajaan UMNO bertitik tolak dari KEJAHILAN mereka mengenai perjuangan gerakan-gerakan Islam, fenomena kebangkitan Islam seluruh dunia serta kejahilan tentang perjuangan Islam itu sendiri.

Kesimpulannya, UMNO perlu membuka jendela yang lebih luas di era moden ini. Mereka perlu belajar mengenali gerakan-gerakan Islam (tanzim haraki), belajar mengenali manhaj dan perjuangan mereka. Berdialog dan berdiskusi dengan mereka, serta memahami dan berkongsi hasrat dengan mereka. Ikhwanul Muslimin umpamanya, meskipun menerima tekanan dan penindasan yang dahsyat dan kejam serta ramai diantara tokoh-tokohnya dibunuh namun mereka tidak pernah mengangkat senjata atau menyeru rakyat agar menggulingkan pemerintah sekular Mesir. Perkara ini sepatutnya menyedarkan UMNO bahawa gerakan Islam bukan pergerakan yang ekstremis atau pelampau yang boleh mencetuskan huru-hara dan keganasan dalam sesebuah negara.

Meskipun hampir kebanyakan gerakan islam moden menyedari mereka kini berada di era nation state, namun ini tidak bererti perjuangan menegakkan khilafah terkubur begitu sahaja. Kebanyakan gerakan Islam moderate seperti AKP di Turki pimpinan Erdogan terpaksa memanfaatkan ruang yang terbatas dan bergerak dalam kerangka sekular yang sedia ada. Ini tidak bermaksud mereka tidak berhasrat menegakkan sebuah negara Islam yang sempurna pelaksanannya. Hal ini juga telah mula dicontohi oleh PAS di Malaysia dimana mereka memanfaatkan ruang demokrasi dan bergerak dalam struktur negara yang berbilang kaum untuk tampil dengan pendekatan yang sederhana dalam usaha untuk menyesuaikan perjuangan mereka dengan waqi' (persekitaran) politik tempatan. Hanya yang jahil tentang politik Islam menuduh PAS telah tergelincir dari landasan perjuangannya.

PAS DAN AGENDA ASAL BUKAN ULAMA (ABU).

Firman Allah, bermaksud, “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (para ulamak).”

Surah Faathir: ayat28

Sabda Nabi SAW bermaksud, “Ulamak ialah pewaris para Nabi”.
Riwayat Imam at-Tirmizi

MUKADDIMAH

Mutakhir ini, ulamak di dalam Pas diserang dgn pelbagai persepsi buruk drpd segenap sudut. Mereka ditohmah sebagai tidak pandai berpolitik, tidak tahu berorganisasi, eksklusif dalam mengeluarkan hukum, gila kuasa dan banyak lagi. Terbaru, mereka dianggap penghalang kepada kelicinan proses tahaluf siyasi Pas di dalam PR.

Bahkan ada pihak yg sanggup pergi lebih jauh sehingga sampai sanggup menggelarkan ulamak Pas sebagai berhala suci yang wajib dihapuskan. Ada juga yang sampai menyamakan ulamak Pas dengan instituisi paderi dlm kristian. Yang lebih menarik, serangan liar ini bukan datang daripada orang luar Pas, tetapi daripada lingkungan penyokong dalaman mereka sendiri.

Pendek kata, demi membuka jalan ke Putrajaya, ulamak di dalam kepimpinan Pas tidak lagi dilihat oleh sebahagian daripada penyokong Pas sebagai pemangkin kepada kemenangan, tetapi sebagai beban yang perlu digalas secara terpaksa.

Suatu perubahan drastik dalam pemikiran politik penyokong Pas yang tidak dijangka oleh mana-mana penganalisis di dalam dan di luar Pas sebelum daripada ini.

BEBERAPA JENIS LABEL YG BIASA DIBERIKAN KPD ULAMAK PAS

Biasanya Umno yg akan hentam ulamak. Ulamak Pas biasanya dituduh sebagai tidak ikhlas. Mereka bukan berjuang kerana Allah tetapi kerana mengejar kuasa atau kerusi. Ulamak Pas menghasut pengikut menjadi taasub. Ulamak Pas jumud, tak faham Islam dan banyak lagi.

Biasanya aktivis hak asasi manusia yg akan tuduh Pas nak buat negara teokrasi dan ketuanan sekumpulan ulamak. Negara Ayatollah atau Taliban, kata mereka. Pas nak paksa orang bukan Islam tutup aurat, tak minum arak dan halang mereka makan babi. Pas akan paksa hukum Islam ke atas orang bukan Islam. Hak asasi orang bukan Islam akan terjejas teruk, jika syariah dilaksanakan.

Biasanya golongan liberal yg akan hentam ulamak sebagai golongan elit yg mencipta hukum sendiri atas nama Allah. Ulamak menjadikan al-Quran sebagai hak ekslusif untuk ditafsirkan oleh ulamak sahaja. Golongan bukan ulamak tak boleh tafsir al-Quran. Sedangkan Islam sesuai dengan logik dan dunia moden. Oleh itu, semua pihak berhak mentafsirkan al-Quran dan hadith mengikut akal genius mereka. Tak perlu menurut disiplin ilmu tafsir, hadith, fiqh dan usul fiqh yang ditetapkan oleh para ulamak.

Begitulah besarnya serangan berbentuk persepsi negatif kepada golongan ulamak. Serangan yg bukan saja hendak menjatuhkan kredibiliti golongan ulamak, tetapi sebenarnya bertujuan untuk menghancurkan sebarang gerakan yg bercita-cita untuk mendaulatkan Islam sebagai satu cara hidup dalam dunia yang sebenar.

Namun begitu, serangan terbaru kepada ulamak Pas oleh sebahagian penyokong Pas sendiri mutakhir ini, tidak lari daripada label-label lama ini yang kebanyakannya adalah label-label yang dijaja oleh orang sangat kurang kefahamannya kepada ajaran agama Islam itu sendiri. Ia berikutan daripada arus kuat sokongan kepada Pas demi menumbangkan kezaliman UMNO-BN semata-mata, bukan sokongan berdasarkan kefahaman yang betul.

Untuk itu, kita akan berikan jawapan-jawapan secara perlahan-lahan untuk memudahkan kefahaman, bukan semata-mata jawapan balas untuk menghentam rakan-rakan baru kita yang baru menjadi ahli keluarga Pas yang besar lanjutan terkesan dengan gelombang reformasi, Asal Bukan UMNO dan sistem 2 Parti beradasarkan tahaluf siyasi.

Semoga kita semua beristiqamah di atas perjuangan Islam yang sebenar.

BEBERAPA TAKRIF ULAMAK

Untuk membincangkan fenomena baru ini, berikut beberapa takrif yang perlu kita fahami untuk memudahkan perbincangan.

Ulamak ialah lafaz jamak dalam bahasa Arab. Lafaz mufradnya ialah ‘Aliim. Tetapi dalam bahasa melayu istilah ulamak merujuk kepada lafaz mufrad kecuali digandakan seperti ulamak-ulamak atau disebutkan para ulamak.

1. Ulamak - ialah orang memahami dasar-dasar serta cabang-cabang agama Islam berdasarkan kefahaman mendalam terhadap al-Quran dan as-Sunnah, yang dimulai dengan melalui proses pengajian dan pembelajaran, kemudian beramal dengan ilmu dan menyebarkannya serta mempunyai sifat-sifat takut kepada Allah, zuhud di dunia dan gemarkan akhirat.

Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari ialah disebutkan sebagai al-Fiqhu fid-Diin.

2. Ulamak dalam ilmu fiqh - ialah al-faqih.
3. Ulamak dalam ilmu usul Fiqh - ialah al-mujtahid.

Al-faqih dan al-mujtahid adalah istilah yang lebih khusus dalam menghuraikan sifat ulamak yang mampu mengistibatkan hukum syara’ berdasarkan dalil-dalil syarak yang terperinci dan dalil-dalil syarak umum.

4. Ulamak Akhirat atau Ulamak ‘Amiliin – ialah ulamak yang menepati takrif ulamak pada takrif yang pertama.

5. Ulamak as-Su’ atau Ulamak Dunia – ialah ulamak yang mampu memahami al-Quran dan as-Sunnah dan beberapa ilmu-ilmu berkaitan istinbat hukum, tetapi sanggup menggunakan ilmu mereka untuk semata-mata mencari habuan dan kedudukan dunia serta tidak takutkan azab Allah di negeri akhirat.

6. Ulamak Rasmi - ialah ulamak yang dilantik oleh Kerajaan untuk berada dalam jawatan-jawatan tertentu dalam kerajaan seperti mufti, qadhi, pegawai pejabat agama Islam dan lain-lain.

7. Ulamak Haraki – ialah ulamak ‘amiliin yang berjuang dan bekerja di dalam organisasi-organisasi gerakan Islam dengan tujuan untuk memperjuangkan Islam sebagai satu cara hidup yang syumul dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan seluruh bidang kehidupan, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah bagi menjamin keadilan untuk semua dan kerahmatan untuk seluruh alam.

Untuk itu, ulamak haraki juga akan menghadapi semua musuh kepada gerakan Islam di seluruh dunia, sama ada halangan berbentuk kerajaan yang zalim, sistem sekular, pelbagai ideologi pemikiran manusia, Islam yang diselewengkan seperti Islam liberal, masyarakat yang keliru dan halangan-halangan lain-lain.

8. Ulamak dalam Dewan Ulamak Pas – Pas adalah sebuah organisasi gerakan Islam. Ulamak di dalam Dewan Ulamak Pas ditakrifkan oleh perlembagaan Pas Fasal 43, ceraian 3, “Ahli bagi Dewan Ulamak ialah tuan-tuan guru atau siswazah-siswazah lulusan apa-apa bidang pengajian Islam daripada mana-mana instituisi pengajian tinggi atau mana-mana orang yang menuasai pengajian Islam yang telah menjadi ahli Pas”.

9. Majlis Syura Ulama PAS – Badan ini adalah badan tertinggi di dalam Pas yang terdiri daripada tidak lebih daripada 17 orang dengan diketuai oleh seorang al-Mursyidul ‘Am. Ia bagi memastikan Fasal 7 Perlembagaan Pas mengenai hukum tertinggi sekali dalam pegangan Pas ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta ijmak ulamak dan qias yang terang dan nyata, dapat dimartabatkan dengan baik dan berkesan.

Dalam fasal 8 Perlembagaan Pas, ceraian 3, mentakrifkan ahli Majlis Syura Ulamak sebagai, “...hendaklah seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (al-Usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalah-masala itu kepada al-Quran dan, as-sunnah, ijma’ dan qias dan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah orang yang adil iait tidak melakukan dosa besar atau terus menerusmelakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah seorang ahli Pas.”

Dengan itu takrifan ulamak dalam Majlis Syura Ulamak adalah lebih khusus dengan syarat-syarat yang lebih ketat daripada takrif ulamak dalam Dewan Ulamak Pas. Ini kerana Majlis Syura Ulamak Pas memerlukan kepakaran istinbat hukum syarak yang sangat diperlukan dalam menilai dasar-dasar dan perjalanan parti agar tidak tergelincir daripada garisan syarak. Sementara ahli-ahli Dewan ulamak pula lebih kepada bertugas sebagai tenaga kerja ke peringkat akar umbi bagi memahamkan ahli parti dan orang ramai tentang Islam dan perjuangan Pas serta memberi khidmat bakti dalam pelbagai cabang kehidupan bermasyarakat.

MENOLAK BEBERAPA LABEL YANG BERTENTANGAN DENGAN AKIDAH SEORANG MUSLIM

Antara tohmahan berbentuk begini ialah seperti tohmahan ulamak hendak berperanan sebagai tuhan, ulamak adalah ibarat berhala suci yg tidak boleh dicanggah, ulamak adalah wakil tuhan yg menjatuhkan hukum sesuka hati di atas nama tuhan seperti paderi-paderi yg bebas menghalal dan mengharamkan sesuatu atas nama tuhan tanpa petunjuk dan bukti daripada Allah.

Konsep tohmahan seperti itu adalah sangat liar, syirik dan terkeluar daripada konsep asas akidah Islam.

Pokok akidah seorang muslim itu dizahirkan dalam pengakuan dua kalimah syahadah. Iaitu bersaksi bahawa Allah SWT adalah tuhan sebenar yg wajib disembah dan nabi Muhammad SAW, adalah manusia yang dilantik sebagai utusan Allah.

Atas asas ini, seorang Islam segera faham bahawa baginda SAW adalah hamba Allah, bukan tuhan. Baginda adalah hamba Allah yg dimuliakan dengan perlantikan sebagai nabi dan rasul. Baginda dimuliakan juga dengan sifat maksum iaitu terpelihara daripada dosa dan kesilapan dalam menyampaikan syariat.

Ulamak pula adalah pewaris para nabi. Mereka tidak menerima wahyu secara langsung daripada Jibril as. Mereka juga tidak maksum seperti para nabi dan rasul. Tetapi mereka mendapat kelebihan ilmu syara', pusaka yg ditinggalkan oleh Rasulullah SAW melalui jalan belajar. Sehingga mereka dapat memahami al-Quran dan as-sunnah sebagaimana yg diajarkan oleh baginda SAW kpd para sahabatnya.

Di mana, dengan berpegang kpd al-Quran dan as-Sunnah yg difahami dengan sebenar sebagaimana yg diajarkan oleh Rasulullah SAW kpd para sahabat, telah mendapat jaminan drpd Rasulullah SAW sendiri bahawa ummat begitu keadaannya tidak akan sesat selama-lamanya.

“Sesungguhnya aku tinggalkan kamu dua perkara; kamu tidak akan sesat selepas kedua-duanya; Kitabullah dan Sunnah pengajaranku”

Riwayat al-Hakim

JADI APAKAH TUGAS ULAMAK DALAM MENENTUKAN SESUATU HUKUM?

Oleh itu para ulamak bukanlah galang ganti kepada al-Quran dan as-Sunnah tetapi sebagai pengikut setia yang luas kajiannya dan mendalam kefahamannya tentang al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu, jika ada sesuatu masalah berkaitan hukum, dirujuk dahulu dalam al-Quran. Jika ada hukum di dalamnya, maka ulamak Islam akan berhukum dengan al-Quran. Jika tiada dalam al-Quran, mereka merujuk dalam kitab-kitab hadith. Jika ada dalam kitab-kitab hadith, mereka berhukum dengannya.

Jika tiada hukum dalam al-Quran dan hadith secara langsung, mereka mencari perkaitan yang wujud antara perkara baru yang belum ada hukum dengan perkara-perkara yang telah ada hukumnya di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Jika tepat perkaitannya, mereka akan berhukum dengannya.

Jika ada pertembungan dalil bagi suatu hukum tertentu, ulamak-ulamak akan membahaskan dalil-dalil itu daripada segi am dan khas, mutlak dan muqayyad, nasikh dan mansukh serta maqasid syariah. Maka hukum bagi satu masalah tertentu itu dapat diselidiki dan diperincikan dengan lebih mendalam lagi, sehinggalah mereka menemui hukum yang paling tepat mengikut ijtihad mereka. Tetapi jika telah ada ijma’ tentang hukum yang pada asalnya ada beberapa pandangan berbeza, para ulamak akan menuruti ijmak dan tidak akan melanggarnya.

Jika tiada nas, mereka menilai daripada sudut dalil-dalil usul fiqh yang lain iaitu dalil-dalil umum yang juga diterbitkan jdaripada kefahaman mendalam terhadap al-Quran dan as-Sunnah. Ilmu ini dipanggil ilmu Usul al-Fiqh.

Tidak sekali-kali ulamak Islam mencipta hukum mengikut hawa nafsunya tanpa bersandar kepada al-Quran, as-Sunnah dan dalil-dalil syara’ yang lain.

Mungkin kerana kita biasa dimudahkan oleh para ulamak dengan memberitahu hukum sesuatu perkara adalah begitu dan begini, tanpa kita disibukkan dengan mendengar perbahasan dalil-dalilnya, kita merasa proses menentukan hukum syara’ boleh dibuat dengan semudah menggoreng pisang goreng di dalam kuali.

Jadi kita amat kurang menghargainya.

TUDUHAN ULAMAK PAS MENGEJAR KEKUASAAN DAN PENGARUH BUKAN MENGEJAR AKHIRAT

Tuduhan seperti ini memang sudah lama cuba dipahatkan dalam kontena pemikiran masyarakat. Tujuannya untuk menjauhkan masyarakat daripada petunjuk Islam dalam politik.

Bila tiada ulamak, tiadalah kedengaran petunjuk daripada al-Quran dan as-Sunnah. Tujuan menjauhkan ulamak drpd politik, sebenarnya bertujuan untuk menjauhkan pengaruh Islam dalam politik. Biar manusia bebas merangka dasar dan undang-undang berdasarkan akal mereka yg singkat. Tak perlu merujuk kepada wahyu. Tak perlu peduli dosa pahala.

Imam al-Ghazali membahagikan ulamak kpd ulamak akhirat dan ulamak jahat. Ulamak akhirat tidak takut kpd celaan orang yg mencela dan berani berkata benar walaupun pahit. Mereka terjun dalam masyarakat, menerangkan kebaikan syariat Islam dan mengajak masyarakat menghayati kehidupan berpolitik mengikut Islam yg sebenar. Itulah yang dibuat oleh ulamak Pas.

Tentulah kerja itu tidak mudah. Ada pimpinan masyarakat yg tidak mahu kepimpinan Islam kembali berdaulat. Ada ulamak jahat yg dibeli dengan kebendaan yg sanggup menjadi soldadu murahan untuk berhadapan dengan ulamak akhirat. Ada ulamak rasmi yg berhalangan memberikan sokongan terbuka kpd ulamak yg berjuang untuk menegakkan syariat dalam sistem politik negara.

Ada juga kecaman daripada kumpulan non muslim. Ada tidak puas hati daripada pejuang hak asasi manusia. Ada serangan sinis daripada ummat Islam yg terpedaya dengan serangan pemikiran hebat yg melanda ummat Islam. Ada sergahan daripada mereka yg berkuasa. Ada juga penjara, akta hasutan, mageran, pecat, tukar, black list, tidak naik pangkat dan macam-macam rintangan.

Namun para ulamak haraki memahami firman Allah dalam surah at-Taubah, ayat 42 yang bermaksud,

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka.”

Dan mereka memahami firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 155 yang bermaksud,

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

ULAMAK PAS BERADA DALAM ORGANISASI YANG TERSUSUN UNTUK MENDAULATKAN ISLAM BUKAN KERANA GILA KUASA

Bagaimanakah kebenaran mampu mengatasi kebatilan yg tersusun rapi? Tentulah dengan organisasi yg tersusun rapi juga.

Para ulamak merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah mendapati bahawa perjuangan Islam tidak mampu dipikul oleh individu tetapi mestilah secara berjamaah. Di Malaysia mesti ada ada satu jamaah yang memperjuangkan Islam di persada politik negara bertujuan untuk membentuk masyarakat Islam yang beramal dengan hukum hakam dan nilai-nilai Islam yang syumul. Maka Pas ditubuhkan.

Pas menggabungkan semua pihak yang cintakan Islam daripada kalangan ulamak, profesional, ahli perniagaan, guru, orang kampung, orang bandar, warga tua, muda, lelaki dan wanita, berpendidikan rasmi atau tak rasmi untuk sama-sama berganding bahu dalam sebuah jamaah yang besar. Ditunjangi oleh ulamak yg memahami Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW serta para pendokong dan penyokong yg sanggup berkorban masa, tenaga dan nyawa demi menegakkan syariat Islam di negara kita yang tercinta.

Para ulamak Pas sejak itu telah mengkaji dan meluluskan pelbagai strategi ke arah matlamat murni itu. Ini bagi memastikan strategi yg diambil ada sandarannya daripada al-Quran dan as-Sunnah, mengikut batas hukum syara', membuat penilaian tentang keadaan semasa serta mengambil kira maqasid syariah.

Ulamak di dalam Pas hadir di dalam setiap hireki kepimpinan Pas. Daripada AJK Pusat sehinggalah AJK Cawangan. Mereka bukan sahaja bergelumang dengan kertas kerja, mesyuarat panjang dan pendek, berwacana, menggarap idea dan strategi. Bahkan turut juga bergelumang bersama akar umbi di kampung-kampung dan cawangan-cawangan membantu menyelesaikan masalah setempat serta memberikan khidmat bakti yang panjang jika disebut satu persatu.

Bersesuaian sebagai sebuah gerakan Islam, Pas mengkhususkan dua badan khas dalam parti bagi mewakili para ulamak dalam memberikan pandangan serta memantau perjalanan parti supaya terus beristiqamah di atas landasan perjuangan Islam. Iaitu Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak.

Kesimpulannya, ulamak Pas bukanlah gila kuasa tetapi bagi memastikan proses perjuangan Islam dan peralihan kuasa dalam kerajaan pada hari kemenangan Pas adalah bertepatan dengan kehendak Allah dan RasulNya SAW.

TUDUHAN MAJLIS SYURA ULAMAK PAS ADALAH MENGIKUT KONSEP SYIAH

Konsep Majlis Syura Ulamak Pas berbeza dengan konsep pemerintahan al-Faqih (Wilayatul Faqih) dalam sistem politik Iran. Yang paling ketara perbezaan mazhab akidah antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah dengan akidah Syiah itu sendiri.

1. Istilah ulamak dalam Majlis Syura Ulamak merujuk kepada ulamak Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada sumber al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias.

Sementara istilah ulamak atau Al-Faqih dalam mazhab Syiah ialah ulamak-ulamak Syiah bertaraf mujtahid atau maraji’ yang merupakan galang ganti sementara kepada Imam Mahdi al-Muntazhar yang ghaib, dalam menentukan hukum-hakam mengikut mazhab Syiah berdasarkan al-Quran, as-Sunnah mengikut riwayat syiah dan juga nas-nas daripada Imam-Imam Syiah yang maksum.

Konsep galang ganti kepada Imam Mahdi Muntazhar yang maksum dan konsep berpegang kepada nas-nas daripada Imam-Imam yang maksum adalah konsep-konsep mazhab Syiah yang tidak wujud di dalam pegangan ahlus Sunnah.

2. Ijtihad awal Ahlus Sunnah wal-Jamaah berlaku sejak zaman Rasululllah SAW di mana ia telah dipraktikkan oleh para sahabat ketika berada jauh daripada baginda SAW. Kemudian ia diteruskan selepas kewafatan Rasulullah SAW oleh mereka yang mencukupi syarat-syaratnya pada setiap zaman.

Sedangkan ijtihad Syiah Imamiyyah hanya berlaku selepas keghaiban besar Imam Mahdi al-Muntazhar yang terlalu lama, sehingga Syiah terpaksa juga membuka pintu ijtihad. Walhal sebelum itu, semua hukum hakam Syiah adalah berdasarkan nas daripada Imam-Imam Maksum dan Naib-Naib Imam maksum yang juga maksum mengikut akidah mereka.

Ijtihad .

3. Majlis Syura Ulamak dipengerusikan oleh al-Mursyidul Am dengan sebanyak-banyaknya 16 anggota yang lain adalah berdasarkan kepada konsep Ijtihad Jama’ie seperti ijtihad jama’ie yang dipraktikkan oleh Majma’ Fiqh dalam memutuskan sesuatu hukum. Ia lebih menjamin hasil ijtihad yang lebih kuat dan meyakinkan berbanding dengan ijtihad fardi seseorang mujtahid tertentu sahaja di dalam Pas.

Sementara Wilayatul Faqih di Iran memberikan kuasa besar kepada Pemimpin Tertinggi Revolusi Iran yang bertaraf marja’ dalam urusan berkaitan pentadbiran dan pengurusan sumber serta pertahanan negara. Di mana ulamak-ulamak Syiah yang lain bertaraf marja’ mestilah taat kepada Pemimpin Tertinggi Revolusi dalam hal-hal yang sebegitu. Dalam hal-hal hukum fiqh yang lain, ulamak-ulamak Syiah boleh berbeza pendapat dengan Pemimpin Tertinggi Revolusi.

Perbezaan begitu jelas tentang kuasa al-Mursyidul Am dengan Pemimpin Tertinggi Revolusi.

4. Perbezaan juga begitu ketara daripada aspek, organisasi yang dipimpin. Majlis Syura Ulamak Pas hanya untuk Parti Pas dan bukan untuk Kerajaan Malaysia. Sedangkan Wilayatul Faqih melibatkan sistem negara Iran merangkumi Pemimpin Tertinggi Revolusi, Presiden, Majlis Pakar Perundangan dan Majlis Syura Iran atau Parlimen Iran.

Begitu jelas keterlaluan orang yang menuduh Majlis Syura Ulamak Pas mengambil Konsep Wilayatul Faqih. Tidak dapat hendak disamakan di mana-mana sudut. Dalam Usul Fiqh disebut sebagai al-Qiyas ma’al Fariq.

TUDUHAN ULAMAK TIDAK TAHU BERPOLITIK DAN ANTI PR

Ini adalah tuduhan liar untuk menjatuhkan kredibiliti Presiden Pas, Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak Pas.

Saya tidak akan membahaskan tajuk ini secara spesifik dalam artikel ini. Cukuplah disebutkan beberapa persoalan untuk kita fikirkan bersama.

1. Jika Presiden PAS, YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang tidak tahu sepak terajang politik dalam negara ini, kenapakah organisasi Pas dibawah kepimpinan beliau semakin mendapat tempat di dalam persada politik negara? Pas memerintah Kelantan sejak 1990, pernah menang di Terengganu dan Kedah pada tahun 1999. Pas pernah berkongsi kuasa memerintah di Perak dan masih berkongsi kuasa di Selangor. Walaupun pilihanraya di Malaysia dipenuhi dengan pelbagai insiden dan demokrasi yang berat sebelah.

2. Jika ulamak Pas tidak tahu berpolitik, bagaimanakah kepimpinan Dato’ Bentara Setia Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat mengekalkan pemerintahan PAS di Kelantan yang serba kekurangan sumber kewangan, selain daripada dinafikan pelbagai hak oleh Kerajaan Pusat, dapat bertahan dengan jayanya tanpa terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa. Peralihan kuasa MB Kelantan kepada YAB Datuk Ahmad Yaakub juga berjalan secara licin dan tertib.

3. Jika Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak Pas anti tahaluf siyasi dengan PR, kenapakah mereka meluluskan cadangan Pas Pusat untuk mengadakan tahaluf siyasi setelah mereka bersidang beberapa kali termasuk dengan ulamak-ulamak gerakan Islam Antarabangsa. Seterusnya memutuskan tahaluf siyasi dengan PR adalah harus dengan syarat-syarat yang tertentu. Di mana hasilnya, pakatan pembangkang menapat undi popular melebihi 50 peratus dalam PRU ke 13 baru-baru ini.

4. Jika ulamak Pas tidak tahu berpolitik, masakan negeri-negeri yang diperintah oleh Pas sering mendapat pelbagai anugerah pentadbiran dan pengurusan kewangan oleh pelbagai pihak termasuk pihak Kerajaan Pusat dan Jabatan Audit Negara.

5. Jika Presiden Pas tidak bijak berpolitik, tentu PR akan mempunyai hubungan yang retak dengan istana Selangor berikutan krisis MB Selangor baru-baru ini. Atau Selangor mungkin akan berhadapan pilihanraya kecil yang sangat tidak diperlukan oleh PR.

Saya fikir ini cukup untuk menafikan dakwaan itu.

KESIMPULAN DAN PENUTUP

Serangan kepada ulamak Pas daripada sebahagian kalangan penyokong Pas dan PR adalah sangat tidak berasas dan memilukan. Serangan daripada dalam tentulah pedih jika dibandingkan dengan dengan serangan daripada pihak luar. Ulamak Pas telah sedia dilabelkan dengan pelbagai label bagi tujuan mengelirukan masyarakat awam. Label-label merendahkan kedudukan, pengetahuan dan pengorbanan para ulamak di dalam Pas hanya menguntungkan musuh yang telah melaburkan jutaan ringgit untuk menjatuhkan kredibiliti ulamak Pas.

Jika Pas lemah, PR juga akan lemah. Apalah untungnya komponen PR menyerang komponen PR yang lain secara terbuka. Apalah untungnya menubuhkan NGO untuk memperkasakan PR tetapi asyik membelasah kepimpinan Presiden Pas.

Tidak ada apa kebaikannya menyerang ulamak Pas untuk memaksa Pas menukar kepimpinan Presiden semasanya pada hari ini. Parti yang boleh dipaksa oleh pihak luar untuk menukar saf kepimpinannya, tentulah sebuah parti yang sangat lemah dan sekadar bercap ayam.

Lupakanlah hasrat itu, wahai Tony Phua. Lupakanlah hasrat itu, wahai Pasma. Lupakanlah hasrat itu, wahai musuh Pas di dalam selimutnya sendiri. Pas akan terus melonjak ke hadapan sebagai rahmat untuk semua.

Untuk para pejuang Pas yang ikhlas sama ada ulamak, profesional, ahli politik, ahli perniagaan, guru, pekerja kolar putih, kolar biru dan tak berkolar, muda dan tua, lelaki dan wanita yang kasihkan Islam dan perjuangan Islam, serta tidak gopoh untuk menang dengan kemenangan segera tanpa mengira untung atau rugi kepada perjuangan islam...

Untuk kalian semua, saya doakan teruskanlah perjalanan, mudah-mudahan dengan mendapat keberkatan daripada Allah.

Zakaria Ismail
AJK PAS MARANG


Sunday, November 9, 2014

CABARAN MENYATUKAN MANUSIA DENGAN PENAKRIFAN 'MELAYU'.

Minggu lepas, beberapa media cetak dan portal berita melaporkan petikan kenyataan seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah mencadangkan mualaf yang mengamalkan ciri-ciri Melayu seperti ditakrifkan di dalam Perlembagaan Persekutuan diberikan hak keistimewaan Melayu.

Cadangan ini dilihat membuka lembaran baru daripada sudut perundangan khususnya dalam penentuan status Melayu seseorang warga Malaysia bagi melayakkannya menikmati hak istimewa Melayu sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 tersebut, antara lain, memperuntukkan hak-hak istimewa orang Melayu melibatkan kuota khas di dalam perkhidmatan awam, biasiswa persekutuan, lesen perniagaan dan enrolmen di dalam institusi pengajian tinggi.

                                         

Selain itu, terdapat juga hak-hak istimewa lain seperti kelayakan pemilikan tanah Rizab Melayu dan pelaburan di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). Persoalan yang mungkin timbul ialah sama ada pemberian hak istimewa tersebut bercanggah dengan definisi “Melayu” di dalam Perlembagaan Persekutuan dan adakah takrifan “Melayu”tersebut perlu dilihat semula untuk dimasukkan golongan mualaf yang ada di antara mereka yang sudah sebati dengan cara hidup Islam yang begitu rapat dengan budaya Melayu?

Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi “Melayu” sebagai seseorang yang beragama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut. Nampaknya bukan mudah juga untuk seseorang itu bergelar 'melayu'.

Sememangnya, jika diamati tafsiran Melayu yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan, terdapat halangan untuk membolehkan seseorang mualaf dikategorikan sebagai Melayu walaupun sudah memeluk agama Islam bertahun-tahun atau mempunyai zuriat yang dikategorikan Melayu hasil perkahwinan dengan pasangan berbangsa Melayu. Dia mungkin diterima dan dianggap Melayu dari sudut kemasyarakatan namun dia masih belum bergelar Melayu dari sudut perundangan. Hal ini tentu saja tidak banyak mengubah kehidupan beliau jika dibandingkan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang masih belum muslim. Hanya saja ia diterima dan dianggap sebagai sebahagian dari masyarakat Melayu.

Ada sesetengah pihak berbangga dengan 'kesyumulan' penakrifan Melayu seperti yang difahami dalam perlembagaan dengan mendakwa penakrifan sebegini memberi ruang kepada bangsa lain untuk diserap kedalam masyarakat Melayu. Dikatakan juga penakrifan sebegini berasal dari idea untuk mengasimilisasikan masyarakat berbilang kaum di Malaysia agar membentuk sebuah bangsa yang menjadi identiti utama kepada tanah melayu ini. Saya melihat idea itu baik dari sudut intergrasi nasional. Thailand dan Indonesia telah berjaya dengan identiti masing-masing.

Namun cabarannya amat sukar dan tidak semudah itu. Tidak semua bangsa mahu menjadikan imej diri dan nilai-nilai budaya mereka kepada imej dan budaya melayu atas faktor-faktor tertentu. Atau barangkali mereka sayang pada budaya nenek moyang mereka yang asal sekalipun mereka telah memeluk Islam. Atau dengan kata lain, lain lidah, lain pula citarasa masakannya. Barangkali orang India mungkin tidak selesa untuk meninggalkan amalan memakan rempah untuk beralih kepada masakan yang hanya berasaskan sup yang ringkas. Atau orang cina meninggalkan amalan memakai penyepit (chopstick) untuk beralih dengan menggunakan tangan ketika memakan makanan.

Namun begitu kekeliruan utama yang berlaku sekarang ialah terletak pada takrif yang sedang digunapakai. Ada yang menggunapakai takrif Melayu hanya dari sudut kemasyarakatan dan bukan dari sudut perundangan. Ada yang menilai dari ras dan keturunan, tanpa mempedulikan apakah ciri-ciri kemelayuannya sudah tidak ada. Tidak kurang ada yang menyebut takrif yang diberi perlembagaan hanya meliputi tiga perkara sahaja iaitu beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Akhirnya kita tidak mempunyai satu definisi yang jelas tentang siapakah yang digelar sebagai 'Melayu'.

Sebelum saya pergi lebih jauh dalam cabaran menyatukan pelbagai bangsa di bawah satu jenama 'Melayu', saya ingin tahu adakah seseorang yang berbangsa Melayu dari sudut keturunannya akan kehilangan status bangsanya jika ia kehilangan salah satu syarat dari penakrifan 'Melayu' dalam perlembagaan?

                            

Sedikit masa dahulu saya pernah melihat sebuah dokumentari di TV1 yang melakukan penggambaran di Arab Saudi untuk meninjau kehidupan komuniti melayu Pattani yang berhijrah kesana bagi membina kehidupan yang lebih baik. Apa yang mereka dapati hanya sebilangan kecil sahaja dari golongan dewasa komuniti Melayu Pattani yang boleh berbahasa melayu dengan baik (dalam dialek Kelantan), selebihnya sudah tidak mahir lagi berbahasa melayu terutamanya generasi muda. Masyarakat mereka begitu dikenali dengan nama gelaran 'Al-Fathani'. (sepertimana kelaziman nama orang arab yang meletakkan nama tempat asal mereka di penghujung nama).

Malah wartawan, jurukamera dan krew penggambaran berkesempatan untuk menghadiri majlis perkahwinan di kalangan masyarakat mereka di sana. Pengantinnya segak berjubah dengan pedang (sebagai simbolik), dan iringan qasidah berkumandang memeriahkan suasana. Segala aturcara majlis dijalankan mengikut budaya, tradisi dan adat masyarakat arab. Semua tetamu yang hadir berjubah dan ber'higal', sukar untuk membezakan antara yang berbangsa arab dan orang melayu Pattani. Cuma yang memisahkan mereka hanyalah rupa paras.

Bentuk komuniti yang sama juga boleh kita lihat pada orang Melayu Sri Lanka. Mereka adalah komuniti melayu yang dibawa oleh Inggeris sebagai pendatang ke sana untuk dijadikan buruh. Kini hampir kebanyakan anak gadis disana lebih selesa memakai Sari. Golongan tua pula, jika sekalipun bersongkok, namun 'pelat' mereka mengalahkan kaum India yang ada di Malaysia.

Timbul juga persoalan, benarkah status kemelayuan seseorang akan gugur jika mereka kehilangan salah satu dari syarat-syarat yang disenaraikan baik didalam perlembagaan atau sisi pandang masyarakat? Jika diandaikan mereka berhijrah ke Malaysia, adakah mereka perlu menukar imej, identiti dan bahasa mereka sebelum mereka boleh digelar sebagai seorang Melayu?

Barangkali dari sudut kemasyarakatan, mungkin kita tidak keberatan untuk menganggap mereka masih sebagai orang Melayu. Kita mungkin menganggap mereka cuma kehilangan salah satu dari ciri-ciri orang melayu. Namun bagaimana pula dari sudut perundangan? Jika kita masih menganggap mereka sebahagian dari masyarakat melayu bagaimana pula penakrifan seperti yang termaktub dalam perlembagaan yang digunapakai secara rasmi? Jika hanya ras dan keturunan saja sudah membolehkan seseorang diiktiraf Melayu tentu saja ini akan menimbulkan persoalan tentang kewarasan untuk menyenaraikan ciri-ciri Melayu seperti yang terdapat didalam perlembagaan? atau mungkin saja ada pihak yang tidak berpuashati dengan penakrifan yang 'berat sebelah' ini?

Kita tidak nafikan bahawa penakrifan sebegini adalah penting terutamanya dari sudut perundangan kerana ia akan memberi gambaran yang jelas siapa yang berhak keatas hak-hak tertentu yang dipelihara dari sudut perlembagaan. Ia penting dalam mendefinisikan golongan-golongan tertentu dalam pengertian-pengertian tertentu.

Namun kecelaruan mula timbul apabila golongan yang cuba menyatukan manusia dibawah jenama 'Melayu' menggunapakai takrif seperti yang terdapat didalam perlembagaan. Jika takrif seperti yang terdapat didalam perlembagaan digunapakai tentu saja komuniti melayu Pattani di Arab Saudi dan Sri Lanka tidak boleh digelar sebagai 'Melayu'.

Jika penakrifan yang longgar dengan mengambil salah satu atau dua ciri yang ada didalam definisi perlembagaan cuba digunapakai tentu akan ramai orang yang bergelar Melayu. Hampir kesemua orang yang beragama Islam di Malaysia boleh dipanggil 'Melayu' kerana faktor agama mereka. Jika hanya adat budaya pun sudah boleh diambil kira tentu saja Baba Nyonya di Melaka boleh dipanggil Melayu. Mahu tidak mahu definisi yang tetap seperti yang termaktub dalam perlembagaan terpaksa digunapakai bagi memberi definisi yang jelas tentang siapa yang digelar melayu. Akhirnya pengertian kembali menjadi sempit dan hilang sifat keluasannya kerana penakrifan sedemikian memerlukan sekurang-kurangnya 4 ciri rasmi seperti yang disenaraikan. Ini akhirnya menyerlahkan hakikat bahawa mereka yang digelar 'Melayu' tidaklah seluas yang disangkakan.

Sebelum ini saya telah cuba sebaik mungkin untuk memahami dan memberi ruang kepada idea-idea berhaluan kanan tetapi fakta-fakta diatas seakan menafi dan menidakkan hakikat idea-idea tersebut.

Kesimpulannya, walau apapun takrif dan definisi yang diberi, penyatuan dibawah jenama 'Melayu' mempunyai beberapa kelemahan dan implikasi. Ini bukan suatu pandangan provokasi tetapi cuba melihat sesuatu isu secara realiti. Penulisan ini hanya sekadar cuba menyatakan bahawa ada beberapa kecelaruan dan kelemahan jika 'jenama' Melayu cuba dijadikan simbol penyatuan. Perkara ini penting bagi para pejuang yang meletakkan bangsa Melayu baik sebagai alat mahupun matlamat. Sebelum mereka menyeru pada kesatuan atau bergelut dengan perjuangan nasib bangsa mereka, mereka mesti 'jelas' dengan siapa sebenarnya yang ditakrifkan dengan bangsa Melayu. Ini penting bagi menyampaikan mesej perjuangan mereka kepada golongan yang dituju.

Apa yang kita boleh dapati bahawa definisi yang diberi dalam perlembagaan lebih kepada memelihara hak golongan manusia tertentu yang memang berhak pun keatas hak-hak itu tetapi bukan sebagai definisi yang membolehkan kita melakukan asimilasi semudah yang didakwa. Apatah lagi dengan mencipta slogan untuk dijadikan teras perjuangan. Adakah takrif perlembagaan yang akan digunapakai atau sekadar takrif dari sudut kemasyarakatan?

Memang mudah untuk menyebut 'Melayu', atau menyenaraikan beberapa sebab dan alasan betapa pentingnya perjuangan Melayu, namun kita akan berada di persimpangan dalam menakrifkan siapa 'Melayu', nampak kan?

Akhirnya anda akan dapati mereka yang cuba berjuang dibawah jenama penyatuan 'Melayu' akan menemui konflik dan dilema di sekeliling mereka kerana ada dari kumpulan masyarakat melayu sendiri yang tidak beriltizam dengan bahasa atau tradisi adat istiadat mereka. Itu belum dikira dengan pelbagai bentuk 'perlambangan-perlambangan' yang tidak bersifat tempatan. Jika penyatuan dengan kumpulan masyarakat Melayu yang kehilangan ciri-ciri keMelayuannya pun kelihatan gagal bagaimana pula untuk menyatukan pelbagai manusia dari bangsa lain dibawah jenama 'Melayu'?



(Soalan bonus : Adakah anda masih mahu bersama UMNO dengan idea ketuanan melayu? )

-DARI SERAMBI MUSOLLA

Thursday, August 21, 2014

USRAH TERAKHIR

"Muda-muda tara umo ni elok ngaji..!" Tegas almarhum Ustaz dalam pesanannya kepada kami seusai majlis bacaan Yasin dirumah kejiranan sekitar Bendang Siam beberapa bulan yang lalu. Lama kami bersembang, hampir 2 jam. Almarhum Ustaz bercerita pengalaman 'mengajinya' di Azhar, Mesir dan 'memondok' sekitar tanah air dan negara jiran Acheh. Pernah juga katanya bertalaqqi kitab Tauhid dengan Tok Guru Haji Saleh Musa masa zaman muda dulu.

"Tok Guru Haji Saleh ni nak mengaji dengan dia kena ada orang bawak (pakai kabel). Dia tanya dulu PAS ka UMNO..!"

Almarhum yang juga pesara 'Tok Kadi' daerah Taiping pada pesanan itu, jelas menunjukkan kecenderongan minatnya melalui satu lakaran indah kepada kami berkenaan seronoknya menuntut ilmu di Acheh Indonesia. Kami memang sudah terpengaruh.

"Jom kita gi.." Bersungguh Beliau 'merekomenkan' pondok disana sebagai tapak baik pengajian antaranya ilmu tasawwuf kerana masih mempunyai keakraban istimewa dengan ahli kariah disana sewaktu bertaraf pemastautin di Indonesia dulu.

Penuh kejutan hari ni, Almarhum Ustaz pergi menemui Ilahi ketika kelihatan tubuhnya sihat. Ketika malam sebelumnya berkuliah. Ketika pagi sebelumnya mengimami solat Subuh dengan alunan dari surah As-Sajadah.

Dan siapa sangka pertemuan dulu itu adalah 'usrah terakhir' Tok Guru Ustaz Mat Zin bersama kami. Moga minat kami kepada pengajian itu menjadi rahmat dan bekal buat Almarhum disana.

Al-Fatihah..
'Allahum maghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu'


Thursday, May 15, 2014

DISISI GURU

Rasa sayang
Sentuhan kasih 
Menyala
Marah
Menyampah
Memberontak
Unjuk rasa
Haru dan hara
Ingin tahu
'Hey hey' dan 'yeah yeah'

Dan segala macam
Kita hari ini
Semuanya dinilai dari 
Tunjuk ajar cikgu.

Berkat terima kasih.

Tuesday, February 25, 2014

APA TIDAKNYA

Fitnah kian tah apa-apa
Makin mengada-ngada
Yang PHD tercari-cari punca
Yang mengaji dah serabut kepala
Yang jahil mula ghapla jingga
Belek-belek peta dunia

Apa tidaknya..
Jahat dan baik dekat-dekat serupa
Apa tidaknya..
Walau terang sesatnya
Pengikut ramai gila
Apa tidaknya..
Yang tu kata dosa, yang ni kata pahala
Apa tidaknya..
Kelmarin cinta Nabi
Besok lusa menyumpah Nabi
Naudzubillah..!!

Apa tidaknya..
Yang tak putus tasbih dan
Yang pecah tabung mesjid
Makhluk yang sama

Apa tidaknya..
Masing-masing kata dia nak syurga
Bangga bukan ahli neraka.
Apa tidaknya..
Akhir zaman segala-galanya
Umpama disangka-sangka
Karena itu semua
Rasul yang kata

KAH KAH KAH KAH KAH UNTUK MAHARAJA LAWAK

Kah kah kah kah kah

Lawak yang begitu 'real'
Lawak gila
Lawak kitar semula
Lawak 'stand-up'

Kah kah kah kah kah

Gelak sampai klimak
Gelak ditayangan ulangan
Sampai berair mata

Kah kah kah kah kah

Padan aku dan muka kita
Lebih belagak dari duitnya
Mentaliti 'bundle', RM pangkah
Main catur, makan dam dan tengok wrestling

Kah kah kah kah kah

Semua umat dah masak
Negara Selesa, negeri steady.
Rakyat Bangga tahap keramat

Kah kah kah kah kah

Bergaya 'world  class'
Mono kelas tiga
Suatu imunisasi terkawal
Rungut apa lagi
Inilah Wawasan NGV,
jimat sekarang, jimat dahulu.