Minggu lepas, beberapa media cetak dan portal berita melaporkan petikan
kenyataan seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah
mencadangkan mualaf yang mengamalkan ciri-ciri Melayu seperti
ditakrifkan di dalam Perlembagaan Persekutuan diberikan hak keistimewaan
Melayu.
Cadangan ini dilihat membuka lembaran baru daripada sudut perundangan
khususnya dalam penentuan status Melayu seseorang warga Malaysia bagi
melayakkannya menikmati hak istimewa Melayu sebagaimana diperuntukkan di
bawah Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 153 tersebut, antara lain, memperuntukkan hak-hak istimewa orang
Melayu melibatkan kuota khas di dalam perkhidmatan awam, biasiswa
persekutuan, lesen perniagaan dan enrolmen di dalam institusi pengajian
tinggi.
Selain itu, terdapat juga hak-hak istimewa lain seperti kelayakan
pemilikan tanah Rizab Melayu dan pelaburan di dalam Amanah Saham
Bumiputera (ASB). Persoalan yang mungkin timbul ialah sama ada pemberian
hak istimewa tersebut bercanggah dengan definisi “Melayu” di dalam
Perlembagaan Persekutuan dan adakah takrifan “Melayu”tersebut perlu
dilihat semula untuk dimasukkan golongan mualaf yang ada di antara
mereka yang sudah sebati dengan cara hidup Islam yang begitu rapat
dengan budaya Melayu?
Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi “Melayu”
sebagai seseorang yang beragama Islam, mengamalkan adat dan budaya
Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum
Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya
lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil
di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang
yang tersebut. Nampaknya bukan mudah juga untuk seseorang itu bergelar
'melayu'.
Sememangnya, jika diamati tafsiran Melayu yang digariskan oleh
Perlembagaan Persekutuan, terdapat halangan untuk membolehkan seseorang
mualaf dikategorikan sebagai Melayu walaupun sudah memeluk agama Islam
bertahun-tahun atau mempunyai zuriat yang dikategorikan Melayu hasil
perkahwinan dengan pasangan berbangsa Melayu. Dia mungkin diterima dan
dianggap Melayu dari sudut kemasyarakatan namun dia masih belum bergelar
Melayu dari sudut perundangan. Hal ini tentu saja tidak banyak mengubah
kehidupan beliau jika dibandingkan dengan ahli keluarga dan rakan-rakan
yang masih belum muslim. Hanya saja ia diterima dan dianggap sebagai
sebahagian dari masyarakat Melayu.
Ada sesetengah pihak berbangga dengan 'kesyumulan' penakrifan Melayu
seperti yang difahami dalam perlembagaan dengan mendakwa penakrifan
sebegini memberi ruang kepada bangsa lain untuk diserap kedalam
masyarakat Melayu. Dikatakan juga penakrifan sebegini berasal dari idea
untuk mengasimilisasikan masyarakat berbilang kaum di Malaysia agar
membentuk sebuah bangsa yang menjadi identiti utama kepada tanah melayu
ini. Saya melihat idea itu baik dari sudut intergrasi nasional. Thailand
dan Indonesia telah berjaya dengan identiti masing-masing.
Namun cabarannya amat sukar dan tidak semudah itu. Tidak semua bangsa
mahu menjadikan imej diri dan nilai-nilai budaya mereka kepada imej dan
budaya melayu atas faktor-faktor tertentu. Atau barangkali mereka sayang
pada budaya nenek moyang mereka yang asal sekalipun mereka telah
memeluk Islam. Atau dengan kata lain, lain lidah, lain pula citarasa
masakannya. Barangkali orang India mungkin tidak selesa untuk
meninggalkan amalan memakan rempah untuk beralih kepada masakan yang
hanya berasaskan sup yang ringkas. Atau orang cina meninggalkan amalan
memakai penyepit (chopstick) untuk beralih dengan menggunakan tangan
ketika memakan makanan.
Namun begitu kekeliruan utama yang berlaku sekarang ialah terletak pada
takrif yang sedang digunapakai. Ada yang menggunapakai takrif Melayu
hanya dari sudut kemasyarakatan dan bukan dari sudut perundangan. Ada
yang menilai dari ras dan keturunan, tanpa mempedulikan apakah ciri-ciri
kemelayuannya sudah tidak ada. Tidak kurang ada yang menyebut takrif
yang diberi perlembagaan hanya meliputi tiga perkara sahaja iaitu
beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat
istiadat Melayu. Akhirnya kita tidak mempunyai satu definisi yang jelas
tentang siapakah yang digelar sebagai 'Melayu'.
Sebelum saya pergi lebih jauh dalam cabaran menyatukan pelbagai bangsa
di bawah satu jenama 'Melayu', saya ingin tahu adakah seseorang yang
berbangsa Melayu dari sudut keturunannya akan kehilangan status
bangsanya jika ia kehilangan salah satu syarat dari penakrifan 'Melayu'
dalam perlembagaan?
Sedikit masa dahulu saya pernah melihat sebuah dokumentari di TV1 yang
melakukan penggambaran di Arab Saudi untuk meninjau kehidupan komuniti
melayu Pattani yang berhijrah kesana bagi membina kehidupan yang lebih
baik. Apa yang mereka dapati hanya sebilangan kecil sahaja dari golongan
dewasa komuniti Melayu Pattani yang boleh berbahasa melayu dengan baik
(dalam dialek Kelantan), selebihnya sudah tidak mahir lagi berbahasa
melayu terutamanya generasi muda. Masyarakat mereka begitu dikenali
dengan nama gelaran 'Al-Fathani'. (sepertimana kelaziman nama orang arab
yang meletakkan nama tempat asal mereka di penghujung nama).
Malah wartawan, jurukamera dan krew penggambaran berkesempatan untuk
menghadiri majlis perkahwinan di kalangan masyarakat mereka di sana.
Pengantinnya segak berjubah dengan pedang (sebagai simbolik), dan
iringan qasidah berkumandang memeriahkan suasana. Segala aturcara majlis
dijalankan mengikut budaya, tradisi dan adat masyarakat arab. Semua
tetamu yang hadir berjubah dan ber'higal', sukar untuk membezakan antara
yang berbangsa arab dan orang melayu Pattani. Cuma yang memisahkan
mereka hanyalah rupa paras.
Bentuk komuniti yang sama juga boleh kita lihat pada orang Melayu Sri
Lanka. Mereka adalah komuniti melayu yang dibawa oleh Inggeris sebagai
pendatang ke sana untuk dijadikan buruh. Kini hampir kebanyakan anak
gadis disana lebih selesa memakai Sari. Golongan tua pula, jika
sekalipun bersongkok, namun 'pelat' mereka mengalahkan kaum India yang
ada di Malaysia.
Timbul juga persoalan, benarkah status kemelayuan seseorang akan gugur
jika mereka kehilangan salah satu dari syarat-syarat yang disenaraikan
baik didalam perlembagaan atau sisi pandang masyarakat? Jika diandaikan
mereka berhijrah ke Malaysia, adakah mereka perlu menukar imej, identiti
dan bahasa mereka sebelum mereka boleh digelar sebagai seorang Melayu?
Barangkali dari sudut kemasyarakatan, mungkin kita tidak keberatan untuk
menganggap mereka masih sebagai orang Melayu. Kita mungkin menganggap
mereka cuma kehilangan salah satu dari ciri-ciri orang melayu. Namun
bagaimana pula dari sudut perundangan? Jika kita masih menganggap mereka
sebahagian dari masyarakat melayu bagaimana pula penakrifan seperti
yang termaktub dalam perlembagaan yang digunapakai secara rasmi? Jika
hanya ras dan keturunan saja sudah membolehkan seseorang diiktiraf
Melayu tentu saja ini akan menimbulkan persoalan tentang kewarasan untuk
menyenaraikan ciri-ciri Melayu seperti yang terdapat didalam
perlembagaan? atau mungkin saja ada pihak yang tidak berpuashati dengan
penakrifan yang 'berat sebelah' ini?
Kita tidak nafikan bahawa penakrifan sebegini adalah penting terutamanya
dari sudut perundangan kerana ia akan memberi gambaran yang jelas siapa
yang berhak keatas hak-hak tertentu yang dipelihara dari sudut
perlembagaan. Ia penting dalam mendefinisikan golongan-golongan tertentu
dalam pengertian-pengertian tertentu.
Namun kecelaruan mula timbul apabila golongan yang cuba menyatukan
manusia dibawah jenama 'Melayu' menggunapakai takrif seperti yang
terdapat didalam perlembagaan. Jika takrif seperti yang terdapat didalam
perlembagaan digunapakai tentu saja komuniti melayu Pattani di Arab
Saudi dan Sri Lanka tidak boleh digelar sebagai 'Melayu'.
Jika penakrifan yang longgar dengan mengambil salah satu atau dua ciri
yang ada didalam definisi perlembagaan cuba digunapakai tentu akan ramai
orang yang bergelar Melayu. Hampir kesemua orang yang beragama Islam di
Malaysia boleh dipanggil 'Melayu' kerana faktor agama mereka. Jika
hanya adat budaya pun sudah boleh diambil kira tentu saja Baba Nyonya di
Melaka boleh dipanggil Melayu. Mahu tidak mahu definisi yang tetap
seperti yang termaktub dalam perlembagaan terpaksa digunapakai bagi
memberi definisi yang jelas tentang siapa yang digelar melayu. Akhirnya
pengertian kembali menjadi sempit dan hilang sifat keluasannya kerana
penakrifan sedemikian memerlukan sekurang-kurangnya 4 ciri rasmi seperti
yang disenaraikan. Ini akhirnya menyerlahkan hakikat bahawa mereka yang
digelar 'Melayu' tidaklah seluas yang disangkakan.
Sebelum ini saya telah cuba sebaik mungkin untuk memahami dan memberi
ruang kepada idea-idea berhaluan kanan tetapi fakta-fakta diatas seakan
menafi dan menidakkan hakikat idea-idea tersebut.
Kesimpulannya, walau apapun takrif dan definisi yang diberi, penyatuan
dibawah jenama 'Melayu' mempunyai beberapa kelemahan dan implikasi. Ini
bukan suatu pandangan provokasi tetapi cuba melihat sesuatu isu secara
realiti. Penulisan ini hanya sekadar cuba menyatakan bahawa ada beberapa
kecelaruan dan kelemahan jika 'jenama' Melayu cuba dijadikan simbol
penyatuan. Perkara ini penting bagi para pejuang yang meletakkan bangsa
Melayu baik sebagai alat mahupun matlamat. Sebelum mereka menyeru pada
kesatuan atau bergelut dengan perjuangan nasib bangsa mereka, mereka
mesti 'jelas' dengan siapa sebenarnya yang ditakrifkan dengan bangsa
Melayu. Ini penting bagi menyampaikan mesej perjuangan mereka kepada
golongan yang dituju.
Apa yang kita boleh dapati bahawa definisi yang diberi dalam
perlembagaan lebih kepada memelihara hak golongan manusia tertentu yang
memang berhak pun keatas hak-hak itu tetapi bukan sebagai definisi yang
membolehkan kita melakukan asimilasi semudah yang didakwa. Apatah lagi
dengan mencipta slogan untuk dijadikan teras perjuangan. Adakah takrif
perlembagaan yang akan digunapakai atau sekadar takrif dari sudut
kemasyarakatan?
Memang mudah untuk menyebut 'Melayu', atau menyenaraikan beberapa sebab
dan alasan betapa pentingnya perjuangan Melayu, namun kita akan berada
di persimpangan dalam menakrifkan siapa 'Melayu', nampak kan?
Akhirnya anda akan dapati mereka yang cuba berjuang dibawah jenama
penyatuan 'Melayu' akan menemui konflik dan dilema di sekeliling mereka
kerana ada dari kumpulan masyarakat melayu sendiri yang tidak beriltizam
dengan bahasa atau tradisi adat istiadat mereka. Itu belum dikira
dengan pelbagai bentuk 'perlambangan-perlambangan' yang tidak bersifat
tempatan. Jika penyatuan dengan kumpulan masyarakat Melayu yang
kehilangan ciri-ciri keMelayuannya pun kelihatan gagal bagaimana pula
untuk menyatukan pelbagai manusia dari bangsa lain dibawah jenama
'Melayu'?
(Soalan bonus : Adakah anda masih mahu bersama UMNO dengan idea ketuanan melayu? )
-DARI SERAMBI MUSOLLA
No comments:
Post a Comment