VOCALIST

Sunday, August 25, 2013

MESIR : DOKTRIN ISLAM VIA POLITIK ISLAM


Pertembungan doktrin


Kedudukan Mesir sebagai hub intelektual dunia Islam telah menyaksikan kelahiran berbagai aliran Islam yang berupaya menguasai kelompok yang  bersaing atas nama Islam. Mendasari perkembangan di Mesir adalah pertembungan doktrin Sekular-Liberal dan Islam.

Salafiyah vs Islahiyah

Jika kita melusuri perjuangan pemikiran Islam pasca Khilafah, kelompok Islam membentuk dua aliran antara Salafiyah yang rigid interpretasi teksnya dan Islahiyah yang agak kontemporari fahaman teksnya mengikuti perkembangan semasa. Muncul dalam kelompok Islahiyah ini individi-individu di kalangan ulamak yang mempelopori pemikiran Islam terkini dengan suntikan makna pada zaman yang dilaluinya.

Tokoh seperti Mohd Abduh, Rasyid Redha dan sebelumnya Jamaludin Al Afghani menjadi mercu tanda pemikiran pada persimpangan umat Islam mencari identiti politik yang hilang dengan proses kejatuhan Khilafah sehingga tahun 1924.

Namun kemunculan seorang tokoh yang bernama Hassan Al Banna bukan sahaja meninggalkan bekas perbahasan intelektual tetapi yang lebih penting telah membentuk satu pergerakan yang mempunyai organisasi paling tersusun yang menguasai pemikiran massa di atas nama Ikhwan Al Muslimun atau Muslim Brotherhood.

Salafiyah

Golongan salafi yang fahaman teks Al Quran dan Hadisnya yang agak kaku tidak banyak melahirkan tokoh-tokoh besar kerana kemunculan mereka adalah merupakan status-quo kepada mainstream yang ada semasa kejatuhan Khilafah tetapi ia telah melahirkan kelompok yang anti kemodenan dan Barat lalu menjadi benih awal kepada kemunculan ekstrimism dan militan dalam perjuangan mereka.

Kelompok Gamaah Islamiyah, Hijrah Wa Takfir dan terkini Al Qaeda adalah sebenarnya manifestasi kebencian kepada Barat dan disokong dengan interpretasi totok kepada teks-teks Al Quran dan Hadis yang ada.

Liberal-Sekular

Kelompok ini mahukan Islam dalam bentuknya yang bebas dari hambatan institusi kawalan moral lantas meletakkan hak individu untuk memilih gaya dan cara hidupnya mengikut pilihannya dan tidak mahu dipaksa dan dipantau oleh polis moral.

Mereka melihat aspek syariah sebagai diskriminasi terhadap kaum wanita. Mereka mahukan interpretasi Islam yang bebas dan menganggap politik dan Islam tidak boleh bersatu. Mereka tidak menolak agama, tetapi menolak parti Islam dan negara Islam yang mereka dakwa teokratik.

Mengisi revolusi rakyat

Kekosongan period transisi regim kuku besi kepada suara rakyat menyaksikan konfrontasi Sekular-Liberal dan Islam tidak dapat dielakkan. Perkembangan rampasan kuasa tentera disokong oleh kelompok Sekular-Liberal kerana menganggap pengaruh Ikhwan melalui kemenangan Morsi akan membawa negara Mesir kepada pemerintahan agama lalu menafikan hak demokratik rakyat menentukan halatuju negara.

Golongan Sekular-Liberal mewajarkan sokongan mereka terhadap rampasan tentera tempoh hari dengan membawa doktrin anti-political-Islam. Walaupun perbahasan ini jauh dari capaian rakyat awam yang rata-ratanya kais pagi makan pagi di Mesir,  namun doktrin ini cuba dipaksakan kepada rakyat Mesir bahawa Morsi mewakili Islam-Politik yang akan menghuru-harakan Mesir dan membawa Mesir ke belakang.

Biarlah ini satu dakwaan kosong sebenarnya dan Tentera yang mencipta suasana huru-hara di Mesir namun implikasi doktrin anti-Islam Politik adalah mesej yang kuat kepada seluruh dunia Islam bahawa mereka harus menentang Islam-Politik dan ini bermakna menentang parti Islam dan cita-cita politik Islam walaupun tak semestinya mereka menantang Islam sebagai agama ritual dan spiritual.

Pemikiran political-Islam

Tesis ini dikemukakan pada awal 90-an oleh Oliver Roy dalam bukunya ‘”The Failure of Political Islam” di mana istilah Political-Islam itu dikaitkan dengan kemenangan kelompok Islam melalui politik yang melahirkan neo-fundamentalism. Politik yang diceburi oleh kelompok ini lebih banyak melahirkan sikap anti-Baratnya melalui kebimbangan mereka terhadap aspek moral dan keruntuhan akhlaq dan gagal membawa program ekonomi sosial dan politik yang mampu mengubah keadaan.

Oliver Roy amat berhati-hati untuk tidak melonggokkan kesalahan itu kepada Islam kerana di kalangan Islamist ada yang menggarap persoalan politik melalui adaptasi kepada perkembangan di Barat dan berpandukan kepada panduan Islam yang sebenar. Menarik dalam hujah Oliver ialah beliau menganggap kelompok neo-fundamentalism adalah anti-tradisi ilmu malah cuba menentukan peranan ilmu mengikut selera mereka melalui kuasa politik yang ada kepada mereka.

Rumusan Oliver ialah kemunculan Islam-Politik adalah gambaran kepada anti Barat dan kemodenan tanpa satu program sosio-ekonomi dan rakyat yang dikuasainya akan memberontak kerana mereka tidak dapat menikmati hasil kemodenan dan pembangunan maka negara akan huru-hara. Akhirnya lahirlah pemikiran ‘kegagalan Islam-Politik’ (the failure of political Islam) sebagai tema yang diangkat.

Mencabar tesis ini

Di kalangan intelektual Sekular-Liberal, ide ini sudah mula didengungkan bagi mewajarkan rampasan kuasa ke atas Morsi. Persoalannya ialah, adakah Morsi mewakili konsep Islam-Politik yang dikemukakan oleh Oliver Roy?

Adakah pemikiran rasmi Ikhwan mendasari neo-fundamentalism?

Adakah pengalaman Algeria, Sudan dan Afghanistan sama dengan proses demokrasi yang dilalui oleh rakyat Mesir?

Adakah kewajaran rampasan tentera kerana Mesir di kancah perang saudara dengan kemenangan Morsi?

Jawapan kepada persoalan yang banyak ini akan membawa kita untuk mencabar teori Oliver Roy yang diaplikasikan oleh golongan Sekular-Liberal dalam meyakinkan orang ramai bahawa menjatuhkan Morsi adalah menyelamatkan Mesir dari Islam-Politik.

Implikasi

Semua kelompok Islam yang bergerak di medan siyasah (politik) harus mengambil serius apa yang saya lontarkan dalam artikel ini kerana pertembungan doktrin merentasi batas geografi dan masa. Selagi Islamist di medan politik tidak membuktikan Islam adalah merentasi sekadar kuasa dan tidak menjurus kepada konsep ketamadunan yang lebih luas skopnya selagi itu tanggapan teori ‘kegagalan’ ini akan menghantui semua pihak.

Islam yang diusung dan diperjuangkan mesti memberi makna kepada keadilan sosial, erti kemanusiaan, erti kebebasan bersuara, keamanan hubungan antara agama dan erti kerajaan yang adil. Kemenangan parti Islam di medan politik bukan kemenangan anti-Barat tetapi ia kemenangan Keamanan Manusia Sejagat dan pastinya kemenangan Islamist perlu menghormati lunas-lunas demokrasi dalam melihat julat kepelbagaian yang ada.

Penegasan kepada suntikan makna Islam yang lebih luas cakupannya dan capaiannya akan menjadikan teori Oliver Roy dan pengusungnya dicabar untuk kita membentuk tesis baru iaitu “The Success of Political Islam”.

Pertembungan berterusan

Morsi telah diharamkan haknya untuk membuktikan teori sukses ini oleh Tentera yang disokong oleh golongan Sekular-Liberal. Saya meyakini bahawa pemikiran Morsi yang  didasari oleh Rahmatan Lil Alamin sesekali bukan neo-fundamentalism. Ikhwan pula terkenal dengan sikap keterbukaan mereka kepada pertembunagn Islam dan Barat.

Para ulamak dan ilmuan Ikhwan senantiasa mencari-cari titik pertemuan pembinaan tamadun dengan berdialog dan bertukar pandangan. Ikhwan juga tegas dalam soal menuntut hak dan menentang penindasan. Apa yang berlaku di dataran Nahda di Rabiah Adawiyah adalah suara menuntut Hak.

Tiada yang berani mengatakan tindakan rampas kuasa adalah wajar kecuali golongan Sekular-Liberal yang totok anti Islam-Politiknya. Mereka mendapati tentera akan memenuhi kehendak mereka kerana mereka tidak ada asas sokongan rakyat di akar umbi.

Dengan pembebasan Mubarak dari penjara dan dikenakan tahanan di rumah dan Morsi serta pimpinan Ikhwan dipenjarakan, kita hanya mampu bertanya apakah prinsip awalan ini yang hendak diasaskan dalam mengisi Revolusi Rakyat 2011 yang dahagakan kebebasan dan demokrasi?

Apakah ini kes awalan yang hendak diasaskan oleh golongan Sekular-Liberal bahawa demokrasi hanya untuk mereka dan bukan untuk gologan Islam?

Wajar bagi Islamist di medan siyasah mencabar semua prinsip ini dengan kekuatan hujah dan intelektual yang ampuh. - http://drmujahid.com

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

Friday, August 23, 2013

BENARKAH KITA BERJUANG?

Benarkah kita berjuang ? , kalau hanya mengisi borang dan mendaftar diri sebagai anggota jamaah Islam tetapi gagal untuk komited [ iltizam ] dengan segala aktiviti amal jamaei yang dianjurkan oleh jamaah . Kita hanya mampu mentarbiyah tetapi tidak boleh ditarbiyah . Mampu mengarah tetapi tidak boleh diarah . Mampu menegur tetapi tidak boleh ditegur .

Benarkah kita berjuang ? , dengan hanya semata - mata kerap menghadhiri ceramah - ceramah umum tetapi liat untuk hadir dan menekuni program - program khusus seperti usrah , liqa fikri , tamrin , mukhayyam dan pelbagai aktiviti spiritual seperti qiamulail , al mathurat dan zikrullah . Program ceramah dilihat lebih penting sebab kita dapat publisiti sedang usrah ni hanya dihadhiri oleh 10 orang , tidak glamour langsung !

Benarkah kita berjuang ? , apabila kita selalu sahaja gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalaskan ke atas pundak kita sebagai pimpinan jamaah walau dimana peringkat posisi kepimpinan kita . Mesyuarat sering tidak hadhir dan kalau pun hadhir hanya dengan kepala kosong . Lebih malang , ada mesyuarat dalam mesyuarat dan ada mesyuarat selepas mesyuarat .

Benarkah kita berjuang ? , wala' atau taat setia kita telah berbelah bahagi , bukan lagi kepada pimpinan jamaah tetapi di sana ada individu berpengaruh dan ia berada di luar jamaah yang sangat kita kagum karektornya . Sedang pimpinan kita sendiri dilihat kolot dan tidak hebat . Kita tidak berdiri teguh di belakang pimpinan kita sebaliknya kita teguh berdiri dan menyokong pemimpin dari luar jamaah kita sendiri .

Benarkah kita berjuang ? , ibadah kita kurang . Hubungan kita dengan Allah swt jauh . Gagal solat berjamaah dan membaca al quran pada kekerapan yang lebih berbanding orang awam . Kehalusan budi dan ketulusan hati tidak kita dimiliki . Ucapan kita menampakkan kesombongan dan tindakan kita tidak berhemah . Suka pandang rendah pada orang lain jauh sekali mahu menghormati mereka .

Ya Allah ! benarkah kita ni berjuang ? atau kita selama ini hanya bermain dan menambah beban dosa dalam perjuangan buat diri kita sendiri .

Sahabat ku semua , marilah kita bermuhasabah agar kita dekat dengan Allah swt dan kita segera diberikan nusrahNya . Insyaallah , muhasabah ini akan memulihkan hubungan kita yang retak , perjuangan kita yang tergugat , dan kedudukan kita yang kian jauh dari Allah swt .

Selamat berjuang sahabat ku !
 Muhasabah terbaik dari YB Nasrudin Hassan At Tantawi, Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Tuesday, July 16, 2013

TPPA HADIAH BUAT PEROMPAK

Pada 20hb May 2013 yang lalu, MAPIM melalui Setiausaha Agungnya Cikgu Hj Azmi Abd Hamid telah  mengesa kerajaan Malaysia untuk  tidak  meneruskan menandatangani  rundingan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) yang dijangka akan dimeterai pada October 2013 di Brunei.

Soalnya apa itu TTPA dan apa implikasinya? Ramai penduduk kawasan pendalaman atau separuh desa, kampong tersusun yang tidak menyedari isu ini dan tidak faham masa depan anak cucu mereka yang bakal tergadai melalui perjanjian yang bersifat globalisasi ini.

Rakyat Perak terutama orang Melayu yang tegar mengundi Umno dan juga di kawasan DUN yang penulis berkhidmat DUN Sg Rapat, masih banyak info ancaman ummah sebegini yang perlu dihebahkan.

Sebelum ini Tun Mahathir juga  menggesa pihak Kerajaan Malaysia supaya menolak TPPA pada Forum Negara bertajuk ‘Membina Peradaban Bangsa Melayu Berteraskan Tamadun Islam’ yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) bersama Yang di-Pertua Dewan Negara di Parlimen Malaysia pada 25 Mac 2013 lepas.

Malaysia yang diteraui oleh BN lagi kali ini  antara 12 negara yang dengan sewenang-wenangnya bersetuju untuk menerima dasar-dasar TPPA ini. 12 negara tersebut adalah Australia, Brunei, Chile, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, Singapore, Amerika Syarikat, Vietnam, Jepun dan Malaysia.

Ada 26 bab yang berasingan, yang digubal secara penuh kerahsiaan, tidak telus, dan tidak dibuka kepada pengetahuan orang awam.Ia akan terus menjadi rahsia selama 4 tahun selepas perjanjian dimeterai. Kita hanya akan tahu rupabentuk sebenar perjanjian itu hanya selepas 4 tahun, iaitu dalam tahun 2017.

Blogger, facebooker berkempen di media maya dan wanita Umno berkempen rumah ke rumah, bahawa Pakatan Rakyat dan NGO Hak Asasi  adalah agen asing untuk mengganggu-gugat kestabilan negara. Kita sering mendengar mereka menerima dana dari negara asing, dan akan menjual negara ini sekiranya memerintah.

Tetapi, pernahkah anda, yang sering menuduh pembangkang sebagai agen asing Yahudi ni semua, pernahkah anda mendengar siapa yang beria ingin laksanakan  TTPA ini?

TTPA atau nama penuhnya  The Trans-Pacific Agreement merupakan  sebuah free-trade agreement antara negara-negara di sekitar Pasifik ini disertai oleh  Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)  dalam rundingan TPPA  bersama 11 negara lain (Australia, Brunei, Canada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapore, United States dan Vietnam ) dan  ia dimaklumkan tidak diketahui oleh ahli Parlimen sendiri.

Suatu ketika dahulu kita dimomokkan globalisasi yang bakal menghancur budaya dan social kita. Malah Globalisasi bakal menleburkan harapan peniaga kecil bumiputera dan bukan bumiputera tempatan sekalipun.

Selepas GST dilaksanakan secara mendadak, bil dan bayaran servis dicukaikan tanpa penghebahan selepas BN mendapat mandate, kini TTPA pula yang bakal dihadiahkan kepada rakyat. Baru-baru ini kerajaan BN Kedah yang dijulang oleh kaum melayu atas nama kerajaan melayu Islam itu ingin pula melaksanakan AES yang bakal mencengkam rakyat selepas mereka menerima beberapa kali BR1M. 
Inilah tabiat asasi BN yang kerap kali memperdaya rakyat kita terutama di pendalaman dan separa pendalaman. Adalah menjadi tugas kita terutama petugas penerangan untuk terus member ilmu, info dan fakta yang sahih untuk mencerdikkan rakyat yang telah terpana dengan ganjaran RM 500 sebanyak 2-3 kali.


*Penulis adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng

 



Monday, July 15, 2013

DAKWAH GAYA AL-BANA

Pada zaman dunia di hujung jari ini, sangat jarang kita menjumpai para pendakwah Islam dan tokoh ulama masa kini yang benar-benar memahami adab ikhtilaf seperti kefahaman yang dilumati oleh As Syahid Imam Hasan al-Banna. Beliau mentarbiyah para pengikutnya dengan fahaman jernih. Ini kerana keinginannya yang sangat kuat melihat kesatuan umat Islam, dan usahanya yang bersungguh-sungguh, diiringi kesedarannya menyatukan gerakan Islam.

Biarpun usaha beliau tidak sepenuhnya terlestari pada zaman ini, sekurang-kurangnya beliau dapat menyatukan usul dan fahaman Islamiyyah dalam gerakan dakwah. Dalam hubungan ini beliau telah membina – Usul 20 – yang terkenal menjadi rujukan seluruh gerakan Islam di seluruh dunia.

Hasan al-Banna mengakui bahawa perbezaan pendapat dalam perkara-perkara furu' dan hukum-hukum amaliah tidak mungkin dapat dihindarkan. Oleh itu, beliau telah mengutarakan masalah ini pada beberapa risalah dakwahnya. Sungguh indah dan banyak memberi faedah. Pada risalahnya yang bertajuk – Dakwatuna (Dakwah Kita) – beliau berbicara tentang ciri-ciri dakwah adalah bersifat umum, tidak hanya disalurkan secara selektif, tidak memihak kepada pendapat yang mahsyur di kalangan manusia dengan corak yang tertentu sahaja, tetapi tepat menuju kepada inti agama dan jiwanya, bercita-cita untuk menyatukan matlamat sehingga amal yang dilakukan menjadi lebih positif dan hasilnya menyeluruh.

Imam Hasan al-Banna bersama kebenaran di mana-mana sahaja, beliau gemar melakukan permuafakatan dan benci kepada anasir pertikaian melampau dalam masyarakat Islam. Baginya, cubaan yang paling berat kepada umat Islam ialah perpecahan dan pertikaian, sedangkan asas kemenangan itu ialah kesatuan. Natijah tidak akan berakhir dengan baik kepada gerakan Islam yang berpecah, melainkan jika mereka memulakan langkah awal dengan perpaduan dan ukhuwwah.

Sesungguhnya Imam Malik RA telah berkata kepada Abu Ja'afar, “Para Sahabat Rasulullah SAW telah bertebaran di beberapa buah kota. Di setiap perkampungan masing-masing mempunyai ilmu (hujjah) tersendiri, maka apabila engkau hanya mengagungkan satu pendapat sahaja nescaya akan berlaku fitnah.”

Lihatlah Imam As Syafi'e RA membentuk mazhab qadim di Iraq, kemudiannya membentuk mazhab jadid di Mesir. Kedua-dua aliran pandangan itu diambilnya dengan apa yang terang dan nyata, beliau berusaha dengan sesungguhnya (berijtihad) supaya umat Islam berada dalam kebenaran. Ijma’ atas perkara furu' adalah tuntutan yang mustahil, bahkan tidak mungkin berlaku dengan tabiat agama ini.

Manakala Syeikh Muhammad al-Ghazali menyebut mafhumnya, “Allah menghendaki bagi fikah agama ini sejalan dengan perkembangan semasa. Dengan itu para pemuda hendaklah bersifat lembut, tidak jumud, tidak terlalu rigid (melampau) terhadap satu-satu pandangan.”

Para Sahabat juga berbeza pendapat sekalipun mereka orang yang paling dekat dengan Rasulullah, dan paling tahu mengenai qarinah-qarinah hukum. Lalu mengapa pula halnya kita bertegang urat, bersumpah seranah dalam perkara yang remeh temeh yang tidak ada kepentingannya?

Para imam mazhab, manusia kurniaan Allah yang paling alim tentang Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya, turut berbeza pendapat antara satu sama lain, lalu kenapa kita tidak berlapang dada seperti mereka?

Inilah pendapat Imam Hasan Al Banna tentang perbezaan pendapat dalam masalah fikah dan inilah pendiriannya yang menunjukkan kefakihannya dalam hal agama, sejarah dan realiti yang berlaku kepada umat Islam. Di antara pendirian bersifat amaliyah yang diceritakan mengenainya (Imam Hasan), bahawa beliau pergi menziarahi salah sebuah kampung untuk menyampaikan ceramah. Kebetulan hari itu bulan Ramadan. Penduduk kampung di situ telah berpecah kepada dua golongan yang saling berselisih-faham tentang jumlah rakaat solat Tarawih.

Adakah 20 rakaat sebagaimana yang dilakukan semasa pemerintahan Umar dan terus diikuti oleh manusia berabad-abad selepasnya, ataupun 8 rakaat sahaja sebagaimana telah warid dari perbuatan Baginda Nabi SAW?

Pendapat yang bertentangan dianut dengan fanatik oleh tiap-tiap golongan sehingga menyebabkan mereka berkelahi kerana masing-masing mendakwa bahawa kebenaran berada di pihaknya. Akan tetapi Hassan Al Banna menghadapkan kepada mereka beberapa persoalan.

“Apakah hukum solat tarawih?”

“Sunat, diberi pahala orang yang memperbuatnya dan tidak diseksa orang yang meninggalkannya”,  jawab mereka.

Beliau bertanya lagi, “Apakah hukum memelihara ukhuwwah sesama Islam?”

“Wajib (menjaga ukhuwwah) kerana ia merupakan urat dari sendi-sendi iman”, jawab mereka.

Lalu Imam Hasan al-Banna meneruskan penerangannya daripada hasil jawaban mereka, “Adakah wajar dalam syariat Allah yang suci ini, kita abaikan yang wajib kerana hendak memelihara yang sunat? Seandainya kamu tetap memelihara ukhuwwah dan perpaduan kamu, dan kamu balik ke rumah kamu agar tiap-tiap orang daripada kamu mengerjakan solat tarawih mengikut bilangan yang dianggapnya lebih kuat dalilnya, 8 rakaat ataupun 20 rakaat, itu adalah lebih baik daripada kamu berbantah-bantah pada perkara yang tidak ada mustahaknya.”

Dengan kalimah yang lain Imam Hasan al-Banna menegur kaum Muslimin ketika itu, “Mengapa kalian terlalu fanatik mempertahankan kaedah-kaedah fikah sementara akhlak dan adab dilupakan?”

Kisah ini turut dinaqalkan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam salah satu tulisannya “Sohwatul Islamiyah Bayna Juhud wa Tatorruf”. Beliau menceritakan bahawa pernah diceritakan peristiwa ini kepada seseorang, tetapi persoalan lain pula ditujukan kepadanya, “Kenyataan (Imam Hasan al-Banna) adalah petanda melarikan diri dari kebenaran, sedangkan menjelaskan sunnah yang sebenar ialah menjauhkan diri dari bid'ah sebagai urusan yang wajib dipertahankan.”

Lalu Dr Yusuf Al Qaradawi menjawab, “Perkara ini adalah luas terlalu banyak sendi-sendi yang perlu diperbahaskan, dan saya walaupun mengerjakan solat tarawih hanya 8 rakaat, tetapi saya tidak mengatakan bid'ah kepada orang yang mengerjakan solat tarawih sebanyak 20 rakaat.”

Kemudian itu pemuda itu berkata lagi, “Tetapi memastikan kesahihan sesuatu hukum itu adalah wajib dan tidak sepatutnya kita lari menyatakan kebenaran.”

Dr Yusuf Al Qaradawi menjawab, “Benar anak muda, apabila perkara itu berkisar di antara yang halal dan yang haram, di antara yang hak dengan yang batil. Adapun perkara-perkara yang menjadi perselisihan pendapat dalam aliran-aliran fikah, di mana masing-masing mempunyai hujah yang pelbagai, dan perkara itu biasanya berkisar di antara yang harus dan yang lebih afdhal, maka tidak ada sebabnya kita bersikap keras dan menyusahkan orang untuk berpegang dengan satu pendapat sahaja.”

tarbawi.com 

Monday, June 24, 2013

MEMBISU KEPADA KEMUNGKARAN

Firman Allah SWT menerusi ayat 54 Surah al-Baqarah yang bermaksud : 

"Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.

Ia berlaku dalam satu peperangan yang dijadikan Allah SWT dan mengikut riwayatnya, mereka tidak sanggup melihat muka masing-masing. Akhirnya Allah SWT jadikan gelap, dengan itu mereka mengamuk antara satu sama lain tanpa ada sebarang perasaan belas kasihan lagi.

Riwayat pula menyebut, yang tidak menyembah patung anak lembu memegang senjata lalu membunuh mereka yang menyembah patung tersebut.

Riwayat yang terdahulu daripada itu menyebut, bahawa orang yang menyembah dan tidak menyembah patung tersebut kedua-dua belah pihak terkena hukuman belaka.

Sebab apa mereka semua dikenakan hukuman? Sebab yang jelas ialah kerana mereka tidak menyembah patung dan kerana mereka berdiam diri dari terlibat menyekutukan Allah dengan menyembah patung tersebut.

Firman-Nya lagi dalam ayat 79 surah al-Maidah yang bermaksud : "Mereka sentiasa tidak berlarang-larang (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi seseungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka lakukan."

Mereka mendiamkan diri terhadap kemungkaran tersebut. Mereka tidak setuju tetapi hanya sekadar benci di dalam hati sahaja. Oleh kerana itulah kepada umat Nabi Muhammad ini, baginda s.a.w berpesan dengan maksudnya: " Sesungguhnya di kalangan kamu yang melihat perkara mungkar, hendaklah dia mengubah dengan
tangannya, kalau tidak berkuasa mengubah dengan tangan ,maka dengan lidah, kalau tidak berkuasa dengan lidah, maka benci di dalam hati, itulah tanda selemah-lemah iman." Mengikut satu riwayat lain dan tidak ada selepas daripada itu iman walaupun sebijik sawi.

Ertinya kalau benci di dalam hati tidak ada, maka bererti bersetujulah dengan kemungkaran yang berlaku. Berhubung dengan ini, ada ulama mentafsirkan mengubah dengan tangan ini ialah mengubah dengan kuasa kerajaan terhadap rakyatnya.

Apabila kerajaan itu melihat kemungkaran berlaku dan mestilah mengubah kemungkaran itu dengan kuasa yang ada padanya kecuali kalau kerajaan itu sendiri yang melakukan kemungkaran (atau menyuburkan pelbagai kemungkaran).

Kalau tidak berupaya dengan tangan, maka hendaklah mencegah kemungkaran itu dengan lidah. Mencegah kemungkaran dengan lidah ini menjadi tanggungjawab dan

kewajipan para ulama yang tahu hukum Allah. Mereka tidak boleh mendiamkan diri atau sekadar benci dalam hati sahaja.

Yang mencegah kemungkaran di dalam hati ialah orang yang tidak tahu bagaimana cara berhujah dengan orang yang terlibat dengan kemungkaran. Kalau mengerti berhujah, maka menjadi tanggungjawab kepada orang yang berkenaan untuk berhujah.

Berilmu di sini bukan bererti menimba ilmu sebanyak-banyaknya sampai bertaraf ulama atau sampai ke peringkat dapat mentafsirkan al-Quran, tahu menguasai bahasa al-Quran sehingga dapat membezakan hukum-hukum dalam al-Quran dengan jelas, baru kboleh kita berhujah dengan manusia.

Sekurang-kurangnya kita boleh memberi nasihat mengikut kadar ilmu masing-masing termasuk mengubah dengan lidah dan tulisan. Kalau tidak mampu dengan itu semua, maka barulah benci di dalam hati.

Umpamanya, dia tidak ada daya dan kemampuan, maka ketika itu dia hendaklah benci di dalam hati dan melahirkan perasaan kebenciannya terhadap kemungkaran yang berlaku.

Cara kita tidak setuju kemungkaran bermacam-macam, seperti kita melakukan pemulauan, tidak menegur mereka yang terlibat atau seumpamanya yang menunjukkan kita tidak setuju dengan kemungkaran yang dilakukan. Inilah cara yang diajar oleh Islam dan diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Yang terpilih masih buruk akhlaknya

Tidak ada sebarang penentangan daripada Bani Israil apabila melihat ada di kalangan kelompok mereka menyembah lembu yang dibuat oleh Musa as-Tsamiri.

Mereka berdiam diri terhadap kemungkaran yang dilakukan itu kerana mereka menjadikan keluarga sebagai asas kepada tidak perlunya sebarang pencegahan atau larangan terhadap perbuatan tersebut.

"Bagaimana mahu menetang mereka kerana mereka adalah puak kita, kalau Firaun melakukannya barulah kita tentang. Ini bukan Firuan tetapi Bani Israil, orang kita," mungkin inilah antara hujah mereka dalam masalah ini.

Kalau kita kaitkan dengan orang Melayu pula, kita mungkin akan berkata: "Tidak boleh marah kepada orang Melayu sebab mereka sebangsa dengan kita, lainlah kalau mereka bangsa lain." Inilah umpanaya perangai Bani Israil, mereka mendiamkan diri apabila mereka melihat kemungkaran itu berlaku dalam kelompok mereka.

Dengan sebab itu, Allah SWT mendera atau menghukum mereka dengan hukuman yang layak dengan perbuatan mereka iaitu dengan cara mereka membunuh anatar satu sama lain sehingga Nabi Musa a.s berdoa kepada Allah (bermunajat kepada Allah) apabila mayat bergelimpangan, mengikut riwayatnya sampai 70,000 orang mati di dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai itu.

Nabi Musa bermunajat kepada Allah supaya mengampunkan dosa mereka sambil berasa sedih melihat keadaan mayat-mayat tersebut.

Allah SWT mengampunkan dosa mereka dan yang mati disifatkan sebagai mati syahid lalu mereka masuk syurga. Manakala yang masih hidup diampunkan dosa-dosa mereka. Firman Allah SWT menerusi Ayat 54 Surah al-Baqarah yang bermaksud : "Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima Taubat), lagi Maha Mengasihani."

Allah menceritakan tentang kedegilan nenek moyang Bani Israil supaya kaum itu mengingati kedegilan mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan ketika kamu

berkata kepada Nabi Musa a.s : Di mana mereka berkata, inilah kaum Nabi Musa iaitu 70 orang yang telah dipilih olehnya supaya mengikutinya pada masa bermunajat kepada Allah SWT. Mereka inilah yang terpilih di kalangan Bani Israil tetapi sayangnya yang terpilih inipun perangainya masih buruk.

-daripada buku 'Umat yang dimurkai' Kuliyyah tafsir Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, muka surat 8-15, cetakan 1998


IBRAH PERANG HUNAIN

Dengan pembebasan kota Makkah, jatuhlah sudah kerajaan berhala di tanah hijaz. Bangsa Arab mulai tunduk kepada Islam, dan mereka berduyun-duyun masuk ke dalamnya. Suku Hawazin yang mendengar peristiwa itu, merasa bimbang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam akan mengerahkan pasukan kepada mereka. Mereka pun bersatu untuk menyerang baginda. Peristiwa ini pun meletus di Hunain, sebuah lembah yang terletak antara Makkah dan Thaif, pada bulan Syawal tahun ke-8 Hijrah.

Sebab-sebab Peperangan


Setelah Allah Subhanahuwata’la memberi kemenangan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan kaum mukminin dengan takluknya Makkah, serta tunduknya masyarakat Quraisy, penduduk Tsaqif dan Hawazin pun ketakutan. Mereka yakin bahwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentu akan menyiapkan pasukan menyerang mereka. Maka sebelum itu terjadi, mereka bertekad untuk mendahului serangan.

Akhirnya mereka bersepakat untuk itu dan mengangkat Malik bin ‘Auf An-Nashry sebagai panglima perang. Dia seorang pemuda berusia sekitar 30 tahun dan dikenal sebagai ahli perang. Maka  berkumpullah suku Hawazin, Tsaqif, Bani Hilal, Bani Jusyam, dan lain-lain. Di antara mereka ada Duraid bin Ash-Shimmah yang terkenal sangat ahli dalam peperangan, pendapat dan taktiknya sangat jitu. Tetapi dia sudah sangat tua dan buta, sehingga hanya dapat memberikan saranan dan arahan.

Adapun strategi yang diatur oleh Malik, sangat berbeza dengan keinginan Duraid. Malik berpendapat agar mereka membawa serta semua anak dan isteri juga harta benda. Menurut Malik, apabila seorang perajurit mengetahui sesuatu yang berharga dalam hidupnya (keluarga dan harta) ada di belakangnya, kalaupun terjadi kekalahan, dia tidak akan mungkin meninggalkan mereka jatuh ke tangan musuh. Sehingga dia akan berjuang sampai mati mempertahankan harta dan keluarganya.

Ketika hal ini didengar oleh Duraid, dia bertanya kepada Malik: “Ada apa ini, saya mendengar suara anak-anak, kaum wanita, dan binatang ternak dalam pasukanmu?”

Kata Malik: “Saya ingin menempatkan di belakang setiap laki-laki ada anak, isteri, dan harta mereka agar dia berperang mempertahankannya.”

Duraid berkata mencemuh: “(Itulah) penggembala kambing, demi Allah. Bukan untuk perang. Apakah itu akan dapat membela orang yang kalah? Sungguh, kalau kamu menang, itu semua tidak berguna bagimu selain laki-laki dan senjata. Kalau kamu kalah, berarti kmu telah mempermalukan keluarga dan hartamu.”

Tetapi Malik tetap dengan pendiriannya. Bahkan mengancam: “Wahai masyarakat Hawazin, kalau kalian tidak mentaatiku, aku akan bunuh diri di depan kalian.”

Orang-orang Hawazin terkejut, mereka berbisik satu sama lain: “Kalau kita tinggalkan Malik, dia bunuh diri padahal dia masih muda. Tapi kalau kita ikuti Duraid, dia sudah tua, tidak ada lagi perang bersama dia.”

Akhirnya mereka memilih Malik. Kemudian Malik berpidato membakar semangat pasukannya: “Sungguh, Muhammad belum pernah berperang sama sekali sebelum ini. Selama ini dia hanya melawan orang-orang yang tidak tahu bagaimana berperang, sehingga dapat mengalahkan mereka. Maka jika kamu bertemu mereka, pecahkan sarung pedang kamu dan seranglah mereka secara serentak dan tiba-tiba!!”

Akhirnya mereka pun berangkat membawa serta puluhan ribu ekor unta. Malik memerintahkan agar kaum wanita dan anak-anak diletakkan di atas unta-unta tersebut. Dengan cara ini, Malik sudah menjatuhkan mental lawan yang melihatnya kerana mereka akan mengira di belakangnya ada ratusan ribu pasukan. Taktik ini adalah salah satu sebab kemenangan Hawazin pada awal pertempuran.

Malik membawa pasukannya hingga tiba di lembah Hunain. Daerah ini sudah sangat dikenal oleh Malik sehingga dia dengan mudah menempatkan pasukannya untuk memusnahkan kaum muslimin dengan sekali serangan.

Malik mulai membagi pasukannya. Lembah dan bukit-bukit di sekitarnya menjadi tempat persembunyian dan perangkap yang sangat baik. Apabila lawan termasuk ke lembah, maka pasukannya yang ada di kanan kiri bukit akan menghujani mereka dengan panah dan batu. Apalagi perajurit Hawazin terkenal sebagai ahli panah dan tombak.

Persiapan Kaum Muslimin

Sebelum berangkat, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjuk ‘Attab bin Usaid bin Abil ‘Uaish bin Umayyah yang ketika itu berusia sekitar 20 tahun tinggal di kota Makkah sebagai ketua dan Mu’adz bin Jabal sebagai pengajar bagi penduduk Makkah.

Setelah Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam mendengar rencana penyerangan Hawazin ini, beliau mengirim ‘Abdullah bin Abi Hadrad sebagai mata-mata mengintai sejauh mana kesiapan orang-orang kafir tersebut. Lalu berangkatlah ‘Abdullah dan tinggal di tengah-tengah mereka sehari semalam atau lebih.

Tidak lama kemudian, ‘Abdullah kembali menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan menceritakan apa yang dilihatnya. Tetapi boleh jadi maklumat yang disampaikannya tidak lengkap. Ada beberapa hal yang tidak tersampaikan oleh ‘Abdullah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam termasuk taktik perang yang akan dilancarkan oleh Malik. Sehingga kurangnya maklumat ini menjadi salah satu sebab mundurnya pasukan muslimin pada awal pertempuran.

Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam mulai menyiapkan pasukan. Terkumpullah 10.000 orang yang sebelumnya ikut bersama beliau dari Madinah untuk membebaskan Makkah. Kemudian ditambah dua ribu orang daripada penduduk Makkah yang baru masuk Islam.

Beliau juga meminjam beberapa puluh baju besi dan senjata kepada Shafwan bin Umayyah dan Naufal bin Al-Harits yang ketika itu masih musyrik.

Kisah Dzatu Anwath


Dahulu, orang-orang kafir Quraisy dan bangsa Arab lainnya mempunyai sebatang pohon sidr (bidara) yang sangat besar bernama Dzatu Anwath. Kebiasaan mereka dahulu, selalu menziarahinya setiap tahun dan menggantungkan senjata mereka di atas pohon itu, mengharapkan berkahnya. Mereka juga melakukan penyembelihan haiwan korban dan bertafakur selama satu hari di bawah pohon itu.

Ketika Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam berangkat menuju Hunain, mereka melewati sebatang pohon yang dipuja oleh kaum musyrikin bernama Dzatu Anwath. Mereka menggantungkan di atasnya senjata-senjata mereka.

Maka mereka pun berkata: “Ya Rasulullah, buatkanlah untuk kami Dzatu Anwath sebagaimana mereka punya Dzatu Anwath.”

Mendengar perkataan ini, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berseru: “Subhanallah (Maha Suci Allah). Ini adalah ucapan yang sama seperti diucapkan Bani Israil: ’Buatlah untuk kami sebuah sesembahan sebagaimana mereka mempunyai beberapa sesembahan’.”

“Sungguh ini betul-betul sunnah. Kamu sungguh-sungguh akan mengikuti sunnah (jalan hidup) orang-orang sebelum kamu, sedemikian rapatnya.” (HR. At-Tirmidzi dan Ahmad)


Riwayat ini menunjukkan bahwa orang yang selama ini hidup di lingkungan yang rosak, lalu berpindah daripada lingkungan tersebut, masih tersisa dalam dirinya sebahagian daripada lingkungan buruk itu. Apalagi yang belum lama meninggalkan lingkungan buruk tersebut. Dan kita mesti ingat, kalau para sahabat yang baru masuk Islam saja demikian keadaannya, padahal mereka mendapat bimbingan langsung di bawah Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka bagaimana dengan orang-orang yang datang sesudah mereka, yang lebih jahil dan lemah daripada mereka.

Kenyataan ini juga menunjukkan kepada kita betapa jijiknya kejahilan (terhadap ilmu agama). Seseorang itu mungkin saja terjerumus ke dalam kesyirikan kerana kejahilannya.

Pernyataan Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam bahwa perkataan mereka itu adalah sunnah yang pernah dijalani oleh umat sebelumnya, memberi pengertian pula bahwa sebab yang menjerumuskan mereka dalam perbuatan syirik ini adalah tasyabbuh (meniru) kepada apa yang dianut oleh kebanyakan orang ketika itu.

Dari kisah ini pula kita pahami batilnya tabarruk (meminta berkah) kepada pohon-pohn kayu dan batu, kerana itu semua adalah perbuatan syirik. Apalagi Nabi Musa ‘Alaihissalam berkata, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:

“Patutkah aku mencarikan sembahan untuk kamu yang selain daripada Allah.” (Surah al-A’raf : ayat 140)

Demikian pula ungkapan yang diucapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau menyamakan ucapan sebahagian sahabat yang baru masuk Islam itu sama seperti perkataan Bani Israil kepada Nabi Musa; kerana itulah hakikat kesyirikan meskipun lafaznya berbeza.

Seperti ini juga yang dilakukan oleh para penyembah kubur. Iaitu orang-orang yang meminta syafaat, berkah, rezeki, jabatan dan sebagainya kepada para penghuni kubur. Mereka mengatakan bahawa perbuatan mereka adalah tawassul dan mencintai wali, bukan syirik. Padahal sesungguhnya, para wali Allah Subhanahuwata’ala tidak redha diperlakukan demikian rupa oleh mereka.

Dari kisah ini juga kita lihat para sahabat dan Bani Israil tidak dikafirkan. Sebab, mereka segera berhenti dan tidak mewujudkan apa yang mereka minta kepada dua rasul yang mulia ini. Seandainya mereka tetap melanjutkan apa yang mereka minta, nescaya mereka jatuh kepada kekafiran.


(Ustaz Abu Muhammad Haris)


Monday, April 1, 2013

EPIK OF MACAI STORY

Tahun 1998 Anwar telah dipecat. Anwar kemudian bangkit dgn pelbagai istilah kezaliman BN seperti korup, kronisme dan nepotisme. Dan waktu itu rakyat bangkit menguasai media alternatif melalui teknologi internet. Bangkit melalui pelbagai genre penulisan di Blog dan Wordpress.

Pada tahun 2000, selepas jatuh beberapa negeri kepada pembangkang, UMNO mula sedar kekuatan rakyat. Bagi menangkis kritikan ramai terhadap pelbagai penyelewengan, kerajaan UMNO berhasil merekrut sekumpulan individu bagi tugas khas tersebut. Mereka dibayar melalui dan Apco milik zionis.
Tugas mereka ialah mesti 'mengcover' penyelewengan UMNO secara konsisten walau terpaksa mengorbankan nyawa.

Pertengahan 2000, team pro-pembangkang mula menghidu aktiviti tak bermaruah. Lalu untuk membezakan antara kedua-dua pihak ni, lahirlah perkataan 'macai' yg dituju khas buat sekutu UMNO.

Pada tahun 2004, pasukan Macai berjaya mengimbangi kekuatan pro-rakyat sehingga pembangkang kalah teruk. Macai meneruskan usaha mereka menghentam bertubi-tubi tokoh-tokoh pembangkang.

Tahun 2007, team pro-pembangkang pembangkang berjaya memenangi semula rakyat. Rakyat sedar dan simpati terhadap fitnah melampau puak Macai.

Tahun 2008, tsunami politik berlaku menyebabkan 5 negeri jatuh kepada pembangkang. Macai mula gelisah dengan situasi ini dan cuba untuk bangkit

Kini di tahun 2013, team pro-rakyat mula menguasai semula media alternatif. Kepalsuan Macai-macai mula terdedah. Beberapa macai berjaya dikesan dan bakal hadapi beberapa tindakan saman. Dan macai-macai ini dijangka berkubur bersama-sama tuan-tuan mereka pada PRU13 nanti..

Wednesday, March 20, 2013

PERANG YANG SATU LAGI

Hakikatnya, pilihanraya setiap 5 tahun yang tak serik-serik PAS sertai ini adalah hasil dari keputusan Ulama dulu. Di Tanah Melayu ketika itu, barisan Ulama pendokong gerakan Hizbul Muslimin @ MATA sepakat memilih pilihanraya sebagai medan juang yang baru. Untuk itu mereka sanggup bersabar dengan kaedah demokrasi yang kali ini barat sebagai penganjurnya. Kesepakatan ini terlebih dahulu diteliti dan dirujuk kepada ijtihad Ulama sedunia waktu itu.

Apabila runtuhnya tembok kerajaan Turki Uthmaniah, barat seterusnya menguasai dunia, walaupun masih wujud tentangan kecil diseluruh dunia (cari kisah Tok Janggut, Mat Kilau, Abdul Rahman Limbong dsb). Majoriti Umat Islam terpaksa akur mereka semakin tak bermaya. Situasi ini mendesak pimpinan-pimpinan Islam saat itu memutuskan untuk keluar dari pengaruh gerila setelah memikirkan kerosakan lebih teruk yang telah berlaku. Apabila pilihan diputuskan, skrip demokrasi yang direka barat terpaksa diikuti. Masih boleh berperang tapi semuanya terlebih dahulu perlu mendapat 'lesen' dari PBB.

Keputusan untuk menggunakan pilihanraya sebagai wasilah/jalan untuk menegakkan Deen Islam ini asalnya telah 'direform' Ikhwanul Muslimin di Mesir melalui kerja kuat Imam Hasan AlBana. Maka tertubuhlah pelbagai jenis parti yang berasaskan Islam. Di Tanah Melayu, parti Hizbul Muslimin menjadi pelopor kepada kebangkitan semula Umat Islam. Namun sehingga hari ini gerakan Islam seperti ini masih tetap menjadi sasaran blok barat hingga ramai pejuangnya dibunuh, dipenjara dan seumpamanya. Hizbul Muslimin turut senasib Ikhwanul Muslimin apabila parti tersebut diharamkan dengan alasan dirasuk komunis.

Setelah puluhan tahun penggerak parti-parti Islam ini berjuang, kesan kesabaran mereka, akhir-akhir ini hikmahnya mula terhasil. Gerakan Islam sudah berupaya menekan kuasa barat yang didokong musuh. Gerakan Islam berjaya memanipulasikan demokrasi ala-barat dengan menawarkan demokrasi sebenar berasas Islam.

Mesir sekali lagi mengejutkan dunia apabila parti serpihan Ikhwan Muslimin pimpinan Mursi berjaya memenangi hati rakyat yang sekian lama pemikiran mereka dijajah barat. Kebangkitan di Mesir sekali lagi memberi kesan kepada umat Islam seluruh dunia. Umat Islam mula sedar kekorupan demokrasi barat terhadap mereka.

Di Malaysia, serpihan Hizbul Muslimin, Parti Islam Semalaysia (PAS) mengambil alih peranan untuk memperjuangkan nasib buruk umat Islam dibawah tekanan puak nasionalis UMNO (United Malayan National Organisation). Umat Islam mula menyokong kesabaran PAS yang telah berpuluh tahun menerima kekalahan dalam pilihanraya. Sebelum ni pejuang PAS pernah dilabel pengganas, tuduhan sesat, mengotorkan masjid dengan politik dan pernah juga dilabel komunis. Dibunuh, dikurung dan disekat secara total. PAS kekal bersabar hinggalah parti 'tok lebai' itu kini berdiri disisinya beribu-ribu ulama dan professional.

Untuk pilihanraya 2013, PAS kelihatan gagah bersedia untuk menerajui kebangkitan seluruh kemajmukan rakyat malaysia. PAS telah berjaya menyahut perjuangan dulu yang tidak memilih perang gerila untuk memilih 'perang yang lagi satu' yang diakui sama objektifnya. Tidak lain dan tidak bukan ianya 'perang pilihanraya' yang semata-mata untuk kembalikan daulah Islamiyah. Allahuakbar!!

Monday, March 18, 2013

KEBANGKITAN ABABIL II : STRATEGI AHZAB

Di dalam peperangan Khandak yang juga dikenali sebagai perang Ahzab, Nabi Muhammad S.A.W bersama Para Sahabat merangka pelbagai strategi dan gerak kerja, bukan hanya duduk bersahaja menunggu mukjizat ‘Ababil’ dari Allah Taala. Sekalipun pada waktu itu mereka dikepung, jumlah mereka sedikit dan sumber makanan dicatu. Tetapi hal itu tidak menyebabkan mereka putus harap, malah berusaha mencapai kemenangan. Para Sahabat tidak sekadar bermesyuarat dan mencetuskan gimik-gimik strategi, tetapi gerak kerja adalah kesinambungan dari kemenangan dalam peperangan tersebut. Tiada elemen-elemen perkauman dan nasionalis, apabila cadangan Salman yang berbangsa Farsi itu diangkat Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat sebagai strategi kemenangan.

Kaum Muslimin dibahagikan kepada beberapa kelompok, tiap-tiap 10 orang ditugaskan menggali parit sepanjang 40 hasta. Semuanya berusaha menggali kawasan masing-masing dengan penuh kesungguhan dan Baginda S.A.W turut merangsang dan menyertai mereka.Tiada seorang musyrikin-pun yang mampu melepasi jarak parit tersebut kecuali semuanya terbunuh dek panah yang meluncur laju dari busur tentera Muslimin. Para tentera Muslimin pula dengan sabar menanti kesilapan yang bakal dilakukan oleh musuh-musuhnya, sekalipun pada waktu itu mereka sengsara menahan kelaparan.

Manakala Nu'aim bin Mas’ud dari Bani Ghatafan (salah satu kabilah Yahudi) yang telah masuk Islam tanpa pengetahuan kaumnya, telah ditugaskan oleh Rasulullah S.A.W untuk memporak-perandakan musuh dengan kecerdikan dan tipu-muslihat. Bangsa Ghatafan di-domba oleh Nu’aim agar meragui kafir Quraish, sebaliknya bangsa Quraish turut dihasut supaya tidak percaya kepada Bani Ghatafan sehingga menyebabkan mereka saling curiga-mencurigai. Kata Rasulullah S.A.W kepada Nu’aim, “…Perdayalah mereka semampumu, kerana perang itu adalah muslihat dan tipu daya” (rujuk Al Bidayah wan Nihayah jilid 4 hal.13)

Selepas itu, Rasulullah S.A.W mengadu kepada Allah, “Ya Allah! Tuhan yang menurunkan Al Quran, lakukan segera perhitungan, hancurkanlah tentera Ahzab. Ya Allah! Hancurkan mereka dan berilah kemenangan kepada kami”.

Doa Rasulullah S.A.W dijawab dengan deruan angin lintang, keras dan mencengkam, menghentam dan menerjah ruang gelita malam sehingga menyebabkan musuh Islam kelam-kabut dan takut dengan bayang-bayang sendiri. Akhirnya mereka mengundurkan diri dan generasi terbaik yang ditarbiyah Baginda Nabi ini menerima kemenangan dari Allah Taala. Itulah ‘Ababil’ yang dikurniakan Allah kepada umat Baginda S.A.W setelah dibuktikan dengan ukiran usaha dan gerak kerja. Yakinlah umat Islam pasti menang, tetapi mestilah ia dilengkapkan dengan syarat-syarat kemenangan, “Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!

Akhirnya sekali lagi ditegaskan, kita bukan lagi di zaman Abrahah, iaitu suatu zaman yang menghasilkan kemenangan dari Allah tanpa keringat dan syarat. Tetapi kita adalah umat yang berada di zaman Rasulullah S.A.W yang mengisyaratkan kemenangan hanya setelah didokongnya syariat.

Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W, banyak peristiwa murtad berlaku di tanah Arab malah ada yang mengaku dirinya utusan Allah setelah perginya Al Amin umat ini. Seramai 10’000 mengekor ajaran songsang yang dibawa oleh Musailamatul Kazzab, beserta kesesatan yang bermaharajalela itu tidak pula kelihatan kelibat ‘Ababil’ yang menurunkan batu dari sijjil. Tetapi yang muncul ialah pemuda yang sangat mencintai para Mukminin, membenci kekufuran yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah. Melalui perintah Khalifah pertama Rasulullah S.A.W, Abu Bakar As Siddiq mengarahkan Khalid bin Al Walid membersihkan najis murtad, Musailamah beserta pengikutnya.

Pada tahun 492 H (1099 M), tanah Palestin dikepung, seramai 70’000 orang Islam dibunuh oleh tentera Salibiyyah. Namun, tidak juga kelihatan ‘Ababil’ yang mewakili tentera Allah, membawa kerikil panas dari sijjil. Tetapi yang muncul ialah pemuda yang sangat optimis dengan kemenangan Islam, hidup dan matinya di medan perjuangan menegakkan kalimah Allah. Dia adalah Salahuddin Al Ayyubi dan bersamanya tentera mujahidin yang membersihkan Baitul Maqdis dari penindasan dan kezaliman Salibiyyah.

Kemudian Tatar melanyak Baghdad pada 656 H, berjuta-juta mangsa terbunuh dalam tempoh 40 hari. Kala itu para penguasa dipenggal kepala, kanak-kanak menjadi yatim, isteri-isteri menjadi janda, anak-anak gadis dipaksa menanggung benih onar tentera kejam yang dikepalai Hulago Khan, Jeneral Monggol yang dipuja sebagai dewa perang tak terkalah. Umat Islam mendekam beberapa tahun, dihina dan dipermainkan. Lalu penantian tersebut tidak juga menghasilkan siulan ‘Ababil’, yang membawa batu berapi dari sijjil. Sebaliknya seorang pemuda yang mencintai Rasulullah S.A.W, yang meletakkan ulama sebagai penasihatnya, berhasil mengembalikan kewibawaan umat Islam dengan keyakinan dan semangat jihad. Dia adalah Saifuddin Qutuz.

Puak sesat Qaramithah pernah menawan Kaabah pada 8 Zulhijjah 317 H. Lebih dahsyat dari itu apabila lantai Kaabah dipenuhi darah, Hajarul Aswad dicabut dari tempat asalnya, mereka kencing sambil bertawaf dengan kuda, lalu sambil ketawa berdekah-dekah para pengikut ajaran Qaramithah yang diketuai Abu Tahir Sulaiman Al Janabi itu mengangkat Hajarul Aswad ke langit sambil mengeluarkan perkataan penuh kekufuran, "Di mana Ababil?"

“Di mana batu-batu dari sijjil?!

Dan tidak turun juga Ababil, tiada lontaran batu dari neraka sijjil. Sepanjang tahun pencabulan itu, umat Islam melaksanakan ibadah haji di Makkah tanpa Hajarul Aswad sehinggalah ia dipulangkan kembali pada tahun 339H.

Fahamilah, Islam agama yang menghasilkan natijah dengan gerak kerja, menumbuhkan tauhid dengan amalan, meletakkan asas kemenangan dengan syarat iaitu, "Jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan memberikan kemenangan dan meneguhkan pendirianmu!"

tarbawi.my