VOCALIST

Thursday, February 28, 2013

NEGARAWAN KONTROVERSI

Kalau dibuat undi popular untuk 'yang paling kontroversi' waktu ini, sah dua insan ni duduk dicarta tertinggi. Keduanya cukup 'untungkan' akhbar perdana dan TV Nasional. Rasanya kalau tiada cerita mereka, ada risiko bankrup firma kerajaan tadi. Kalau dihimpun kisah mereka, tidak mustahil satu jilid khas boleh dicetak. Dan setakat ini hanya yang kontroversi saja dikait dengan mereka. Maklumlah jiwa melayu ni cenderong ke gosip, sensasi dan kontroversi. Mantan TPM, Anwar nampak kontroversi tapi beliau pernah jugak dijulang sebelumnya. Ianya berbeza dengan kedua insan ini yang tidak ada cerita sedap. Ia luarbiasa.

Banyak 'dalil' menunjukkan kedua-dua tokoh ini luarbiasa bezanya berbanding pemimpin lain di Bumi Malaysia ini.
Namun tidak dinafikan ada yang sukar mengakui dengan masih meragui kemampuan mereka. Walau sukar sekalipun untuk mengangkat mereka ke status ulama, cukuplah mengiyakan tahap ilmu mereka.

Background Hebat

Keduanya memulakan hidup dengan begitu baik. Jelas usia mereka digunakan untuk manfaat yang baik termasuk menuntut ilmu dan menyampaikannya. Berkelana keluar negara bagi meneroka ilmu. Mereka sepatutnya sudah cukup bertauliah pada syarat zahirnya.

Komitmen masa muda dan keseluruhan hari tua mereka padat isiannya dengan usaha memberikan kefahaman berkenaan keunikan Deen Islam buat seluruh umat Islam di Malaysia khususnya. Keduanya memiliki 'aset' kuliah Jumaat peribadi. Dan paling terang dan nyata, mereka masing-masing memiliki dan mengasas sebuah institusi agama sendiri walaupun kata sesetengah orang, mereka sibuk 'berpolitik'.

Naskah Ilmu

Keduanya juga cemerlang menulis RATUSAN buah buku perihal Islam yang turut jadi bahan rujukan ilmiah para pencinta perjuangan Islam. Pada kedua-dua jalan dakwah ini (menulis dan berkuliyah), tidak berhenti peringatan mereka mengenai betapa pentingnya tertegak syariat Islam dinegara Malaysia. Dan jelas bukan semata-mata perihal perintah HUDUD.!

Bertaraf Malaysia

Selain itu mereka dijemput menjelajah KESELURUH ceruk negara bagi memenuhi permintaan seminar, ceramah, kursus dan berkhutbah atas medium untuk menyedarkan muslim mengenai beza antara perkara kebenaran dan kebatilan. Kedua mereka tekad nekad untuk meMERDEKAkan umat Islam Malaysia dari belenggu kemungkaran.

Keuntungan dunia akhirat

Usaha kedua-dua tokoh agama ini hingga ke hari ini menggamit jutaan penagih ilmu yang dahagakan kebenaran. Kegemilangan mereka juga diambil kesempatannya buat menguntungkan 'penerbit-penerbit' yang mengusahakan ucapan mereka dalam pelbagai bentuk media elektronik dan cetak. Amat merugikan sesiapa yang tidak mengambil peluang memanfaatkan ilmu mereka walaupun seinci ruang.

Tidak Mesra Tauliah

Kini dengan alasan 'memperguna agama untuk kepentingan politik' mereka terpaksa di 'anti-tauliah' kan namun, kepopularan mereka sukar lagi disekat. Walaupun ada ketika dituduh sesat tapi tiada seorang pun berani tampil mendakwa kesesatan mereka. Tiada satu tangkapan pun berlaku. 'Kesesatan' mereka hanya berdada di naskah-naskah nasional sahaja dan berakhir begitu sahaja. Oleh sebab itu, menunggu sesuatu kebaikan mengenai mereka didedah dimuka naskah-naskah tersebut seolah menanti bulan jatuh ke riba.

Konflik Berpanjangan

Diakui sudah lama kedua-duanya banyak mendatangkan 'ancaman' dan 'masalah' buat negara. Apa masalahnya? Kedua-duanya cuba menyuntik idea Islam dalam politik Malaysia. Mereka mencadangkan pemilihan pemimpin yang betul-betul 'beriman' dan sangat anti kepada kepimpinan zalim. Mereka membataskan sifat haloba, seleweng dan zalim pemerintah melalui persoalan azab kubur dan mahsyar yang patut digeruni siapa sahaja. Dan agak mengecewakan, mereka diposisi seteru kepada pemerintah yang sedang berkuasa kini.

Kedua-dua insan ini disegani Dunia Islam. Salah seorang dari mereka terletak ditangga ke 42 paling BERPENGARUH antara 500 tokoh Islam didunia. Sayangnya di negara 1Malaysia, mereka sentiasa dibawah pengaruh fitnah. Kedua mereka sedang dan pernah memegang Pemerintah dinegeri masing-masing. Berusahalah untuk mengenal batang tubuh keduanya. Mereka sudah semestinya Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang.

PERGINYA MURABBI KAMPUNG : HAJI SALEH HAJI SAID (1934-2013)

Urusan pengkebumian jenazah Allahyarham Tuan Guru Haji Saleh (Paklang) akhirnya sempurna kira-kira jam 12.15 tengahari. Tidaklah memeranjatkan bila melihat berduyun-duyun tetamu datang untuk memberi penghormatan terakhir. Ini kerana jasa pengorbanan almarhum yang telah mengabdikan hayatnya mendidik masyarakat sekitar.

Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab mengasas Taman Didikan Islam yang kini terkenal khasnya di Perak dengan nama Maahad Al-Tarbiah Al-Islamiah. Sehinggalah beliau menamatkan kerjaya guru kira-kira 5 tahun lalu atas masalah keuzuran.

Almarhum telah terlantar dirumah beliau selama 2 hari. Dan pada jam 5.30 petang Selasa 26hb Febuari bersamaan 16 Rabiul Akhir 1434, Almarhum telah menghembuskan nafas terakhir disamping anak-anak dan saudara mara terdekatnya pada angka 79. Kami selepas itu terus berdiskusi dan menyusun gerak kerja pengurusan jenazah.

Selepas solat Isyak hadirin mula memenuhi ruang surau untuk majlis tahlil yang dipimpin YDP Bukit Gantang, Ustaz Nordin. Kemudian seperti dirancang kami beramai-ramai menghabiskan 30 juzuk Al-Quran dirumah Allahyarham dengan diketuai Ustaz Daud. Hadirin kenalan tak putus-putus menziarahi Almarhum dan dilihat sehingga jam 1.00 pagi. Rata-rata merupakan anak murid beliau dulu.

Gerak kerja pada siang Rabu 27.2.13 telah dibahagi seadilnya. Ayahanda Paknjang Mat Ali menguruskan pemandian jenazah dengan dibantu En Puad dan anak-anak beliau. Tukang buat papan diserahkan kepada Pak Mansor dengan Mat Duan. Urusan lubang kubur diselesaikan oleh Pak Su Mat Aris dan Duan Gemuk. Dan semua gerak kerja sempurna dan lancar.

Pada jam 11.00 pagi, solat jenazah siri satu diimamkan oleh anak Almarhum sendiri iaitu Ustaz Firdaus dan untuk siri 2 diimamkan Ustaz Fakeh. Anggaran jemaah sekitar 500 orang lebih akibatkan surau tidak mampu menampung limpahan hadirin.

Selepas solat, jenazah Almarhum segera diusung skuad muda Sidang Senduk diketuai saudara Hamizan ke tanah kubur bagi proses pengkebumian. Masing-masing bergilir menyedekahkan tangan dan bahu sehingga jenazah selamat tiba. Jenazah Allahyarham Tuan Guru Haji Saleh akhirnya selamat disemadikan.

Cucunda Almarhum, Ustaz Sofiyuddin bersama Ustaz Fakeh dan Ustaz Ibrahim kemudian bergilir-gilir membaca talkin sebagai ingatan buat semua. Berakhirnya talkin menandakan selesailah sudah urusan jenazah seperti yang dituntut syariat. Dan berakhirlah hubungan Almarhum seluruh kariah Senduk dan kenalan beliau.

Kami kini mula mengimbas kelibat 'trademark' jubah kelabu Almarhum di surau kesayangannya. Posisi beliau dalam sof solat, semasa kuliah, bacaan yasin dan jamuan di ruang bawah surau. Gaya persiapan untuk program, menyusun pinggan mangkuk, jag basuh tangan dan mengira kembali penggunaan alatan. Ketelitian mengatur rangka khemah dibalai dan memastikan potensi pembesar dalam kondisi terbaik.

Dengan hanya berserban, Almarhum kekal setia ditemani kenderaan rasminya Honda cup 70cc AM1700 kemana saja termasuk siri-siri ceramah perjuangan. Beliau antara ahli PAS yang terawal di Senduk.

Kami lebih banyak melihat gerak kerja Almarhum berbanding suaranya. Dalam apa saja program beliau banyak mendahulukan tenaga tangannya. Fakta menunjukkan betapa ikhlasnya beliau dibelakang pembangunan surau khususnya. Dan terlalu banyak sumbangannya untuk disenarai disini.

Akhirnya hayat Allahyarham banyak juga dihabiskan menemani projek-projek kami. Datang merai latihan hadrah, pesta panggang ayam dan perbincangan waktu malam kami. Beliau sempat mencurah idea dan pengalamannya tentang prospek surau kepada kami. Kami baru saja mahu membentuk persefahaman dengan Almarhum. Apabila semakin menuju keserasian, beliau pun pergi mengadap Allah lalu meninggalkan kami.

Almarhum Paklang sebutir mutiara yang tiada galang ganti. Mungkin kami boleh cuba meniru gerak kerjaya beliau tapi kami tidak mampu meniru semangat dan keikhlasan beliau. Almarhum terlalu hebat dan luarbiasa bagi kami. Beliau ayahanda dan murabbi kami. Terlalu banyak yang beliau tinggalkan untuk kami. Oleh sebab itu pemergian beliau bukan semata-mata untuk dikenang, tapi tinggalan dari pemergian itu perlu disambung kami.

'Memang beliau tidak terkenal tapi gerak kerjanya kami sangat kenal'

Sidang Senduk mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham. Moga roh Almarhum setempat dengan para syuhada dan orang soleh.. InsyaAllah..
Al-Fatihah buat Allahyarham Tuan Guru Haji Saleh (1934-2013).

Monday, February 25, 2013

POLITIK FUNFAIR

Politik pintu masuk
Dalamnya penuh dengan seronok
Melalui urusniaga Ringgit Malaysia sahaja
Tak bayar kena duduk diluar

Politik tikam
Dalamnya bermacam sasaran
Ada untung kecik
Dan ada rugi besar
Bermacam sentuhan peluang

Politik rumah hantu
Dalamnya ada bermacam pelesit
Yang bikin sasau
Menyergah dan meracau
Membuat kacau

Politik merry go around
Sekejap meninggi diatas
Adakala menikus dibawah
Inilah gejala keseronokan Merry
yang berpusing-pusing

Politik roller coaster
Ini sangat berisiko
Yang jantungnya korup
Yang bawah umur
Wanita mengandung
Dinasihat tidak terlibat

Politik sarkas
Ada wanita berbikini
Yang porno
Yang sangat mahir melompat
Dan binatang yang begitu terlatih
Buatkan dada berdebar

Politik sekuriti
Penganjur akan bertindak
Jika ada huru hara
Jika ada pesta protes
Jika diugut dengan bom.

Friday, February 15, 2013

AL-BANA DAN TINGGALAN PEMIKIRANNYA

Pada 12 Februari, 1949, pengasas Ikhwanul Muslimin iaitu Imam Hassan Al Banna telah dibunuh. Walaupun Mursyidul 'Am pertama Ikhwanul Muslimin, iaitu Imam Hassan Al-Banna telah meninggalkan kita dari aspek fizikalnya, tetapi idea pemikiran tokoh gerakan Islam tersebut masih segar menjadi medan diskusi anak-anak muda.

Pemikiran Imam Hassan Al Banna seakan bercahaya menyinari kesamaran lantas menyedarkan bumi Mesir dan selanjutnya bergerak ke bahagian-bahagian lain di seluruh pelusuk dunia.

Para pemimpin kami hilang silih berganti, tetapi mesej perjuangannya masih menumpukan kepada misi dan tema yang sama iaitu kebenaran dan kebebasan. Perjuangan ini kian berkembang di serata benua.

Pada pagi 12 Februari, 1949, pemimpin gerakan Islam Ikhwanul Muslimin dan juga merupakan pengasas gerakan tersebut, Imam Hassan Al-Banna telah ditembak dan sengaja dibiarkan cedera parah sehingga menemui kematian. Tidak lama selepas itu, rahsia kematiannya mulai terungkap di dunia Arab dan Islam, Mesir khususnya.

Imam Hassan Al-Banna dibunuh dengan tujuan supaya hari-hari yang bakal mendatang bagi gerakan Ikhwanul Muslimin dibayangi kegelapan pada masa hadapan. Mereka yang merancang pembunuhannya dengan mengharapkan kematiannya memecah-belahkan gerakan Ikhwanul Muslimin, seterusnya memalingkan pergerakan ini dari jalan yang asal dan meleburkan gerakan ini jauh di tengah-tengah pergerakan dunia yang lain.

Allah memandu urusan lelaki berhati waja ini (Imam Hassan Al Banna) menunaikan misinya, beliau menyahut panggilan Islam yang diasaskan atas dasar takwa dan jujur ​​mengorbankan diri demi perjuangan agamanya. Beliau mengemudi bantera perjuangan Islam di tengah-tengah ribut politik antarabangsa, serantau dan tempatan, memenuhi segala sektor sosial, ekonomi, kebudayaan, intelektual dan perubahan.

Beliau lelaki berjiwa patriotik, berdiri teguh dalam cahaya iman sehingga berhasil meletakkan posisinya menempuhi relau penderitaan, dekad kesusahan, ujian seksaan, dan begitu juga yang menimpa isteri dan anak-anak mereka serta seluruh keluarga. Beliau tidak bertukar menjadi pasrah, atau kembali menjadi gelisah. Sebaliknya, beliau tampil sebagai emas yang bersinar-sinar setelah diuji dalam bakaran.

Generasi baru terus memikul perjuangan yang dibawa oleh pengasas Ikhwanul Muslimin ini. Potensi mereka dibangkitkan oleh naqib di setiap pergerakan melalu institusi tarbiyah yang digarap melalui usrah, mukhayyam, rehlah, mu'askar, persidangan (halaqaat), seminar (nadwah) dan perbincangan (munaqashah). Mereka berfungsi dalam kumpulan, adakalanya sebagai ahli biasa, rakan gabungan dan penyokong. Walau di manapun posisi mereka, sebagai ahli, sebagai pimpinan, di dalam sektor awam mahupun swasta, mereka bergerak dalam jalan yang sama, teguh dalam iman dan perjuangan menegakkan Islam.

Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.

Mesej sempena mengenang pemergian Imam Hassan Al-Bana. Daripada Dr. Essam Mohamed Hussein El-Erian.
Dilahirkan pada 18 April 1954. Beliau merupakan anggota Ikhwanul Muslimin dan juga merupakan Naib Presiden Freedom And Justice Party - FJP. Beliau pernah menerima pendidikan di Kolej Perubatan Qasr Aini pada tahun 1972, dan kemudian menjadi presiden Persatuan Pelajar Perubatan Universiti-Universiti Mesir. Beliau kemudiannya memperolehi ijazah sarjana dalam Patologi pada tahun 1986 di Universiti Kaherah. Beliau juga memperolehi Sarjana Muda Pengajian Islam dan Ijazah Sarjana Muda Sejarah kedua-duanya dari Universiti Al-Azhar pada tahun 1999 dan 2000. Beliau ditangkap pada tahun 1981, ketika tahanan ramai disasarkan khusus kepada ahli-ahli Ikhwanul Muslimin.

Kumpulan Penterjemah Berita Antarabangsa Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Mohamad Abduh.

Thursday, February 14, 2013

PAK BAEN STORY : TSUNAMI KOBOI

Siapa tidak kenal Pak Baen. Seluruh penduduk tau melambak sungguh hartanya. Hatta didalam negara dan juga diluar negara. Pak Baen mendominasi hartanah dari utara ke selatan dan dari dari timur ke barat kampung. Katanya, ini titik peluh beliau yang dikumpul semenjak dikandung ibunya.

Namun Pak Baen juga insan biasa yang tidak terlepas dari dipalit risiko 'on-off'. Tidak terlepas dari gosip. Pak Baen bagaimanapun masih dihantui skandal yang satu ketika mampu mengganggu periuk nasi beliau. Betapa sensasinya skandal lembu peliharaannya yang pernah jadi buah mulut orang kampung satu ketika dulu.

Pak Baen dulu sangat 'femes' dengan projek ternakan lembu berskala besar. Begitu banyak jumlah lembu sehingga tak terkira dek jari kaki dan tangan penduduk. Orang kampung waktu itu tak berapa ambik 'port' dari mana subsidi lembu tersebut diperolehi sama ada tender terbuka atau secara 'direct'. Mereka juga tak peduli akan bau lembu yang merimaskan pelusuk kampung.

"Tak kisahla.. Dia tu usahawan yang telah mengharumkan nama kampung kita.." Jawab En Nasali, JKKK Timbang Tahil.

Sehinggalah satu fenomena luarbiasa yang tiba-tiba menghantui orang kampung. Malah kampung sebelah juga turut terganggu. Beberapa orang kampung melabelkan peristiwa tersebut sebagai tsunami koboi.

Satu hari pada lewat petang, ketika penduduk kampung mula memikir untuk berehat dirumah masing-masing, Kira-kira 3 ekor lembu peliharaan Pak Baen tiba-tiba merusuh dan menghuru-harakan seluruh kampung. Lembu-lembu 'samseng' ini telah menyerang pokok-pokok cabai, pisang, jagung, tebu, durian, manggis, dokong, cempedak dan aneka tanaman lain. Lebih mengerikan, serangan tersebut turut melibatkan rumah-rumah awam. antara yang jadi mangsa ialah pengerusi JKKK Timbang Tahil sendiri. Rumah Tok Ketua senget sebelah apabila tiang kayu cengalnya patah ditanduk amukan lembu tersebut.

Setelah beberapa hari diganggu, 'darurat kecil' terpaksa diisyhtiharkan bagi mengelakkan darurat yang lebih besar. Berbagai gosip dan cerita dan fakta tentang projek lembu makin jadi buah mulut. Orang ramai mula mempertikai tentang kontrak, kroni, korup dan rasuah projek itu. Orang kampung mula membenci penyelewengan yang berlaku. Pak Baen katanya ter'miss' jadual makan lembu tersebut sehingga seminggu lamanya.

Maka bermesyuaratlah penduduk kampung berdikusi tentang bagaimana nak mengatasi tsunami lembu tersebut. Bukan sekarang untuk menyalahkan Pak Baen. Hasilnya mereka bersetuju dan sepakat untuk bersama-sama menangkap dan menyembelih lembu yang bikin onar itu.

Agihan tugas diberikan buat masing-masing. Penduduk dihulu akan menangkap kaki, penduduk dihilir akan menangkap ekor dan badan.

"Bab sembelih kita serah kepada pihak jemaah masjid. Mereka lebih arif urusannya.." Cadang Haji Madi kepada ahli mesyuarat yang kemudian sebulat suara dipersetujui ramai.

Mereka juga bersetuju untuk mengkendurikan saja lembu tersebut. Pada lewat petang, ketiga-tiga ekor lembu liar tersebut berhasil ditumbangkan. Mereka akhirnya gembira puas walaupun hampir sehari masa diambil menangkapnya. Esok harinya dagingnya pasti akan diratah ramai-ramai.

Kontroversi tsunami koboi telah memberi impak besar kepada Timbang Tahil khususnya hidup Pak Baen. Sejurus selepas itu Pak Baen tiba-tiba menghilangkan diri dan menurut sumber rakan-rakan kerabatnya, beliau ada menyatakan hasrat untuk menimba ilmu pondok di Korea.

"Jangan ingat di Korea tak ada mengaji pondok..!!" Celah Encik Hisam yakin. Seorang daripada anaknya sedang menyambung pengajiannya di Korea.

Kira-kira seminggu kemudian Pak Baen telah memohon maaf kepada orang kampung Timbang Tahil di laman tweeter beliau atas salah lakunya sebelum ini. Pak Baen bernasib baik kerana kesnya tidak dipanjangkan ke pihak pendakwaan. Beruntung sekali kerana skandal tsunami koboi tidak lagi berpanjangan. Begitu mudah penduduk Timbang Tahil melupakan peristiwa yang berisiko meragut nyawa itu. Malah sepakat untuk memaafkan.

Skandal ini bagaimanapun telah membangkitkan suatu idea kebersamaan dalam memerangi kezaliman walaupun masing-masing mempunyai tebiat yang berbeza. Ini sangat memeranjatkan siapa saja. Orang kampung mula tahu korup, rasuah dan seleweng bukan lagi kisah lawak, fantasi dan dongeng. Ianya kisah benar.


Wednesday, February 13, 2013

HERO GANGNAM

Aku adalah seorang penguasa
Disebuah negara ketuanan Melayu
Yang ikut resminya adalah Islam
Dan rata kandungan rakyatnya muslim
Pelusuk negaraku dipenuhi masjid
Sebagai lambangnya
Tampak ekstrem
Serius..
Aku begitu kasihkan negaraku
Yang kaya hasil mahsulnya
Kaya emas kuning dan hitamnya
Aman makmur sejahtera

Tidak seperti negara Gaza
Yang huru-hara dengan senjata
Dan darah manusia
Bukan maksud aku 'say no' Gaza
Kerana kisah Al-Quds juga perjuangan aku
Dengan selempang tradisi
"Dup dap" merasai denyut nadi pejuang
Kerana itu aku diisytihar rakyat
Wira Palestin sorak selayaknya

Aku juga setia disebalik
lenggang kuda gangnam
Ia juga aku
Inilah perjuangan aku
Ini impian aku
Nak jadi hero 'multipurpose'
Untuk menjadi juara
Mahu jadi sang penyelamat negara
"Are you ready for?"

Nota : Ranking terbaru dkeluarkan FIFA 13.2.13. Malaysia 159, Palestin 153.

Wednesday, February 6, 2013

DRAMA PAKCIK MELAYU - SIRI TERLANJUR II

Kali ini satu kumpulan penguatkuasa telah membuat serbuan mengejut ke sebuah premis perjudian 'halal' (berlesen) 4D disebuah rumah kedai kawasan bandar terkenal.

Di kedai 4D tadi kelihatan seorang pakcik segak berbaju melayu lengkap dengan kain pelikatnya. Bersahaja lagaknya. bak kata orang Perak, 'tengin je ropenye'. Pakcik tadi begitu leka menulis sesuatu disehelai kertas kecil sambil mulut beliau terkumat-kamit menyebut sesuatu. Pakcik Melayu itu juga tidak menyedari gelagatnya dikaunter tersebut sedang diperhatikan.

Apabila penguatkuasa agama Islam tadi menunjukkan kad kuasa dan tujuan kedatangan mereka, barulah Pakcik tadi bertindak balas. Sambil menunjukkan kad pengenalan dirinya, si Pakcik memberitahu dia baru saja selesai menyempurnakan ibadah berjemaah Zohor di masjid berhampiran.

Apabila penguatkuasa telah mengesahkan pengenalan Pakcik tadi, mereka pun cuba berdiskusi melalui beberapa soalan yang berkaitan. Mereka juga sebelum itu menjelaskan kepada Pakcik apa bentuk, enakmen serta perenggannya sekali berhubung kesalahan berjudi buat buat Islam. Pakcik tersebut nampak seakan-akan faham maksud penguatkuasa tadi.

"Kami lihat ketika Pakcik sedang menulis tadi, Pakcik ada menyebut sesuatu dan boleh kami berkongsi apa ucapan itu..?"

"Oh.. Tadi Pakcik sedang membaca Bismillah.. Kan orang Islam bila memulakan sesuatu kerja perlu mendahului dengan Bismillahirrahmanirrahim.."

"Supaya rezeki yang diperolehi nanti akan lebih berkatnya.." Tambah Pakcik lagi.

Pakcik tersebut nampaknya begitu tulus menyampaikan 'tazkirahnya' buat panduan si penguatkuasa. Bertepatan dengan salah satu maksud Hadis Nabi SAW bahawa setiap pekerjaan itu perlu dimulai dengan kalimah Basmalah.

"Bukan itu saja.. Kadang-kadang Pakcik bangun malam untuk mengerjakan solat hajat supaya Allah mudahkan urusan Pakcik.."

DRAMA PAKCIK MELAYU - SIRI TERLANJUR 1

Apabila mendapat aduan orang ramai satu 'team' penguatkuasaan jabatan agama pun segera membuat 'ambush' ke sebuah premis makanan Cina. Menurut sumber yang namanya tidak mahu dipaparkan telah menjual stok makanan kepada muslim di bulan Ramadan.

Mereka berjaya memberkas sekumpulan Muslim sedang duduk enak berpesta makan dan minum. Penguatkuasa berjaya mengesahkan status salah laku melalui pelanggaran Akta Syariah Islam. Apa yang menghairankan kebanyakan pelanggan adalah dari kalangan pakcik-pakcik Melayu tua.

Apabila disoal tokei cina tersebut kenapa kebanyakan pelanggannya pakcik-pakcik yang dari kategori saluran 1? Mana pegi orang muda? Tokei segera menjawab.

"Ooo.. Itu budak-budak sudah lompat sana tingkap.." Sambil si tokei menunjukkan tingkap yang ternganga.

Si penguatkuasa pun faham baki pakcik-pakcik tua yang 'kantoi' ini rupa-rupanya tidak upaya melepasi halangan tingkap.

Penguatkuasa pun segera menyoal salah seorang pakcik yang menjadi 'mangsa' tadi.

"Sebenarnya anak.. Pakcik berbuka puasa kerana ada ubat yang pakcik kena makan" Tutur pakcik tadi lembut dan penuh tata susila. Pakcik tadi memberitahu beliau perlu akur aturan ubat yang dinasihat doktor.

"Kenapa pakcik tidak makan sahaja ubat tu dirumah..? Pakcik tak tau ke dosa meninggalkan puasa wajib?" Penguatkuasa menyoal lagi.

"Pakcik tak mampu untuk berhenti minum dikedai. Ia dah jadi rutin.." Pakcik tadi cuba memberi penjelasan bahawa tebiat minum dikedai sangat liat untuk dibuang hingga terbawak-bawak ke bulan puasa. Mungkin air teh isterinya tidaklah se'kick' dikedai. Mungkin SOP bancuhan tidak menepati piawaiannya. Itulah puncanya Pakcik nampak betul-betul terdesak.

"Tanpa teh kedai ni, seolah-olah tidak sempurna hidup pakcik.."

Tuesday, February 5, 2013

MAULID SENDUK DAN QASIDAH KECINTAAN

Tidak ada bezanya sambutan Maulidur Rasul dimana-mana melainkan sama saja objektifnya iaitu menuntut kecintaan luarbiasa buat junjungan besar Muhammad SAW. Yang bezanya cuma dari segi 'show'nya. Semuanya satu ikhtiar bagi menzahirkan cinta yang realiti dan sepatutnya. Sama ada ikhlas atau tidak ianya sangat subjektif. Dan sangat cerewet untuk didedahkan.

Berkenaan dengan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW ada maksud hadis yang masyhur menyebut : "Umar berkata, aku sayang kepada Rasulullah lebih dari diri sendiri. Rasul kata tidak! engkau kena sayang kepada Rasulullah lebih dari segala nya."

Abu Razaian al Uqaily bertanya kepada Rasulullah. "Wahai Rasulullah, apakah iman? Jawab Rasulullah, bahawa adalah Allah taala dan rasulnya lebih dikasih kepada engkau lebih dari segala-galanya"
Hadis riwayat Imam Ahmad (sanad dhaif)

Di Senduk khususnya Surau Assomadiah, fakta menunjukkan kami berjaya melangsungkan kecintaan tersebut beserta ahli-ahli kariah yang lain. Kali ini kami berjaya menyuntik elemen-eleman yang lebih kontemporari dan 'uptodate'.

Sambutan sebenarnya dah di 'opening' malam sebelumnya. Selepas bertahlil, surau malam tu dialunkan marhaban oleh otai-otai marhaban kampung. Bergaung-gema juga seluruk pelusuk kampung. Dan sebahagian lagi krew bergotong-royong menyiapkan kerja-kerja persiapan untuk majlis besar esok.

Hasilnya hari ini. Ada yang jalan kaki, naik basikal, berpimpin ibunya dan dihantar ayahnya. Kelihatan ceria dan bersemangat untuk mencuba bakat. Kami bermula seawal jam 8 pagi. Diperkarangan surau, sudah teruja kanak-kanak kampung beruniform PASTI dan KAFA. Seperti di 'seting-seting' ada acara khas buat mereka. Ada khat, jawi, hafazan dan lukisan.

Dan pertandingan yang paling klasik sudah tentunya mencari bilal nombor satu Senduk. Dan kali ni Imran Hatta unggul sebagai Muazzin terbaik. Beliau telah mencuba selama 3 tahun berturut. Nasib Imran kali ni agak baik kerana juara 4 tahun berturut-turut telah berhijrah ke Pusat Tahfiz.

Kemuncak kepada sambutan maulid ni ialah perarakan seluruh ahli qariah diiring segak pasukan Hadrah Budaya Warisan. Jam 10.30 pagi semua rakyat Senduk siap sedia berkumpul diperkarangan rumah arwah Pakngah Harun. Mula bergerak didepan sekali kira-kira 40 'budak hijau' PASTI, diikuti murid-murid KAFA seterusnya geng jubah pemuda Sidang, Budaya Warisan hensem dengan baju korport hitam kuningnya, Muslimat 'suri' Senduk yang cun dan 'colourfull' dan diakhiri ahli-ahli kariah lain tua dan muda. Emi Al-hafiz dilantik sebagai tekong selawat. Kami semua berarak menuju 'dataran' surau. Kelihatan begitu harmoni dan meriah.

Sejurus selepas itu Budaya Warisan meneruskan persembahan selawat mereka dibalai sidang dengan persembahan bersemangat penuh tradisi. Kumpulan nasyid KAFA mengambil alih persembahan dengan dua lagu cinta buat Nabi junjungan. Ini adalah bukti Senduk dan warisan bakat penghibur sentiasa mengalir seumpama sungai kesayangan mereka.

Pada jam 11 pagi, Ustaz Sofi Farid sebagai pengerusi majlis mempersilakan adik Qariah dari SK Changkat Ibol membaca Al-Quran sebagai payung rahmah. Giliran tetamu jemputan Ustaz Idris Ahmad kemudian menyampai ucapan alu-aluan. Penceramah khas Maulid yang dijemput kali ini ialah Ustaz Asri 'mangko' seterusnya menakluk rostrum dengan pesanan-pesanan pedas dihiasi dialek 'peghoknye'.

Kejutan yang dinanti tiba akhirnya. Akibat kecewa dengan mutu bolasepak Malaysia, mereka mengambil keputusan membubarkan pasukan bolasepak Sidang. Seminggu sebelum sambutan, mereka menubuhkan 'team' qasidah dan dilihat 'pulun' berlatih. Kumpulan Qasidah Sidang (10 Solawat) akhirnya muncul menguasai pentas melalui 3 lagu 'evergreen' yang memukau hadirin.

Jam 12.30 tengahari acara penganugerahan berlangsung. Anugerah 'suprise' kali ini ialah pengisytiharan Tokoh Maulidur Rasul 1434 Hijrah. Seperti dijangka, tokoh tersebut ialah Ayahanda kami Tuan Guru Paklang Haji Salleh bin Haji Said. Susuk yang sangat berjasa dikampung Senduk. Anugerah tersebut disampaikan Ustaz Idris Ahmad. Walaupun bersituasi keuzuran, namun beliau gagahi hadir ke sambutan kalini.

Selepas sesi anugerah selesai, para hadirin dihidang dengan makanan tengahari nasi minyak, sup daging cicah air asam. Menu tradisi Senduk. Daging yang dimasak tersebut adalah melalui sembelihan aqiqah sehari sebelumnya.

Selepas selesai solat zohor berjemaah, hadirin mula beransur-ansur bersurai, meninggalkan krew-krew Sidang dan Suri Senduk melakukan kerja-kerja pengemasan.

Ucapan syukur kepada Allah dan juga jazakallah khairan buat semua hadirin atas bantuan 'memahabbahkan' majlis yang harapnya sentiasa dipenuhi rahmah dan barkah. Krew budak muda yang seminggu bertungkus lumus menjayakan. Muslimat dengan kerja suri gemilang mereka di dapur. Ustazah-ustazah KAFA yang giat dan kuat membantu menyusun aturcara kanak-kanak. PASTI bersama bersama murid-murid hebat hasil tunjuk ajar cikgu-cikgu kesayangan mereka. Juga buat Ayahanda Paknjang yang sentiasa tidak senang duduk selagi tidak selesai kerja majlisnya. Semuanya hebat. Semuanya cemerlang.