VOCALIST

Thursday, February 14, 2013

PAK BAEN STORY : TSUNAMI KOBOI

Siapa tidak kenal Pak Baen. Seluruh penduduk tau melambak sungguh hartanya. Hatta didalam negara dan juga diluar negara. Pak Baen mendominasi hartanah dari utara ke selatan dan dari dari timur ke barat kampung. Katanya, ini titik peluh beliau yang dikumpul semenjak dikandung ibunya.

Namun Pak Baen juga insan biasa yang tidak terlepas dari dipalit risiko 'on-off'. Tidak terlepas dari gosip. Pak Baen bagaimanapun masih dihantui skandal yang satu ketika mampu mengganggu periuk nasi beliau. Betapa sensasinya skandal lembu peliharaannya yang pernah jadi buah mulut orang kampung satu ketika dulu.

Pak Baen dulu sangat 'femes' dengan projek ternakan lembu berskala besar. Begitu banyak jumlah lembu sehingga tak terkira dek jari kaki dan tangan penduduk. Orang kampung waktu itu tak berapa ambik 'port' dari mana subsidi lembu tersebut diperolehi sama ada tender terbuka atau secara 'direct'. Mereka juga tak peduli akan bau lembu yang merimaskan pelusuk kampung.

"Tak kisahla.. Dia tu usahawan yang telah mengharumkan nama kampung kita.." Jawab En Nasali, JKKK Timbang Tahil.

Sehinggalah satu fenomena luarbiasa yang tiba-tiba menghantui orang kampung. Malah kampung sebelah juga turut terganggu. Beberapa orang kampung melabelkan peristiwa tersebut sebagai tsunami koboi.

Satu hari pada lewat petang, ketika penduduk kampung mula memikir untuk berehat dirumah masing-masing, Kira-kira 3 ekor lembu peliharaan Pak Baen tiba-tiba merusuh dan menghuru-harakan seluruh kampung. Lembu-lembu 'samseng' ini telah menyerang pokok-pokok cabai, pisang, jagung, tebu, durian, manggis, dokong, cempedak dan aneka tanaman lain. Lebih mengerikan, serangan tersebut turut melibatkan rumah-rumah awam. antara yang jadi mangsa ialah pengerusi JKKK Timbang Tahil sendiri. Rumah Tok Ketua senget sebelah apabila tiang kayu cengalnya patah ditanduk amukan lembu tersebut.

Setelah beberapa hari diganggu, 'darurat kecil' terpaksa diisyhtiharkan bagi mengelakkan darurat yang lebih besar. Berbagai gosip dan cerita dan fakta tentang projek lembu makin jadi buah mulut. Orang ramai mula mempertikai tentang kontrak, kroni, korup dan rasuah projek itu. Orang kampung mula membenci penyelewengan yang berlaku. Pak Baen katanya ter'miss' jadual makan lembu tersebut sehingga seminggu lamanya.

Maka bermesyuaratlah penduduk kampung berdikusi tentang bagaimana nak mengatasi tsunami lembu tersebut. Bukan sekarang untuk menyalahkan Pak Baen. Hasilnya mereka bersetuju dan sepakat untuk bersama-sama menangkap dan menyembelih lembu yang bikin onar itu.

Agihan tugas diberikan buat masing-masing. Penduduk dihulu akan menangkap kaki, penduduk dihilir akan menangkap ekor dan badan.

"Bab sembelih kita serah kepada pihak jemaah masjid. Mereka lebih arif urusannya.." Cadang Haji Madi kepada ahli mesyuarat yang kemudian sebulat suara dipersetujui ramai.

Mereka juga bersetuju untuk mengkendurikan saja lembu tersebut. Pada lewat petang, ketiga-tiga ekor lembu liar tersebut berhasil ditumbangkan. Mereka akhirnya gembira puas walaupun hampir sehari masa diambil menangkapnya. Esok harinya dagingnya pasti akan diratah ramai-ramai.

Kontroversi tsunami koboi telah memberi impak besar kepada Timbang Tahil khususnya hidup Pak Baen. Sejurus selepas itu Pak Baen tiba-tiba menghilangkan diri dan menurut sumber rakan-rakan kerabatnya, beliau ada menyatakan hasrat untuk menimba ilmu pondok di Korea.

"Jangan ingat di Korea tak ada mengaji pondok..!!" Celah Encik Hisam yakin. Seorang daripada anaknya sedang menyambung pengajiannya di Korea.

Kira-kira seminggu kemudian Pak Baen telah memohon maaf kepada orang kampung Timbang Tahil di laman tweeter beliau atas salah lakunya sebelum ini. Pak Baen bernasib baik kerana kesnya tidak dipanjangkan ke pihak pendakwaan. Beruntung sekali kerana skandal tsunami koboi tidak lagi berpanjangan. Begitu mudah penduduk Timbang Tahil melupakan peristiwa yang berisiko meragut nyawa itu. Malah sepakat untuk memaafkan.

Skandal ini bagaimanapun telah membangkitkan suatu idea kebersamaan dalam memerangi kezaliman walaupun masing-masing mempunyai tebiat yang berbeza. Ini sangat memeranjatkan siapa saja. Orang kampung mula tahu korup, rasuah dan seleweng bukan lagi kisah lawak, fantasi dan dongeng. Ianya kisah benar.


No comments:

Post a Comment