VOCALIST

Tuesday, February 5, 2013

MAULID SENDUK DAN QASIDAH KECINTAAN

Tidak ada bezanya sambutan Maulidur Rasul dimana-mana melainkan sama saja objektifnya iaitu menuntut kecintaan luarbiasa buat junjungan besar Muhammad SAW. Yang bezanya cuma dari segi 'show'nya. Semuanya satu ikhtiar bagi menzahirkan cinta yang realiti dan sepatutnya. Sama ada ikhlas atau tidak ianya sangat subjektif. Dan sangat cerewet untuk didedahkan.

Berkenaan dengan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW ada maksud hadis yang masyhur menyebut : "Umar berkata, aku sayang kepada Rasulullah lebih dari diri sendiri. Rasul kata tidak! engkau kena sayang kepada Rasulullah lebih dari segala nya."

Abu Razaian al Uqaily bertanya kepada Rasulullah. "Wahai Rasulullah, apakah iman? Jawab Rasulullah, bahawa adalah Allah taala dan rasulnya lebih dikasih kepada engkau lebih dari segala-galanya"
Hadis riwayat Imam Ahmad (sanad dhaif)

Di Senduk khususnya Surau Assomadiah, fakta menunjukkan kami berjaya melangsungkan kecintaan tersebut beserta ahli-ahli kariah yang lain. Kali ini kami berjaya menyuntik elemen-eleman yang lebih kontemporari dan 'uptodate'.

Sambutan sebenarnya dah di 'opening' malam sebelumnya. Selepas bertahlil, surau malam tu dialunkan marhaban oleh otai-otai marhaban kampung. Bergaung-gema juga seluruk pelusuk kampung. Dan sebahagian lagi krew bergotong-royong menyiapkan kerja-kerja persiapan untuk majlis besar esok.

Hasilnya hari ini. Ada yang jalan kaki, naik basikal, berpimpin ibunya dan dihantar ayahnya. Kelihatan ceria dan bersemangat untuk mencuba bakat. Kami bermula seawal jam 8 pagi. Diperkarangan surau, sudah teruja kanak-kanak kampung beruniform PASTI dan KAFA. Seperti di 'seting-seting' ada acara khas buat mereka. Ada khat, jawi, hafazan dan lukisan.

Dan pertandingan yang paling klasik sudah tentunya mencari bilal nombor satu Senduk. Dan kali ni Imran Hatta unggul sebagai Muazzin terbaik. Beliau telah mencuba selama 3 tahun berturut. Nasib Imran kali ni agak baik kerana juara 4 tahun berturut-turut telah berhijrah ke Pusat Tahfiz.

Kemuncak kepada sambutan maulid ni ialah perarakan seluruh ahli qariah diiring segak pasukan Hadrah Budaya Warisan. Jam 10.30 pagi semua rakyat Senduk siap sedia berkumpul diperkarangan rumah arwah Pakngah Harun. Mula bergerak didepan sekali kira-kira 40 'budak hijau' PASTI, diikuti murid-murid KAFA seterusnya geng jubah pemuda Sidang, Budaya Warisan hensem dengan baju korport hitam kuningnya, Muslimat 'suri' Senduk yang cun dan 'colourfull' dan diakhiri ahli-ahli kariah lain tua dan muda. Emi Al-hafiz dilantik sebagai tekong selawat. Kami semua berarak menuju 'dataran' surau. Kelihatan begitu harmoni dan meriah.

Sejurus selepas itu Budaya Warisan meneruskan persembahan selawat mereka dibalai sidang dengan persembahan bersemangat penuh tradisi. Kumpulan nasyid KAFA mengambil alih persembahan dengan dua lagu cinta buat Nabi junjungan. Ini adalah bukti Senduk dan warisan bakat penghibur sentiasa mengalir seumpama sungai kesayangan mereka.

Pada jam 11 pagi, Ustaz Sofi Farid sebagai pengerusi majlis mempersilakan adik Qariah dari SK Changkat Ibol membaca Al-Quran sebagai payung rahmah. Giliran tetamu jemputan Ustaz Idris Ahmad kemudian menyampai ucapan alu-aluan. Penceramah khas Maulid yang dijemput kali ini ialah Ustaz Asri 'mangko' seterusnya menakluk rostrum dengan pesanan-pesanan pedas dihiasi dialek 'peghoknye'.

Kejutan yang dinanti tiba akhirnya. Akibat kecewa dengan mutu bolasepak Malaysia, mereka mengambil keputusan membubarkan pasukan bolasepak Sidang. Seminggu sebelum sambutan, mereka menubuhkan 'team' qasidah dan dilihat 'pulun' berlatih. Kumpulan Qasidah Sidang (10 Solawat) akhirnya muncul menguasai pentas melalui 3 lagu 'evergreen' yang memukau hadirin.

Jam 12.30 tengahari acara penganugerahan berlangsung. Anugerah 'suprise' kali ini ialah pengisytiharan Tokoh Maulidur Rasul 1434 Hijrah. Seperti dijangka, tokoh tersebut ialah Ayahanda kami Tuan Guru Paklang Haji Salleh bin Haji Said. Susuk yang sangat berjasa dikampung Senduk. Anugerah tersebut disampaikan Ustaz Idris Ahmad. Walaupun bersituasi keuzuran, namun beliau gagahi hadir ke sambutan kalini.

Selepas sesi anugerah selesai, para hadirin dihidang dengan makanan tengahari nasi minyak, sup daging cicah air asam. Menu tradisi Senduk. Daging yang dimasak tersebut adalah melalui sembelihan aqiqah sehari sebelumnya.

Selepas selesai solat zohor berjemaah, hadirin mula beransur-ansur bersurai, meninggalkan krew-krew Sidang dan Suri Senduk melakukan kerja-kerja pengemasan.

Ucapan syukur kepada Allah dan juga jazakallah khairan buat semua hadirin atas bantuan 'memahabbahkan' majlis yang harapnya sentiasa dipenuhi rahmah dan barkah. Krew budak muda yang seminggu bertungkus lumus menjayakan. Muslimat dengan kerja suri gemilang mereka di dapur. Ustazah-ustazah KAFA yang giat dan kuat membantu menyusun aturcara kanak-kanak. PASTI bersama bersama murid-murid hebat hasil tunjuk ajar cikgu-cikgu kesayangan mereka. Juga buat Ayahanda Paknjang yang sentiasa tidak senang duduk selagi tidak selesai kerja majlisnya. Semuanya hebat. Semuanya cemerlang.



No comments:

Post a Comment