VOCALIST

Tuesday, November 18, 2014

TRAGEDI MEMALI : SUATU PENILAIAN (Part 1)

           Peristiwa Memali menggamit semula kenangan. Tun Musa Hitam berkata beliau tiada niat mahu mencetuskan polemik baru berkaitan Memali. Ia dihidupkan semula berikutan respons beliau kepada soalan yang diajukan oleh moderator dalam program diskusi yang diadakan. Beliau adalah antara dua ahli panel dalam majlis diskusi anjuran kerajaan negeri Kelantan bertemakan “Politik Malaysia: Dahulu dan Sekarang”. Profesor Dr Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia berperanan sebagai moderator.

Format diskusi menyamai program “Hard Talk” BBC London yang meletakkan syarat bahawa ahli panel tidak dibenar menggunakan skrip atau nota lebih awal tetapi bersedia menghadapi apa juga soalan yang diajukan oleh moderator.

Sepanjang dua jam, moderator diskusi bersikap combative, aggresive serta provocative. Di penghujung diskusi, beliau telah diajukan soalan berkaitan peristiwa Memali yang dapat dirumuskan berpusat kepada tiga perkara berikut:

1. Pengesahan bahawa beliau pada hari peristiwa Memali berlaku, Tun Dr Mahathir berada di negara China dan beliau adalah pemangku perdana menteri.
2. Beliau bertanggungjawab sepenuhnya kepada peristiwa tersebut.
3. Bagaimanakah perasaan beliau dengan peristiwa Memali.
Walau apapun yang telah dibincang dan dibangkitkan, peristiwa itu telah pun berlalu. Pada saya, tiada gunanya lagi kita membangkitkan perkara yang telah lepas. Namun itu tidak bermakna kita tidak dapat mengambil beberapa pengajaran dari peristiwa tersebut. Mengungkapkan kisah yang lepas memang tiada guna, namun menjadikan ia sebagai pedoman dan panduan di masa hadapan amat besar kesannya terhadap masa depan generasi kita. Memang benar, tidak ada gunanya kita menyimpan amarah dendam yang tak sudah. Allah s.w.t memerintahkan kita agar kita menjadi insan yang sentiasa tabah dan sabar menghadapi dugaan serta memaafkan orang yang telah melakukan kezaliman terhadap kita.

                               

'Post-mortem' yang sederhana ini cuba untuk mengungkapkan beberapa kesilapan kerajaan ketika mengambil tindakan terhadap penduduk di kampung Memali khususnya buat Asy-Syahid Ibrahim Libya dan pengikutnya. Ini penting agar kerajaan dan penyokong UMNO khususnya tidak mengulangi lagi peristiwa sebegini terhadap rakyat yang tidak bersalah.

Saya melihat, antara kelemahan dan kepincangan yang terjadi semasa berlakunya Tragedi Memali 1985 ialah :
  1. Kerajaan khususnya UMNO bertindak kerana kejahilan mereka.
  2. Anggota keselamatan digunakan untuk melumpuhkan musuh politik mereka. 
  3. Akta I.S.A yang zalim dan kejam.
  4. Majlis Fatwa mengeluarkan hukum yang berat sebelah.
  5. Media yang tidak adil.
  6. Ruang hak asasi manusia yang rendah.
  7. Sistem kehakiman yang tempang.
Semua perkara-perkara diatas, sekarang ini hampir kebanyakannya sedang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat dalam rangka usaha memulihkan semula sistem pentadbiran negara. Kita tidak mengatakan bahawa kerajaan sekarang tidak melakukan apa-apa pembaharuan lansung, namun pembaharuan yang ada sangat lemah dan tidak memberansangkan. Sebahagiannya telah pun tercapai (terhapusnya Akta ISA) namun yang lainnya masih ditakuk lama. Itupun di atas desakan dan tekanan hebat pakatan pembangkang sekian lama dengan sokongan NGO-NGO hak asasi manusia. Jika tidak, ISA masih digunakan hingga kini. 

Kerajaan UMNO bertindak atas kejahilan mereka terhadap perjuangan Islam dan gerakan Islam.

Salah satu kesilapan besar pasukan keselamatan kita pada waktu itu ialah mereka bertindak dalam keadaan kekurangan maklumat atau maklumat yang tidak tepat. Hal ini berpunca daripada Kerajaan yang memberi arahan, iaitu UMNO.

Walau apapun alasan yang diberi kerajaan, mereka tidak dapat menyembunyikan hakikat sebenar KEJAHILAN UMNO terhadap gelombang kebangkitan Islam serta gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia sepanjang zaman. Manakan tidak mereka memang tidak mesra dengan gerakan-gerakan ini hatta mereka amat sukar untuk mengiktiraf HAMAS (Harakah Muqawwamah Islamiyah) sebagai kerajaan yang sah di Palestin selepas mereka memenangi pilihanraya dengan mengalahkan Parti Fatah. Dan dengan sebab itu juga jangan terkejut apabila pemimpin kanan Hamas, Khalid Meshaal ketika menjadi tetamu dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas mengatakan yang mereka masih baru dalam membina hubungan dengan Parti UMNO dibandingkan dengan PAS yang telah lama mereka kenali. Mereka akui mereka lebih rapat dengan PAS dalam arena politik Malaysia sejak sekian lama.

                             

Selain itu UMNO juga tidak terkesan dengan perkembangan gelombang kebangkitan Revolusi Islam di Iran pimpinan Ayatollah Ruhollah Khomeini di era 80an. Berlainan dengan PAS, mereka memerhatikan perkembangan ini dengan penuh minat. Malah tidak keberatan untuk menghantar rombongan bagi meninjau perkembangan revolusi disana serta cuba membawa balik model pemerintahan Ulama' untuk diterapkan di Malaysia.

Hubungan PAS dengan Ikhwanul Muslimin pula bukan sesuatu yang baru. Ia bermula se-awal 50-an lagi apabila Dr Zulkifli Mohamad (bekas Yang Dipertua PAS) mendapat tarbiyah lansung dari Imam Hassan Al-Banna dan Asy-Syahid As-Sayyid Qutb (kami respek) ketika belajar di Mesir. Kekaguman beliau terhadap perjuangan Islam yang dibawa Ikhwanul Muslimin telah menyeret beliau untuk menyertai PAS pada awal 50-an. Kemudian ia diteruskan oleh pemimpin-pemimpin sesudahnya yang mendapat tarbiyah lansung dari Ikhwanul Muslimin dan bahan-bahan penulisan tokoh-tokoh Ikhwan mewarnai sistem tarbiyah dan rujukan utama dalam PAS. Itu belum dikira penyertaan PAS dalam solidariti gerakan Islam sedunia yang menghubungkan PAS dengan Jami'at Islami Pakistan, Parti Masyumi dari Indonesia, Parti Al-Ummah di Sudan, Parti Keadilan Sejahtera (PKS- Indonesia), Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP-Turki) dan banyak lagi.

Segala hubungan yang terjalin dan perkembangan yang berlaku, ianya bertitik tolak dari kesedaran untuk mengembalikan maruah dan harga diri umat Islam setelah sistem Khilafah Turki tumbang pada 1914. Hasrat umat Islam pada ketika itu sangat tinggi untuk mengembalikan Islam dalam tampuk pemerintahan negara. (kecuali UMNO). Umat mahu melihat Al-Quran dan Sunnah dijadikan perlembagaan dan rujukan tertinggi. Maka sebahagian dari tokoh-tokoh penggerak Islam ini menubuhkan parti-parti politik di negara masing-masing demi mencapai cita-cita tersebut. PAS sedari awal penubuhannya hingga kini memerhatikan dengan penuh minat perkembangan kebangkitan Islam dan evolusi yang berlaku sepanjang zaman. Meskipun hasrat umat Islam pada waktu itu dianggap terlalu idealistik jika dibandingkan dengan suasana perubahan dan pembentukan negara moden yang dialami oleh dunia ketika itu, namun hasrat itu patut dipandang tinggi dan dihormati.


Berlainan dengan UMNO, mereka sangat asing dan ganjil dengan gerakan-gerakan Islam tadi. Mereka juga tidak begitu berminat dengan gelombang kebangkitan Islam sepanjang zaman sejak kejatuhan zaman kegemilangan Khalifah Islam Turki. Ini tidaklah menghairankan kerana rata-rata pemimpin-pemimpin UMNO mendapat didikan dan asuhan dari barat. Patutlah Inggeris lebih rela menyerahkan kuasa kepada UMNO dibandingkan dengan gerakan-gerakan Islam seperti Hizbul Muslimin. Ini kerana ciri-ciri yang ada pada mereka sangat menyenangkan hati Inggeris.

Sistem dan corak yang ditinggalkan Inggeris diteruskan oleh anak didik mereka iaitu UMNO. Meskipun mendakwa mereka benci penjajah, namun bentuk pemikiran dan corak perjuangan mereka memang diwarisi dari Inggeris iaitu mereka menegakkan kebangsaan semata-mata. Oleh sebab itu tidak hairanlah apabila mereka boleh menerima pemimpin-pemimpin yang tidak beriltizam & patuh dengan syariat Islam kerana pada mereka asalkan melayu yang berkuasa dan hak-hak melayu dijamin dan dipelihara! faktor-faktor agama tidak dititik beratkan sebaliknya yang diutamakan ialah kemampuan dari segi kewangan dan keupayaan memimpin dan memerintah semata-mata!

Ini berlainan dengan PAS yang tidak menolak aspek keupayaan memimpin, membawa pembangunan dan kemakmuran ekonomi selain hak-hak peribumi terpelihara namun aspek penghayatan agama hendaklah terlebih dahulu diutamakan. Ini kerana mesej yang dibawa Islam bukan untuk menyelamatkan kehidupan dunia semata-mata sebaliknya untuk menyelamatkan kehidupan manusia di dunia dan akhirat.

Akibat dari sikap yang terasing dari sebarang perkembangan kebangkitan Islam dan gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia, ditambah dengan pemahaman agama yang disempitkan sekadar urusan peribadi semata-mata, menyebabkan mereka telah melakukan kesimpulan dan prasangka yang salah terhadap gelombang kebangkitan Islam dan aktivis-aktivis gerakan Islam. Lebih memburukkan keadaan apabila parti seperti UMNO ini mendapat kuasa memerintah, mereka telah memberi gambaran yang salah terhadap anggota keselamatan dan agensi-agensi keselamatan dibawah kerajaan. Mereka termakan dengan gambaran yang diberi oleh dunia barat bahawa gerakan-gerakan Islam adalah ekstremis dan pelampau agama. Kebetulan pemahaman UMNO yang sempit terhadap agama seakan membenarkan lagi kenyataan itu. UMNO merasakan bahawa laungan jihad tidak perlu sebab orang melayu memang telah lama beragama Islam disamping kerajaan telah menyediakan pelbagai keperluan umat Islam seperti masjid dan surau!

'Taghuut': Suatu istilah yang popular sekitar era-80 an dahulu (Ihsan gambar : Saki-baki koleksi yang masih ada dirumah penulis)

Dengan sebab itu UMNO dalam sejarahnya juga fobia dengan slogan-slogan yang mereka sifatkan sebagai radikal seperti 'Allah matlamat kami, jihad jalan kami" atau "mati syahid cita-cita kami" disamping istilah-istilah sensitif seperti Taghut dan jahiliyyah moden. Bagi PAS atau kita selaku umat Islam, tiada apa yang tidak kena dengan slogan-slogan tersebut. Ia kebetulan sepadan dengan suasana di dalam UMNO itu sendiri pada ketika itu yang tidak seperti UMNO yang kita lihat pada hari ini. Kenyataan-kenyataan yang menghina Islam, meperlekehkan Islam serta fahaman yang memisahkan antara agama dan pemerintahan yang sangat menebal ketika itu mendorong PAS terpaksa memberi penegasan yang keras berhubung penjelasan terhadap batas-batas iman dan batas-batas kufur. Dan selain itu juga prasangka mereka berpunca dari pemahaman sempit mereka terhadap definisi Jihad dengan menganggap bahawa semua slogan-slogan yang mendorong kearah semangat jihad boleh mencetuskan suasana huru-hara dan mengganggu ketenteraman dalam masyarakat.

Faktor inilah akhirnya mendorong kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir pada waktu itu mengambil tindakan menahan ramai aktivis-aktivis gerakan Islam terutamanya PAS dibawah Akta ISA. Ada diantaranya yang di tahan berbulan-bulan malah ada yang sehingga bertahun-tahun. Sedangkan mereka tidak menimbulkan apa-apa hasutan sebaliknya hanya menyeru manusia agar kembali pada Islam yang syumul dan lengkap, serta meninggalkan berhala Taghut dan segala bentuk jahilyyah moden!! Kegagalan UMNO membezakan antara perjuangan Islam yang tulen dan ajaran sesat yang berleluasa di tanah air ketika itu mendorong mereka mengambil pendekatan yang salah keatas pejuang-pejuang Islam seperti Asy-Syahid Ibrahim Libya.

Keenganan Asy-Syahid Ibrahim Mahmud untuk ditahan dibawah ISA menunjukkan sikap tegas beliau terhadap undang-undang yang disifatkan zalim dan tidak adil. Beliau menentang segala bentuk penindasan yang dikenakan keatas tokoh-tokoh pendakwah Islam dan aktivis-aktivis gerakan Islam yang menyeru agar masyarakat kembali kepada penghayatan Islam yang sebenar. Beliau lebih rela mati mempertahankan maruah dan harga diri dari dirinya dihumban kedalam tahanan yang tiada hak baginya untuk mendapatkan perbicaraan dan peluang membela diri. Akhirnya setelah pelbagai percubaan dan rundingan diadakan bagi menahan beliau, kerajaan telah mengambil tindakan yang kejam dengan membunuh beliau dan pengikut-pengikutnya. Kesimpulannya, tindakan kerajaan UMNO bertitik tolak dari KEJAHILAN mereka mengenai perjuangan gerakan-gerakan Islam, fenomena kebangkitan Islam seluruh dunia serta kejahilan tentang perjuangan Islam itu sendiri.

Kesimpulannya, UMNO perlu membuka jendela yang lebih luas di era moden ini. Mereka perlu belajar mengenali gerakan-gerakan Islam (tanzim haraki), belajar mengenali manhaj dan perjuangan mereka. Berdialog dan berdiskusi dengan mereka, serta memahami dan berkongsi hasrat dengan mereka. Ikhwanul Muslimin umpamanya, meskipun menerima tekanan dan penindasan yang dahsyat dan kejam serta ramai diantara tokoh-tokohnya dibunuh namun mereka tidak pernah mengangkat senjata atau menyeru rakyat agar menggulingkan pemerintah sekular Mesir. Perkara ini sepatutnya menyedarkan UMNO bahawa gerakan Islam bukan pergerakan yang ekstremis atau pelampau yang boleh mencetuskan huru-hara dan keganasan dalam sesebuah negara.

Meskipun hampir kebanyakan gerakan islam moden menyedari mereka kini berada di era nation state, namun ini tidak bererti perjuangan menegakkan khilafah terkubur begitu sahaja. Kebanyakan gerakan Islam moderate seperti AKP di Turki pimpinan Erdogan terpaksa memanfaatkan ruang yang terbatas dan bergerak dalam kerangka sekular yang sedia ada. Ini tidak bermaksud mereka tidak berhasrat menegakkan sebuah negara Islam yang sempurna pelaksanannya. Hal ini juga telah mula dicontohi oleh PAS di Malaysia dimana mereka memanfaatkan ruang demokrasi dan bergerak dalam struktur negara yang berbilang kaum untuk tampil dengan pendekatan yang sederhana dalam usaha untuk menyesuaikan perjuangan mereka dengan waqi' (persekitaran) politik tempatan. Hanya yang jahil tentang politik Islam menuduh PAS telah tergelincir dari landasan perjuangannya.

No comments:

Post a Comment