VOCALIST

Sunday, November 27, 2011

SASARAN WALIMATUL URUS

Diantara tarikh-tarikh yang popular dalam kalender rakyat Malaysia ialah cuti sekolah. Satu ruang istimewa yang 'relevan' untuk tuan rumah merancang Walimatul Urus walaupun sedar mereka terpaksa berebut dengan keluarga lain. Jadi, bila mencecah ke musim ini, seluruh negara dilanda 'huru-hara' sementara. Pakat-pakat sibuk. Daripada jalan raya hingga ke pakaian, segalanya bergaya. Disebalik kesibukan tanpa disedari terdapat beberapa prosedur penting walimatul urus diabaikan.

Menurut Fiqah, mengadakan kenduri kahwin adalah Sunat muakkad melalui sunnah riwayat Anas Bin Malik bahawa Nabi SAW pernah melihat kesan kuning pada diri Abdul Rahman Bin Auf, lantas Baginda bertanya "Apakah ini?" Beliau terus menjawab "Wahai Rasulullah..aku telah berkahwinkan seorang wanita dengan nilai emas seberat sebiji tamar." Lalu Baginda bersabda dengan maksudnya "Semoga Allah memberkatimu, buatlah Walimah (kenduri) walaupun dengan seekor kambing."
Menurut Imam Nawawi (sharh sahih Muslim), tiada syarat/had khusus dalam menyempurnakan majlis Walimatul Urus bagi memenuhi Sunnah Rasulullah tadi.

Cukuplah sekiranya tercapai Maqasid Syariah (objektif) iaitu pengisytiharan status ikatan pernikahan khususnya buat rakan sahabat, jiran dan kariah sekitar sambil menzahirkan kegembiraan pasangan.
Pengumuman pernikahan diharapkan mampu menyingkirkan sebarang buruk sangka atau fitnah yang boleh mempengaruhi hubungan rumahtangga.

Satu hadis " Umumkan perkahwinan." (Riwayat Ahmad)

Majlis perkahwinan juga wajar dikongsi tetamu seadilnya. Tidak dinafikan keutamaan tuan rumah yang terdesak mahukan 'perfomance' yang sempurna apatah lagi melibatkan hari yang cukup istimewa tapi hadirin juga ada harapan mereka. Menu hidangan wajar diagih samarata buat tetamu. Tidak wujud menu khas buat insan istimewa. Tuan rumah juga dinasihatkan Nabi SAW agar tidak meminggirkan si miskin untuk senarai jemputannya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Seburuk-buruk makanan ialah makanan Walimah yang hanya dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin." (Riwayat Baihaqi)

Maqasid Syariah semakin jauh tersasar apabila pihak tuan rumah terus hanyut dalam kemewahan. Sampai satu ketika masing-masing 'berperang' untuk menonjolkan kekayaan mereka sehingga sanggup menghabiskan jutaan ringgit. Kemewahan kemudian diselit pula unsur haram seperti pesta nyanyian libatkan percampuran bukan muhrim yang akhirnya suatu kegagalan dalam matlamal asal. Kemewahan yang dicapai tadi tanpa disedari merupakan satu bentuk pembaziran. Bertambah buruk apabila terpaksa memikul beban hutang. Awasilah budaya yang cenderong kepada kemewahan diupacara kenduri.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Makanlah dan minumlah namun jangan kamu membazir, Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang yang membazir." (Al-A'raf 7:31)

Suatu pensyariatan memiliki Maqasidnya. Sunnah dalam perkahwinan melalui jalan Maqasid jika diamalkan bakal menghadiahkan ganjaran keberkatan dan hikmah tertentu bukan sahaja buat kedua mempelai tapi semua yang terlibat termasuk keluarga, kerabat dan orang sekeliling. Tuan rumah harus sensitif dalam memelihara disiplin Rasulullah
SAW supaya tidak tertanggung sebarang kerugian didunia dan akhirat.

Tahniah dan Selamat menempuh gerbang rumahtangga. Tahniah juga kerana berjaya menghidupkan Sunnatullah dari Sidang Senduk.

No comments:

Post a Comment