VOCALIST

Sunday, December 11, 2011

ABU BAKAR RA DAN MANIS CINTANYA

Disaat mula bertapaknya Islam di Tanah Arab, ramai dikalangan sahabat Nabi SAW dipaksa menanggung derita atas penerimaan akidah mereka. Pelbagai bentuk dan gaya penyeksaan telah dikhaskan buat semata-mata bagi menterbalikkan kembali kepercayaan akidah mereka. Seksaan ini turut terbeban buat sahabat ulung Saiyidina Abu Bakar RA.

Pada suatu hari setelah Abu Bakar RA menyatakan keislamannya, Dia telah dipukul bertubi-tubi oleh oleh kaumnya. Termasuk juga Utbah bin Rabi’ah. Utbah membelasahnya dengan kedua terompahnya yang kasar hingga wajah Abu Bakar RA bengkak dan berbilur. Setelah Abu Bakar RA jatuh terguling, dia telah dipijak-pijak oleh Utbah diperutnya sehingga pengsan, malah mukanya sudah tidak dapat dibezakan lagi daripada hidungnya.

Kaum Bani Tamim bangkit mengangkat Abu Bakar RA dengan dibungkus kain dan dibawa masuk ke rumahnya. Mereka yakin, melihat keadaannya itu, Abu Bakar RA pasti akan mati.

Ketika Abu Bakar RA mulai sedar, ucapan pertama yang keluar dari mulutnya, ”Bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW?”

Mendengar pertanyaan ini, kaumnya (yakni Bani Tamim) yang masih belum beriman mengherdiknya, kerana Abu Bakar RA tidak mempedulikan keadaan dirinya sendiri, malah sibuk merisaukan dan memikirkan keadaan Rasulullah SAW.

Kemudian mereka datang kepada Abu Bakar RA dan berkata kepada keluarganya, ”Sebaiknya dia kamu berikan sedikit makanan dan minuman.”

Ketika ibunya meminta Abu Bakar RA makan dan minum, Abu Bakar hanya bertanya, ”Bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW?”

Abu Bakar RA meminta ibunya pergi dan bertanyakan Ummu Jamil binti Al-Khattab RA berkenaan keadaan dan keselamatan Rasulullah SAW.

Lalu ibunya pergi dan bertanyakan Ummu Jamil RA tentang keadaan Rasulullah SAW, jawab Ummu Jamil RA, ”Aku tidak tahu tentang berita Abu Bakar dan Muhammad bin Abdullah, kalau boleh, biar aku ikut puan untuk bertemu Abu Bakar sendiri.”

Cadangan itu diterima oleh ibu Abu Bakar RA, lalu dia pun mengikutinya pulang.

Ketika Ummu Jamil RA melihat keadaan Abu Bakar RA yang amat menyayatkan hati itu, dia pun berteriak, ”Demi Allah, sesungguhnya orang-orang yang memukulmu sekejam ini benar-benar orang kafir dan fasiq. Semoga Allah menimpakan seksaan kepada mereka!”

Lalu Abu Bakar RA terus bertanya, ”Bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW?”

Jawab Ummu Jamil RA, ”Ibumu masih bersama kita dan dia akan dengar.”

Celah Abu Bakar RA, ”Tidak mengapa walaupun dia dengar.”

Jawab Ummu Jamil RA, ”Rasulullah SAW dalam keadaan sihat dan afiat.”

Abu Bakar RA bertanya lagi, ”Dimanakah baginda sekarang?”

Jawab Ummu Jamil RA, ”Baginda berada di rumah Arqam bin Abi Arqam!”

Kata Abu Bakar RA, ”Demi Allah! Aku tidak akan makan dan minum sebelum aku sendiri benar-benar bertemu Rasulullah SAW!”

Ummu Jamil RA dan ibunya mencegah Abu Bakar RA untuk keluar menemui Rasulullah SAW sehinggalah keadaan di jalanan agak sepi dan tidak ramai orang. Setelah keadaan lebih selamat, barulah Abu Bakar RA, ibunya dan Ummu Jamil RA menyamarkan diri dan pergi bertemu Rasulullah SAW.

(Al-Bidayah wan-Nihayah, Jld 3)

Bayangkan, setelah pengsan disebabkan pukulan-pukulan tanpa belas kasihan yang diterimanya, namun tika kewarasan mula menguasai fikirannya, apa yang terlontar dari bibirnya yang bengkak dan berdarah hanya satu soalan sahaja, ”Bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW?”

Jelas sekali Abu Bakar RA tidak sedikit pun menghiraukan keadaan dirinya. Abu Bakar yang terkenal dengan 'title' As-Siddiq itu sangat-sangat perihatin akan keadaan Rasulullah SAW. Kenapa? Kerana beliau sedar kesihatan Nabi SAW itu mewakili seluruh syiar Islam. Ini bermaksud Abu Bakar utamakan akan kesihatan pemegang panji Islam iaitu Muhammad SAW. Dalam apa jua keadaan sekalipun beliau tetap memikirkan terlebih dahulu kesihatan Rasulullah SAW.

Kalau pun tidak mampu menyaingi cinta Abu Bakar, semangat yang ditunjukkan beliau perlu dicontohi umat Islam. Dalam konteks hari ini, umat Islam perlu sentiasa meletakkan maslahat Syariat Islam sebagai target utama. Syarat paling penting, usaha untuk hadir solat berjemaah. Ikut program-program ilmu yang dianjurkan. Aktifkan diri dalam jemaah-jemaah Islamik. Dan sentiasa berusaha mengukuhkan ukhuwah sesama muslim.

Cinta yang bagaimana sebenarnya yang sedang bergelora di hati Abu Bakar RA ketika itu? Hati yang telah dikuasai hakikat Cinta Rasul ini, pasti membuatkan Allah ’jatuh hati’ kepadanya pula. Rasulullah SAW digelar sebagai Kekasih Allah. Sesiapa yang mempunyai Cinta Rasul, sudah tentu akan turut dicintai oleh Allah SWT.

Umpama ungkapan Allamah Syaikh Abul-Hassan Ali An-Nadwi RAH.A, ”Bahkan apa yang dinamakan perasan cinta itu sendiri telah lenyap dari hati setiap orang selama beberapa abad. Yang ada hanyalah semboyan kosong yang sering dinyanyikan oleh para seniman sepanjang masa.”

Rasulullah sangat -sangat mencintai umatnya sehingga diakhir nyawanya masih menyebut "Ummati..Ummati..". Kita patut membalas cintanya Nabi SAW itu, bukan dengan perkataan semata-mata tapi perlu dibuktikan dengan perbuatan berbentuk sunnatullah.

Wahai diri, renungkanlah, cinta yang bagaimanakah nanti yang engkau akan persembahkan, pada saat kau bertemu Rasulullah SAW di Mahsyar nanti? Oh Allah... ”Sesungguhnya, ku adukan kesusahan dan kesedihanku ini hanya kepada Allah!” (Yusuf 12:86)

No comments:

Post a Comment