Zalim lawan kepada adil. Adil bukannya isu menyamaratakan pembahagian. Adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dan zalim adalah perkara yang bertentang dengannya.
Adil juga dikaitkan dengan hak. Dalam rumahtangga contohnya, hak yang wajib atas suami ialah memenuhi tuntutan nafkah isteri. Kegagalan bererti kezaliman.
Allah juga ada perincian hakNya. Syariat merupakan hak Allah. Puasa, solat dan hudud contohnya adalah hak Allah yang wajib atas manusia. Memenuhi hak Allah bererti bertindak adil.
Adil datang melalui pertimbangan akal, akal berkait dengan ilmu dan ilmu perlu bersumber kepada Al-Quran dan Hadis. Kesemua tersebut perlu bergerak diatas amanah. Kegagalan masing-masing memainkan peranan menjadi punca wujudnya kezaliman.
Untuk membina sebuah rumah yang berkualiti baik, sukatan bancuh simen kena betul, susunan bata kena bijak dan guna alat yang sepatutnya. Tukang rumah perlu kepada kemahiran. Kemahiran itu adalah ilmu. Dan ia mesti amanah dengan ilmunya serta benar sumbernya.
Ada ulama berpendapat "kekurangan ilmu merupakan punca kepada kezaliman"
Perhatikan maksud ingatan Allah yang terkandung dalam surah Al-Ahzab 72 dibawah..
"Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesunguhnya tabiat kebaikan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."
Adil bukan khusus untuk pemimpin. Semua orang memiliki bahagian amanah masing-masing. Namun, seseorang yang dikhianati pemimpinnya berpotensi beraksi zalim.
Umpama seorang yang jatuh fakir akibat kegagalan pemerintah berkongsi kekayaan, akhirnya nekad merompak semata-mata mengisi periuk nasinya. Walaupun timbangan akalnya salah namun dia tidak memikul tanggungjawab berseorangan.
Kenalilah zalim dan puncanya. Dan jauhi diri dari berlaku zalim. Ianya bakal merosakkan seluruh alam. Dekati sentiasa majlis ilmu. Berdampinglah dengan para ulama dan dai'.
( Surah Al Araf Ayat 23 ) Ertinya:
Mereka berdua merayu : " Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami orang-orang yang rugi."
Allah itu Maha Adil dalam membuat pertimbangan.
No comments:
Post a Comment