VOCALIST

Friday, February 10, 2012

PENSYARIATAN CINTA

Cinta itu sifatnya adalah fitrah. Maknanya berterusan. Sekiranya diistilah putus itu bukannya sudah noktah tapi barangkali ia 'berehat' seketika.

Cinta pulak apabila datang bukan boleh ditepis-tepis. Mampunya hanyalah ditapis sahaja.

Apabila datang, 'mangsa' akan mengidap satu perasaan pelik. Apa yang dibuat serba tak kena. Dan sejarah itu asalnya tidak berbohong (bergantung pada nafsu perawinya). Perasaan tidak kena inilah akibatkan isteri-isteri Pak Menteri di era Nabi Yusuf AS menghiris-hiris jari-jemari mereka. Serba tak kena bila melihat hebatnya rupa paras Yusuf AS.

Merenung riwayat Abu Ya’la yang dinilai sahih oleh al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah daripada Anas bin Malik r.a yang menceritakan tentang hari Abu Quhafah, iaitu bapa Saidina Abu Bakar al-Siddiq menganut Islam. Walaupun agak lewat, Abu Bakar r.a begitu mengharapkan bapanya itu menerima Islam.

Menariknya, pada hari Abu Quhafah menghulurkan tangannya kepada Nabi s.a.w untuk menganut Islam, Abu Bakar menangis. Nabi s.a.w bertanya: “Apakah yang membuatkan engkau menangis wahai Abu Bakar?”. Jawabnya: “Seandainya tangan bapa saudaramu (Abu Talib) berada di tempat bapaku sekarang, lalu dia (Abu Talib) menganut Islam sehingga engkau gembira lebih aku suka dari bapaku sendiri menganut Islam”.

Demikian halusnya perasaan cinta Abu Bakar. Itulah cinta. Itulah berkorban apa sahaja. Tiada rasa gembira jika kekasih berduka. Satu perkongsian Cinta yang sangat hebat nilaiannya.

Abu Bakar RA merupakan Ikon Umat Islam yang mengaku sebagai pengikut setia Muhammad SAW. Makhluk paling sesuai diletakkan disebalik 'Pensyariatan Cinta'. Lelaki dewasa Islam pertama. (Syaikh Al-Albani mengatakan: "Lelaki dewasa dan merdeka yang pertama kali beriman adalah Abu Bakar, dari kalangan anak-anak adalah Ali bin Abi Thalib, dari kalangan budak Zaid bin Haritsah.)

Kehidupan Abu Bakar; tindakan dan pergerakannya adalah manifestasi cinta yang terlalu mendalam terhadap seorang Rasul.

Sabda Nabi s.a.w:
“Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya” (Riwayat al-Bukhari).

Perasaan serba tak kena yang hadir berpakej tanpa diundang itulah dipanggil kemanisan cinta. Satu 'mood' istimewa yang janganlah hendaknya digugat. Lebih rasa manisnya jika ianya dipandu syariat. Dengan berpandu syariatlah status cinta itu dibezakan benar dan salahnya.

Bukan seperti Mat Rempit cintakan Minah Rempit yang memandu cinta sehingga akhirnya membunuh diri mereka sendiri.

Lain gayanya dengan cinta sahabiah. Bagaimana sahabat tinggalkan SEGALANYA kerana cinta. Pada mata manusia mereka menderita. Di lubuk jiwa, mereka sedang tenggelam dalam satu kemanisan yang sukar hendak digambarkan dalam tulisan dan perkataan. Kemanisan iman! Inilah yang disebut oleh Nabi s.a.w:

“Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kenalilah cinta itu dengan berdamping dengan manusia yang paling faham tentang Allah dan Rasul (Ulama). Mulalah dengan menghadiri majlis Ilmu..

SELAMAT MENGASIHI MUHAMMAD SAW KEKASIHNYA ALLAH SWT..

No comments:

Post a Comment