Uwais seorang pemuda Soleh yang sangat memberati ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia begitu tekun untuk mengusahakan keredhaan ibunya. Kematian bapanya sewaktu Uwais masih kecil menyebabkan ibunya menanggung Uwais beserta penyakit sopaknya sehinggalah dewasa.
Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan sesuatu agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji.
Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mengusahakan perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya “Haudat”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak menyewa juga tidak bekemampuan.
Ibu Uwais semakin uzur hari demi hari dan berkata kepada anaknya pada suatu hari :
“ Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji. ”
Uwais akhirnya memperolehi suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari didukungnya Uwais anak lembu itu naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan. Perbuatan 'pelik' yang dilakukannya ini memudahkan dia dilabel gila oleh orang lain.
Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari diusungnya lembu itu, petang didakinya naik dan pagi dibawanya turun. Sebaliknya, hanya Allah saja tahu kebijaksanaan Uwais.
Lembu yang asalnya hanya 20kg, pastinya selepas enam bulan akan membesar kepada 100kg. Secara tidak langsung otot kedua tangan dan badan Uwais mengembang kuat hinggakan lembu seberat 100kg dengan mudah diangkutnya Uwais turun dan naik bukit setiap hari.
Selepas lapan bulan, dan sudah tiba musim haji, Uwais pun menyatakan hasrat kepada ibunya.
"Ibu.. Kali ini aku sudah bersedia membawa ibu ke Mekah menunaikan haji!"
Rupa-rupanya usaha lapan bulan sebelumnya itu adalah satu latihan khas untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji.
Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan begitu mudah. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.
No comments:
Post a Comment