"Aku nak buat kenduri besar-besaran.." Pak Baen mula membayangkan kenduri dikampung tercintanya Timbang Tahil sedikit masa lagi. Seantero kariah kampung akan diundangnya. Pak Baen juga akan turut menjemput wartawan dari akhbar-akhbar sensasi untuk membuat liputan 'live' suasana kenduri tersebut.
Pak Baen juga merancang satu sukaneka bagi membuat kendurinya lebih 'happening'. Disamping 'door gift' 1 kilogram gula Kuala Perlis yang disediakan, undangan juga berpeluang memenangi cabutan bertuah misteri. Almaklumlah, Pak Baen sehingga penyakit tiga beradik belum menyerang hidupnya adalah stokist gula tersohor di kampung.
Pak Baen berhajat memberitahu orang kampung betapa gumbira lubuk hatinya disaat pengumuman pemerintah begitu kreatif mengurangkan subsidi gula pada pembentangan bajet tahunan. Akan dipasang nanti kain rentang bertulis 'janji dikurang subsidi' sebagai tanda terima kasih.
"Kerajaan tak mahu kita kencing manis.." Serius sekali Pak Baen bersembang bersama sekutunya diwarung kopi Janda Benah. Pakat-pakatlah orang mengerumuni meja Pak Baen. Seperti selalu Pak Baen akan 'memayung' makanan dan minuman pengunjung-pengunjung warung tersebut termasuk yang terbungkus.
Pak Baen mula terbayang tepung talam 'favourite'nya yang kurang manis diwarung Benah, teh tarik mamak Kabir yang kurang gula dan cendol Pak Saros rendah gula. Bagi Pak Baen, idea pengurangan gula adalah latihan yang tersangat efektif.
"Dahla rakyat berpenyakit, negara pulak bankrup.. Buat apa?.." Pak Baen menyindir sesetengah orang yang lebih selesa jika pemerintah menaikkan semua subsidi.
"Memang mereka jenis tak tau bersyukur.." Tambah Pak Baen lagi. Geram Jugak dengan sesetengah orang yang suka kutuk kebaikan pemerintah ni.
"Kira okey la tu ada lagi subsidi !!.." Suara Pak Baen makin tinggi.
Pihak pemerintah memang terkenal dengan kegeligaan ideanya. Sebelum ini pemerintah telah mengurang subsidi minyak untuk menggalak rakyat berbasikal, mengurangkan subsidi tepung sebagai usaha mengurangkan obesiti dan pengurangan subsidi beras supaya rakyat mencuba-cuba jadikan gandum sebagai makanan asasi. Semua langkah kerajaan disambut baik Pak Baen dulu dan kini.
"Haa.. Jangan dibawak ke tidur pulak subsidi tu!!" Sergah Mak Mah membuatkan lamunan Pak Baen serta-merta terhenti.
No comments:
Post a Comment