Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah perasaan yang dirasai Nabi Ibrahim AS apabila menerima beban arahan Allah untuk menyembelih darah daging hasil perkongsian dengan Siti Hajar. Apatah lagi anak bakal dikorban itu adalah satu-satunya cahaya mata kesayangan yang ditunggu berpuluh-puluh tahun.
Anak yang bakal dikorban pula adalah Nabi Ismail, juga dari benih Siti Hajar yang dulunya mempunyai pengalaman perit apabila ditinggal Nabi Ibrahim sehelai sepinggang di tanah tandus Mekah tanpa apa-apa bekalan. Kisah bagaimana Siti Hajar berlari-lari disekeliling kota Mekah bagi mencari sesuatu juadah buat mengatasi tangisan kelaparan Nabi Ismail AS saat susu badannya sudah kering.
Perasaan cinta Nabi Ibrahim kepada Allah mengatasi segalanya melebihi kekuatan cinta pada isterinya Siti Hajar dan anak Nabi Ismail. Waktu ini Ismail sudah pun melangkaui usia remaja dan sudah bersedia mengambil alih tugas-tugas Nabi Ibrahim. Demi ketaatannya kepada Allah, Nabi Ibrahim menyampaikan amanat Allah satu-persatu buat Ismail as walaupun keberatan.
” Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu , agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar menringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku kepada ibuku berikanlah kepadanya pakaian ku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya.”
Ditakdir Allah, parang tajam Nabi Ibrahim AS tak upaya menyembelih leher Nabi Ismail as yang kemudiannya di gantikan Allah SWT dengan seekor kambing. Allah SWT telah membuktikan 'ketaatan luarbiasa' pasangan anak-beranak Ibrahim dan Ismail dalam menyahut tuntutan syariat.
Bayangkan jika Allah masih mengekalkan pensyariatan sembelihan anak masing-masing sebagai korban hari ini. Anak dan bapa yang longgar akidah akan berkejar sana-sini huru-hara. Akan ada sana-sini pengamal hak asasi berdemo menentang apa yang diistilahkan mereka ekstrem (zalim dan kejam). Akan keluar kenyataan-kenyataan engkar seperti primitif, tak sesuai dan paling hina ialah 'makan sup tangan'. Syariat yang tersedia kekal dan jelas sekalipun diperlekeh dan dipijak sesuka hati puak-puak yang anggap akal mereka melampaui ilmu Allah ini.
Malaysia juga 'bangga' kerana memiliki kumpulan dan pasukan yang jelas tidak mesra syariat. Kelompok liberal inilah tulang belakang yang sebenarnya bermatian-matian memastikan tidak tertegaknya pelaksanaan sebarang undang-undang syarie. Dengan bersembunyi disebalik Islam, amalan yang kebanyakan mereka anuti ini sangat mengelirukan masyarakat. Kesan keengkaran merekalah (terutama pemimpin) jadi punca berlakunya gejala zalim seumpama bunuh bayi zuriat sendiri, rompak dan rogol.
Dua pensyariatan (haji dan korban) adalah teladan dari kisah 'popular' Nabi Ibrahim, Ismail dan Siti Hajar. Syariat Nabi Ibrahim ini dipersembahkan dengan terang melalui Al-Quran sebagai ibadah umat Nabi Muhammad SAW. Umat Islam wajib mengisytiharkan kesediaan bagi pelaksanaan sebarang syariat sebagaimana sanggupnya Ibrahim as dan Ismail as menurut perintah Allah tanpa buruk sangka.
Sebarang syariat dari Allah adalah suatu amanah buat manusia yang terbeban pada diri mereka sebagai pemimpin muka bumi. Jangan biarkan diri kita berada di posisi seorang Islam yang engkar yang boleh membawa kepada kekufuran. Keengkaran bakal jadi punca pelbagai kerosakan bumi beserta isi dan sabitnya adalah tangan-tangan manusia itu sendiri. Hanya kerana engkar.
“Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan-perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah ar-Rum (30):41].
No comments:
Post a Comment