Sambil memegang kuat baju Nabi Ibrahim, ditanya Hajar AS kepada Nabi Ibrahim dalam keadaan amat-amat sedih "Apakah ditinggalkan aku kerana perintah dari Allah SWT?". Air mata Hajar AS kemudian membasahi sebahagian tubuh Nabi Ismail AS. Hajar juga tidak 'berani' menyoal lagi. Semestinya Hajar AS sedar betapa taat suaminya kepada Allah.
Tentang taatnya Nabi Ibrahim AS
Sesungguhnya Nabi Ibrahim AS tidak akan meninggalkan isteri tercinta Hajar AS dan anak kesayangannya Ismail jika tidak kerana taatnya kepada perintah Allah. Anaknya Ismail AS sewaktu ditinggalkan masih lagi disusui Hajar AS. Nabi Ismail yang dianggarkan berumur lebih kurang 2 tahun telah ditinggalkan serta-merta di tanah tandus (tiada pokok, binatang ternakan dan punca air) berbekalkan sedikit bekalan makanan dan minuman yang dijangka tidak akan bertahan lama. Tiada terdapat rumah-rumah orang apalagi restoran.
Di Malaysia pun ada. Ada ibu yang gelisah sambil berlari-lari anak untuk 'selamatkan' bayinya tapi bukan untuk pertolongan tapi gelisah mencari tempat yang paling strategik untuk membuang kandungannya. Spesis ini lebih teruk dari binatang. Binatang pun tidak tinggalkan kandungannya dicelahan timbunan sampah.
"Bertawakkallah kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke sini dan Dialah yang akan melindungi mu dan menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sesungguh kalau bukan perintah dan wahyunya, tidak sesekali aku tergamak meninggalkan kamu di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat ku cintai ini. Percayalah wahai Hajar bahwa Allah Yang Maha Kuasa tidak akan melantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya, insya-Allah."
Redho dan Pengorbanan Si Ibu mithali
Nabi Ibrahim AS hanya mampu menanamkan seluruh keyakinan dan kebergantungan baginda kepada rahmat dan pertolongan Allah SWT buat bekalan Hajar AS. Dari celah-celah bukit, jauh dibalik pandangan Hajar AS, Nabi Ibrahim sempat menadah tangan berdoa supaya Allah mengurniakan segala kebaikan bukan saja buat Hajar AS dan Ismail AS tapi seluruh keturunannya. Doa memohon rahmat Allah seterusnya memujuk hati sedihnya. Allah terbukti memperkenankan doa kekasihNya, bumi Mekah, lanskap kesuburannya berubah dan nikmatNya dapat dirasai Umat Islam sedunia hingga kini.
Sebagai Nabi Allah, Ibrahim pasti telah mendidik isterinya Hajar AS secukup-cukup ketabahan bagi menanggung beban ditinggal suami. Dan Hajar AS pula bukannya calang-calang ibu. Walaupun telah ditakdirkan kemudiannya terjahan tapak Ismail AS menghasilkan air namun si ibu tetap berusaha sedaya mungkin untuk menyara anaknya. Berlari-lari kesana-sini demi setitik air buat meredakan tangisan anaknya Ismail AS.
Redho dan pengorbanan Hajar AS semestinya dijadikan renungan buat semua kaum ibu masa kini. Sehingga hari ini, umat Islam telah mengabadikan pengorbanan Hajar AS sebagai ibadah dalam pensyariatan haji dan umrah.
Mampu lagikah kita meneladani pengorbanan seorang ibu sehebat Hajar AS atau seorang suami dan bapa sekuat Nabi Ibrahim AS? Dimana nikmat Islam yang dirasai hari ini ada rentetan kisah menyayat hati ketiga-tiga insan hebat ini. Sama-sama kita hayati peristiwa 'korban anak-beranak' di Eidul Adha ini..
No comments:
Post a Comment