Apabila PM umumkan bajet jutaria 2012, bayangan sinetron paling hampir,ketara dan menyerlah ialah kisah budak miskin jalanan bernama Jamal Malik dalam Slumdog Millionaire. Filem ini dianggap terbaik kerana kekuatan ceritanya. Ia mengisahkan perjalanan hidup seorang kanak-kanak lelaki India Muslim; Jamal Malik yang menjalani kehidupan bersama abangnya sejak kematian ibu yang diserang kumpulan penganut Hindu. Jamal menghabiskan zaman kanak-kanaknya berkongsi kemelut kemiskinan, pergolakan sosio-politik dan penindasan golongan hartakayawan disisi kekayaan negara yang hanya dinikmati beberapa kerat personel.
Kerana desakan hidup, Jamal menceburi bidang rompakan 'kecil-kecilan' di area kejiranannya. Sehinggalah suatu hari dia berpeluang menyertai program 'Who wants to be a millionaire' di TV India. Bagi Jamal adalah sesuatu yang bodoh untuk selama-lamanya hidup dalam penindasan. Ada banyak sebab, kenapakah Slumdog Millionaire diangkat sebagai sebuah filem terbaik India sepanjang zaman.
Filem ini kurang di'lagho'kan dengan tarian dan nyanyian, iaitu perencah dan ramuan biasa yang banyak menghidupkan kekuatan dalam filem Hindi sebelum ini. Filem ini lebih mengangkat kehidupan sebenar majoriti masyarakat miskin di India dan ia berbeza dengan filem-filem Hindi yang lain. Jelas apabila Jamal berjaya menjawab soalan kritikal bernilai 20,000,000 Rupee, seluruh India digambarkan melonjak gembira. Jamal rupanya mewakili jutaan rakyat miskin di India.
“You don’t have to be a genius,” kata Jamal kepada polis yang menahannya. Beliau disyaki menipu dalam program tv termasyhur di India itu. Memang benar kata Jamal.
Beliau sebenarnya tidak sepintar mana dan hal ini dibuktikan pada akhir cerita di mana beliau sendiri tidak tahu jawapan mengenai nama wira dalam The Three Musketeers, walaupun novel itu adalah antara yang dibacanya sejak zaman kanak-kanak.
Apa yang menyebabkan Jamal Malik mampu menjawab hampir keseluruhan soalan dalam kuiz Who Wants To Be A Millionaire itu?
Keperitan hidup
Sebenarnya, Jamal mengharungi segala keperitan hidup pada zaman kanak-kanaknya. Untungnya, pada setiap jalur kehidupan yang gelap itu, ternyata ada terkebetulan dengan soalan hos rancangan tv tersebut.
“Di atas kertas wang Amerika $100, wajah siapakah yang tertera di atasnya?” tanya hos program itu.
Jamal termenung dan di ruang matanya, mengimbas zaman kecilnya ketika hidup menipu para pelancong di Taj Mahal. Bersama abangnya Salim, mereka mendapat upah yang banyak.
Di situlah Jamal mengenal mata wang Amerika. Dan, dia mengetahui wajah siapakah yang tertera di atas wang not $100 dollar Amerika itu ketika diberitahu rakannya yang telah dibutakan matanya oleh kumpulan penjahat.
“Benjamin Franklin,” jawab Jamal tanpa ragu-ragu. Bukan itu sahaja. Ada banyak lagi kisah gelap dan cerita suram lagi kelam yang akhirnya gumpalan pengalaman itulah yang telah membantunya menjawab setiap persoalan sukar dalam kuiz tersebut.
Mungkin sudah terbiasa dengan penipuan dan hidup mengenal penipuan ini menyebabkan Jamal dapat mengelak daripada ditipu pengacara program Prem Kumar lakonan Anil Kapoor, yang cuba memerangkap fokusnya ketika bertemu ditandas. Ketika rancangan itu berhenti seketika untuk memberikan laluan kepada iklan, sang pengacara memberi jawapan salah di cermin tandas.
Jamal dapat menghidu konspirasi penerbit yang mahu beliau kalah dan mahu menggagalkan harapannya memenangi 20 juta rupee itu. Jamal bagi mereka hanya layak dimanipulasi kemiskinannya bukan untuk berkongsi habuan 'millionaire'.
Melalui bekalan TALIAN HAYAT, dengan penuh bijak, akhirnya Jamal dapat membebaskan dirinya daripada perangkap pengacara yang memberi beliau jawapan yang salah ketika mereka sempat berbual di tandas sebelum itu.
"Yes, final answer.. A : Aramis.." Kesusahan hidup mengajar Jamal untuk tenang menjawab. Jamal juga merupakan contoh buat kumpulan tertindas untuk berusaha keluar dari manipulasi jebon-jebon penindas.
Kejadian itulah yang menyebabkan pengacara menganggapnya telah menipu. Program itu ditunda pada keesokan hari kerana soalan-soalan belum dapat dijawab semuanya. Dalam perjalanan pulang itulah Jamal diperangkap pengacara dengan meminta polis menyiasatnya di balai polis.
Dalam proses siasatan, dan setelah diseksa dan dipukul dengan teruknya oleh pihak polis, Jamal akhirnya menceritakan satu persatu kisah bagaimana beliau pada akhirnya berjaya menjawab setiap persoalan tadi.
Pengalaman Jamal adalah kritik sosial ke atas masyarakatnya
Satu persatu riwayat hidupnya dikisahkan semula kepada pihak polis. Boleh dikatakan semua kisahnya telah menyebabkan pihak polis sendiri terpaksa akur dengan masalah negara mereka sendiri. Misalnya polis tidak dapat menyelesaikan masalah pergaduhan antara penganut Hindu dan Islam di India.
Jamal dan abangnya Salim setelah menjadi yatim piatu akhirnya diperalatkan sekumpulan lintah darat yang memperalatkan anak-anak yatim untuk dijadikan pelacur, hamba seks, peminta sedekah serta ahli kumpulan samseng yang baru direkrut.
Tiada perhatian serius kerajaan dan sokongan sesama masyarakat ke atas anak-anak yatim di India menyebabkan beberapa kumpulan yang tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan menggunakan anak-anak yatim ini sebagai kumpulan jahat ketika mereka dewasa kelak. Inilah sebabnya kenapa ajaran agama menggalakkan pembelaan ke atas anak-anak yatim ini disamping bencinya Islam kepada penindasan.
Soalnya.. Who wants to be a millionaire?
No comments:
Post a Comment