Apa menyedari pihak musyrik Quraisy mengkhianati perjanjian melalui serangan dibuat Bani Bakar keatas kabilah muslim (kaum Huzaah), Rasulullah SAW tekad membuat persiapan untuk menyerang pihak Quraisy Mekah.
Baginda juga berdoa agar persiapan tentera Islam, rancangan dan strateginya tidak sampai ke pengetahuan sekutu Quraisy. Rasulullah SAW merancang serangan secara mengejut.
Namun semasa Rasulullah SAW giat merencanakan persiapan, baginda menerima maklumat rancangan perang tentera Islam cuba dibocorkan ke Mekah. Seseorang telah mengupah seorang wanita supaya menghantar surat amaran buat kaum Quraisy Mekah tentang rancangan serangan Baginda SAW.
Pembocoran diketahui Rasulullah SAW apabila Jibrail memberitahu baginda. Baginda kemudian memerintahkan Saidina Ali Bin Abi Talib, Zubair bin Awwam dan Al-Miqdad mengejar wanita tersebut bagi merampas surat berkenaan.
Apabila Ali dan dua lagi sahabat tiba di Raudhah Khah, mereka bertemu dengan wanita berkenaan sedang duduk dalam sekedup (rumah unta) yang dalam perjalanan ke Mekah. Saidina Ali segera menahan dan meminta wanita berkenaan menyerahkan surat rahsia sebelum sampai ke pemimpin Musyrik Mekah. Sama ada suka atau terpaksa, surat tersebut perlu diserahkan. Setelah diugut, digertak ketiga-tiga mereka, wanita itu akur dan akhirnya menyerahkan surat berkenaan. Surat itu disorokkannya di celah sanggul.
Ketiga sahabat yang diketuai Saidina Ali itu tidak membaca surat itu sebaliknya terus pulang ke Madinah untuk diserahkan kepada Rasulullah SAW. Apabila Baginda membuka dan membaca kandungan tersebut, tercatat nama Khatib bin Baltaah, sahabat Ansar yang juga 'Ahli Badrain', iaitu sahabat yang bersama-sama Baginda dalam Perang Badar.
"Wahai Khatib! Apa tujuan engkau mengirim surat dan membocorkan perkara yang aku rahsiakan dari pengetahuan puak Quraisy Mekah?" tegas soalan Rasulullah kepada Khatib.
Khatib menjawab, "Aku memohon agar tuan tidak gopoh dalam mengatasi masalah ini. Sesungguhnya aku semasa di Mekah mempunyai hubungan yang akrab dengan pihak Quraisy walaupun bukan berketurunan Quraisy. Apabila aku berhijrah ke Madinah, harta dan rumah tempat tinggalku tiada siapa yang menjaganya kerana aku tiada saudara-mara di Mekah. Justeru dengan surat yang aku kirimkan itu mudah-mudahan ada dikalangan mereka yang terhutang budi sudi melihat dan tolong menjaga hartaku."
"Ya Rasulullah.." Sambung Khatib lagi, "Tindakan aku menulis surat ini bukan bererti aku murtad daripada agamaku. Aku tidak rela menerima kekufuran selepas aku memeluk Islam."
"Sesungguhnya benarlah engkau wahai Khatib, " Ujar Rasulullah SAW kepada Khatib selepas mendengar penjelasan daripada tertuduh.
Mendengar kenyataan Rasulullah SAW itu, Umar Al-Khattab bingkas mencelas, "Izinkan aku memenggal leher si munafik ini, ya Rasulullah !!."
Bagi Umar, orang seperti Khatib itu tiada gunanya lagi. Seorang pembocor rahsia kepada pihak musuh hukumannya, dia mesti dibunuh. Jika tidak seolah-olah mereka membiarkan musuh menghancurkan strategi Umat Islam dari dalam.
Mendengar kenyataan itu, Rasulullah SAW menyeru kepada Umar, "Wahai Umar sesungguhnya Khatib itu adalah Ahli Perang badar. Tahukah engkau apa yang Allah SWT telah bisikkan kepadaku mengenai ahli Badar? ..'Buatlah apa sahaja, sesungguhnya Aku telah mengampuni segala yang telah mereka lakukan..' "
Jika Allah SWT sendiri berjanji memberi keampunan kepada Ahli Perang Badar, maka apa alasan orang lain khasnya Umar untuk tidak memaafkan 'Ahlil Badrain', Khatib bin Baltaah.
**Begitulah hebatnya sumbangan Badrain buat dunia Islam sehingga beroleh jaminan sedemikian daripada Allah. Kita, walaupun setinggi mana sekalipun gelaran didunia ini tidak akan memiliki keampunan 'automatic' seperti mereka (Ahli Badar) melainkan memohon terlebih dulu.
Banyakkan berdoa dibulan Ramadan ini, dimana 'langit keampunan' dibuka Allah seluas-luasnya.. Seperti amalan doa anjuran Nabi SAW; "Allahuamma innaka 'afuwwun karim, tuhibbul 'afwa fa'fu'anna"
Rujukan dari buku 'Muhammad SAW, insan teladan sepanjang hayat' karangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
No comments:
Post a Comment