VOCALIST

Thursday, August 2, 2012

BELENGGU SYAITAN RAMADAN

Daripada Abu Hurairah Nabi SAW telah bersabda bermaksud : "Apabila masuk malam pertama bulan Ramadan, dirantai dibelenggu para syaitan dan jin yang nakal (ganas), Ditutup pintu-pintu neraka, tidak dibuka walau satu pintu. Dibuka pintu-pintu syurga tidak ditutup walau satu pintu. Dan ada penyeru yang akan menyeru "Wahai golongan yang inginkan kebaikan ayuhlah dan wahai golongan yang mahukan kejahatan berhentilah" tersenarai disisi Allah nama-nama hamba-Nya yang bebas daripada api neraka pada setiap malam (Riwayat Termizi)

Ibnu Hajar Al-Asqalani dari al-halimiy maksud belenggu itu bermaksud syaitan tidak dapat melakukan fitnah kepada umat Islam sepertimana di luar bulan Ramadan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan amalan puasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian zikir dan Alquran.

Syeikh Atiyah Saqr menyebut beberapa ulama mensyarahkan maksud hadith dibelenggu iaitu tak dapat menguasai orang-orang yang benar-benar berpuasa dengan yang sebenar dengan meraikan setiap adab-adab termasuk pelihara lidah, pandangan dan anggota.

Imam Ibnu Khuzaimah (Wafat: 311H) menyatakan:

Bab penjelasan terhadap apa yang dimaksudkan dengan Sabda Nabi SAW : “Dan dibelenggulah syaitan-syaitan yang ganas (atau besar).” Bukan merujuk kepada seluruh syaitan, kerana sebutan (atau istilah) syaitan-syaitan adakalanya digunakan untuk sebahagian dari mereka.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 3/187)

Ulama lain berpendapat belenggu itu untuk syaitan-syaitan yang degil dan melampau. "dibelenggu padanya (Ramadan) syaitan-syaitan yang degil/melampau" maka dibelenggu syaitan itu adalah perumpamaan melemahkan syaitan dalam menyesatkan umat Islam dan dengan menghiasi syahwat.

Syaitan Dibelenggu, Tetapi Kenapa Maksiat Berleluasa?

Imam al-Qurthubi menjelaskan:

Apabila disoal, “Mengapa kita masih melihat kejahatan dan maksiat berlaku di bulan Ramadhan. Sekiranya syaitan dibelenggu, bukankah sepatutnya perkara seperti itu tidak akan berlaku?”

Maka jawabannya, Bahawasanya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu para penentang yang ganas dari kalangan mereka sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya.

Apabila semua syaitan dibelenggu, juga tidak menjadi sebab untuk tidak akan berlakunya kejahatan dan kemaksiatan. Kerana sebab berlakunya kemaksiatan itu turut didorong oleh sejumlah faktor lainnya selain dari faktor syaitan. Boleh jadi disebabkan nafsu yang buruk, tabiat yang kotor, dan syaitan-syaitan dari kalangan manusia sendiri.
(Ibnu Hajar, Fathul Bari, 4/114)

No comments:

Post a Comment