VOCALIST

Saturday, March 19, 2011

PAK BAEN STORY : VS LEBAI PAYAT

Lebai Payat (bukan gambar sebenar)
Boleh dikatakan setiap detik. Media cetak , media elektronik pagi petang siang malam 24 jam 'non stop' memutarkan hal-ehwal perlawanan akhir badminton antara musuh tradisi Pak Baen dan Lebai Payat. Pak Baen adalah jaguh yang tak asing lagi bagi penduduk Kampung Timbang Tahil (TT). Berlonggok piala pusingan hasil kemenangan Pak Baen masih berkilat tersimpan di almari kaca dekat pintu masuk Dewan Orang Ramai yang juga Pejabat khidmat kampung TT. Lebai Payat pula cukup 'terer' dan sangat terkenal di kampungnya Komar Jing.

Walaupun kedudukan geografi Komar Jing sedikit susah di 'google', Kepopularan Lebai Payat tidak kurang hebat. Malah mampu memecah tembok kampung Timbang Tahil. Penduduk Timbang Tahil sikit sebanyak memperkatakan kehebatan Lebai Payat.

Solat dimana saja
Ketangkasan Lebai Payat bukan saja digelanggang badminton malah beliau mempunyai aura persona yang cukup mudah didekati. Lebai Payat boleh mengimami solat jemaah, mengurus kematian dan membuat kerja kenduri kendara.
Pak Baen banyak merangkul kejuaraan peringkat negeri sedangkan Lebai Payat bergantung kepada Daerah dan cawangan untuk mengumpul koleksi kejuaraan beliau. Namun begitu kekerapan Lebai Payat beraksi membolehkan kedudukan carta mata mengatasi Pak Baen. Disebabkan terlalu kerap bermain juga, Lebai Payat sering dikecewakan Pak Baen. Sudah tentu letih jawapan paling sesuai bagi bedah siasat yang dibuat.

 Pak Baen memilih untuk bermain pada kejohanan yang lebih besar peringkat negeri dan selalunya berlangsung 2,3 bulan sekali.
Untuk perlawanan kali ni, Pak Baen masih berbongkak dengan rekod pertemuan 8-7 yang memihak kepadanya. Gelanggang pertarungan kali ni bertempat di Stadium mini di Daerah Jolia, kubu kuat Pak Baen. Satu kemenangan moral kepada kem Pak Baen.

TV Klasik
TV, radio dan surat khabar yang dimiliki Pak baen akan dimaksimumkan penggunaannya. Termuntah dibuatnya penduduk sekitar akibat terlalu ekstrem propaganda mainan Agensi arus perdana tadi. Modus operandinya tidak lain untuk pastikan Pak Baen menang dan terus bertahan.
Lebai Payat bagaimanapun tidak menjadikan ianya sebagai alasan untuk melemahkan semangatnya. Berbekalkan begitu ramai penyokongnya, semangat melawan Pak Baen tak kering pudar.

Penonton sudah berasak-asak masuk ke stadium. Perlawanan kali ni telah diiktiraf sebagai 'match of the year' oleh Persatuan Penulisan Sukan Daerah dan pengurusan stadium boleh mengaut untung banyak hasil jualan tiket. Namun begitu, saat akhir sebelum perlawanan bermula, penonton diberitahu mereka tak payah keluarkan duit poket. Pak Baen sponsor 100 persen. Bukan itu sahaja, penonton juga diberi sehelai t-shirt percuma sebagai cenderahati dan diedar disetiap kaunter masuk. T-shirt warna biru memang sangat sesuai untuk warna tema pasukan Pak Baen juga biru. Maka terbentuklah gelombang biru yang mewarnai stadium.

Segala-segalanya seolah memihak kepada Pak Baen. Seakan sudah tertulis kemenangan Pak Baen merangkul kejuaraan ini. Dengan menang kejuaraan ini, rankingnya akan meningkat seterusnya Pak Baen layak automatik ke kejohanan peringkat negara. Jadi tak hairan lah Pak Baen nampak begitu terdesak apabila bertungkus lumus mengerah seluruh jentera bagi memastikan hasrat beliau.

No comments:

Post a Comment