VOCALIST

Thursday, March 10, 2011

FENOMENA FITNAH

Bertaqwalah kepada Allah SWT.
Meniti arus pembangunan dan kemajuan pesat teknologi, umat Islam perlu berhati-hati agar tidak terjatuh ke dalam fitnah secara terang-terangan, tanpa sedar dan tersembunyi . Islam tidak memusuhi kemajuan dan pembangunan tangan manusia asalkan diasas dan dikawal oleh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Allah SWT telah menegaskan dalam surah al Anfal ayat 28, yang bermaksud:

"Dan ketahuilah kamu bahawa sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah fitnah (ujian). Dan sesungguhnya Allah di sisiNya balasan yang sangat besar."

Harta benda dan anak-anak adalah nikmat daripada Allah SWT sekiranya di urus dan dijaga  dengan baik mengikut dasar-dasar Islam. Sebaliknya ia boleh memudaratkan dari segi keimanan dan ubudiyah-nya kepada Allah SWT. 
"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku." - Surah az-Zariyat: ayat 56.


Awasi fitnah yang berlaku melalui percakapan, fitnah pekerjaan, fitnah aqidah dan ideologi yang menyesatkan. Semua bentuk fitnah menghalang  dan menyekat pembangunan dan perlaksanaan Islam sebagai ad-din (sistem hidup). Kerosakan angkara fitnah adalah hasil tangan Umat Islam sendiri.

Sekat fitnah dengan memahami dua perkara asas :

1.     Memahami Islam sebagai Ad-Din (sistem hidup) melalui al-Quran dan Sunnah ar-Rasul SAW. Menuntut dan percaya ilmu Islam daripada ulama yang jelas kefahaman serta iltizam mereka kepada  syariah Islam. Berkenaan dengan masalah politik, posisi ulama sangatlah penting. Mereka senantiasa dituntut kritis sekiranya seorang penguasa mulai cenderung pada kemungkaran. 
"Ulama adalah pewaris para nabi "(HR. Tirmidzi) 
Maksud Hadis Nabi yang patut dijadikan pengingat agar tidak terjerumus pada hal-hal yang berakibat pada hilangnya izzah (keagungan) seorang ulama.

2.     Menterjemah isu semasa melalui fikir Islam. Dalam perkataan lain memahami realiti aqidahnya, ibadahnya, syariatnya, akhlaknya bersumberkan rujukan AlQuran, Hadis dan sepakat ulama. 

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” [Al Hujuraat:6]

Rasulullah SAW mengingatkan perkara fitnah melalui sabda baginda bermaksud:

"Bersegeralah kamu mengerjakan amalan-amalan bagi menolak fitnah yang datang seperti kegelapan malam yang gelap gelita. 
Pada sebelah pagi seseorang itu beriman dan pada sebelah petangnya ia menjadi kafir dan pada sebelah petangnya ia beriman dan pada sebelah paginya ia menjadi kafir. 
Dia menjual agamanya dengan harta benda dunia."

Sabda Rasul SAW lagi yang bermaksud:

"Masa akan menjadi dekat (pendek), ilmu akan diangkat, fitnah akan lahir, dicampakkan akan sifat bakhil dan berlaku dengan banyaknya ‘harju’. Maka mereka bertanya: Wahai Rasul, apakah maksud harju. Baginda menjawab: harju adalah pembunuh."

Realiti sabda Rasul SAW telah berlaku. Ilmu perlahan-lahan telah diangkat atau ditarik balik. Ilmu syarak yang boleh memandu kewarasan akal muslim.
Semakin susut ulamak-ulamak rabbaniyun (ulamak-ulamak yang takut kepada Allah SWT) yang memuliakan sifat-sifat zuhud, wara' dan sentiasa mengikut panduan Ilahi, menjadikan baginda SAW dan khulafa ar-Rasyidin sebagai panduan dan ikutan mereka.

panduan al- Quran yang berbunyi: "Sesungguhnya  pada diri Rasul SAW itu ikutan yang baik bagi kamu" 

Daripada hadis yang bermaksud:
"Hendaklah kamu beramal dengan sunnahku dan sunnah khulafa ar-Rasyidin, Mahdiyin selepas aku dan gigitlah ia dengan geraham kamu (yakni peganglah kuat-kuat dan janganlah lepaskan dia."

Untuk menjaga diri daripada terjatuh ke dalam keadaan fitnah atau pengaruh kebatilan, Huzaifah pernah berkata kepada Rasul SAW dengan katanya: "Adakah selepas kebaikan ini akan datang pula kejahatan?" Baginda menjawab; ‘Ya’, ada tetapi bercampur dengan ‘dakhan’". Huzaifah bertanya, "Apakah ‘dakhan’ itu?".  Baginda menjawab, "Kaum atau golongan yang mengambil sunnah yang lain daripada sunnahku dan mengambil petunjuk lain daripada petunjukku. Kamu kenal mereka dan hendaklah kamu tentang mereka". Huzaifah bertanya lagi, "Apakah selepas ini ada keburukan lagi?" Baginda menjawab, ‘Ya’ ada iaitu pendakwah-pendakwah di tepi pintu neraka. Barangsiapa yang menyahut dakwah mereka, mereka akan menolaknya ke dalam neraka." Kata Huzaifah, "Bolehkah beri tahu sifat mereka, wahai Rasul SAW?" Baginda bersabda, "Mereka adalah sama warna kulitnya dengan kamu dan bercakap dengan bahasa kamu".

Rasul SAW memberi tahu umatnya tentang fitnah kehilangan sifat amanah dan paling susah untuk mendapat seorang yang bermaksud beramanah. 

Sabda Rasul SAW bermaksud:

"Seorang manusia masing-masing membuat janji dan hampir tidak terdapat seorang pun yang menunaikan janjinya."

Seterusnya Rasul SAW menjelaskan bagaimanakah amanah Allah Subhanahu Wata’ala disia-siakan. Suatu hari seorang Arab datang menemui Rasul SAW dan bertanya, "Bilakah akan berlaku kiamat?" Maka baginda menjawab, "Bila amanah di sia-siakan maka tunggulah kiamat (kehancuran)." Arab itu bertanya lagi, "Bagaimanakah amanah disia-siakan?" Rasul SAW bersabda, "Sekiranya sesuatu urusan itu diserahkan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat (yakni kehancuran)."

Bagi menyekat fitnah yang menyerang umat Islam dari segenap penjuru, maka perlulah umat Islam hari ini memperkuat dan memeperkemaskan benteng pertahanan mereka supaya tidak mudah terpedaya dengan segala macam fitnah yang disebutkan tadi. Firman Allah SWT dalam surah al-AnFal ayat 25 bermaksud:

"Jagalah olehmu akan fitnah yang tidak menimpa ke atas mereka yang zalim semata-mata dan ketahuilah bahawa Allah sangat dahsyat siksaan Nya." 

No comments:

Post a Comment