VOCALIST

Monday, August 29, 2011

PENJAJAH YANG SAMA

British Yang Disebut Mat Sabu Adalah British Yang Sama Yang Halau Sultan Perak



Ini adalah batu peringatan di mana Dato' Maharajalela, orang Besar negeri Perak yang mengarahkan pembunuhan JWW Birch, Resident British yang pernah menjajah negari Perak. Klik gambar utk besarkan.

Mengikut sejarah, Birch telah dibunuh, pada 2 Nov 1875 oleh si Puntum seorang orang asli dan beberapa pahlawan Melayu di Pasir Salak.

Satu kenyataan sejarah yang dibiarkan berlalu begitu sahaja.Tetapi bagi saya, ia menimbulkan satu pertanyaan : Kenapa si Puntum? Penjajahan British tiada kena mengena dengan kehidupan seharian Orang Asli di hutan! Bukankah ramai lagi pahlawan Melayu ketika itu? Mana mungkin Si Puntum lebih berani ke hadapan daripada mana-mana pahlawan Melayu ketika itu.


Mungkinkah kerana terlalu takut kepada penjajah , atau ada komplot tertentu untuk melepaskan tengkuk masing-masing, maka si Puntum dijadikan kambing Hitam. Agak menyedihkan, Si Puntum hingga kini tidak pernah diselidikki susur galur keturunannya. Jauh sekali untuk mengangkatnya sebagai ‘hero’ kerana membunuh Birch.

Si Puntum didapati bersalah sama seperti mana dua orang PTK yang didapati bersalah membunuh Altantuya.Mereka membunuh tanpa motif tertentu.Cumanya dalam kes Altantuya, orang yang mengarahkan pembunuhan itu terlepas...buat masa ini.

Sejarah pembunuhan Birch merakamkan betapa majoriti daripada orang-orang Melayu Perak sekadar berdiam diri sahaja. Segolongan daripada Raja-Raja Melayu Perak dan para pengikut mereka menyokong British dan menentang Sultan Abdullah dan Datuk Seri Maharaja Lela dan para pembesar yang bangun menentang British.Kalau benar si Puntum yang membunuh Birch, kenapa nama Maharajalela naik dijulang?

Walaupun ramai orang Melayu hari ini mengangkat nama Dato’ Maharajalela sebagai pejuang bangsa, namun mereka tidak pernah berani mencerca penjajah yang menggantungnya hingga mati. Malah orang Melayu Perak tidak pernah berani mencerca penjajah yang telah membuang negeri Sultan mereka ketika itu, Sultan Abdullah ke Seychelles.

Rupa-rupanya, selepas lebih 50 tahun merdeka ini, masih ramai lagi orang Melayu beperangai macam itu, gemar menjilat penjajah dan mereka amat benci kepada orang macam Mat Sabu!

Sunday, August 28, 2011

GRADUAN MADRASAH RAMADHON

Semoga sessi Madrasah Ramadhon kali ini melahirkan lebih ramai graduasi dan angkatan jihad yang lebih takut (taqwa) kepada Allah.

Sasaran Ramadhon

1. Melahirkan umat Islam yang bertakwa hanya kepada Allah.
2. Membentuk Muslim yang mencintai program-program amal dan ilmu.
3. Menggalakkan Umat Islam supaya lebih sensitif kepada masalah saudara seagama dan manusia sejagat.
4. Menjadikan Al-Quran, Hadis, ijma' dan Qias sebagai rujukan sebenar hidup orang Islam.
5. Terus menerus bersangka baik dan positif kepada perjuangan Islam pimpinan alim ulama.

Kegagalan

1. Lahirnya orang Islam yang menjadi juara kepada pembaziran.
2. Terdapat umat Islam yang hanya jadikan Al-Quran sekadar bacaan tanpa pemahaman langsung.
3. Timbulnya umat yang masih mencintai budaya fitnah dan tuduh menuduh.
4.  Segelintir umat yang masih berkrisis dan 'allergic' kepada ulama.

Wednesday, August 24, 2011

TAK POSA TAK BOLEH RAYA

Inilah 'modal' utama orang tua-tua dulu sebagai motivasi buat kami 'Posa' di bulan Ramadhon.
 "Kalau hangpa tak posa, hangpa tak boleh raya.."
 Propaganda ni lah yang buat kami yang masih budak waktu dulu terpaksa menahan nafsu makan dan minum buat seketika. Blacklist dulu cekelat, eskrem dan minum air kotak. 

Kami tau betapa 'best'nya raya. Dan kalau kami didapati gagal, nikmat raya kami akan digantung pada tahun tersebut. Kami tahu kami akan di'pressure' dan dimalukan senior-senior di kampung. Kelayakan tambahan istimewa seperti mercun dan bunga api, duit raya, baju raya dan makan kuih raya sekalipun bakal dilucut. Kalau begini jadinya, raya kami tidak bermakna lagi.

Jadi kami kena 'Posa' jugak walau macamanapun. Kalau 2, 3 jam sebelum waktu berbuka tu, jangan dikenangla azabnya. Walaupun bolehla dikatakan kurang aktif seharian tapi bertempur dengan 'Posa' sulung memang lain macam peritnya. Lepas waktu tengahari lepas sekolah alamat terbaringla macam pesakit kronik. Tertonggeng, tergolek sekalipun takkan dilayan.
"Nak ayah bawak ke klinik?" pertanyaan yang mematikan terus niat kami. Walaupun ustaz selalu cerita pasal wajib 'Posa', tapi 'ugutan' tak boleh raya masih jadi mimpi ngeri. 

Kini setelah mengutip ilmu disana-sini, sikit-sikit kami mula sedar tarbiyah orang-orang dulu. Berperingkat-peringkat kami mula taat perintah 'Posa' Ramadhon dari Allah. Didikan orang terdahulu ada benarnya buat kami. 

Maksud hadis Nabi SAW :
Dua kegembiraan orang Berpuasa, pertama ketika berbuka (hari raya), yang kedua bertemu Allah di hari Akhirat kelak.

Mungkin ini sandaran mereka (Orang tua) buat memaksa kami menunaikan ibadah 'Posa'. Kalau tak 'Posa' memang raya bukan untuk kami.

SELAMAT HARI RAYA DARI SIDANG SENDUK
MAAF ZAHIR BATIN..

Tuesday, August 23, 2011

MADRASAH FITNAH DI BTN

BTN atau Biro Tatanegara adalah satu skema kursus yang sangat cantik menarik. Tapi kenapa pengisiannya 'sakit' dan begitu teruk. Adakah perlu dalam program dan ceramahnya didedahkan keburukan pihak yang sering mengkritik dasar kerajaan (bukannya anti-kerajaan tapi tidak setuju dengan amalan penguasa kepada kerajaan). 

Merekalah perasuah, anti-Islam, anti-kafir, perusuh, pengacau ketenteraman, komunis dan sebagainya. Semua yang dibuat kelompok 'anti kerajaan' ini dianggap serong walaupun kebanyakan antara mereka telah dipilih rakyat pada pilihanraya. Selekeh sangatkah rakyat yang memilih mereka setelah tempoh pemantauan dibuat 5 tahun sekali. Teruk sangatkah hingga tergamak menyebut dan memburuk nama iXndividu tertentu, parti dan sebarang ideologi lain. 

Sesuai dengan label kursus, kenapa peserta tak didedahkan dengan maksud, isi dan kepentingan perlembagaan. Mengapa tak diceritakan maksud kenegaraan dan ertinya menjadi warganegara Malaysia.?. 

Berbagai disiplin subjek yang berguna boleh dididik seperti bab Parlimen, Institusi Kehakiman, macam-macam Akta, Demokrasi, Fungsi Eksekutif, Pilihanraya dan sebagainya. Kalau diisi secara bersungguh-sungguh tempoh 1 minggu (tertakluk), nescaya lahir peserta-peserta yang tinggi pengetahuan kenegaraannya.

Baru-baru ini (dalam bulan Ramadhon 1432H) datang seorang anak kampung mengadu hal ceramah-ceramah 'pelik' semasa menghadiri kursus BTN yang sekarang menjadi syarat wajib untuk mereka ke Mesir. Dia akan melanjutkan pelajaran ke Mesir lepas Aidilfitri akan datang. Isu BTN ini adalah kali kedua keudara disini. Seperti edisi lalu, aku juga nasihatkan dia 'renew' syahadah balik dengan 'extra' solat sunat taubat..Mungkin Ramadhon janjikan lebih keberkatan..

Monday, August 22, 2011

TIPS DI AKHIR RAMADHON

RAMADHAN semakin hari bakal meninggalkan kita. Bulan yang penuh rahmat, pengampunan dan dijanjikan pahala berlipat kali ganda bagi hamba-Nya yang mengikhlaskan pengabdian diri kepada Allah s.wt.

Oleh itu rebutlah peluang dengan baki hari yang ada, setiap jam yang dilalui, setiap minit yang berdetik dan setiap saat masa yang berlalu untuk mempastikan Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik untuk kita semua.
Berkorbanlah dengan masa, tenaga dan segala-galanya untuk mencari malam Lailatul Qadar kerana di malam ini Allah menjanjikan ganjaran yang teramat besar di samping doa-doa yang akan dimakbulkan-Nya. Beri'tikaflah, bangunlah dan persembahkanlah rintihan, harapan dan taubat kerana malam itu hanya berlaku sekali dalam setahun

Hari-hari terakhir Ramadhan juga adalah hari-hari di mana Allah memadam nama-nama manusia yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Na'uzubillah... Oleh itu perbanyakkanlah doa, basahi lidah dengan istighfar kepada Allah, sesalilah segala dosa-dosa yang dilakukan, dan berazamlah untuk tidak melakukannya lagi kerana sesungguhnya Allah amat ternanti-nanti permohonan ampun dari hamba-Nya

Luangkanlah masa 4-5 minit sebelum berbuka puasa untuk memperbanyakkan doa kepada Allah kerana detik-detik itu menjadi satu masa mustajabnya doa

Perbanyakkan lagi amalan-amalan membaca Al-Quran, bersedekah, sembahyang sunat dan segala perkara kebaikan kerana ingatlah hanya amalan sahaja yang akan menemani kita di saat kita berseorangan di alam barzakh

Sama-samalah kita istiqamah melakukan ibadah kepada Allah dan gunakanlah kesempatan masa yang diberikan Allah ini dengan sebaiknya kerana belum tentu Ramadhan akan datang kita dapat tempuhi lagi.

Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Sunday, August 21, 2011

SYAITAN KATANYA DIBELENGGU

Kroninya masih bernafsu
Meracun kuncu-kuncu
Menjadi juara pembaziran
Puasa bertukar jadi dendam
Yang dilunas waktu berbuka

Kroninya tambah berleluasa
Ramadhon ulangtahunnya
Disana sini berpesta manusia 
Fitnah bagai ganti makan
Hilangkan dahaga

Kroninya makin meraja
Dengan topeng jariah
Konon masanya membersih 
Dosa lama yang tak terkira
Rasuah ditabur bagai baja.

Friday, August 19, 2011

AL-QURAN SATU PENURUNAN MENGGERUNKAN

Tidak lengkap mengingati malam Nuzul Quran jika tidak menyebut nama Khadijah ra, watak penting juga isteri tersayang Rasulullah saw.

Ketika Rasulullah saw mengigil ketakutan, Khadijah ra tenang lagi menenangkan suaminya !! “Aku takut akan diriku (akan ditimpa musibah dek jembalang tersebut)”, sabda Rasulullah saw, ketika menceritakan pertemuannya dengan makhluk yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

 “Kalla !!! Ma yukhzikallahu abada !!!” (Sekali-kali tidak !!! Allah tidak akan membuat sesuatu yang buruk kepada kamu !!! Sesungguhnya engkau menghubungkan Silaturrahim, menyumbang kepada orang yang tidak mempunyai harta, memikul bebanan (orang yang memerlukan bantuan) … “, tegas Khadijah ra dengan penuh kasih sayang yang yakin akan latarbelakang suaminya yang bersih, tidak mungkin Allah swt akan mendatangkan suatu yang buruk kepada insan yang sebegitu bersih dikenalinya. Rasulullah saw beriman dalam keadaan menggigil dan ketakutan yaitu ketika bertemu dengan Jibril. Khadijah ra pula beriman dalam keadaan kasih dan yakin yaitu ketika bertemu dan mendengar apa yang diceritakan oleh suaminya, Rasulullah saw. Khadijah bukan sahaja beriman tetapi menTasdiqkan imannya. Tasdik lebih tinggi dari Iman. Tasdiq ialah membenarkan kepercayaan (Iman) dengan amal perbuatan dan pengorbanan. Khadijah ra membenarkan Imannya dengan memberi dorongan kepada Rasulullah saw dalam berdakwah, menghulurkan harta kekayaannya demi kemajuan dan memberi lonjakan kepada Dakwah Islam lebih-lebih lagi di Tahun-tahun Pemboikotan yang zalim. Oleh itu Jibril telah memaklumkan kepada Rasulullah saw bahawa satu rumah di Syurga telah dibina untuk Khadijah ra. Nabi saw pula bersabda bermaksud, ‘Demi Allah !! Allah belum pernah menggantikan untuk aku isteri yang lebih baik dari Khadijah. Dia beriman kepada aku ketika manusia lain mengkufuri aku. Dia membenarkan aku ketika manusia lain membohongi aku dan tidak mempercayai risalah yang aku bawa. Dia memberi aku akan harta-hartanya ketika manusia lain mengenakan pemboikotan kepada aku

 لَوْ أَنْزَلْنا هذَا الْقُرْآنَ عَلى‏ جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خاشِعاً مُتَصَدِّعاً مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَ تِلْكَ الْأَمْثالُ نَضْرِبُها لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Kalau sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, niscaya akan engkau lihatlah gunung itu tunduk terpecah-belah disebabkan takut kepada Allah; dan perumpama an-perumpamaan itu Kami perbuat untuk manusia supaya mereka berfikir.  Surah Al Hasyar - 21

Ayat selanjutnya ialah menerangkan betapa besarnya pengaruh al-Quran, sampai diperbuat perumpamaan;

           لَوْ أَنْزَلْنا هذَا الْقُرْآنَ عَلى‏ جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خاشِعاً مُتَصَدِّعاً مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ

Kalau sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, niscaya akan engkau lihatlah gunung itu tunduk terpecah-belah disebabkan takut kepada Allah." (pangkal ayat 21).

Di ujung ayat kelak akan dijelaskan bahwa ini adalah perumpamaan. Oleh sebab itu janganlah dicuba membawa Mushhaf al-Quran ke atas sebuah gunung dan diletakkan di sana. Pada adatnya tidaklah gunung itu akan pecah berderai, hancur berantakan karena berat menerima al-Quran itu. Maksud kandungan ayat telah dijelaskan oleh Ibnu Katsir dalam tafsirnya; "Hendaklah khusyu` tunduk hati itu menerima al-Quran dan laksana pecah ketika mendengarrya. Sebab di sanalah terdapat janji-janji Allah yang benar dan ancaman bagi siapa yang durhaka yang tegas.

Artinya; "Kalau kiranya gunung yang begitu besar dan kasar mempunyai fikiran sebagai manusia niscaya ia akan khusyu' tunduk merendahkan diri karena takutnya kepada Allah. Maka adakah patut bagimu, hai Insan, tidak akan lintuh lunak hatimu karena takut kepada Allah.

Padahal kamu telah dapat memahamkan apa isinya, mengerti apa yang diperintahkan. Sebab itu sudah sayogianya kamu tunduk, karena kamu diberi Allah akal buat berfikir." Begitulah maksud tafsiran dari Ibnu Katsir.

Kita perbandingkan perumpamaan ini dengan perumpamaan yang serupa dalam Surat al-Baqarah (Surat 2 ayat 74) tentang keras membatunya hati orang Yahudi, bahkan lebih keras dari batu. Sebab dari dalam batu bisa juga me mancar sungai-sungai, dan ada batu yang pecah, lalu keluar air dari dalamnya, dan ada batu yang runtuh dari sebab takutnya kepada Allah. Itu adalah perumpamaan.

Perumpamaan-perumpamaan yang dahsyat dan tepat kadang-kadang dapat merangsang hati manusia yang mempunyai perasaan halus. Itulah sebab nya maka di ujung ayat Tuhan sabdakan;

                      وَ تِلْكَ الْأَمْثالُ نَضْرِبُها لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

"Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami perbuat untuk manusia supaya mereka berfikir." (ujung ayat 21).

Perumpamaan dalam al-Quran itu kadang-kadang sangat mempengaruhi. Nabi s.a.w. sendiri pernah tertangis tidak dapat menahan air matanya sehingga terlambat dia keluar akan sembahyang Subuh, dan tertunggu-tunggu sahabat -sahabat dan cemas kalau-kalau beliau jatuh sakit. Karena pada malam itu turun ayat 190 dan 191 dari Surat ali Imran (Surat 3) yang menyatakan bahwa pada kejadian langit dan bumi dan pertukaran siang dan malam, adalah menjadi tanda bagi orang yang berfikiran halus.

Saiyidina Umar bin Khathab yang halus perasaannya dan keras pendirian nya berubah dari seorang yang tadinya bertekad hendak membunuh Nabi, menjadi seorang yang beriman dan bersedia membela Nabi dengan nyawanya, karena membaca ayat-ayat pertama dari Surat 20 (Thaha).


Seketika turun Surat 52 (ath-Thuur), dari ayat pertama "Wath-Thuur" (demi bukit) sampai kepada ayat 7 "Inna `azaba rabbika la waaqi'" dan-ayat 8 "Maa Iahuu min daafi" (Tidak ada seorang pun yang dapat menolak).

Mendengar ayat-ayat ini seketika mulai turun dan dibacakan oleh Rasulullah s.a.w. gemetarlah tubuh Umar bin Khathab, lenyai letih seluruh persendiannya dan nyaris dia jatuh kalau tidak bersandar ke dinding. Setelah itu dia segera pulang ke rumahnya dan sampai di rumah dia jatuh sakit, sehingga hampir sebulan dia tidak keluar, sampai banyak orang yang datang melawatnya sakit itu.

Itulah yang dibayangkan Tuhan pula dalam Surat 8 (an-Anfal) ayat 3, bahwa orang yang beriman itu apabila disebut orang nama Allah, gemetarlah atau lintuhlah hatinya yang keras itu dan apabila telah dibacakan orang ke padanya ayat-ayat Allah bertambah-tambahlah imannya.

Demikianlah yang terjadi pada diri Fudhail bin `Ayyadh ahli Shufi dan Zuhud yang terkenal itu, yang sampai disegani ketinggian peribadinya dalam Iman. Hatta oleh Khalifah Harun al-Rasyid sendiri. Dikenal orang sejarah hidup beliau, bahwa pada mulanya beliau itu adalah seorang anak muda yang sangat nakal, tidak mengenal jalan kepada Allah, "Lupa akan Allah, sehingga Allah pun melupakannya pula akan dirinya." Pada suatu malam "menjalarlah" dia memanjat dinding rumah seorang perempuan yang terdengar suara merdunya di tingkat tinggi sebuah rumah. Dipanjatnya dinding itu, didengarnya suaranya dan diintipnya rupanya. Rupanya memang cantik! Tetapi sedang dia tertegun melihat rupa, dia tafakkur mendengar suara. Bukan bernyanyi, melainkan membaca al-Quran dengan suara merdu.

Begitu hebat penangan beban Al-Quran buat umat manusia dari segi rohani dan fisikal mereka tidak kira muslim atau pun tidak. Al-Quran lengkap segala bukti bagi membeza akan hak dan yang batil.  Inilah contoh keyakinan orang-orang yang beriman. Bahkan itu adalah kesimpulan orang-orang yang berpengalaman melihat dan mengamati kesudahan mereka yang engkar dan membelakangi undang-undang Al-Quran samada dikalangan orang-orang kafir atau mereka yang mengaku Islam. “Berjalanlah kamu dimuka bumi dan lihatlah kesudahan orang-orang yang mendustakan (Al-Quran) …” (Al-Quran).

Disunting dan diedit dari pelbagai artikel..

Tuesday, August 16, 2011

INSPIRASI BADAR

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
“Demi jiwa Muhammad yang berada dalam genggaman tanganNYA, pada hari ini tidak ada seorang pun yang memerangi mereka dengan sabar, mengharap redha ALLAH, dan maju tanpa mundur melainkan ALLAH memasukkannya ke dalam syurga."

Ramadhan sangat sinonim dengan peristiwa Badar. Perang Badar adalah pertempuran sulung tentera Muslimin melawan kaum engkar Allah (Musyrikin). Badar menyaksikan kehebatan 313 gabungan Ansar dan Muhajirin mengalahkan ego Quraisy berjumlah 1000 orang.

Taqwa sebagai senjata sulit

Badar bukan peperangan biasa. Tentera Muslimin tidak pernah berpengalaman terlibat dalam sebarang peperangan sebelum ini. Ra Ketaqwaan dan segala tarbiah Rasulullah SAW memanggil mereka untuk mempertahankan Kerajaan Madinah dibawah pentadbiran Islam. Peperangan jatuh di bulan Ramadhan dimana Muslimin diwajibkan berpuasa. Selain puasa yang perlu dikekal, Syariat Islam juga terpaksa dipertahan. Tentera pimpinan wajib optimis kemenangan di pihak mereka kerana keputusan selain itu menyebabkan Islam bakal tergadai dan nikmatnya tak akan dirasa hari ini.

skuad budak muda pelapis
Inilah beban yang perlu ditanggung lebih-lebih lagi diberitakan akan bertembung dengan 1000 musyrik dari Kota Mekah. Datang dengan pakej pasukan sorak konon bagi merai kememangan mereka nanti. Skuad pimpinanan Rasulullah pula sangat dhoif kelengkapan. Segelintir sahabat diriwayatkan hanya bersenjatakan pelepah tamar.

“Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri nikmatNya.”
Al-’Imran:(123)

Rasulullah SAW sendiri sebagai Komander bersama Singa Allah Saiyidina Hamzah dan sahabat-sahabat ulung lain bertugas menyiapkan segala plan dan strategi untuk memenangkan pasukan Islam. Disamping strategi fizikal, persiapan rohani (taqwa) juga digilap. Ketaqwaan adalah senjata rahsia yang menjadikan tentera Islam luar biasa.

Mengharap pertolongan dari Allah

Bertempur dengan kekuatan 313 berbanding  1000 orang memerlukan segalanya dalam keadaan berlipat kali ganda. Seorang tentera muslim perlu memancung mati 3 orang musuh sekali gunakan sebilah pedang yang sama. Untuk itu seseorang hendaklah memiliki kekuatan 3 kali ganda biasa. Dan jika seorang gugur syahid maka 3 beban musuh tadi akan terpikul kepada sahabat yang lain.

"(INGATLAH), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu lalu diperkenankan-Nya bagimu: Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut."
Al-Anfal - 9
bermunaja

Setelah taqwa diasuh Rasulullah SAW buat mereka, adakah mereka mengalah?. jumlah bilangan tentera terang-terang berat sebelah sama sekali tidak menggerunkan tentera Islam.

Selain disiplin mengikut peraturan (SOP) dari Rasulullah SAW, mereka juga ditarbiyah supaya sentiasa  berdoa meminta bantuan Allah SWT. Masya Allah, disinilah dinilai hebatnya tentera Muslimin ketika ini.

 “Ya Allah!!! Jika musnah kumpulan ini pada hari ini (Perang Badar), Engkau tidak akan disembah selama-lamanya.”, doa Nabi ketika Badar

Umat Islam harus menilai iktibar Perang Badar sebagai inspirasi bagi membentuk kekuatan taqwa. Kerana Kekuatan Islam dinilai dari hebatnya ketaqwaan muslim. Siapa juga musuh dan banyak mana sanggup mereka lawan. Badar juga mengajar umat Islam supaya sentiasa bergantung harap hanya pada Allah SWT dalam segala hal disamping usaha. Syukur dan terima kasih buat Ahli Badar kerana mereka beserta Bala Tentera Allah unggul mempertahan Islam.

Sunday, August 14, 2011

JOM BERAYA DENGAN JALAN BURUK

Sekali lagi untuk tempoh berbelas tahun kariah Kampung Senduk terpaksa menunggu bagi merasa nikmat kemudahan jalan baru. Eidulfitri yang bakal menjelang beberapa hari lagi terpaksa disambut duka warga Senduk. Beratus-ratus kenderaan anak perantauan akan disambut dengan jalan yang cacat dan tak sempurna.

Papan tanda projek naik taraf jalan kampung milik kerajaan (Kementerian Luar Bandar) sudah lama dipasang sejak 2 penggal pilihanraya (8 tahun). Tapi mereka sekali lagi dipaksa redho menggunakan kemudahan jalan usang untuk menyambut Hari Raya kemuliaan Umat Islam tersebut.
Retorik!!

Pihak JKKK sekali membuktikan diri mereka telah menganak-tirikan kariah Senduk. Sikap pilih bulu mereka menafikan hak rakyat senduk untuk menikmati peruntukan jalan baru yang lebih selesa. Sikap pelik JKKK ini membuatkan ahli kariah yang rata-ratanya dari kalangan suku-sakat Melayu Islam seumpama mereka semakin keliru dan sangat terkesan. Satu ketika orang Senduk terpaksa berkorban mengeluarkan peruntukan sendiri untuk baik pulih jalan kampung mereka.

Atas dasar apakah keputusan dibuat dengan meminggir dan menzalimi saudara-saudara seagama dan sebangsa dengan mereka?. Adakah JKKK masih membuat pilihan hasil perbezaan ideologi?. Ada lagikah saki-baki pemikiran kuno (khianat dan kronisme) yang masih bersarang pada mereka?. Apa punya terukla JKKK ni...

Wednesday, August 10, 2011

RAMADHAN : BUKAN PESTA FITNAH

Orang Islam perlu jadikan Ramadhan sebagai latihan membuang perangai buruk yang dibenci Allah. Satu dari pakej kelaku songsang yang bersarang dalam segelintir Melayu Islam ialah Sangka Buruk. Kalau dah buruk, sudah pasti tidak disukai Allah.

Kejahilan yang sudah terlatih

Asas agama penting bagi membentuk akhlak mukmin. Ilmu yang buatkan seseorang mengenal Mahmudah dan Mahmuzah. Elak duduk dalam kejahilan. Ada ulama melabelkan penjahat bagi orang yang biarkan dirinya jahil.

Sudahla 'background' agama jahil, liat pulak ke majlis ilmu. Kemudian bergaul sahabat pulak dengan puak dan kerabat setaraf. Kalau hadir pun dalam keadaan pasif. Tapi bila dijemput ke pesta syubahat tiba-tiba jadi agresif. Dari sinilah lahirnya potensi buat membentuk perangai sangka buruk. Apabila sesuatu fitnah datang, mereka jahil dalam menilai dan membuat pertimbangan.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Janganlah setiap kamu menjadi orang yang tiada pendirian dan berkata:” Saya dengan orang, jika mereka berbuat baik, nescaya saya berbuat baik. Dan jika mereka berbuat jahat, nescaya saya berbuat jahat. Tetapi biasakan diri kamu, jika orang berbuat baik, berbuat baiklah, dan jika mereka berbuat jahat, elakkanlah kejahatan mereka.”

Pemfitnah profesional

 Perangai haloba dan pendengki mula bersarang di hati dan perasaan rendah diri dan ehsan kian luput. Apabila digilap dan direkrut perangai-perangai pelik dan buruk ini, wujudlah barisan pemfitnah yang bakal mempengaruhi kerosakan pada institusi masyarakat.
Apabila satu-satu kelompok masyarakat itu rosak, tertutuplah pintu kebaikan atau rahmat. Mereka seterusnya mula hilang upaya untuk membuat pertimbangan. Sampai satu ketika, kerja fitnah sudah jadi sepenuh masa. Mereka gunakan kuasa dan pengaruh mereka sepenuhnya untuk buat kerja terkutuk ni.

Selebriti fitnah

sampa bila begini...
Satu lagi jaluran yang wajar diperhatikan. Mereka bijak mewujudkan keselesaan buat budaya fitnah. Dari masa
Ke semasa mereka menimbulkan pelbagai keraguan dan kekeliruan buat umat. Satu masa mereka dilihat 'warak' dan satu ketika seolah-olah 'halalkan' maksiat. 'Tok imam' dilihat mengelirukan diatas permaidani merah mengiringi aktres yang tak berpunca pakaiannya.
Hakikatnya mereka cukup terdedah kepada berbagai persepsi buruk. Sekenyang-kenyangnya menggunakan sama ada siaran langsung atau tidak semata-mata mencari 'untung' dari hasil fitnah. Lihatlah dunia artis, gosip (fitnah) jadi sumber pelaris. Lagi tinggi kontroversi gosip, bertambah laku aktres tersebut.  Lihat juga agensi kerajaan dan swasta yang berebut-rebut menaja bermacam konsert atas nama Amal Jariah (pelik).

Umat Islam hendaklah istiqamah. Berhati-hati dalam bersangka dan menilai. Elakkan perspektif buruk buat diri sendir dan orang lain. Kalau dah nama bulan puasa, janganla duduk berborak di kedai mamak.

Maksud sabda Rasulullah SAW
“Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkah, Allah meliputi kalian di dalam bulan tersebut, rahmat diturunkan, dosa-dosa dihapuskan, dan doa-doa dikabulkan. Allah melihat kalian semua berlomba-lomba di dalam bulan ini, maka Dia merasa bangga terhadap kalian dan para malaikat. Maka perlihatkanlah segala macam kebaikan diri kalian di hadapan Allah. Sebab orang yang celaka adalah orang yang terhalang mendapatkan rahmat Allah pada bulan tersebut.” (Riwayat Ath-Thabrani)

 Sempena Bulan Ramadhan, belum terlambat untuk bertukar kepada 'mood' ibadah. Berjihadlah melawan, menangkis dan mencegah prasangka buruk. Semoga 'mood' Ramadhan kekal dalam kehidupan di dunia dan diakhirat.

Friday, August 5, 2011

RAMADHAN OH RAMADHAN

Ramadhan dah pun menjejak hari demi hari. Bagi umat Islam khasnya orang beriman, mereka takkan izinkan hari-harinya berlalu begitu sahaja. Setiap ruang diisikan amal.

Jihad

Umat Islam menjadikan Ramadhan sebagai singgahan bagi mengasah dan mengasuh budaya jihad. Secara otomatik bila menjejaknya akan 1 Ramadhan minda mereka akan 'set' untuk mengusahakan apa yang dituntut Allah. Mereka mulakan ketaatan mereka selepas fajar sadiq untuk tidak makan, minum dan perkara yang sebabkan puasa sia-sia. Segala dugaan nafsu serakah mesti ditangguh dalam tempoh sebulan.
Mereka juga membuang segala darjat dan ego dengan merendah diri duduk menekuni tok-tok guru dan ilmuan pada majlis ilmu.

“Puasa adalah perisai, maka (seseorang janganlah mengerjakan rafats (perkataan yang keji) dan jangan berbuat jahil dan jika seseorang itu diperangi atau dicaci-maki, maka hendaklah dia mengatakan: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa” (Nabi menyebutnya dua kali)…” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 1894.

Dugaan hebat contohnya pernah dihadapi Rasulullah SAW dan sahabat apabila terpaksa bertembung sesama sanak saudara mereka pada Perang Badar.

Amal

Beruntung umat Islam. Allah janjikan gandaan ganjaran berkali-kali tanpa batas. 1 kebajikan di darab 10. Ganjaran yang tak dapat pada bulan lain. Pada bulan ini juga Allah dedahkan satu ganjaran istimewa yang jika amal dibuat pada malam itu dibalas dengan seribu kali kebajikan. Malam yang digelar Lailatul Qadar.
Allah akan kotakan janji ganjaran HebatNya.

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul-Qadr.  Tahukah kamu apakah Lailatul Qadr?  Lailatul-Qadr lebih baik dari seribu bulan.”  (Surah al-Qadr: 1-3)

Selain diluaskan ruang ibadah, umat Islam juga berpeluang untuk 'clear'kan kelaku buruk rohani jasmani mereka. Ramadan perlu diambil kesempatan untuk membuang tabiat pelik dan songsang yang melanggar kehendak syarie. Berganda-ganda fadilat sedekah dan zakat pada bulan ini dan tawaran yang diberikan ini perlu manipulasi sepenuhnya.


Taqwa

Mukmin yang bertaqwa akan menjadikan Ramadhan sebagai satu juadah 'runtuh' buat mereka. Mereka mengolah gaya tarbiyah Rasulullah SAW dan sahabat. 'Password' yang ditinggalkan Muhammad SAW sentiasa dijadikan amalan Ramadhan sebagaimana Hadis Baginda,

 "Katakanlah 'Sesungguhnya aku ini sedang berpuasa".

Amal yang ikhlas memudahkan penganugerahan gelaran impian. Status akhir yang diidam orang Islam ialah Taqwa. Satu tingkat darjah kurniaan Allah yang nilainya melebihi manusia lain sama ada Tan Sri, Datok, Datin Seri, Tun malah Raja sekalipun. Allah kerap menyebut kemuliaan orang bertaqwa pada FirmanNya dalam AlQuran.

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".

( Surah Al.Hujurat ; 13 )

Moga kehadiran Ramadhan membuahkan inspirasi buat jihad, amal seterusnya taqwa buat kita umat Islam.
Bagi Episod Ramadan kali ini Sidang Senduk membawa Moto dan Tema :
'RAMADAN OH RAMADAN'
'INSPIRASI JIHAD, AMAL DAN TAQWA

Wednesday, August 3, 2011

KELUHAN RAMADHAN

Beberapa hari sebelum menjelangnya 1 Ramadhan, bersembangla aku dengan seorang brader (50an) di satu restoran mamak di Jalan Pasar. Dulu kami pernah bertugas sekali. 10 tahun jugakla aku tinggalkan tempat kerja lama di Wisma MPT. Kira jejak kasih la ni..

"Aku cukup riso, bulan pose ni.." Dengan slang Perak yang masih tegar.

"Kalau tak singgah tak boleh..kesian kat anak bini. Tapi kalau anak 5, seorang 1 kaler..satu keluarga dah jadi pelangi. Tu baru air. belum masuk benda makan lagi. Pun aneka pilihan jugak."

Dia meluahkan ketidakpuashatiannya terhadap amalan membeli di Pasar Ramadan. Mungkin rutin keluarganya setiap kali menyinggah. Dan mungkin ramai lagi keluarga begitu.

Memang popular 'rate' Pasar Ramadhan di Malaysia. Macam pasar malam. Dan orang Malaysia ni dah ditarbiah dengan pasar malam. Tapi bulan Ramadan lain. Keujaan pun berbeza. Bayangkan pasar malam yang dulu tu kini ada tiap-tiap hari. Buka pulak untuk orang dekat sehari tak makan. Ada yang seawal pukul 3 dah start bisnes. Semua makanan segera. Beli dan terus hidang (jangan makan lagi, tengok dulu waktu berbuka).

"Masalahnya, apa yang diborong tadi selalunya tak habis. Tak semuanya makan." Dia menyambung keluhannya lagi. 

Bayangkan kalau amalan ni berlaku pada banyak keluarga. Tidakkah pembaziran namanya. Niat memang tak mahu membazir tapi ini jadinya bila tahap kenyang dah maksimum. Tengok makanan pun jadi serabut. Akhirnya tong sampahlah tempatnya.

"Broker tapak pasar ramadan jugak untung. Depa dapat bersih sebulan." Dia seterusnya membuat kesimpulan.

Bukan tak boleh membeli. Kalau orang tak beli lingkupla peniaga. Kesian tengok orang lain cari rezeki. Bincangla pembelian yang terbaik dan berpada. Jual beli kalau betul syariatnya memang untung umat Islam.