Setelah 11 tahun merengkok didalam penjara dan setelah begitu jauh perjalanan beliau, akhirnya singgahlah beliau disebuah masjid disuatu tempat. ketika itu jemaah sedang berpusu-pusu untuk berjemaah Maghrib. Imam Ahmad pun turut sama berjemaah bersama-sama kariah sekitar. Selesai berjemaah, beliau seterusnya beriktikaf sehingga solat Isyak berjemaah. seusai Isyak berjemaah, meluru Imam Ahmad mengadap tok siak bertugas.
"Izinkan aku menumpang semalaman disini Tuan?" Pinta beliau dengan simpati. Kemana lagi beliau ingin bermalam jika tidak dirumah Allah ini.
"Aku tidak benarkan sesiapapun bermalam disini"
"Untuk elakkan sebarang kehilangan barang masjid" Tegas Tok Siak bertugas yang belum kenal sebenarnya dengan siapa dia berbicara.
Berkali-kali juga Imam Ahmad Bin Hambal merayu kepada Tok Siak ehsan untuk beliau bermalam dimasjid walau sekitar beranda sekalipun. Sehingga Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku akan tidur di atas kakiku sendiri (yakni tidur berdiri).” Dan sememangnya Imam Ahmad bin Hambal tidur dalam keadaan tersebut. Melihatkan keadaan itu, penjaga masjid tersebut tetap tidak berpuas hati, lalu dihalaunya Imam Ahmad bin Hambal keluar dari masjid tersebut.
Sedang Imam Ahmad Bin Hambal menagih simpati, datang seseorang yang kediamannya hampir dengan kejiranan masjid.
"Aku mendengar rayuan Tuan untuk bermalam di masjid dari tingkap rumahku.."
"Sudilah kiranya Tuan bermalam saja dirumah aku.." Pelawa Si Budiman kepada Imam Ahmad.
Imam Ahmad Bin Hambal akhirnya memutuskan untuk bermalam di rumah Si Budiman.
Setelah ditunjukkan kamar oleh Si Budiman, Imam Ahmad lalu tidur. Hinggalah beliau akhirnya bangun awal pagi bila terdengar bunyi sesuatu. Rupa-rupanya Si Budiman sedang sibuk sebagai pembuat roti profesional. Dan semasa roti sedang dibuat, Imam Ahmad menyaksikan mulut Si Budiman terkumat-kamit menyebut sesuatu seakan berzikir.
Lalu bertanyalah Imam Ahmad kepada Si Budiman sekadar ingin menduga ilmunya.
"Aku sentiasa beristighfar, bertasbih, bertahmid dan bertakbir dikala roti ini sedang diproses dan dimana jua" Jawab Si Budiman. Mereka lalu meneruskan muzakarah bersama.
Lalu Imam Ahmad bertanya: “Adakah anda dapati apa-apa kebaikan dari perbuatanmu itu?”
Maka si pembuat roti menjawab: “Tidak ada satu doa pun yang aku pohon kecuali Allah SWT akan memperkenankan doaku itu.”
Sehinggalah..
"Aku mempunyai banyak harapan dan permintaan dan permintaan aku hampir kesemuanya dikabulkan Allah"
"Kecuali ada satu sahaja doaku yang setakat ini belum diperkenankan.." Sambung Si Budiman meluahkan sesuatu kepada Imam Ahmad.
"Apakah permintaan itu wahai saudara?" Soal Imam Ahmad ingin tahu permintaan yang bagaimana diingin Si Budiman.
"Aku ingin sekali bertemu dengan seorang ilmuan terkenal bernama Imam Ahmad Bin Hanbal.."
Terkejut dibuatnya Imam Ahmad atas permintaan yang tak disangka-sangka itu.
"Saudara ku yang budiman"
"Sesungguhnya Allah SWT telah mengabulkan semua doa dan permintaan tuan.. Tuan sekarang sedang berhadapan dengan Ahmad Bin Hanbal.."
Lalu mereka berdua bersalam dan berpelukan seolah-olah saudara yang kembali bertemu sesudah lama terpisah."
No comments:
Post a Comment