Kepercayaan 'tah-apa-apa' atau propaganda berdasarkan ramalan kalendar kaum Mayan bahawa kiamat jatuh pada 21 Disember 2012 jelas satu retorik sesat lagi menyesatkan.
Maksud firman Allah SWT: "Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan amalan kepada mereka (balasan) amalan mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan sebesar zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surah amalnya), dan sesiapa berbuat kejahatan sekalipun sebesar zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surah amalannya)" (Surah Al-Zalzalah : 6-8)
Justeru idea persiapan materialistik, berebut ber'shopping' topeng gas, menyorok dibawah tanah, membina bahtera besar dan panjat kawasan tinggi adalah suatu usaha menyelamat yang tersimpang dari amalan Islam.
Peristiwa kiamat yang dicerita Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW adalah perkara sam'iyat yang sepatutnya wajib diimami oleh Muslim.
Allah membayangkan kiamat sebagai hikmah penciptaan buat manusia menambah bekal amal dan ibadah dan bukan untuk menghadirkan tekanan sehingga manusia berusaha bermacam-macam taktik untuk cuba bersembunyi.
Disebutkan dalam Hadis 40 Imam Al-Nawawi, Rasulullah pernah bertanya Jibrail Islam, Iman dan Ihsan. Namun dihujung dialognya Jibrail berkata: "Beritahu aku mengenai hari kiamat. Lalu dijawab Baginda orang yang bertanya lebih tahu dari yang ditanya"
Kemudian ditanyakan mengenai tanda kiamat lalu dijawab Rasulullah SWT: "Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri, apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam dan pengembala kambing (berbangga dengan binaan pencakar langit)"
Kiamat adalah hak Allah SWT. Utusan Allah termasuk Nabi Muhammad SAW sendiri tidak arif mengenai tarikh kiamat. Allah hanya mengilhamkan kepada Rasulullah SAW adanya kiamat dan perihal tanda-tandanya sebagai motivasi kepada perlumbaan amal kebajikan. Semakin manusia mengetahui akan hampirnya kiamat, sepatutnya mereka makin sibuk dengan amalan.
Yang benarnya, bumi kini semakin hampir kepada kiamat berpandukan banyak gambaran hadis sohih daripada Rasulullah SAW. 'Trend' amalan Muslim seharusnya berubah kearah mendekati amal soleh. Kuliah-kuliah ilmu sepatutnya penuh dengan manusia yang teruja untuk mengetahui status 'masa depan' sebenar mereka. Alim ulama wajar diidolakan. Tapi sebaliknya umat Islam kini jelas makin hanyut malah menjadi sebahagian pencipta-pencipta kiamat. Dimana status kita? Buatlah semakan..
No comments:
Post a Comment