Sama ada perasan atau tidak, sedar atau tidak, percaya atau tidak, nampak atau buat-buat tak nampak, terdapat 3 buah sekolah yang masyhur namanya khusus di negeri bijih timah, Perak Aman Jaya. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir (1907–1974) Bagan Serai, Dr Burhanuddin Al-Hilmi (1911-1969) Taiping, Ahmad Boestamam (1920-1983) Setiawan merupakan tiga figura dipangkal 3 buah sekolah tersebut yang sudah pasti ada lakaran hebat masing-masing. Sudah tentu ada sejarah ciptaan mereka di Tanah Melayu sehingga ketiga-tiga nama itu kekal masyhur hingga kehari ini.
Mereka bukanlah guru pencen atau pengajar asal di ketiga sekolah tersebut tetapi, mereka adalah pengajar asal maksud kemerdekaan kepada rakyat di Tanah Melayu. Mereka mengajar tentang apa itu penjajah dan kenapa perlunya Tanah Melayu di tadbir sendiri penghuni asalnya. Mereka mengajak rakyat menolak British disamping menuntut kemerdekaan kepada negara.
Untuk mengasaskan minda merdeka, mereka tidak duduk diam. Dipentaskan 'road show' serta digerakkan rakyat melalui himpunan-himpunan umum dan aman keserata negara. Pelbagai isu, politik, ekonomi, sosial dan agama dibawa. Untuk usaha ini, mereka terpaksa membayar harga yang sangat mahal, mereka perlu berulang-alik kepenjara. Hasilnya, rakyat mula terjaga, bangkit dan sedar mereka sebenarnya dijajah dan semestinya ingin merdeka. Nama ketiga-tiga mereka dan merdeka ketika ini bagai sukar lagi dipisahkan (pro-merdeka).
Penjajah kemudian berhasil melumpuhkan organisasi mereka. Ramai diantaranya ditangkap tanpa bicara malah dibunuh. Mereka dilabel penjajah British sebagai puak haluan kiri (versi kiri) yang mesti dihapuskan. Ia banyak ditulis pada teks-teks sejarah Malaysia. Label sama dituju kononnya buat 'komunisma' itu kekal hingga ke hari ini (Versi kiri ni kira watak 'geng jahat' la). Tiada lagi istilah penjajah british, Kemerdekaan itu seolah-olah bebas dari belenggu komunis.
Kini, kemerdekaan yang dikecapi rakyat adalah hasil tuntutan kumpulan haluan kanan (versi kanan) daripada penjajah. Dengan hanya satu kali demonstrasi aman (menentang Malayan Union), tanpa tangkapan dan tanpa pertumpahan darah, Tanah Melayu berjaya memiliki kemerdekaan. Golongan 'versi kanan' telah menunjukkan corak tuntutan aman dan damai sambil penjajah juga keluar beserta imej baik atau disebut 'win-win situation'.
Setelah 55 tahun, rakyat semakin merdeka mindanya. Rakyat masih terbeban dengan pelbagai penindasan. Rakyat mula merindui kemana perginya perjuangan kemerdekaan 'versi kiri'. Mereka mula mempersoalkan apakah idea kemerdekaan versi kiri sehingga penjajah British begitu berdendam dan dengki kepada kumpulan tersebut. Pakar-pakar sejarah hari ini mula mengkaji apakah 'anasir subversif' dan kekirian yang dimiliki mereka.
Walaupun perjuangan mereka dipandang sepi namun sekolah kemerdekaan gagasan mereka diiktiraf dan terus berfungsi dalam sistem pendidikan negara. Ramai masih mengakui ketokohan mereka dalam perjuangan kemerdekaan.
Bait pantun Dr Burhanuddin Al-Hilmi ini jelas menggambarkan kesungguhan diri dan rakan-rakan beliau menuntut kemerdekaan.
"Di atas robohan Kota Melaka;
Kita Dirikan Jiwa Merdeka;
Bersatu padulah segenap baka;
Membela hak keadilan pusaka."
**Selamat Bercuti di Hari Penubuhan Malaysia. 16 September 2012 dari Sidang Senduk.
No comments:
Post a Comment