PENTAKSUB BUTA
Pada zaman Nabi SAW ada beberapa orang mendakwa dirinya nabi. Antara yang popular adalah Musailamah al-Kazzab dari Suku Rabiah. Sejak zaman Jahiliah lagi, suku Rabiah memang selalu bersaing denga suku Mudar, iaitu suku Arab asal bagi kaum keluarga Nabi Muhammad.
Suatu hari, seorang Arab Badwi datang kerumah Musailamah. Lelaki itu berasal dari suku Rabiah.
"Mana Musailamah?"
"Ucapkanlah : 'Musailamah utusan Allah!", para pengikut palsu itu mengherdiknya.
"Aku tidak akan mengucapkannya selagi belum bersua sendiri dengannya."
Maka dia pun dibawa mengadap Musailamah.
"Engkau Musailamah?"
"Ya."
"Apa nama malaikat yang datang kepadamu?."
"Narjis."
"Ia datang dalam kegelapan atau cahaya?"
"Dalam kegelapan."
Lelaki itu lantas berkata: "Aku bersaksi bahawa engkau seorang pendusta dan Muhammad seorang yang jujur. Apa-apa pun, pendusta dari suku Rabiah lebih aku sukai daripada orang jujur dari suku Mudar."
Pendek cerita, lelaki itu menjadi pengikutnya. Bahkan beliau turut berperang bersama pasukan Musailamah menentang pasukan Khalid bin Al-Walid yang diutus Khalifah Abu Bakar untuk menumpaskan golongan murtad. Akhirnya ia terbunuh dalam peperangan tersebut.
(Al-Bidayah Wa Al-Nihayah, Ibn Kathir)
Taksub perkauman bakal menutup hati dari pintu kebenaran. 'Si taksub' tidak menilai sesuatu ucapan berasas ilmu walaupun ternyata kebenarannya. Mereka lebih cenderung dan sayangkan pengucapnya walau terbukti pendustaan.
PENGIKUT SUNNAH.
Suatu hari Fudail bin 'Iyad berwuduk untuk solat. Beliau membasuh kedua-dua tangannya sebanyak dua kali sahaja. Beliau terlupa untuk kali ketiganya. Lalu beliau meneruskan solatnya seperti biasa.
Malam harinya, beliau bermimpi berjumpa dengan Nabi SAW. Baginda bersabda kepadanya:
"Aneh sekali dirimu ini, wahai Fudail ! Engkau meninggalkan salah satu sunnah daripada sunnahku dalam berwuduk."
Fudail terbangun dari tidurnya. Beliau segera mengulangi wuduknya dengan sempurna. Beliau juga bertekad untuk melakukan solat sehingga 500 rakaat pada setiap malam selama satu tahun untuk menutup kesalahannya itu.
(Irsyad Al-'Ibad ila Sabil Al-Rasyad, Syeikh Zainuddin Al-Malyabari.)
Ini adalah contoh membuktikan betapa cintanya seseorang kepada Rasul. Siapa yang mengaku mencintai Rasul, ia akan memelihara sunnah-sunnahnya. Kerana menjaga sunnah merupakan satu bentuk kebajikan. Ini bukanlah taksub atau jauh sekali eksterim. Biar sekecil mana pun sunnah itu, dia tidak meninggalkan dengan sengaja. Dan contohilah bagaimana sahabat, tabi'in seterusnya tabi' tabi'in mencintai Rasulullah SAW.
(Sumber Majalah al-Ustaz isu 06)
"Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami perkara benar itu adalah benar dan pandulah kami supaya mengikutinya, dan tunjukkanlah kami perkara yang batil itu batil, pandulah kami supaya meninggalkannya"
No comments:
Post a Comment