Assalamualaikum, salam ukhuwwah buat semua ahli.
Terima kasih, syukur kehadrat Allah SWT dan tahniah buat semua kerana masih kekal berjuang sebagai ahli kumpulan Budaya Warisan. Masih istiqamah dalam sebuah kumpulan seni berelemenkan dakwah Islamiyah.
Ini adalah secebis tazkirah (ingatan) buat kita semua kerana penyakit lupa yang ada pada kita. 'Melayu mudah lupa' (bak kata mantan PM Dr Mahathir).
Antara perkara 'basic' yang menjadi beban dan patut dipikul sebagai seorang hamba Allah dibumi, yang pertama ialah amal baik (kebajikan) yang objektif akhirnya ditujukan hanya buat Allah SWT. Dan yang kedua amar maaruf nahi mungkar (dakwah). Kedua-dua tugasan adalah tanda hubungan baik kita denganNya.
Abu Hurairah r.a menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa menafkahkan di jalan Allah sepasang binatang nescaya diseru dia di pintu-pintu syurga : “Hai hamba-hamba Allah, ini suatu kebajikan.” Dan sesiapa berada dari golongan orang yang bersembahyang dipanggil dia dari pintu sembahyang. Orang yang masuk di kalangan ahlul jihad dipanggil dia dari pintu al-Jihad. Sesiapa yang masuk dari golongan orang yang berpuasa diseru dia dari pintu al-Rayyan. Dan sesiapa yang masuk dari kalangan orang yang bersedekah diseru dia dari pintu sedekah. Maka berkatalah Abu Bakar: “Engkau ku tebus dengan ibu dan ayah ku, ya Rasulullah. Tiada suatu kemelaratan bagi orang-orang yang diseru dari pintu-pintu itu. Maka adakah seseorang yang akan dipanggil dari semua pintu? Nabi menjawab : “Ya! Dan aku harapkan engkau termasuk ke dalam golongan itu.”
(Al-Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Said Al-Khudri, Nabi bersabda bermaksud : "Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, Jika dia tidak mampu hendaklah dia mencegahnya dengan lidahnya, jika dia tidak mampu hendaklah mencegah dengan hatinya. Namun yang demikian ini adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)
Melalui seni hadrah ini sebenarnya terdapat ruang dan peluang cerah untuk beramal dan berdakwah. Seni Hadrah memiliki kedua-dua unsur asas tersebut.
Ramai orang melihat hadrah ialah bagaimana pemain-pemain kompang yang pergi kerumah orang kawin berdendang dan menghiburkan jemputan. Namun sebenarnya ada maksud lain yang patut kita teroka.
Dari sudut lain, hadrah telah berjaya membawa mesej penceriaan buat tuan rumah seterusnya majlis kenduri. Ini berlaku jika ahli menunaikan beberapa syarat yang menjadi ketetapan.
Dengan alunan selawat, ahli-ahli telah pun mengajak pendengar bersama-sama memungut pahala berselawat keatas junjungan Nabi SAW dan meraikan Sunnatullah perkahwinan yang jadi kesukaan Allah dan Rasul. Selain lagu-lagu bermesej nasihat sebagai ingatan orang ramai.
Duduk secara aktif dalam kumpulan hadrah bererti kita telah menanam suasana budaya bermasyarakat yang sihat. Budaya Warisan membawa pertembungan ukhuwah hebat antara ahli.
Ya! Bukan mudah untuk membentuk sebuah kumpulan seni yang mempunyai 'team-work' yang baik. Di Malaysia sendiri kita telah saksikan banyak kumpulan-kumpulan seni yang terpaksa berpecah belah. Tetapi melalui tarbiyah sempurna, tak mustahil ianya boleh berlaku.
Budaya Warisan mengisi ikatan pertemuan ahli dengan hiburan alternatif yang jauh dari unsur haram seperti pencampuran bukan mahram, judi, arak dan perbuatan sia-sia lain. Jauh sekali untuk dibandingkan dengan kepopularan K-Pop.
Kata lainnya, Budaya Warisan bukan sekadar kumpulan seni semata-mata. Malah mereka juga layak bergelar kumpulan dakwah dan kebajikan walaupun tak sebaris dengan pergerakan-pergerakan dakwah lain. Apatahlagi Budaya Warisan dinaung baik oleh kehebatan institusi agama seperti Surau Assomadiyah.
Sebarang usaha menggerakkan kumpulan Budaya Warisan merupakan jihad kebaikan dan kemuliaan. Dan sama-samalah berdoa semoga Allah menurunkan limpahan rahmat dan keberkatan kepada Kampung Senduk, Surau Assomadiyah dan Kumpulan Budaya Warisan.
“ Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui .”
(At-Taubah ; 41)
Selagi kita mengikut lunas syariat, yakinlah perjuangan kita adalah benar.
No comments:
Post a Comment