Ucapan terima kasih juga patut diberikan kepada kumpulan massa atas usaha mem'putar'kan berbagai isu agama. Sama ada berniat baik atau tidak, sekurang-kurangnya 'idea' ini telah membuka kotak fikir manusia (bagi mereka yang berfikir). Isu-isu melibatkan Hudud, qazaf, murtad dan yang terbaru haji pilihanraya membongkar perbahasan-perbahasan ilmu yang menarik untuk diteliti. Tanpa menunggu kuliah-kuliah khusus pengajian.
Perkara basik yang perlu diketahui, ajaran Islam itu tidak memisahkan politik daripada agama Islam. Politik itu tidak termasuk dalam rukun Islam seperti juga ibadah haji yang tidak termasuk rukun iman. Begitulah juga wajibnya menutup aurat dan menjelaskan hutang sesama manusia, perkara ini tetap wajib ditunaikan serta-merta, walaupun tidak dimasukkan secara sebutan dalam rukun Islam. Para ulama menegaskan bahawa perkara-perkara yang tidak disebut dalam rukun itu, tetap termasuk dalam rukun pertama dua kalimah syahadah dan tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana rukun iman.
Dalam perkara wajib, para ulama usul fiqh bukan sahaja membahagikan kepada fardu ain dan fardu kifayah. Perkara wajib juga dibahagikan dari segi kesesuaian kadar waktu menunaikannya, sama ada wajib disegerakan, tidak boleh ditangguh, yang dinamakan wajib mudoyyaq seperti puasa Ramadhan dan sembahyang di akhir waktu. Ada juga wajib yang boleh ditangguh kerana luas waktunya dan tidak berdosa menangguhkannya seperti haji dan sembahyang wajib yang lama masanya di awal waktu. Perkara ini dinamakan wajib muwassa'.
Apabila bertembung dua perkara yang sama wajibnya, maka didahulukan kepada menunaikan wajib mudoyyaq seperti wanita kematian suami yang wajib menunaikan idah berada di rumah dalam masa beberapa bulan yang ditetapkan oleh Al Quran, dalam masa yang sama dia berharta dan mampu menunaikan haji kali pertama yang wajib dan menjadi rukun Islam. Hukumnya hendaklah menunaikan idahnya terlebih dahulu, wajib berada di rumah kerana wajibnya mudoyyaq dan menangguhkan haji kerana wajibnya muwassa'. Walaupun perkara idah tidak termasuk dalam rukun Islam. Begitu juga dengan seseorang yang cukup duitnya menunaikan haji, dalam masa yang sama dia berhutang dan diminta membayar segera, maka hendaklah membayar hutangnya terlebih dahulu atau keluarga wajib diberi nafkah, maka tunaikan nafkah dengan cukup terlebih diutamakan walaupun perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam rukun Islam.
Rasulullah SAW menangguhkan ibadat hajinya walaupun diwajibkan lebih awal, ada kalangan ulama yang menyatakan sejak zaman Nabi Adam. Ada yang menyatakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan ada yang menyatakan di tahun ketujuh hijrah. Rasulullah SAW membebaskan Makkah (Fathul Makkah) daripada Jahiliyyah terlebih dahulu daripada menunaikan haji dan menghadapi qabilah Hawazin dalam peperangan Hunain. Walaupun banyak harta dan bekalan berada dalam tangan melimpah ruah dan sudah masuk bulan Syawal (bulan haji), namun terus pulang ke Madinah tanpa menunaikan haji.
Rasulullah SAW menugaskan sahabatnya Abu Bakar R.A supaya memimpin umat Islam menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah. Adapun Rasulullah SAW menangguhkan haji sehingga tahun kesepuluh hijrah, sebelum sedikit kewafatan baginda. Para ulama menegaskan bahawa wajib haji adalah muwassa', boleh ditangguh dan Rasulullah SAW mendahulukan urusan politik negaranya dengan menerima rombongan yang datang menyerah diri masuk Islam atau sedia berdamai.
Dalam peristiwa Hudaibiyah pula, Rasulullah dan para sahabat telah memakai pakaian ihram bagi menunaikan umrah. Tiba-tiba dihalang memasuki Makkah dan berakhir dengan perjanjian Hudaibiyah yang salah satu syaratnya menangguhkan umrah. Maka ditangguhkan umrah dan dibayar dam (denda) tanpa menunaikan umrah pada tahun tersebut. Umrah ditangguh kerana perjanjian Hudaibiyah memberi kemenangan politik yang tidak boleh ditangguhkan.
Pemisahan politik daripada agama laksana dipisahkan kepala dengan badan. Imam Al Ghazali seorang tokoh ulama tasawuf juga menegaskan, "agama adalah asas, kuasa pemerintahan (politik) adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada pengawas, hilang tercicir".
Umat Islam wajib menolak budaya fitnah pihak-pihak tertentu dalam masyarakat, disaat yang sama pengukuhan ilmu perlu ada supaya tidak menjadi mangsa kepada kekeliruan agama. Perihal agama, bertanyalah pada yang pakar. Jangan buat penilaian membuta-tuli. Orang yang pakar agama sangat faham tentang perkara yang akan berlaku diakhir zaman.
Berusahalah menilai perkara hak dan batil sebagaimana jelasnya menilai perbezaan syurga dan neraka.
"Bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan padanya al-Quran, yang menjadi petunjuk kepada manusia, dan sebagai penjelasan kepada petunjuk dan pembeza (hak dan batil). Siapa yang melihat (anak bulan) hendaklah dia berpuasa. AlBulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan padanya al-Quran, yang menjadi petunjuk kepada manusia, dan sebagai penjelasan kepada petunjuk dan pembeza (hak dan batil). Siapa yang melihat (anak bulan) hendaklah dia berpuasa." (Al-Baqarah-185
No comments:
Post a Comment