Apabila merenung kearah sebilah parang di sudut biliknya, imbasan memori lama mula menyapa sisi Pak Baen. Kaung Kasi gelarannya. Parang yang asalnya bersalut emas itu semakin pudar 'originalitynya'. Habuk dan sawang mula menyadur dengan baik perlahan-lahan bilah parang kebanggaan beliau itu. Akhir-akhir ini, perasaan Pak Baen sering terganggu dek igauan parang terbabit.
Seusai ketiadaan almarhum Pak Ku (gelaran buat arwah bapanya), ketika itu kerap jugak Pak Baen mengasap-ngasap dan mengkemiankan pusaka bernilai tersebut. Lebih kurang 2 kali 'maintenance' harian ditekun Pak Baen dan beliau disiplin melakukannya sehingga hampir 5 tahun. Itu tanda kasihnya Pak Baen kepada tinggalan turun temurun keturunannya.
"Ciss!! Mati sekalipun, aku sekali-kali takkan jualkannya!" tegas Pak Baen 'stress' sambil mencium punggung parang tersebut bila diulang isu penjualan parang kesayangan warisannya.
Pernah satu ketika isu penjualan Kaung Kasi tersebar keseluruh dunia. Berpusu-pusu wartawan dari segenap pelusuk menghurung rumah Pak Baen termasuk pemberita dari television Al-Jabila dan Bibasi datang untuk membuat lintas langsung. Riuh-rendah spekulasi mengatakan bahawa Kaung Kasi adalah parang yang bertanggungjawab membunuh agen-agen asing yang cuba membuat huru-hara di Malaya. Ramai tokei-tokei termasuk dari Genting menawarkan harga jutaan Pound Sterling untuk memiliki parang tersebut. Namun ternyata maruah perjuangan Kaung Kasi bukan untuk dijual beli.
Sewaktu era kanak-kanak Pak Baen, kisah keramat Kaung Kasi sering dilagukan arwah Pak Ku setiap kali sebelum Pak Baen lena dikatilnya. Kadang-kadang kisah parang tersebut terbawak-bawak dalam mimpi Pak Baen.
"Ishh.. Baen tak baca doa tidur ni.." tegur ibunya bila menyaksikan Pak Baen berguling-guling diatas katil.
Kisah bagaimana kehebatan Kaung Kasi memenggal kepala pendatang-pendatang asing yang cuba belagak menjadi raja di Tanah Malaya ni. Apa yang menakjubkan, Kaung Kasi bebas terbang mencari musuhnya tanpa perlu dipimpin tuannya bak 'remote control' lagaknya.
"Patut pun kebal, tuannya takdak.." duga seorang warga kampung sebelah di sebuah warung kopi.
Waktu itu, bukan saja lawan, kawan sekalipun gerun melihatnya. Begitu hebat jasa Kaung Kasi kepada Tanah Melayu. Dan orang-orang kampung Timbang Tahil barangkali sudah hafal kisah yang bagi mereka sangat takjub ini.
Dan bila Pak Baen membuat kenyataan umum.. "Kaung Kasi mungkin akan mencari mangsanya lagi.."
Desas-desus mengatakan parang emas Kaung Kasi akan membuat 'comeback' semakin bertiup kencang. Bendera, kain rentang dan poster mula dilihat bertaburan dimerata ceruk kampung Timbang Tahil dan jiran. Ada juga premis-premis yang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan segera dengan menumpang populariti Kaung Kasi termasuk penjual-penjual ubat dipasar malam. Parang Kaung Kasi tiruan yang dibuat dari plastik, getah dan 'fiber' juga turut dijual tanpa kawalan.
Media cetak turut memaparkan 2,3 mukasurat iklan khas. Ceramah, debat dan forum bersangkutan dilaung dicorong-corong radio dan tv. Himpunan dan karnival besar-besaran turut berlangsung sehingga ada penganjur sanggup 'sponsor' berjuta-juta RM untuk membawa masuk 'pompuan' seksi K-Pop sebagai penarik.
Tukang-tukang tilik nasib dan ahlil nujum mula mereka-reka tarikh palsu yang menghuru-harakan jiwa orang ramai mengenai kemunculan Kaung Kasi. Supaya tidak menjadi 'maslahat' umum, Majlis Fatwa Kebangsaan terpaksa campur tangan dengan menjatuhkan hukum haram keatas sebarang pendedahan tarikh palsu. Agensi-agensi penerangan milik kerajaan juga terpaksa dikuda bagi menangkis pelbagai fitnah.
Sehingga kini, orang ramai masih tertunggu-manggu Pak Baen mengumumkan tarikh sebenar Kaung Kasi akan membuat kemunculan semula.
Fenomena yang berlaku ini mentransformasikan Pak Baen menjadi gundah-gulana dan tak tentu haluan. Pak Baen mula diserang sindrom serabut akibat gejala tarikh tersebut. Semakin tajam fokus Pak Baen tertumpu pada Kaung Kasi.
"Bawak sini tuala kecil, Mah.." Peluh jantan mula keluar perlahan-lahan dicelah-celah liang roma Pak Baen.
"Itu baru aku kata mungkin.." Keluh Pak Baen perlahan.
No comments:
Post a Comment