Peristiwa malam Isra' dan Mikraj Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. adalah salah satu babak bersejarah dan mukjizat besar kurniaan Allah yang mempunyai signifikan dan implikasi yang amat penting dan mendalam kepada umat Islam dan seluruh umat manusia, jin dan sekalian alam. Walaupun tarikh sebenar peristiwa ini tidak dapat dipastikan kerana ia berlaku antara 10-12 tahun sebelum Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah tetapi ramai yang berpendapat ia berlaku pada malam 27 Rejab, tidak lama selepas kewafatan isteri Rasulullah s.a.w., Saidatina Khadijah RA dan kematian bapa saudara baginda, Abu Talib.
Oleh sebab dalam suasana kesedihan inilah terdapat golongan yang membuat tafsiran atau andaian sendiri bahawa melalui peristiwa ini Allah SWT hendak mengubati kedukacitaan hati Rasullah s.a.w dengan membawanya seolah-olah 'pergi melancong dan berhibur ke alam lain'.
Anggapan ini adalah pendapat peribadi golongan berkenaan dan tidak sewajarnya dijadikan pegangan iktiqad kita kerana keseluruhan perjalanan peristiwa besar malam Isra' dan Mikraj ini adalah perjalanan agama dan setiap detik perjalanan dan gerak laku Rasulullah s.a.w. adalah di bawah bimbingan wahyu Allah SWT.
Tambahan pula orang yang melakukan perjalanan ini ialah Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. sendiri, Penghulu para Nabi dan Rasul, manusia dan jin dan juga "Kekasih Allah." Maka tidak wajar sama sekali dikaitkan atau disamakan pula peristiwa ini dengan konsep 'berlibur' atau 'makan angin' mengikut istilah manusia zaman sekarang. Tarikh ini bersamaan 662M iaitu ketika Nabi berumur 52 tahun, setahun sebelum penghijrahan Nabi dari Mekah ke Madinah.
Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada malam hari dengan menaiki burak bermula dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Manakala Mikraj pula membawa maksud naiknya Nabi s.a.w ke langit dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.
Tidak Mustahil bagi Allah SWT
Peristiwa Israk Mikraj ini tercatat dalam surah al-Israk ayat 1 yang bermaksud “Maha suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Para ulama' hadis, ulama' feqah dan ulama' tafsir secara umum menegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda s.a.w sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan ruh Nabi s.a.w. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan, yang bermaksud memperjalankan hambaNya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang mana meliputi batang tubuh dan ruhnya serentak bukannya ruhnya sahaja.
Mukjizatnya peristiwa ini jelas tergambar dari masa perjalanan yang hanya selama 3/4 malam iaitu dari jam 6 petang hingga 6 pagi sahaja Nabi sudah kembali semula ke Mekah sebelum terbit fajar. Baginda menunggang Buraq bersama Malaikat Jibril dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.
Fantastik Bagi Manusia
Adalah sangat luarbiasa kalau mahu dipertimbangkan oleh akal manusia itu akan keajaiban peristiwa ini. Jangan sesekali disamakan kisah ini seperti dongeng-dongeng moden lain seperti Alien, siri Harry Potter dan Transformer. Ini adalah adalah cerita 'real' yang berlaku atas Nabi SAW.
Bagaimana manusia biasa boleh bergerak jutaan batu ke langit ketujuh @ Sidratul Muntaha dalam tempoh 12 jam. Semestinya juga pergerakan itu memerlukan satu kenderaan yang luar biasa juga sehebat Buraq. Itu tak termasuk singgah menjadi imam dan berjemaah di Baitul Maqdis dan termasuk berkali berulang2 dari Sidratul Muntaha ke langit ke enam bertemu Nabi Musa AS untuk urusan pensyariatan solat. Baginda SAW kemudian dicuci hatinya oleh malaikat untuk kali kedua.
Rasulullah SAW berdialog pula dengan roh Nabi dan Rasul yang telah pun wafat. Kemudian diperlihatkan oleh Jibril AS akan azab api neraka. Dan paling luar biasa, Nabi SAW boleh tawar-menawar rakaat solat dengan Allah SWT.
Peristiwa luar biasa ini paling penting kerana menandakan seseorang itu Islam atau kufur. Ia sebuah mukjizat dari Allah S.W.T bagi Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak pernah berlaku ke atas rasul dan nabi sebelumnya. Hanya Nabi Muhammad s.a.w. sajalah yang diberikan anugerah dan kehormatan oleh Allah S.W.T untuk melakukannya sebagai tanda betapa tingginya penghargaan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Abu Bakar Watak Yang Membenarkan
Satu keistimewaan yang Allah anugerahkan buat makhluk selain Nabi, Rasul dan Malaikat ialah milik insan yang memegang watak Abu Bakar As-Siddiq. Beliau antara orang yang paling rapat dengan Rasulullah SAW. Satu watak yang mewakili peranan seluruh umat Islam.
Ketika tiba di Mekah, Rasulullah telah pun berniat untuk menyampaikan kisah benar baginda kepada orang ramai. Orang yang paling menunggu cerita Nabi, tidak lain Abu Jahal dan Abu Lahab. Walaupun mereka percaya dan faham apa yang ingin Nabi Muhammad sampaikan namun mereka memanipulasikan kisah peristiwa Isra' dan Mikraj sebagai modal paling besar dan ampuh yang sukar dinafikan masyarakat umum supaya mengingkari seruan Rasulullah s.a.w. beriman kepada Allah dan RasulNya.
Dijemput kedua-dua pelaknat berbondong-bondong datang dengan penuh ceria dan sinis menemui Rasulullah s.a.w. untuk mendengar kisah Isra' dan Mikraj Rasulullah s.a.w. Tujuan mereka adalah untuk menggunakan kesempatan ini bagi mengingkari, mempersenda-senda, menghina, mengejek Rasulullah s.a.w. dan mempengaruhi orang-orang yang sudah beriman supaya kembali murtad dan menyekat kaumnya yang masih dalam kekafiran daripada beriman kepada seruan Nabi Muhammad s.a.w.
Mereka mungkin mempunyai pendirian berbeza sekirannya Rasulullah s.a.w. menceritakan bahawa baginda mengalami Isra' dan Mikraj ini melalui mimpi sahaja yang bererti kisah ini hanya seumpama mendengar cerita dongeng mitos penglipurlara sebagai sembang-sembang kosong sambil bersantai di waktu lapang. Jika berlaku demikian maka tidak berbangkit isu yang mempengaruhi sebilangan orang yang sudah beriman ketika itu kembali murtad.
Sayidina Abu Bakar As Siddiq, bila ditanya pendiriannya tentang Isra’ Mikraj, langsung saja menjawab: “Kalau Muhammad yang mengatakannya, lebih dari itu pun aku yakin dengannya.”
Ketika Islam baru muda usianya, Nabi SAW kehilangan pula isteri kesayangan dan bapa saudara yang sering mempertahankan baginda. Dan ketika Rasulullah belum mempunyai kerajaan mantap, baginda diduga dengan fitnah dan tohmah dari barisan nasionalis Quraisy terutama Abu Jahal dan Abu Lahab.
Keimanan seumpama Abu Bakar lah yang wajib menjadi aqidah contoh umat Islam dalam mempercayai yang ghaib dan tidak mustahil bagi Allah SWT.
"Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib dan mendirikan (mengerjakan) solat serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (Maksud Al-Baqarah-3)
No comments:
Post a Comment