VOCALIST

Monday, October 10, 2011

2012 NI BAJET NAK TOLONG

'Usrah' hudud di kedai kopi reda sementara. Subjek Sejarah pun semakin tenggelam panasnya apatah lagi hal-hal penipuan pilihanraya yang serba tak masuk akal pelan-pelan perlahan perbincangannya. Bajet 'Sejahtera' memintas isu bulanan kali ini. Hangat, berselera dan sensasi.

Bagi pekerja awam, bonus beserta kenaikan gaji melalui skim baru bagai satu 'suntikan' kelegaan buat mereka terutama buat staf yang berpendapatan rendah. Anggota polis turut mendapat faedah kenaikan mungkin bagi menghargai usaha mereka menyelamatkan negara dari 'keganasan demonstrator' Bersih (Tahun depan kalau nak naik lagi, tibai kuat lagi). 

Paling kurang orang 'gomen' tadi tidak lagi diganggu 'trauma' menjelang penggal tahun baru. Tidak lagi menghulu dan menghilir meminjam. Pesara kerajaan juga tumpang tempias bajet dengan 2% kenaikan. Untuk itu habuan bajet 2012 akhirnya dapat  mensejahterakan 'bencana' akhir tahun mereka. Tahniah untuk yang berkenaan. Berbijaklah berbelanja disaat kenaikan harga barang yang tak terkawal. Yang tak berkenaan (swasta) terpaksa terus bersabar hingga bajet 2013.

Pihak mantan anggota keselamatan terutama wirawan, wirawati juga dirai dengan habuan 'indah' seenak RM 3000. Berhati-hati dan bertenang ketika memanfaatkan jumlah tersebut yang dilihat hebat. Awass!! dalam masa sesaat tak mustahil jumlah tersebut akan 'setel'. Apatahlagi 'sedekah jariah' RM 100 bulanan yang diberi budak sekolah ataupun kegembiraan pemansuhan yuran bulanan. Bagaimana dengan bebanan pembelian buku teks yang mahal? Pemansuhan ini bagaimanapun masih jauh bagi hasrat rakyat untuk menikmati pendidikan percuma. Kerajaan juga tidak berminat memperuntukkan sesuatu konsisten untuk pembangunan pendidikan agama. Atau sekurang-kurangnya menghargai komitmen pendidik yang bertungkus memperkenalkan akidah buat anak-anak kecil.

Bajet 2012 juga seperti menonjolkan betapa kasihnya kerajaan buat rakyat bawahan dengan apa yang digelarkan mereka 'durian runtuh'. Warga FELDA umpamanya tidak dapat membayangkan apa faedah yang mereka perolehi sekadar nama sahaja gah tercatat di BSKL. Adakah ianya membantu? Ataupun terus-menerus menjadi mangsa kroni-kroni yang makin berselera mengaut untung?. Rakyat juga  masih belum dapat melihat manfaat peruntukan jangka panjang lain seperti melalui pelbagai projek mega dan penambahbaikan infrastruktur dan sebagainya. Contohnya penaiktarafan balai polis yang tak jemu-jemu.

Sudah bertahun-tahun pakar-pakar ekonomi berbincang dan memcadang kepada kerajaan untuk mengaplikasikan gaji minimum. Bajet 2012 sekali lagi kerajaan gagal melaksanakan idea ini. Kerajaan masih membiarkan jurang pendapatan antara si kaya dan si miskin terjarak begitu jauh. Rakyat Malaysia kebanyakannya statusnya masih dalam kategori selesanya iaitu 'cukup makan' dan paling teruk bakal mencecah muflis. Dan hampir kesemua dari golongan ini dibelenggu dengan pelbagai hutang. Dan jadilah mereka terdesak dan mendesak. Akhirnya golongan ini dikhuatiri menjadi 'peminta sedekah' di musim pilihanraya. Dan jangan melenting bila dikata kerajaan menggula-gula rakyat. 

Kerajaan juga dilihat semakin meminggirkan golongan petani dan nelayan. Sebagai pemilik asal bahan mentah, mereka sepatutnya didahulukan penghargaan. Kerajaan tak nampak daya untuk meng'kaya'kan orang kampung terutamanya yang mencurah keringat harian mereka dengan memecah monopoli pemborong melalui harga yang lebih relevan. Orang kampung masih tertipu dengan harga jualan yang masih rendah berbanding harga pasaran. Tertipu berkali-kali dengan propaganda subsidi dan penyelarasan harga. Mereka masih tak tau dan tak ambik 'port' berapa harga pisang berangan yang di makan Mr Obama di White House.

Dikala jalan-jalan di kota besar bersilang-silang dibina, di kampung nak menampung satu batang jalan pun dipaksanya orang kampung melutut kepada tok ketua JKKK. Jalan baru yang dituntut akhirnya berlutut bersama-sama papan tanda projek. Masjid-masjid masih sepi dan uzur sesuai dengan status jemaahnya yang kian susut. Suatu keadaan yang membimbangkan buat akhlak masyarakat. Dengan beban harga barang yang mustahil nak turun, rakyat perlu berfikir lebih kreatif untuk melawannya. Mungkin ini sebabnya kerajaan memperuntukkan bajet khas untuk program inovasi. Bagi rakan-rakan swasta yang disisih kali ni atau lain-lain yang tak tersebut dalam bajet perlu memikirkan bagaimana untuk mengisytihar lebih kesetiaan buat negara.

No comments:

Post a Comment