VOCALIST

Wednesday, December 5, 2012

PAK BAEN STORY : MUSTIKA AYAM SABUNG

"Betul-betul haram jadah..!!" Pak Baen semakin kasar. Pak Baen lupa amalan wasatiah sebelum ini. Kesopanan dan kesusilaan budaya timur yang selalu dibanggakan oleh beliau semakin menyusut. Pak Baen sudah semakin lupa dan terlanjur.

"Diaorang tak kuat mana..Apa nak takut !!?" Pak Baen adalah juara 25 kali kejohanan Sabung Ayam peringkat negeri. Semua orang tahu. Semua orang perasan. Setiap kali kejohanan yang biasanya 2 tahun sekali itu berlangsung (Pak Baen juga punyai imuniti khas untuk tentukan tarikh pertarungan), para fanatik sabung ayam pasti dapat meneka walaupun dalam kesamaran pemenangnya adalah Pak Baen. Bukan saja orang ramai, pengadil juga dilihat 'kamcing' dengan Pak Baen. Keputusan perlawanan tampak mudah diumum jika Pak Baen pesertanya.

"Ayam kita lagi 'power'!!" sambil mendedahkan kepala lututnya dihadapan penyokong-penyokongnya. Pak Baen merujuk kepada prestasi ayam sabung tercintanya, Colek. Bertungkus lumus Pak Baen melatih Colek seni melawan. Apa lagi yang Colek kurang? Segala jenis silat ketuanan melayu termasuk silat gayong, cekak, abjad semuanya dah dikhatam Colek. Ditambah lagi kung-fu, taekwando, kuntau dan silambam. Sehingga pada dasarnya Colek dilihat lebih 'power' dari tuannya sendiri.

Colek, ayam sabung Pak Baen bukan sahaja mahir bertumbuk malah kesasaan susuk tubuhnya cukup menggerunkan lawannya. Diet seimbang yang disusun Pak Baen membuatkan Colek seolah-olah pahlawan 'gladiator' yang perkasa. Pak Baen juga kerap mengasah kuku, taji dan paruh Colek hingga tajam dan berkilat bak mata pisau. Jiran-jiran rumah Pak Baen kerap mengupah Colek bagi 'menyetelkan' ayam-ayam yang selalu buat bising di kampung. Dan dikalangan ayam-ayam, Colek ni kira samseng la.

"Mereka tu pembohong!! Tak layak menang!!.." Walaupun hidung Pak Baen sentiasa mengembang bangga dek dipuji orang akan magisnya Colek namun jauh disusur hatinya tetap timbul perasaan ragu tak tentu-hala. Colek anggapannya begitu sempurna. Sehingga kata Pak Baen seketul kudis pun tidak ada pada susuk Colek.

Apa tidaknya, hampir keseluruhan punca pendapatan Pak Baen datang dari sabungan Colek. Untuk senang seperti sekarang, Pak Baen menjelajah kampung ke kampung. Dari Colek lah Pak Baen membayar 'installment' Proton Preve nya.

"Itu dulu Pak Baen..!" Pekik Alif seolah dah tau skrip Pak Baen, sambil-sambil memandu 'motocup'nya dihadapan warung itu. Alif baru saja selesai kertas STPM terakhirnya pagi tadi. Alif katanya akan bekerja sementara dibandar sementara keputusan diumum.

Memang benar kata si Alif. Memang dulu Colek adalah yang terkuat dikampung Timbang Tahil. Tapi fitrah benda hidup, sebelum mati dia akan tua dan lemah. Colek kalau diikut sukatan umur manusia sudah sekitar 50 tahun. Pemain bolasepak profesional paling tua pun umurnya 40 tahun. Begitu nasib Colek akhirnya. Pak Baen pula akibat terlalu sayangkan Colek, terlupa untuk melahirkan banyak lagi Colek.

"Kita akan buat sembahyang hajat malam ni.." Pak Baen tiba-tiba mengumumkan kepada penyokong-penyokongnya datang bermunajat supaya dianugerahkan kemenangan buat Colek sepasukan.

"Pasukan kita ini adalah anugerah Tuhan.." Pak Baen menyimpulkan ucapannya.

Allahuakbar!!.. Sambut para penyokongnya..

Nota : Sabung ayam adalah sama sekali dilarang dalam Islam.


No comments:

Post a Comment