Kisah Nabi Yusuf yang berperanan sebagai menteri perbendaharaan dimulai ketika dia menafsirkan mimpi raja. Pada saat menjalani hukum penjara, Nabi Yusuf harus menafsirkan mimpi orang yang memerintah negara dan memenjarakannya iaitu raja Mesir pada ketika itu. Namun, Nabi Yusuf tetap menyebutkan tafsir mimpi yang benar dan memberi saranan yang baik kepada raja tanpa mengharapkan imbuhan moral mahupun material. Allah Taala berfirman:
"(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia); Yusuf, wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat) tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya." (Surah Yusuf : ayat 46)
Pada saat itu tidak seorang pun yang mampu menakwilkan mimpi tersebut dan para sekratariat kerajaan mengatakan, "Itu adalah mimpi-mimpi yang tidak memberikan apa-apa makna". Salah seorang teman sepenjara Nabi Yusuf meminta kepada raja untuk memberitahukan mimpi yang dialaminya itu kepada Yusuf kerana dia pernah menakwilkan mimpi yang alaminya.
Setelah mendengarkan cerita mimpi utusan raja, Yusuf menyusun strategi jitu dalam jangka 15 tahun untuk menyelamatkan negara daripada bencana kelaparan. Seperti ditafsirkan, bahawa akan datang musim kemarau yang berpanjangan, sehingga diperlukan pentadbiran perbendaharaan sumber negara dalam jangka masa yang panjang agar rakyat Mesir mempunyai makanan yang cukup. Allah Taala berfirman:
"Yusuf menjawab; Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa-apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan." (Surah Yusuf : ayat 47)
Rakyat Mesir diarahkan agar menyimpan makanan secukupnya agar dapat membekalkan sedikit untuk masa krisis kemarau berpanjangan. Allah Taala berfirman:
"Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit daripada apa-apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)." (Surah Yusuf : ayat 48)
Pada masa kemarau, rakyat akan bergantung kepada makanan yang disimpan sebelum ini. Jika ada orang yang tidak memiliki persediaan makanan yang cukup maka apa yang harus mereka lakukan dalam situasi yang sulit tersebut? Maka, tidak diragukan lagi bahawa mereka yang kesempitan harus berhutang terhadap orang lain. Seperti yang dikatakan pepatah, "Hutang membuat gelisah di malam hari dan membuat malu diri sendiri di hadapan orang lain pada siang hari."
Setelah masa sempit datanglah masa kejayaan, dan setelah kegelapan terbitlah fajar. Itulah tahun yang ke-15 seperti yang ditakwilkan oleh Nabi Yusuf. Pada masa itu hujan turun membasahi bumi yang membuatnya hijau dan tanaman pun tumbuh di mana-mana, sehingga banyaklah pohon yang berbuah dan dapat dipetik manusia dengan mudah. Allah Taala berfirman:
"Setelah itu akan datang tahun, di mana manusia diberi hujan (dengan cukup) dan pada masa itu mereka memeras (anggur)." (Surah Yusuf : ayat 49)
Demikianlah yang ditafsirkan oleh Nabi Yusuf sehinggalah tiba waktu pengadilannya Baginda dibebaskan daripada penjara setelah dibuktikan siapa sebenarnya yang bersalah. Reputasi Baginda Yusuf melonjak cemerlang bukan sahaja di mata manusia bahkan kepada setiap makhluk di alam ini. Kebenaran yang ada pada Nabi Yusuf ibarat sinar mentari pada siang hari, cahaya bulan di malam hari dan cahaya fajar pada waktu subuh. Isteri penguasa yang memfitnah Nabi Yusuf mengakui kesalahannya. Wanita itu bersaksi bahawa dialah yang melakukan konspirasi terhadap Yusuf.
Nabi Yusuf keluar dari penjara dalam keadaan terhormat menuju istana raja dan diangkat menjadi seorang menteri. Tiada keraguan bahawa seseorang itu tidak disyariatkan untuk meminta-minta jawatan, namun apabila tidak seorangpun yang absah dalam sesebuah jabatan maka dia harus berada di garis hadapan memangkunya. Hal ini kerana, Yusuf adalah Nabi yang menerima wahyu daripada Allah, tindakan bernas bukan daripada akal semata-mata, tetapi juga daripada kebersihan jiwanya meyakini Allah itu Tuhan sejati. Allah Taala berfirman:
"Dia (Yusuf) berkata; Jadikanlah aku bendaharawan negeri (Mesir); karena sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, dan berpengetahuan." (Surah Yusuf : ayat 51)
Kisah Nabi Yusuf a.s. berakhir dengan bahagia, kerana Allah Taala menganugerahkan kedudukan kepadanya di negeri Mesir sebagai orang menjaga amanah kerajaan. Seorang yang diiktiraf amanah oleh Allah, kemudiannya menjaga amanah rakyatnya, dan hal ini tidak akan terjadi di dunia kecuali di atas kehendak Allah Taala.
Inilah petunjuk Allah kepada kita umat Islam tentang akhlak Nabi Yusuf yang sewajibnya dimiliki oleh para pemuda. Hanya kepada Allah kita memohon agar menjadikan kita termasuk antara orang-orang yang beramal dengan ikhlas kerana mengharapkan redha-Nya.
Tarbawi.com
No comments:
Post a Comment