Antara sunnatullah (hukum Allah) itu adalah bahawa Allah Taala akan memberikan cubaan kepada penerus risalah dan gerakan dakwah ini sebelum menjadikannya berkuasa di muka bumi-Nya. Inilah sunnatullah yang tidak akan berubah seperti yang telah dijanjikan Allah. Di Mesir, Nabi Yusuf adalah salah seorang pengembang dakwah di negara itu. Dia pernah digoda dan dirayu oleh seorang isteri penguasa pada zamannya dengan perhiasan dan keindahan parasnya.
Peristiwa ini disebutkan di dalam firman Allah Taala, maksudnya:
"Dan perempuan yang dia (Yusuf) tinggal di rumahnya menggoda dirinya. Dan dia menutup pintu-pintu, lalu berkata; Hampirilah kepadaku. Lalu Yusuf berkata; Aku berlindung kepada Allah, sungguh, tuanku telah memperlakukan aku dengan baik. Sesungguhnya orang yang zalim itu tidak akan beruntung." (Surah Yusuf : ayat 23)
Sesungguhnya Allah Taala telah menyelamatkan Baginda daripada perbuatan haram dan penzinaan. Lazim diketahui bahawa, kala usia muda, naluri dan nafsu seseorang itu sering melonjak-lonjak. Naluri ini merupakan makhluk buta yang tidak dapat melihat, makhluk tuli yang tidak dapat mendengar, makhluk bisu yang tidak dapat berbicara, naluri yang mendesak pemiliknya agar menyalurkan hasil kemaksiatan dan dosa.
Hal yang sama juga dirasakan Nabi Yusuf a.s., meskipun dia masih muda dan berada jauh daripada pantauan orang-orang tuanya akibat dengki dan cemburu saudara-saudaranya, dan meskipun tatkala itu Baginda hanya tinggal berdua dengan isteri sang penguasa itu, akan tetapi Baginda Yusuf lebih memilih untuk berpegang teguh kepada tali agama Allah sehingga Allah pun menjaga kehormatan dan kemuliaannya.
Allah Taala berfirman tentang perkataan isteri penguasa tersebut:
"(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi daripada orang-orang yang hina." (Surah Yusuf : ayat 32)
Sikap dan peribadi Nabi Yusuf a.s. menjadi benteng kepada Baginda untuk segera menjauh dan terhindar daripada kemaksiatan. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah Taala di dalam firman-Nya:
"Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (pilihan kami terhadap Yusuf) untuk menjauhkan daripada Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan daripada segala dosa." (Surah Yusuf : 24)
Nabi Yusuf telah memilih ujian dengan hati yang lapang, sekalipun nafsunya tidak dipenuhi namun jiwanya sentiasa meronta-ronta menagih redha Allah, sehingga Baginda-pun rela mendekam di dalam penjara walau dalam keadaan dizalimi sang penguasa. Hal ini kerana Nabi Yusuf menyedari hampir-hampir sahaja dirinya jatuh ke dalam jurang kenistaan, bahkan di dalam sebuah hadis disebutkan bahawa, "Tidaklah sempurna keimanan seseorang yang sedang berbuat zina." (Riwayat Muslim, Abu Daud dan at-Tirmizi)
Cubaan yang dilalui oleh Nabi Yusuf sangat getir. Baginda dimasukkan ke dalam penjara kerana perbuatan yang tidak dilakukannya sama sekali. Baginda menerima semuanya dengan hati yang tenang dan menyerahkannya kepada Allah Taala, kerana yakin bahawa tidak ada sesuatu pun yang terjadi di dunia ini melainkan atas izin dan kehendak Allah Taala. Dalam hal ini Allah Taala berfirman:
"Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata; Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".
"Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
"Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dibebaskan) hingga ke suatu masa." (Surah Yusuf : 33-35)
Nabi Yusuf telah berhasil melalui berbagai cubaan yang berat, sehingga Baginda menjadi salah seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di negeri Mesir kala itu. Imam Syafi'e pernah ditanya, "Manakah yang lebih dahulu antara diuji atau mempunyai kedudukan?".
Lalu beliau berkata, "Tidak ada seorangpun (daripada pilihan Allah) yang mempunyai kedudukan sebelum diuji terlebih dahulu".
Tarbawi.com
No comments:
Post a Comment