VOCALIST

Wednesday, December 22, 2010

PAK NGAH PELI : PERGINYA PAHLAWAN


Selepas perginya Pak Da 'Ud, Tanggal Isnin 20.12.2010 bersamaan 14 Muharam 1432 kira-kira jam 11.40 malam, kariah Senduk umumnya sekali lagi meratapi kehilangan Imam Hj Zulkifli, tokoh penting penggerak kampung. Setelah bertahun melawan sakit, akhirnya Allahyarham atau Pak Ngah Peli berpisah juga dengan warga kampung menemui Penciptanya.




Allahyarham Pak Ngah antara watak utama yang cekal dan ikhlas menjaga keamanan dan protokol kampung. Sebelum ini beliau adalah Imam besar di Surau Assomadiyah sehinggalah diserang sakit dan tidak berdaya menjalankan tugas walaupun sesekali memaksa dirinya. Seusianya, Allahyarham begitu disegani dan dihormati penduduk kampung, terkenal dengan komitmen tinggi kepada surau dan sering dirujuk pendapat dalam apa saja aktiviti.




Setelah selesai solat yang diimamkan anak sulung Allahyarham, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 8 pada Selasa keesokan harinya pukul 1.30 pm. Hampir setiap warga Senduk termasuk dari perantauan mengambil peluang memberi penghormatan terakhir. Orang ramai, rakan dan sanak-saudara sama-sama bergotong-royong menguruskan majlis pengebumian sejak malam Allahyarham menghembuskan nafasnya sehingga selesai. Majlis bacaan tahlil dan talkin diketuai oleh Ustaz Zakaria Hj Ahmad.




Allahyarham meninggalkan seorang balu Hjh Habsah, 7 orang anak yang sudah berjaya, cucu-cucu dan cicit-cicit. Yang ditinggalkan juga ramai anak murid, pengikut, sahabat dan kenalan. Yang ditinggalkan Allahyarham Pak Ngah adalah warisan semangat yang patut dijadi bekal buat generasi Senduk.




Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wah'fu'anhu..




SEMOGA ROHNYA DITEMPAT DIKALANGAN ORANG_ORANG YANG BERTAKWA


.............................................AL-FATIHAH...................................................


No comments:

Post a Comment