VOCALIST
Friday, December 31, 2010
KOMPILASI BABAK 2010
2011 menjelang namun 2010 tetap dikenang. Sidang Senduk turuti memoir sendiri disebalik wajah 2010
1. Tahun 2010 bermula indah dengan kedatangan insan istimewa Muhammad Ammar tanggal 19.01.10 berlokasi hospital Taiping. Kelahiran Muhammad Ammar disambut ria waris-warisnya dan umumnya kepada warga Senduk seluruhnya.
2. Sebagai sokongan untuk kegigihan orang muda Kampung Senduk, satu keraian spontan telah di langsung di Teluk Senangin bermula petang 13.02.10 dan berakhir tengahari esoknya. Pemukiman sehari pemuda-pemuda tadi di label 'Reggae Telok Senangin'.
3. PRK Hulu Selangor 25.04.10 memanggil 'Briged Paknjang' berjuang dan menyokong penentangan apa saja bentuk kezaliman. Walau sokongan menakjubkan namun rakyat terpaksa redho dengan kekalahan Datok Zaid Ibrahim. Hari ini (waktu menulis) hubungan calon Hulu Selangor dengan Pakatan Rakyat tinggal kenangan.
4. Pada 12.05.10 umat Islam dikejutkan dengan penghalalan judi bolasepak yang haknya diberi kepada Berjaya Corp. Pengumuman pulak dibuat Menteri Keewangan berbangsa Melayu mengaku Islam. Orang bukan Islam pun ikut terkejut dan makin keliru dengan label ' Negara Islam'
5. Piala Dunia, Kejohanan paling luarbiasa popularitinya kali ini di Afrika Selatan dengan sepak mula pada 12.06.2010. Corak Menghiburkan menjulang Sepanyol juara edisi 2010. Selain Maskot Zakumi (rimau bintang), Sotong Paul juga popular dengan khurafatnya.
6. Bermula Jun 2010, malam di kampung Senduk hidup umpama Uptown di KL. Orang Kampung sibuk bila ada pencuri yang dah pandai buat onar di kampung ni.
7. Bulan Ramadan bermula 11.08.10 yang tawarkan berbagai 'offer' kepada orang Islam di jadikan medium beberapa puak kerabat untuk memfitnah. Ulama dan ilmuan seperti Ustaz Zakaria turut jadi mangsa. Bila pintu gol dah terbuka luas disiakan dan gol sendiri jugak dicari.
8. 10.10.10 unggul sebagai tarikh paling istimewa tahunan. Penjenamaan Sidang Senduk Dilancar secara rasmi pada Hari Keluarga dan Aidilfitri. Paling riuh rendah, paling sibuk, paling laku dan paling licin.
9. Bajet 007 telah dibentang PM pada 16.10.10. Tak ada apa yang istimewa melainkan lenggang biasa kerajaan kerabat. Menara kontroversi. Bonus pekerja awam sekali disisihkan.
1o. PRK Galas sekali lagi memanggil Briged Paknjang untuk berjihad di sana. Kekalahan Pakatan Rakyat sebagai pemangkin kearah perjuangan yang lebih 'super'. Al-Fatihah buat Allahyarham Che Hashim Sulaiman. Selamat berkenalan buat Tokei Strowberi..
11. Beberapa ahli Sidang telah telah selamat bina masjid (Mat Ajam 19.11.10, Diha 19.12.10 dan Hanip 25.12.10).Walaupun beberapa kegembiraan berlangsung dalam masa bersingkat, Episod duka pemergian Allahyarham Tuan Imam Pak Ngah Peli pada 20.12.10 wajar dingati. Simbolik Disember.
Yang ada di medan, mohon Allah beri kekuatan untuk kekalkan konsistensi. Tahniah dan syukur!..Allah anugerahkan ruang luas dan platform selesa berkhidmat untuk Nya..Anugerah istimewa bukan mampu milik..
Thursday, December 23, 2010
INGATAN UNTUK YG HIDUP
1. Sesiapa yang mendirikan masjid maka ia tetap pahalanya selagi masjid itu digunakan oleh orang untuk beramal ibadat di dalamnya.
2. Sesiapa yang mengalirkan air sungai selagi ada orang yang minum daripadanya.
3. Sesiapa yang menulis mushaf ia akan mendapat pahala selagi ada orang yang membacanya.
4. Orang yang menggali perigi selagi ada orang yang menggunakannya.
5. Sesiapa yang menanam tanam-tanaman selagi ada yang memakannya baik dari manusia atau burung.
6. Mereka yang mengajarkan ilmu yang berguna selama ia diamalkan oleh orang yang mempelajarinya.
7. Orang yang meninggalkan anak yang soleh yang mana ianya selalu mendoakan kedua orang tuanya dan beristighfar baginya
8. yakni anak yang selalu diajari ilmu Al-Qur'an maka orang yang mengajarnya akan mendapat pahala selagi anak itu mengamalkan ajaran-ajarannya tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri.
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda : "Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :
1. Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Amal Jariah)
2. Ilmu yang berguna dan diamalkan.
3. Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya.
TITIK BAHAGIA & SENGSARA
Tanda-tanda Bahagia
1. Menjauhkan diri dari urusan dunia dan senang kepada urusan akhirat
2. Kemahuan kuat terhadap ibadah dan membaca al-Quran
3. Sedikit bicara terhadap apa yang tidak diperlukan
4. Sangat memelihara solat lima waktu
5. Menjaga diri dari yang haram dan syubhat, sedikit atau banyak
6. Bersahabat dengan orang-orang soleh dan baik
7. Rendah diri
8. Bersifat dermawan yang ikhlas
9. Belas kasihan terhadap makhluk-makhluk Allah yang lain
10. Bermanfaat kepada orang lain
11. Selalu ingat mati dan bersiap sedia menghadapinya
Tanda-tanda Sengsara
1. Rakus terhadap harta dunia
2. Kemauan nafsu yang kuat dan cenderung pada kelazatan dunia
3. Perkataan yang kotor dan banyak ghibah (menceritakan cela orang lain)
4. Menganggap remeh temehnya solat 5 waktu.
5. Bersahabat dengan orang-orang fasik
6. Buruk prilakunya
7. Sombong dan tinggi hati
8. Enggan memberi kebaikan kepada orang lain
9. Sedikit kasih sayang terhadap orang yang beriman
10. Pengecut
11. Lupa terhadap mati
(Dipetik dari kitab Tanhibul Ghafilin)
Wednesday, December 22, 2010
PAK NGAH PELI : PERGINYA PAHLAWAN
Thursday, December 16, 2010
CERITA TAULADAN : DIMANAKAH KITA SEBENARNYA
Bapanya juga adalah seorang alim ulamak yang pernah mengembangkan agama Islam sampai ke negara selatan Siam,Mengikut ceritanya, bapanya adalah orang pertama di zaman moden ini yang bukan daripada warga Arab Saudi diberi penghargaan mengimamkan solat fardhu di Masjidil Haram, Mekkah. Nak dijadikan cerita, pada suatu masa, alim ulamak tersebut telah jatuh sakit lalu tidak dapat untuk mengimamkan solat fardhu di suraunya.
Maka tiba-tiba datanglah seorang yang berpakaian buruk (seolah-olah kelihatan tidak siuman) sejurus sebelum solat fardhu di laksanakan.Alim ulamak tersebut telah meminta supaya orang yang berpakaian buruk tersebut untuk menggantikannya menjadi imam! Setelah solat fardhu selesai, maka orang yang berpakaian buruk tersebut telah memohon untuk mengundur diri. Kelihatan senyuman terukir pada wajah murid - murid alim ulamak tersebut kerana semasa sembahyang fardhu tadi, orang yang berpakaian koyak tersebut tidak membaca surah fatihah dan surah yang lain dengan tajwid yang betul.Mereka tidak biasa dengan keadaan sebegitu kerana guru mereka, yaitu alim ulamak tersebut, adalah seorang yang fasih dalam berbahasa arab serta mempunyai bacaan tajwid yang sungguh baik sekali (maklumlah seorang al-hafiz dan sudah berpuluh tahun belajar di Mekkah).
Maka alim ulamak tersebut telah bersalaman dan berpelukan dengan orang yang berpakaian buruk tersebut sebelum orang yang berpakaian buruk meninggalkan surau. Setelah itu, alim ulamak memanggil keseluruh muridnya berkumpul dihadapannya lalu beliau telah bercerita :Pernah berlaku di suatu kampung di timur tengah dimana terdapat seorang pengembala kibas yang sangat alim, sangat suka merendahkan diri dan suka menolong penduduk kampung sekiranya di minta pertolongan. Cuma yang peliknya, ternakan kibasnya yang di kurung didalam sebuah kandang yang serdehana besar itu tidak pernah luak walau banyak mana sekalipun orang datang untuk membeli kibas daripadanya. Belilah sampai seratus ekor sekalipun, setelah kibas-kibas tersebut di bawa keluar daripada kandang,yang tinggal di dalam kandang tetap kelihatan sama banyak bilangannya seperti sebelum seratus ekor di bawa keluar daripada kandang!
Maka seluruh alim ulamak penduduk kampung telah beranggapan bahawa pengembala kibas tersebut adalah seorang aulia' Allah dan mereka telah bermuafakat untuk pergi berjumpa dengan pengembala kibas tersebut dan memohon supaya dia mengimamkan solat dimasjid kerana mereka mahu mengambil berkat menjadi makmum kepada pengembala kibas tersebut.Hasrat mereka telah di persetujui oleh pengembala kibas. Sembahyangpun di laksanakan di masjid, dan pengembala kibas telah menjadi imam.Malangnya, semasa membaca surah fatihah dan surah berikutnya, bacaan beliau tidak sempurna tajwidnya.
Maka setelah selesai sembahyang,seluruh penduduk kampung telah pulang kerumah masing -masing sambil ketawa terbahak-bahak kerana mereka berfikiran bahawa tanggapan mereka terhadap pengembala kibas sebelum ini sebagai aulia'Allah telah jauh meleset.Pada malam tersebut, seluruh alim ulamak penduduk kampung telah bermimpi,dan mereka mendapat mimpi yang sama. Datang seorang lelaki yang tinggi dan kacak di dalam mimpi mereka dan lelaki tersebut telah mengatakan bahawa seumur hidup mereka bersembahyang, itulah baru kali pertamanya sembahyang mereka telah diterima Tuhan!Subhanallah! Keesokan harinya, kesemua alim ulamak penduduk kampung berkumpul di masjid untuk menunaikan sembahyang subuh dan setelah selesai sembahyang subuh mereka terus menuju ke kandang pengembala kibas. Malangnya,pengembala kibas telah tiada, kandang dan kibasnyapun telah tiada.Bekas kandangpun tiada, seolah-olah kandang kibas tidak pernah wujud!
Setelah selesai menceritakan kisah pengembala kibas, maka kebanyakan anak muridnya telah menangis kerana mereka tahu mereka telah membuat kesalahan kerana telah mendahalui Allah dengan merendahkan amalan makhluk Allah yang lain, sedangkan mereka sendiri tidak tahu akan kedudukan mereka di sisi Allah.Allah Ta'ala telah berfirman yang sekira - kira bermaksud :"Janganlah engkau semua melagak - lagakkan dirimu sebagai orang suci. Allah adalah lebih mengetahui kepada siapa yang sebenarnya bertaqwa.(SurahAn-Najm : 32)
oleh : dakwah_ilahi
Thursday, December 9, 2010
KAHWIN JUGAK
Dah memang fitrah, sapa pun nak majlisnya dikenang. Yang duit berkeping-keping bolehla bermewah di hotel yang kelas bintang. Siap karpet merah lagi dah mengalahkan Sultan negeri Baghdad. Tak pun buat di kawasan tasek yang ada lanskap lawa. Ada yang buat di dewan dan bergantung jugak pada kapasiti dan sewanya.
Untuk bahan kenangan boleh diabadikan saat bahagia pasangan melalui pakej-pakej kahwin yang siap dengan jurufoto. Kadang-kadang pakej gambar diasing. Lebih hebat senario kahwinnya dirakamkan secara langsung oleh stesyen TV dan disiar langsung ke seluruh dunia. Semua boleh tengok 'live' macam tengok bola kat kedai mamak.
Kalau yang 'grand', tetamu dan hadirin tak habis bersembang pasal majlisnya. Kadang-kadang sampai tak sedar pasangan mempelai tu dah naik turun mahkamah syariah berkali-kali. Cerita pelamin la, baju pengantin, dandanan, solek, cincin emas, kerusi, meja makan dan memacam. Memang susah nak berenti. Semua kalut nak yang paling luarbiasa. Yang biasa tetap macam biasa. Kehebatan suasana mewahnya sampai jemputan terlupa nak doakan bahagia pasangan.
Ada kenduri yang orang kampung pun takut nak pergi. Siap dengan tema, warna dan pakaian yang sesuai dengan agenda. Nak jemput kenduri pun bersyarat macam nak pergi temuduga. yang lagi takut dan dan lagi luar biasa kalau balik dari majlis kenduri diserang cirit-birit.
Ada 3 kenduri berlangsung di kariah Senduk. Sehingga hari ni seorang (Ajam) dah diijabkabulkan dan 2 lagi bakal berlangsung (Diha 19.12 & Hanit 25.12).
Berlatarbelakangkan bunyi katak dan titis hujan, sahabat Sidang Senduk Mat Ajam dan pasangannya telah selamat diijabkabulkan selepas maghrib 19.11.2010. Dalam masa tak sampai 30 minit majlis nikah berlangsung dengan berwakilkan Tok Kadi Ust Husin yang cukup popular di Bukit Gantang. Suasana masih tenang walaupun lokasinya di area beranda Madrasah Attolibiyah Banggol Nering. Majlis turut disaksikan oleh 3 biji bantal milik kariah surau. Hadirin sekadar menjamu nasi lemak bungkus dan kopi O yang dihidang oleh kariah. Hujan renyai tadi kemudian berhenti apabila Azan Isyak bekumandang. Esok dan lusanya berlangsung majlis resepsi di rumah perempuan dan lelaki.
Barakallahu lakuma wabarakah....'alaikuma wajama'a bainakuma fil khair..
Kahwin jugak Mat Ajam.
NASIB VAN KESAYANGAN
Setelah melalui tahun-tahun yang cukup memenatkan, van kesayangan kampung diberi notis rehat 48 jam. Van yang diwakafkan untuk kegunaan ahli kariah terpaksa dibaik pulih setelah tersadai di kilometer ke 10 dari tol Taiping utara.
Peristiwa ini berlaku tanggal 8 Disember 2010 bersamaan 1 Muharam 1432 H. Hasil bedah siasat yang dilakukan oleh pomen peribadi, dikesan 'timing belt' milik van tersebut telah putus lalu mengakibatkan 4 lejang di enjin ini terhenti secara tiba-tiba. Pemandu van ketika itu dimaklumkan terdengar bunyi seakan seutas tali terputus. Rombongan seramai 8 orang itu bercadang menghadiri majlis kenduri di Pulau Pinang. Turut sama dalam rombongan adalah penyelia van yang juga merangkap Tuan Yang Dipertua Sidang Senduk.
Terima kasih diucapkan kepada trak tunda yang sudi menarik van ke bengkel. Juga terima kasih diucapkan kepada Encik Fuad atas kesudian beliau mengangkut pulang penumpang-penumpang walaupun hampir 3 jam menunggu di Hentian Bukit Merah.
Pada malam harinya satu alternatif lain terpaksa dicari untuk hadir ceramah Tok Guru di Paya Renggam. Van Dijangka aktif semula 2 hari lagi. Sama-sama kita doakan kekuatan van kesayangan kita.
TOKOH UNTUK DIHIJRAH
Akhirnya kerajaan 'Islam' pimpinan kerabat melalui menteri nikah kawinnya menganugerahkan Puan Zetti ibnu Ungku Aziz tokoh Maal Hijrah 1432 H. Bagaimana berat hati dan perasaan penerima untuk naik menerima anugerah dengan berselendang, begitulah juga berat hati umat Malaysia untuk menerima kenyataan bahawa tokoh yang 12 purnama ditunggu adalah pakar mata wang.
Adakah tiada lagi ulama di Tanah Malaysia ni. Berapa ramai yang berhijrah ke luar negara menuntut bermacam-macam ilmu agama, adakah ustaz ni langsung tak pulang ke tanah air berbakti. Kalau tak berkelana keluar negara sekalipun, Malaysia juga miliki universiti Islam diiktiraf dunia yang mustahil tandus lahirkan bakat ulama. Kalau pening nak cari buatan universiti, cari tok-tok guru pondok yang siang malam peturun ilmu percuma kat muridnya. Kalau susah jugak, subuh-subuh pergi teropong surau-surau kampung. Masih ramai lagi yang ikhlas tegakkan syiar Islam. Boleh pilih dari siak ke imam.
Selepas popular dengan judi bola satu waktu dulu kemudian diperkenalkan pulak umat dengan Hab hiburan dan akhirnya dikecewakan dengan fesyen islamophobia. Kali ni sekali lagi umat Islam Malaysia cuba untuk dikelirukan.
Rakyat pelbagai lapisan mengerti penerima anugerah berjawatan Gabenor Bank Negara. Beliau adalah pemegang kunci peti besi dan segala bentuk matawang syiling dan kertas adalah dalam kawalan.
Kerajaan patut memperkenalkan anugerah baru. Tokoh yang sepatutnya berhijrah.
Monday, December 6, 2010
ORANG KAYA
Tanah Melayu Malaysia ni kaya raya. Negara dalam peta saiz 2 jari tapi harta dalam tanah, atas tanah tak habis kalau nak makan anak beranak. Minyak, balak, beras, gula semua bikin sendiri. Rumput dengan pasir pun laku. Taik pun jual buat baja organik.
Pasal tu semua barang asas minyak, gula, beras naik (selaras) 2 kali dalam setahun. Kerajaan bukan saja-saja buat. Kerajaan tau rakyat mampu semampunya. Bank melambak. Kalau tak boleh 'cash', kad kredit ada. Tak boleh jugak 'institusi' along ada, telefon saja nombor tertampal dekat pokok,tempat tunggu bas.
Ni Malaysia la, bukan Zimbawe. 10 tahun lagi negara dah maju. Negeri Melaka dah pun maju.
Selamat Menyambut Maal Hijrah 1432 H