VOCALIST

Monday, October 11, 2010

10.10.10 VERSI KAMI

Kalau ramai pakat berebut memilih 10.10.10 sebagai tarikh bersejarah, kami warga senduk tidak terkecuali untuk memilih yang seumpamanya. Tapi 10.10.10 kami nyata berbeza dengan semua orang. Kalau diwujudkan 'ranking' peringkat 1Malaysia, tidak mustahil kami akan membolot semua hadiah utama. Tidak perlu kami beria-ria memilih bulan sebagai lokasi. Cukup lah dicelah-celah pokok manggis dan rambutan.

Semangat berpasukan efektif

Dengan hanya satu mesyuarat tunggal di pertengahan Syawal bermodalkan kotiau sup, kami merealisasikan impian program 3 dalam 1 dengan jayanya. Keputusan sidang 'santai' di rumah Tuan Pengerusi seolah-olah adalah muktamad. Mandat yang diterima oleh jawatankuasa tiada bantahan. Bersedia untuk menerima menu dan tugasan.

Sambutan luar jangka

Apabila Pengerusi majlis umum semua tetamu boleh 'tibai' hidangan di gerai tersedia kira-kira jam 10 am, tetamu yang datang atau bercita-cita untuk mula menjamu selera jam 1 pm boleh lupakan impian tersebut. Enam menu yang disediakan penganjur 'setel' dalam 3 jam. Sebahagian petugas adalah antara 'mangsa' yang mempunyai hasrat murni tadi.

Kehadiran maksimum

Boleh dikatakan seluruh isi perut Kampung Senduk keluar beramai-ramai. Datang dengan berbagai disiplin termasuk jalan kaki, berbasikal, bertongkat dan berkenderaan. Pemuda kita saudara Azman sanggup turut serta berbekal semangat serta sokongan tongkat dan besi di paha kanannya. Sama keadaannya dengan 3 sekawan ni "Kita ni buleh makang banyak mana pung" bisik Makngah Hawa kepada Maklang Nah dan Makngah Besah " Buleh serenok ja la". 3 sahabat ni daya semangatnya hanya mampu di atas kerusi sahaja.

Keceriaan tergambar

Pelbagai lapisan penduduk masing-masing puas untuk menceritakan penyertaan mereka dalam setiap tentatif program. Seronok bergelar jaguh kampung, membawa pulang cabutan bertuah, membuat aneka persembahan untuk warga kariah, membantu tugas penganjuran dan mengekalkan kemeriahan walaupun sekadar mencipta keriuhan.

Rata-rata petugas dan tetamu akui edisi kali ini adalah terbaik pernah dianjurkan. Biarpun tergadai penat dan keringat, kepuasan dimiliki tetap menjadi ingatan. Walaupun lokasinya di perkarangan rumah Pakcik Awang dan Paknjang Mat Ali tapi layak bagi ahli kariah menumpang kejayaan sambutan umpama kejayaan peribadi milik mereka.

Bagi pihak Sidang Senduk mengucapkan jutaan terima kasih kepada hadirin yang memaksa diri memeriahkan ruang kedatangan. Terima kasih buat pasukan perubatan Taiping Medical Centre (TMC) atas kesudian mereka mengusahakan perkhidmatan percuma kepada orang ramai. Terima kasih atas kesudian YB Zainuddin dan YDP Ustaz Nordin Jaafar diiring rombongan Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang. Juga kepada MTI yang mengizinkan jagoan silat mereka beraksi walau diatas pasir berbatu dan kumpulan nasyid untuk persembahan istimewa. Terima kasih juga pada hiburan nasyid yang di persenbah kanak-kanak dari KAFA Batu 8 yang kini memegang gelaran juara baru Nasyid peringkat Negeri Perak 2010. Dan terima kasih atas komitmen bertungkus lumus jawatankuasa penganjur dan geng-geng Sidang Senduk selama 2 hari berturut semata-mata bagi memastikan program bergerak lancar.

"Banner yang kita buat tu ada tarikh ka?" Pengerusi bagai membayangkan edisi sambutan untuk tahun seterusnya apabila maklumkan respon baik dari YB dan beberapa tetamu luar akan semangat kerjasama warga kampung Senduk. Itulah Semangat Warga Senduk...Cerita semangat orang kampung aku..



No comments:

Post a Comment