VOCALIST

Monday, June 8, 2015

SAIDINA UMAR AL-KHATTAB R.A. DAN PALESTIN.

Jasa Saidina Umar al-Khattab r.a. khalifah kedua Islam terlalu besar buat Islam. Semasa era pemerintahan Baginda, Islam tersebar dengan luasnya dan juga bertambahnya pembukaan kota-kota Islam yang baru. Antaranya ialah pembebasan qiblat umat Islam yang pertama iaitu Masjid al-Aqsa di bumi Palestin yang penuh barakah ini.
Yarmouk adalah pertempuran yang berlaku di antara tentera Islam dan tentera Rom Byzantine di Jordan. Ketika itu, 41,000 tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al Walid, berjaya menewaskan 70,000 tentera Rom yang terkenal dengan kelengkapan ketenteraannya.. Kekalahan tentera Rom di Yarmouk menjadikan peluang penguasaan umat Islam terhadap Baitul Maqdis terbuka luas. Rom ingin menamatkan penguasaan mereka di Timur Tengah dengan menyerahkan Kota al Quds. Bagaimanapun, Patriarch Sophronius seorang uskup protagonis yang mempertahankan Jerusalem, enggan menyerahkan Baitul Maqdis kepada umat Islam dengan pertumpahan darah.
Sophronius memberikan syarat supaya Khalifah Islam iaitu Umar ibn al Khattab sendiri yang hadir menemui penduduk Iliya’ ( nama Jerusalem ketika itu) dengan jaminan keselamatan.Pada sangkaan Sophronius, umat Islam akan menolak syarat tersebut dan melakukan penjajahan terhadap Kota al Quds sebagaimana empayar-empayar yang pernah wujud sebelum Islam seperti Parsi dan Rom. Ternyata jangkaannya silap.
Abu Ubaidah bin Jarrah yang ketika itu sudah mengepung Jerusalem, dengan sikap toleransi memenuhi permintaan Sophronius dan rakyat Iliya’. Beliau menerima syarat tersebut dan menjemput Khalifah Umar al Khattab menuju ke Kota Jerusalem.
Sebelum Khalifah Umar r.a.berangkat  ke Jerusalem,Saidina Umar r.a. telah bermusyawarah bersama para sahabatnya tentang permintaan Sophronius.Saidina Uthman ibn Affan r.a. menghalang  Khalifah Umar r.a. dari menuruti kehendak uskup tersebut, tetapi Saidina Ali r.a. memberikan cadangan lain yang kemudiannya diterima oleh Saidina  Umar r.a. iaitu melakukan rapat umum bersama rakyat Iliya’ kerana Jerusalem juga merupakan salah satu bandar suci bagi kepercayaan umat Islam selain Yahudi dan Nasrani.
Di sinilah tersingkapnya kisah agung pembukaan Kota al Quds yang dilakukan Khalifah Umar al Khattab,Khalifah Islam ke 2 yang pernah mendapat gelaran al Faruq ini, dipuji Baginda s.a.w. sebagaimana sabdanya yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah Taala menempatkan kebenaran pada ucapan Umar dan hatinya”.
Khalifah Umar al Khattab tidak pergi ke Baitul Maqdis dengan tenteranya, bukan juga dengan pakaian yang mewah-mewah dan kehebatan kerajaannya tetapi hanya dengan seorang pembantunya yang menemaninya.Perjalanan Saidina  Umar  r.a. dan pembantunya dari Madinah ke Kota al Quds, hanya cukup berbekalkan air, roti dan kurma.Menurut riwayat, Saidina Umar r.a. dan pembantunya bergilir-gilir menaiki unta. Jika Saidina Umar r.a. menaiki unta, maka pembantunya pula akan berjalan sambil memandu pedati unta tersebut. Manakala jika pembantunyanya yang naik unta,Saidina Umar r.a. pula yang akan berjalan memandu pedati untanya. Setiap kali giliran dilakukan, mereka akan membaca surah Yassin sehingga tamat. Itulah yang dilakukan oleh Saidina  Umar r.a. dan pembantunya sehingga sampai ke Kota al Quds.
Sebelum sampai ke Kota al Quds, Saidina Umar r.a. telah melalui khemah tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bin Jarrah di Jabiya. Abu Ubaidah bin Jarrah merupakan salah seorang sahabat Nabi yang termasuk dalam senarai 10 orang yang dijanjikan syurga. Turut bersama Abu Ubaidah ketika itu ialah Khalid bin al Walid.
Apabila tentera-tentera Islam menyedari kedatangan Umar al Khattab, mereka menyambutnya dengan penuh penghormatan. Ketika itu Saidina  Umar r.a. yang memimpin pedati unta yang dinaiki oleh pembantunya. Berkali-kali pembantunya meminta agar Umar berada di atas unta sebelum sampai ke perkhemahan tentera, tetapi hal itu ditolak oleh Umar kerana kerendahan hati dan ketinggian budinya.
Apabila Abu Ubaidah melihat kaki Khalifah Umar sudah berceloreng dengan debu-debu tanah dan luka kerana perjalanan yang jauh, Abu Ubaidah dengan niat yang baik memberi cadangan kepada Saidina Umar r.a. untuk mengapitnya sehingga ke pintu Kota al Quds.
“Wahai Amirul Mukminin, jika kamu memerintah agar kami memapah dan memandu perjalananmu nescaya kami akan lakukan. Mereka (penduduk al Quds) tentu melihat kemegahan kamu sebagai Khalifah.”
Tiba-tiba Umar al Khattab merenung Abu Ubaidah, salah seorang panglima Islam yang menewaskan tentera-tentera Rom Byzantine itu dengan wajah yang sangat murka atas apa yang diucapnya. Lalu terbitlah kata-kata Saidina Umar r.a. yang mahsyur kepada Abu Ubaidah :
Demi Allah. Jika bukan engkau yang mengucapkannya wahai Abu Ubaidah nescaya aku menghukummu sebagai pengajaran buat umat ini! Sesungguhnya kita semua ini adalah hina lalu kita dimuliakan Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam sudah tentu kita akan dihina oleh Allah”.
Saidina Umar r.a. menolak cadangan Abu Ubaidah dan tidak memanjangkan dialog bersamanya. Saidian Umar r.a. bersama pembantunyanya terus berlalu pergi meninggalkan perkhemahan tentera Islam di Jabiya.
Mereka masih bergilir-gilir menaiki unta sambil menghabiskan bacaan surah Yassin. Apabila Kota al Quds semakin dekat, pembantunyanya memohon agar SidinaUmar r.a.terus kekal menaiki unta, sementara dia yang akan memegang pedati unta yang dinaiki Umar. Tetapi Saidina Umar r.a. dengan tegas melarang dan mengarahkan pembantunya agar terus mengikut tempoh penggiliran yang ditetapkan. Kebetulan pula, apabila jarak mereka berdua hampir tiba ke gerbang Kota al Quds, giliran Saidina Umar r.a. memegang tali pedati unta tersebut. Orang  ramai  yang  melihat  keadaan  tersebut  terus  meminta  agar  Sayyidina Umar menggantikan  pembantunyanya  untuk  menunggang dan khadamnya turun untuk menarik beliau demi menjaga  kedudukan dan maruah Baginda sebagai Khalifah di hadapan  khalayak  ramai.Saidina  Umar al-Khattab r.a dengan  suaranya yang lantang menegaskan:
“ Kita adalah satu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan sebab Islam.Selama mana kita mencari kemuliaan selain  daripada apa yang  dimuliakan kita dengannya oleh Allah maka kita akan dihina oleh Allah.”
Apabila sampai di sebuah bukit berhampiran dengan Jerusalem, dari kejauhan Saidina Umar r.a. telah melihat al-Aqsa. Beliau dan seluruh tentera Islam yang datang dari Madinah bertakbir berkali-kali membesarkan Allah kerana kota tempat di mana Nabi diisrakkan kini di dalam amanah Islam. Bukit tempat pertama kali Saidina Umar r.a. melihat al-Aqsa dinamakan  Bukit Mukabbir (bukit membesarkan Allah).

Gambar Masjidil Al-Aqsa diambil dari Bukit Mukabbir

Gambar perkarangan Masjidil Al-Aqsa diambil dari Bukit Mukabbir


Gambar perkarangan Masjidil Al-Aqsa diambil dari bukit Mukabbir
Seluruh  tentera-tentera Rom dan rakyat al Quds beragama Nasrani memenuhi Jerusalem. Mata mereka tertumpu kepada seorang pemimpin yang tidak pernah mereka lihat sepanjang sejarah peradaban dunia. Lazimnya penguasa-penguasa Rom akan membawa bala tentera dan sejumlah kebanggaan di raja seperti emas, mahkota, permaisuri, gundik-gundik dan sebagainya. Tetapi Saidina Umar r.a. sebagai khalifah, pemimpin terunggul yang berjaya menundukkan keangkuhan Rom, datang dengan baju kasar yang kurang kualitinya dengan bertampal-tampal, lusuh dan berdebu, manakala kedua-dua kakinya berlumpur dan berdarah dan menarik pedati unta yang ditunggang pembantunya.
Saidin Umar r.a. berhenti apabila menjejaki gerbang Dimashq, salah satu pintu masuk ke Jerusalem. Kemudian terus berjalan meninggalkan unta dan pembantunya di situ, dengan penuh kehambaan kepada Allah Taala wajahnya bersemarak sinar keizzahan Islam. Pembesar-pembesar Kristian terpegun melihat ketibaan Saidina Umar r.a. Mereka semua beranggapan saidina Umar r.a akan tiba dengan satu rombongan yang besar, sehebat kedudukan dan namanya. Mereka terpedaya dengan sangkaan-sangkaan buruk mengenai Saidina Umar r.a., sebaliknya Khalifah r.a. Umar hanya ditemani oleh seorang pembantunya sahaja setibanya di Jerusalem. Lebih mengharukan, mereka melihat Khalifah Umar r.a. yang menarik tali pedati yang ditunggang pembantunyanya. Mereka merasakan perbezaan yang jelas antara peribadi Khalifah Umar dengan semua Raja Kaisar yang pernah menaklukki Jerusalem sebelum ini.
Seluruh rakyat Iliya’ dan pembesar-pembesar di Jerusalem memberikan penghormatan kepada Saidina Umar r.a sambil menundukkan kepala. Kemudian Saidina Umar r.a. berteriak keras:
“Alangkah malangnya kamu semua! Angkat kepala kalian sesungguhnya kamu tidak perlu menundukkan kepala (sujud) seperti ini kecuali kepada Allah”.“Sesungguhnya keadaan kita adalah seperti roda, adakalanya di atas dan ada kalanya di bawah.”
Patriarch Sophronius bersama uskup-uskup lain memakai pakaian yang mewah-mewah bergemerlapan, sedangkan orang yang ingin diberikan penghormatan hanya memakai pakaian seperti rakyat biasa. Sophronius malu melihat penampilah Khalifah sungguh sederhana, dan  berkata,
”Jika beginilah pemimpin Islam, sesungguhnya kerajaan kamu (Umar) tidak akan tewas”.
Sophronius amat terharu dan menitiskan air mata melihat kesederhanaan Saidina   Umar r.a. apabila teringat tanda-tanda pemilik sebenar Kota al Quds sebagaimana yang disebut di dalam Kitab Injil. Sophronius mara bertemu Umar sambil di tangannya memegang kunci Kota al Quds. Kemudian Sophronius berkata kepada Saidina Umar r.a. :
“Sesungguhnya orang yang akan aku serahkan kunci kota al Quds, seterusnya menguasai Baitul Maqdis memiliki tiga tanda. Petanda-petanda tersebut jelas disebutkan di dalam kitab Injil kami.
Pertama, orang itu akan berjalan manakala pembantunya menunggang kenderaan miliknya.
Kedua, orang itu datang dalam keadaan kedua-dua kakinya diselaputi debu-debu tanah (lumpur) dengan kehadirannya cuma berdua sahaja.
Ketiga, orang itu datang dalam keadaan bajunya penuh dengan 17 jahitan tampalan.”
Setelah Sophronius melihat tanda-tanda tersebut ada pada Khalifah Umar al Khattab, beliau meminta izin Saidina Umar r.a. untuk mengira berapakah tampalan yang ada pada baju yang dipakainya. Sesungguhnya terdapat 17 jahitan yang menampal pada baju Saidina  Umar r.a. Dengan perasaan penuh debaran dan ta’ajub Sophronius berkata,“Inilah tanda yang ketiga, ya Tuhan. Tidak diberikan kunci-kunci Kota al Quds ini kecuali kepada seorang pemimpin yang memiliki tiga tanda keagungan di mana tanda-tanda inilah yang paling unggul dalam lembaran sejarah dan tidak ternilai harganya (seperti yang disebut di dalam Injil), (1) pembantunyanya yang menunggang kenderaan. (2) Calitan debu-debu tanah dengan hadir berdua dan (3) Tampalan pada baju”.
Menurut Sophronius, tanda-tanda ini menunjukkan bahawa kerajaan yang diperintah oleh Saidina Umar r.a. adalah kerajaan yang akan relevan sepanjang zaman, tidak akan musnah ditelan peredaran masa. Kemudian dia menambah lagi :
“Aku tidak sedih (memberikan kunci kepada Umar) kerana kalian masuk ke kota ini sebagai orang yang memiliki kriteria tersebut (dalam Injil kami sebagai pembuka Kota Jerusalem), (aku tidak gelisah) kamu menakluki perbendaharaan dunia ini sedang kami dalam kawalan kalian. Kamu tentu menguasai kota ini selamanya dengan aqidah Islam, pentadbiran Islam dan juga akhlak Islam”.Khalifah Umar r.a. menerima penyerahan kunci kota suci itu secara rasmi dari Sophronius. Kemudian Saidina Umar r.a. mengikat jaminan keamanan penganut Kristian yang akan tetap tinggal di Jerusalem (penduduk Iliya’). Pada bulan Rabiul Awwal tahun 15 Hijrah, Saidina Umar  bin al-Khattab r.a. menerima anak kunci Kota al-Quds dan memeterai perjanjian dengan kaum Kristian, yang dikenali sebagai al-Uhdah al-Umariyah. Saidina Umar r.a. membuat satu perjanjian di mana secara ringkasnya bermaksud  orang Kristian di Jerusalem akan dijaga harta mereka dan hak mereka jika mereka tidak bekerjasama dengan Rom dan Yahudi, juga hendaklah mereka membayar Jizyah. Bagi Islam, mereka ada zakat dan bagi orang kafir ada Jizyah. Perjanjian ini terdapat di Masjid Umar hingga sekarang.Ia juga dikenali sebagai Watikah Umarriyyah. Ia disaksikan oleh empat sahabat besar iaitu, Saidina Khalid al-Walid, Saidina Abdul Rahman al-Auf, Saidina Mauwiyah dan Saidina Amru al-Ash.
Perjanjian itu berbunyi :
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.Inilah apa yang telah diberikan hamba Allah Umar, Amirul Mukminin, keamanan kepada penduduk Iliya’. Dia (Allah) telah memberikan keamanan untuk diri mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka dan rumah-rumah ibadat mereka, sama ada yang elok atau rosak, dan kepada seluruh penganut, bahawa tidak sekali-kali gereja-gereja mereka dihuni (rampas) dan tidak sekali-kali dimusnahkan dan sekali-kali dilakukan kekerasan terhadap mereka, sama ada pada tubuh badan atau harta benda. Mereka sekali-kali tidak dipaksa untuk meninggalkan agama mereka dan tidak sekali orang Yahudi menghuni bersama mereka di Iliya’.
Menjadi kewajiban ke atas penduduk Iliya’ untuk membayar jizyah sebagaimana ahli agama lain membayarnya. Menjadi kemestian ke atas mereka untuk mengeluarkan orang Rom dan perompak. Maka sesiapa dari kalangan mereka yang keluar, dia dan hartanya selamat sehinggalah dia sampai ke tempat perlindungannya. Sesiapa dari kalangan mereka mahu kekal, maka dia selamat tetapi mestilah dia membayar jizyah, sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Iliya’.
Sesiapa dari kalangan penduduk Iliya’ yang mahu pergi dengan hartanya bersama-sama orang Rom, maka mereka selamat sehinggalah mereka sampai ke tempat perlindungan. Sesiapa dari kalangan penduduk bumi ini yang mahu kekal, maka hendaklah dia membayar jizyah sebagaimana penduduk Iliya’ dan sesiapa yang mahu berada di bawah Rom dan sesiapa yang mahu kembali kepada keluarganya, tidak diambil daripada mereka sesuatu pun sehinggalah mereka menuai tanaman mereka.Sesungguhnya apa yang ada di atas tulisan ini adalah janji yang bertunjang kepada Allah, Rasul dan para Khulafa’ dan orang-orang Mukmin, jika mereka membayar jizyah yang diwajibkan ke atas mereka.
Ditulis dan dihadiri pada tahun 15H oleh Umar bin Al-Khattab. Saksi kepadanya ialah: Khalid bin Al-Walid, Amru bin Al-Aas, Abdul Rahman bin Auf dan Muawiyah bin Abi Sufyan.”
Perjanjian Umariyah yang masih tergantung I Masjid Umar.


Insyaallah akan bersambung.
DISEDIAKAN OLEH :
FAZILLAH BEGUM BINTI ABDUL GHANI
TIMBALAN PENDAKWA RAYA
SELANGOR
BERTARIKH : 1 FEBRUARI 2014 /1 JAMADILAKHIR 1435

No comments:

Post a Comment