VOCALIST

Monday, June 1, 2015

PAK BAEN STORY : AH KIT DAN WALIMATUL URUS DI KAMPUNG JIRAN.

Ini adalah kisah kenduri di kampung Komar Jing, sebuah perkampungan jiran bersebelahan kampung kesayangan Pak Baen, Timbang Tahil. Kampung Komar Jing juga merupakan musuh tradisi bagi Timbang Tahil. Semua orang maklum. Kalau di tanah England tu macam pertembungan setempat Manchester City dan Manchester United atau Liverpool dan Everton lah umpamanya. Disana dipanggil 'derby'.

Kisah kali ini berkisar di rumah kenduri Lebai Payat yang tak perlu lagi diperkenalkan pengaruh beliau di Komar Jing. Ia juga bukanlah seumpama kisah legenda Lebai Malang yang masuk angin keluar asap tu tapi tragisnya kisah ini agak terkesan dirasai penduduk sekitar.

Ia bermula selepas Lebai Payat mengumumkan tarikh walimatul urus anak ke 6 beliau pada mesyuarat khas JK kenduri dua bulan sebelumnya. Antaranya penduduk kampung yang terlibat dijemput ialah sekitar kampung Komar Jing, Timbang Tahil dan sedikit jemputan penduduk Cina dari kampung Jin Bei di pinggir bandar. Dua tiga keluarga yang dijemput dari kampung Nang Bei ialah kenalan rapat Lebai Payat yang juga merupakan tokei kedai alat ganti yang kerap dikunjungi penduduk sekitar. Salah satu keluarga bukan Islam yang dijemput ialah keluarga Ah Kit. 

Untuk kenduri Lebai Payat kali ni, gaya Ah Kit menghadapinya sedikit pelik. Isteri beliaulah yang terpaksa menanggung azab. Di tanyanya perihal tarikh berkali-kali, pasal ramalan cuaca dan pasal ramai mana yang dijemput. Malah ada ketika pisau yang diguna tukang sembelih lembu pun diragui ketajamannya. Entah dari mana anasir subversif datangnya sangkaan Ah Kit itu, isterinya pun turut musykil.

"Itu kawan banyak tolong naik kita punya bisnes. Kita hormat sama dia walau beza bangsa pun.." Kata Ah Kit pada isteri dan anak beliau Ah Heng.

Ah Kit juga benci dilabel cauvinis dan jauh sekali dikata racism. Kalau benar dia berlabel buruk seperti itu, sudah tentu dia tak hadir kenduri orang Melayu malah kalau hadir sekalipun dia akan bawak lauk sendiri. Dah jelas pendirian beliau yang pro-demokrasi. Keluarga Ah Kit memang terkenal dengan keramahan dan toleransi yang diamal turun-temurun. Tidak hairanlah orang-orang melayu Islam di kampung-kampung lebih selesa membeli barang-barang 'spare part' di kedai beliau. 

"Ini tanah demokrasi.. Lauk kenduri pun kita boleh ubah.." Tambah Ah Kit lagi dengan nada gurauan. Ramai tahu ini slogan yang sentiasa diputarnya jika bersembang hal isu semasa.

Hari kenduri yang ditunggu pun tiba. Pada kad jemputan tertulis waktu makan tengah pada jam 12 tengahari hingga 6 petang. Oleh sebab tersangat sayangnya Ah Kit kepada jirannya Lebai Payat, beliau dan rombongan seragam merah hati keluarganya dah terpacak di rumah kenduri seawal jam 10.30 pagi. 

"Kami ada 6 jemputan kenduri lagi pun.." Alasan Ah Kit. Lebai Payat pun masih lagi tak bersiap dengan seragam hijau, warna tema ahli keluarga yang sememangnya tak berubah sejak kenduri anak pertama lagi.

"Takpa-takpa. Duduklah dulu.."

Terdapat papan tanda bertulis tulisan merah 'keluarga Ah Kit' pada tiang khemah khas tersedia untuk mereka. Mungkin untuk menunjukkan penerapan toleransi agama dan penghormatan tinggi yang menjadi amalan Lebai Payat khusus terhadap keluarga beliau. Lama kelamaan Ah Kit mula gelisah. Dia pun menjengah dapur dimana tukang masak sedang bersiap nak menumis gulai. Kampung Komar Jing memang terkenal dengan konsep gotong royong. Walaupun sedikit menyusahkan tuan rumah, orang kampung masih ikhlas membantu. Tukang masak pula bagaikan sudah arif menu tradisi yang kena dengan selera penduduk. Konsep beginilah mengekalkan ukhuwah penduduk sejak dulu.

"Boleh.. Silakan.." Sambil tersenyum ketua tukang masak pun menyerahkan senduk gulai setelah dilihat Ah Kit semacam berminat nak menolong dan berlalu pergi tanpa banyak bicara. Penduduk Komar Jing memang dikenali berbudi pekerti tinggi sesuai dengan akhlak Islam. 

"Ini baru dikata demokrasi.." Bisik hati kecil Ah Kit. Tanpa membuang masa Ah Kit dibantu anaknya Ah Heng pun menyelit resepi kegemaran penduduk kampungnya yang pada firasatnya ramai juga dijemput ke kenduri Lebai Payat ni. Berasaskan rencah-rencah yang dah tersedia didapur, diubahnya citarasa gulai dan sup yang jadi menu utama kenduri tersebut. Dimasuknya tauhu, togeh, fish ball dan bebola ikan pada kari dan sup. Memang sahih! dah pasti rasanya pusing 360 darjah dari citarasa ramai khususnya penduduk Komar Jing. Bukan itu sahaja, kalau cukup bahan, beliau akan selit terus 'pengaruh' wantan, hong-kong dan hokkien dalam agendanya.

"Sudah pun.." Senyum Ah Kit apabila menyerah semula senduk gulai sekembalinya ketua tukang masak ke tugas asalnya.

Ah Kit dan anaknya sedikit puas apabila berjaya menunaikan hasrat terpendamnya untuk melakukan sedikit 'reform' sekurang-kurangnya keatas resepi kenduri Lebai Payat. Untuk melihat impaknya, dia menoleh kekanan kearah khemah khas orang kampungnya, mereka mengangkat 'signal' bagus barangkali setuju dengan resepi beliau tadi. Apabila menoleh kekiri kearah khemah penduduk kampung termasuk kampung Pak Baen, mereka juga turut tersenyum. Wah! semua sudah sukakan arus perubahan bisik hati Ah Kit.

Selesai saja makan Ah Kit pun mengajak keluarganya angkat kaki. Jelas sekali nampak riak wajah beliau begitu puas. Dia tidak lagi berazam untuk ke kenduri lain seperti apa yang disebut tadi.

"Tunggu uncle. Ni bapak ada bagi bungkus sikit!.." Pekik Anak sulung Lebai Payat bila melihat keluarga Ah Kit sudah mahu berlalu pergi. Lebai Payat kata anaknya sedang sibuk mengira 'duit salam' tetamu. Lega Ah Kit setelah melihat bungkusan aneka lauk pauk kenduri tadi. Nampaknya Ah Kit anak beranak tak perlu memikir menu untuk sehari dua mendatang. Sedikit risau pada wajah awalnya takut saat-saat akhir ni orang kampung Komar Jing dapat menghidu citarasa pelik hasil idea beliau.

Sekembalinya Ah Kit ke kediamannya, cepat-cepat menukar seragam lepada singlet pagoda kebiasaannya. Beliau kemudian disapa jiran rumahnya ketika hendak mengambil angin petang di kerusi malas milik beliau. Mereka berwacana perihal suasana dan keenakan lauk di kenduri Lebai Payat. Ah Kit bersetuju sejak bertahun-bertahun masing-masing pasti tak 'miss' hadir ke kenduri di Komar Jing khususnya kenduri Lebai Payat. Jirannya juga tidak menyembunyikan perasaan istimewanya berkenaan keenakan lauk tradisi Komar Jing yang tak berubah turun temurun hinggalah pada walimatul urus anak Lebai Payat yang keenam tengahari tadi. Asli, tidak berubah sama sekali dan istiqamah resepinya, tambah jiran beliau. Jirannya juga hairan dan hampir terkilan bagaimana Ah Kit sekeluarga dibekal khas bungkusan lauk sebaliknya tidak pada beliau.

"Aiyaaa..manyak untung itu orang tua!!" Jerit hati kecil Ah Kit dengan riak terkemut-kemut seperti menahan sesuatu.

No comments:

Post a Comment