VOCALIST

Tuesday, January 10, 2012

POLITIK ITU BENAR (SIRI 2)

Rasulullah SAW meletakkan perlantikan pemimpin politik termasuk dalam perkara amanah yang besar. Jika tersilap, boleh menempah kemusnahan kiamat.

Dinyatakan oleh hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Dari Abu Hurairah RA katanya : sedang kami berada bersama Rasulullah SAW yang sedang bercakap kepada khalayak ramai, tiba-tiba datan seorang badawi (penduduk luar kawasan Madinah) dia terus bertanyakan Nabi SAW : "Bilakah berlakunya kiamat (peristiwa yang memusnahkan alam seluruhnya)?" Tiba-tiba Rasulullah SAW meneruskan percakapannya tanpa menghiraukan Si Badawi itu. Ada kalangan yang beranggapan kerana tidak senang dengan cara dia bertanya. Ada pula yang beranggapan mungkin tidak mendengar pertanyaannya. Tiba-tiba Rasulullah SAW bertanya dimana dia orang yang bertanya bila berlaku kiamat tadi? Si Badawi menjawab : "Ini dia, sayalah orangnya."
Sabda Rasulullah SAW : " Apabila dihilangkan amanah!. Si Badawi bertanya lagi "Bagaimana berlaku hilangnya (amanahnya itu)?"
Dan Rasulullah SAW menjawab : "Apabila diletakkan Al-Amru (urusan politik) kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah berlakunya kiamat (kemusnahan alam seluruhnya)."

Hadis ini jelas menegaskan bahawa kerosakan alam berlaku, apabila Al-Amru yang berkait dengan Ulil Al-Amri (pemimpin politik) diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya.

Teori memisahkan politik daripada agama adalah penyelewengan daripada agama Allah yang dibawa oleh para nabi, yang berlaku dalam sejarah agama Kristian di Eropah.

Apabila Raja Rom menganut agama Kristian, dan kemunculan ahli Sains dengan berlakunya pengaruh Tamadun Islam yang membawa kepada Revolusi Industri.

Bagi menyesuaikan dengan Agama Kristian, mereka telah meminda Kitab Allah ajaran Nabi Isa (yang konsep dan dasarnya sama dengan ajaran Rasul ASW) seperti pindaan yang dirakamkan dalam Injil Methew yang mengatakan Politik perlu dipisahkan daripada agama.

Fahaman ini dimasukkan penjajah Eropah ke dalam pemikiran Dunia Islam dengan serangan hebatnya melalui pendidikan, media (cetak dan elektronik), politik dan urusan duniawi seluruhnya kecuali perkara akhlak dan keluarga. Para ulama sepakat meletakkan fahaman ini termasuk dalam ajaran sesat.

Politik yang terpisah dari agama tidak dimasukkan dalam perkara amanah kerana skop agama melibatkan perhitungan dosa dan pahala. Peluang ini digunakan oleh pengamalnya untuk membolot apa saja bentuk keuntungan bagi memperkayakan diri, keluarga dan kroni.

Pihak yang tidak mengenal helah politik songsang ini akan merasa selesa apabila diberi peluang ekonomi, pangkat dan apa saja perjanjian.

Akhir-akhir ini wujud percubaan untuk mempengaruhi institusi pendidikan tinggi yang merupakan tunjang pembangunan insan. Kalau mereka ini sentiasa disogok keperluan jasad tanpa makanan rohani nescaya akan lahir serigala lapar menjadi gembala kambing.

Apabila politik tak lagi dikira amanah, akan lahir pemimpin bernafsu serakah seterusnya yang menjuarai kezaliman dan tipu daya. Rakyat kemudian menjadi hamba zalim dan tipu atau terus kekalkan kebodohan walaupun cerdik dan pelajarannya teriktiraf.

Harta negara, kerajaan dan rakyat diperkosa sewenangnya. Dari tanah-tanah termasuk felda, lembu dan kambing serta minyak habis dikebas. Sehingga yang tinggal hanyalah sedikit subsidi dan kemegahan melihat tingginya menara kembar Petronas.

Allah meletakkan sebab atas kaum itu sendiri tidak ingin berubah dari keadaan jahat kepada kebaikan oleh kerana tidak menunaikan perintah-Nya.

Allah juga tidak akan mengubah keadaan mereka selama mana mereka tidak mengubah sebab-sebab kebodohan dan kemunduran mereka.

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi. Mereka berkata: mengapakah Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, 30)

Tunaikan amanah kita sebagai ahli politik sebenar..

No comments:

Post a Comment