Alkisah dikala Raya Korban yang semakin menjelang, sedang semua orang leka dengan persiapan masing-masing dan saat itulah juga Pak Baen pula semakin dibeban gelisah. Biasanya di musim raya korban begini, tuan-tuan lembu akan memperolehi limpahan rezeki hasil jualan ternakan mereka. Sedangkan Pak Baen tidaklah ia menternak lembu, malah ayam sekalipun.
Gelisah bukan kerana terlalu sukar mengepong lembu-lembu seperti pengusaha-pengusaha lembu lain tapi terkenang keuntungan jualan lembu pengusaha-pengusaha tadi tidak dimiliki olehnya. Pak Baen pun mula diserang virus jeles yang tak terkira.
Sebelum ini, hasrat Pak Baen untuk mendapatkan Wang Rakyat melalui BR1M dikecewakan apabila permohonannya tidak diluluskan kerana kurang kelayakan. Pak Baen juga diketepikan dari bantuan sekolah RM 100. Macamana nak layak, Pak Baen ni sudahla mewah gaya dan cahaya mata pun tiada. Dan ianya sedikit sebanyak menambah tekanan emosi buat Pak Baen.
Pak Baen begitu terkenal dengan plan-plan sebelum ini (walaupun kebanyakannya gagal). Pak Baen yang popular dengan idea transformasinya telah merangka satu 'counter attack' dengan modus operandinya untuk menjerat tuan-tuan lembu yang dilihat semakin kaya. "Tak kaya lagi!" Keluh Pak Baen. Rumah-rumah sewa dan 'homestay' area kampung habis dipindah miliknya kepada tokeh-tokeh tadi. Pak Maleh adalah antara tuan lembu yang menjadi sasaran utama.
Nak dijadikan cerita, Pak Maleh pula adalah rakan olahraga Pak Baen sewaktu sama mewakili sekolah dalam sukan Dam Aji bawah 18 tahun peringkat negeri sewaktu zaman gemilang persekolahan mereka. Perkenalan mereka bertambah erat sehingga banyak projek-projek kerajaan diberi secara runding terus kepada Pak Maleh hasil usaha Pak Baen termasuk projek ternakan lembu ini.
Dan tiadalah tuan lembu lain yang dicari dikampung ini melainkan yang dimonopoli Pak Maleh. Jika ada kenduri kahwin, Akikah atau korban, Pak Maleh lah sasaran mereka. Malah Pak Maleh berkuasa menentu harga mengikut kehendaknya. Tiada Pak Maleh, tiadalah lembu. Begitulah sifirnya.
Seminggu sebelum perayaan, Kampung Timbang Tahil dikejutkan dengan kehilangan beratus-ratus ekor lembu yang sebahagian besar syernya adalah milik Pak Maleh. Telah habis ikhtiar orang kampung bagi usaha pencarian. Berpuluh-puluh 'report' polis telah dibuat orang kampung kerana lembu yang telah pun mereka angkat jual beli dan bakal dikorban nanti telah lesap.
Apabila siasatan dibuat, didapati lembu-lembu tadi telah cuba di 'transfer' ke London untuk projek makanan Burger King. Polis menjumpai 45 ekor lembu sedang lena di kabin bagasi sebuah kapal selam. Dan kapal selam itu pula merupakan aset yang telah dibeli kerajaan dari negara Rusia secara 'second hand' 5 tahun lepas. Lembu-lembu ini dikenalpasti melalui tindikan merah-biru pada bahagian belakang telinganya.
Pak Maleh yang sebelum ini dirundung malang makin bertambah malang apabila beban kehilangan telah ditanggung atas kepala otaknya. Bertambah 'sial', Pak Maleh dituduh orang ramai dan juga rakan kongsinya sendiri cuba berangkara seleweng.
Bahagian jenayah jabatan polis akan bertindak memanggil Pak Maleh untuk membantu siasatan berhubung skandal besar ini. Kerajaan pula terpaksa bertindak membeku seluruh aset-aset milik Pak Maleh terutama melibatkan bank-bank tempatan.
Apalah nasib Pak Maleh selepas ini? Bagaimana Pak Maleh nak berbelanja kalau nak 'cucuk' duit pun tak boleh? Adakah juga Pak Baen terlibat dalam skandal lembu ini? Macamana kapal selam kerajaan terlibat?
..Sama-samalah kita tunggu sehingga siasatan selesai dijalankan..
No comments:
Post a Comment