VOCALIST

Sunday, January 29, 2012

AIMAN DAN DORI TERLIBAT DALAM KEMALANGAN

Batu 8, Jalan Trong, 29 Jan - 2 Budak muda Kampung Senduk, Aiman (Ustaz Ali) dan Dori (Siam) telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Taiping apabila terlibat dalam satu kemalangan di hadapan Kedai Tomyam di Km ke-16 dari Taiping. Kejadian tragik tersebut berlaku kira-kita jam 7.30 malam waktu Malaysia.

Motorsikal 125Z tunggangan mereka dilaporkan telah bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan. Kereta tersebut cuba memasuki sebuah lorong disebelah kanannya. Aiman dan Dori yang dalam perjalanan pulang dari pasar malam berdekatan gagal mengawal motorsikal mereka lalu merempuh kereta berkenaan.

Mereka telah dikejarkan ke hospital menaiki van pertahanan awam yang kebetulan lalu disitu. Motorsikal yang dinaiki mereka berdua terbelah dua. Sekarang mereka sedang dirawat di wad-14 setelah disahkan stabil oleh pihak Jabatan Kecemasan. Aiman dilaporkan patah kaki kirinya dan Dori mengalami luka-luka di seluruh anggota badannya.

Anggota keluarga dan kawan-kawan terdekat dilihat menyerbu Jabatan Kecemasan malam itu bagi memberi sokongan buat mereka berdua. Kehadiran ramai budak muda membuktikan pentingnya kedua-duanya dikampung.

Ketiadaan 'sementara' kedua-duanya memberi impak besar buat aktiviti dikampung Senduk dan khususnya buat keluarga mereka. Penduduk kampung disyorkan memohon doa dari Allah semoga mereka sembuh seperti biasa. Insya Allah.

BERSATULAH UMMAT

Memang muslim perlu bersatu kerana melalui idea kesatuan sahaja kekuatan Islam dapat dilihat.

Tapi bagaimana soalnya? Kalaupun mahu mengikut Tok khatib atau Tukang Ceramah, apa kumpulan Islam yang dia tawarkan? Apa strategi disebalik tawarannya? Kalau dia anggotai sebuah Jemaah Islam sekalipun, adakah ia mempunyai sistem organisasi yang meyakinkan?

Bukan memandang negatif perjuangan individu. Tapi Islam telah letakkan kaedah jika bergerak secara 'solo' walaupun berkelebihan akedemik bertaraf PHD sekalipun, tanpa sebuah Jemaah yang mantap ianya pasti sia-sia kesudahannya.

Pesan Rasulullah SAW bermaksud :

"Janganlah kamu berpisah (dari jamaah), dan hendaklah kamu bersama dengan jamaah (beriltizam), kerana sesungguhnya syaitan itu bersama orang yang menyendiri daripada dua orang (yang bersama). Sesiapa yang inginkan kedudukan ditengah-tengah syurga, maka hendaklah ia beriltizam bersama jamaah" (Hadis - Riwayat Termizi dari hadis Ibnu Umar)

Jauh sekali kalau ilham dan idea kesatuan yang dicita-citakan itu gabungannya bersama kumpulan yang mengusahakan kezaliman. Terang-terangan merompak kekayaan negara. Menindas orang miskin dikampung. 'Mentekedarah' duit rakyat dengan 'joli' diluar negara. Meredhoi judi, arak dan zina menghancurkan rakyat. Berpimpinkan pemimpin yang tidak berakhlak tinggi. Berpemimpinkan suami yang gagal mendidik aurat isterinya. Wang negara untuk membela kroni-kroni. Dan paling busuk, menggunakan wang zakat sesuka hati.

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berbuat ZALIM, maka (kalau kamu berbuat demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada seorang penolong pun selain Allah, kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak beroleh pertolongan." Maksud Surah Hud-113.

Jamaah yang Muslim wajib sertai dan BERSATU didalamnya tanpa keraguan adalah yang terang DASAR ISLAMnya. Kukuh organisasinya. Sebuah jamaah yang berpandu Al-Quran, Sunnah, Ijma' dan Qias. Sebuah pergerakan yang diiktiraf Liga Jamaah Islam antarabangsa.

"Bersatulah Umat Islam"

Friday, January 20, 2012

BR1M ADALAH WANG RAKYAT

Bukit Gantang, 21 jan - Dataran Bukit Gantang dikerumuni rakyatnya menyaksikan pemberian Wang Rakyat (BR1M) berjumlah RM500 menjadi realiti disini. Penyerahan bantuan tersebut disempurnakan YB Osman Jailu ,Adun Changkat Jering juga dari Parti Bebas. Upacara di bahagikan kepada dua sesi, pagi 9am-12.30pm dan 3pm-6pm.

Lebih kurang 2000 penduduk sekitar hadir. Orang ramai yang hadir khasnya dijamu bihun goreng 'polistrin' dan se'cup' air mineral sebagai pelapik perut selepas penat beratur panjang berjam-jam. Ada diantara warga emas dan penerima dilaporkan pengsan dan terjatuh longkang.

Tahniah diucapkan buat yang layak untuk RM500 tersebut dan terimakasih buat PETUGAS agihan yang menjelaskan amanah dengan baik. 'enjoy'lah duit tersebut secara berhemah. Jauhi saham-saham bermodal tinggi yang bukan bertaraf orang kampung. Lebih baik dilaburkan sikit kedalam tabung masjid dan surau.

Terimakasih PM 1Malaysia @ Wasatiyah.. Negara Kaya Raya..

Nota kakiku : Yang betul agihannya, kita terima... Yang 'konfem' tak betul kita tak tak terima.. Yang kena isi borang tak sama dengan tak payah isi.. Yang beri RM500 pada seorang rakyat tak sama beri kontrak RM250 juta buat keluarga SEORANG menteri penuh dalam Projek Lembu Kebangsaan.. Yang beratur berpeluh-peluh tak sama dengan tak payah beratur.. Yang Kerajaan bagi tak sama dengan 'Kerabat' tabur.. Yang zalim bagaimanapun Tetap kita bantah..
Selamat bercuti buat Menteri Wanita..

Thursday, January 19, 2012

SERIBU SATU NATIJAH (KERANA DIA) - SEARCH

Semakin bertentangan
pendirian kita
semakin remang cinta
begitu ketara

Kemuskil yang terus
berkait-kaitan
dan menjadi sehelai
dendam tak berbelai

chorus:
Terselimut satu harapan
lemah tak bermaya
kerana dia
dia yang menghancurkan
cinta kita

Mengapa engkau berdiam saja
membiarkan
ku tenggelam
di selutan
tiada sangka aku tertipu jua
Dengan helah dan madah mempersona

Kekasih yang ku puja
meracuni jiwa
setelah terperciknya
cinta yang pertama

Didalam kelemahan
kasih yang mengarang
seribu satu natijah
membuatku kalah

Lagu : M. Nasir
Lirik : S Amin Sahab
Penyanyi : Search
Album : Double Trouble (1992)

Lagu penuh emosi ini ditujukan buat pasangan yang perpisahan antara mereka tidak mungkin dapat dielakkan lagi.
Dendangan paling 'relevan' untuk bulan ini terutama buat mantan rakan juang yang tiba-tiba memilih keputusan berpisah dari jemaah.

Juga buat sebuah keluarga 'selebriti' yang sedang menghadapi krisis ikatan teruk seperti dilaporkan oleh ruang-ruang perdana.

Walaupun berat namun meredhainya adalah lebih baik..
Selamat menghayati...

Tuesday, January 17, 2012

REVOLUSI TAHUN NAGA

Tahun ini bagi kalender cina adalah merupakan Tahun Naga. Beberapa fakta menarik yang ingin dikongsi.

1. Kelahiran 'hero Waacchaa' Bruce Lee. Ikon kungfu dunia itu mempunyai berbilion 'follower' seluruh dunia.

2. Kelahiran 'specialist' revolusi, Che Guevara. Beliau lahir di negara Komunis Cuba.

3. John Lennon, tonggak band popular paling berpengaruh The beattles yang kemudian akhiri karier dengan bergerak secara solo.

4. Bapak Komunis, Mao Zedong meninggal dunia.

4. Askar Soviet berundur sepenuhnya dari Afghanistan setelah dihalau oleh tentera Mujahidin.

5. Kebangkitan demokrasi di Myanmar bagi melawan Junta mereka mengakibatkan 3000 orang awam terbunuh.

6. Apple Inc., syarikat Komputer tersohor dedahkan produk sulung mereka.

Barangkali ada sejarah tercipta untuk tahun ini..

Sumber - Kosmo 18 Dis 2012

PERAK BENAM SKUAD JANG

Stadium Ipoh, 17 Dec - Perak bangkit dari ketinggalan 1 gol untuk membenam Juara Piala Malaysia Negeri Sembilan 2-1 di Ipoh. Sebelum itu Awana (macam ikan Awana) memberikan pendahuluan buat Skuad Jang hasil rembatan padunya seawal minit-4.

Akmal yang menggantikan Failee yang 'konfom Hamstring' (bak kata pengulas malam tu) menjadi punca cetusan kebangkitan Perak. Kedua-dua gol dijaringkan Akmal adalah terbaik. Untuk gol pertama, Akmal melakukan satu semi-gulung menarik dengan bola menerjah kanan gol dan membuatkan semua pemain lawan tergamam termasuk pemain sepasukan juga penonton dirumah. Gol ini diulang tayang oleh Astro sebanyak 10 kali..

Penyerang Perak Popovic, gagal mencipta gol sulung namun dia sebenarnya begitu merbahaya dengan beberapa hantaran 'lembut' mengancam termasuk berperanan 'asist' gol Akmal. Kaki Penyerang Slovakia itu seperti lebih bahaya dari tangannya (kepala dia pun sama). Dari raut wajahnya terbukti Popovic seakan-akan tak berpuashati dengan 'show'nya malam tu.

Penyerang sensasi Nogori, Effa Awana dikunci rapat K. Nanthakumar sehingga sedikit terbatas pergerakannya. Mungkin Nantha boleh jadi 'Man of the Match' malam tadi. Gol Awana pula adalah melalui rembatan 'free kick' jarak dekat dimana seperti ada 'mistake' pada benteng.

Keseluruhannya Perak semakin bagus malam tadi.. Skuad Hoben Jang Hoben kena minum jugak..

Moral : Keistimewaan tengok 'live' di TV selain dari berpuluh-puluh kali ulang tayang dari macam-macam sudut, kita juga dapat mendengar jenaka dari pengulas-pengulas sukan yang cukup berbakat.

Monday, January 16, 2012

PAK BAEN STORY : SKANDAL LEMBU

Alkisah dikala Raya Korban yang semakin menjelang, sedang semua orang leka dengan persiapan masing-masing dan saat itulah juga Pak Baen pula semakin dibeban gelisah. Biasanya di musim raya korban begini, tuan-tuan lembu akan memperolehi limpahan rezeki hasil jualan ternakan mereka. Sedangkan Pak Baen tidaklah ia menternak lembu, malah ayam sekalipun.

Gelisah bukan kerana terlalu sukar mengepong lembu-lembu seperti pengusaha-pengusaha lembu lain tapi terkenang keuntungan jualan lembu pengusaha-pengusaha tadi tidak dimiliki olehnya. Pak Baen pun mula diserang virus jeles yang tak terkira.

Sebelum ini, hasrat Pak Baen untuk mendapatkan Wang Rakyat melalui BR1M dikecewakan apabila permohonannya tidak diluluskan kerana kurang kelayakan. Pak Baen juga diketepikan dari bantuan sekolah RM 100. Macamana nak layak, Pak Baen ni sudahla mewah gaya dan cahaya mata pun tiada. Dan ianya sedikit sebanyak menambah tekanan emosi buat Pak Baen.

Pak Baen begitu terkenal dengan plan-plan sebelum ini (walaupun kebanyakannya gagal). Pak Baen yang popular dengan idea transformasinya telah merangka satu 'counter attack' dengan modus operandinya untuk menjerat tuan-tuan lembu yang dilihat semakin kaya. "Tak kaya lagi!" Keluh Pak Baen. Rumah-rumah sewa dan 'homestay' area kampung habis dipindah miliknya kepada tokeh-tokeh tadi. Pak Maleh adalah antara tuan lembu yang menjadi sasaran utama.

Nak dijadikan cerita, Pak Maleh pula adalah rakan olahraga Pak Baen sewaktu sama mewakili sekolah dalam sukan Dam Aji bawah 18 tahun peringkat negeri sewaktu zaman gemilang persekolahan mereka. Perkenalan mereka bertambah erat sehingga banyak projek-projek kerajaan diberi secara runding terus kepada Pak Maleh hasil usaha Pak Baen termasuk projek ternakan lembu ini.

Dan tiadalah tuan lembu lain yang dicari dikampung ini melainkan yang dimonopoli Pak Maleh. Jika ada kenduri kahwin, Akikah atau korban, Pak Maleh lah sasaran mereka. Malah Pak Maleh berkuasa menentu harga mengikut kehendaknya. Tiada Pak Maleh, tiadalah lembu. Begitulah sifirnya.

Seminggu sebelum perayaan, Kampung Timbang Tahil dikejutkan dengan kehilangan beratus-ratus ekor lembu yang sebahagian besar syernya adalah milik Pak Maleh. Telah habis ikhtiar orang kampung bagi usaha pencarian. Berpuluh-puluh 'report' polis telah dibuat orang kampung kerana lembu yang telah pun mereka angkat jual beli dan bakal dikorban nanti telah lesap.

Apabila siasatan dibuat, didapati lembu-lembu tadi telah cuba di 'transfer' ke London untuk projek makanan Burger King. Polis menjumpai 45 ekor lembu sedang lena di kabin bagasi sebuah kapal selam. Dan kapal selam itu pula merupakan aset yang telah dibeli kerajaan dari negara Rusia secara 'second hand' 5 tahun lepas. Lembu-lembu ini dikenalpasti melalui tindikan merah-biru pada bahagian belakang telinganya.

Pak Maleh yang sebelum ini dirundung malang makin bertambah malang apabila beban kehilangan telah ditanggung atas kepala otaknya. Bertambah 'sial', Pak Maleh dituduh orang ramai dan juga rakan kongsinya sendiri cuba berangkara seleweng.

Bahagian jenayah jabatan polis akan bertindak memanggil Pak Maleh untuk membantu siasatan berhubung skandal besar ini. Kerajaan pula terpaksa bertindak membeku seluruh aset-aset milik Pak Maleh terutama melibatkan bank-bank tempatan.

Apalah nasib Pak Maleh selepas ini? Bagaimana Pak Maleh nak berbelanja kalau nak 'cucuk' duit pun tak boleh? Adakah juga Pak Baen terlibat dalam skandal lembu ini? Macamana kapal selam kerajaan terlibat?

..Sama-samalah kita tunggu sehingga siasatan selesai dijalankan..

Sunday, January 15, 2012

5 GURU PASTI KEMALANGAN, SEORANG MAUT.

GELANG PATAH, 15 Jan: Seorang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran Simpang Renggam kira-kira jam 3 petang tadi.

Mangsa, Zainon Maas, 30, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan MPV jenis Honda Wish yang dinaikinya bersama lima lagi rakan guru Pasti yang lain, dirempuh dari arah belakang.

Akibat rempuhan itu, mangsa yang duduk di tempat duduk bahagian belakang didakwa tercampak keluar melalui bonet belakang yang terbuka, dan kemudian dilanggar oleh sebuah kenderaan lain yang mengakibatkan beliau cedera parah dan meninggal di tempat kejadian.

Dalam kejadian itu juga, seorang lagi rakannya juga dilapor turut cedara parah, manakala yang lain hanya mengalami cedera ringan.

Jenazah Zainon dan rakannya difahamkan kemudiannya dibawa ke Hospital Kluang.

Difahamkan juga, kesemua mereka ketika itu dalam perjalanan pulang dari menghadiri Usrah Perdana Pasti Negeri Johor di Parit Raja tengah hari tadi.

Sumber Harakadaily

MASA SEBENAR SUDAH TAMAT

MASA tidak akan menunggu kita walaupun sesaat. Manusia sentiasa berhubung dengan masa dalam ‘pengembaraan’ mereka di muka bumi ini yang bermula daripada kelahiran sehingga dijemput pulang mengadap Ilahi.

Ia ibarat pedang, sekiranya tidak mencantas, masa pasti memintas kita. Masa ibarat senjata tajam yang amat bermanfaat dan menguntungkan manusia sekiranya digunakan dengan baik.
Sebaliknya, jika tidak betul cara penggunaannya, ketajamannya akan memakan diri. Mereka yang tidak tahu memanfaatkan masa akan jauh ketinggalan sama ada dalam agama, pemikiran, teknologi atau politik.

Bukan saja tertinggal jauh di belakang, malah bagi yang tidak memanfaatkan masa dengan baik, mereka berdepan keburukan akibat kesilapan mengurus masa.
Justeru, seharusnya masa digunakan untuk beramal dan mendekatkan diri kepada Allah untuk mencapai matlamat hidup sebagai Muslim yang mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Islam amat mengambil berat mengenai masa sehingga Allah bersumpah dengan masa, bukan sekali dua, malah berpuluh kali sehingga ada satu surah dalam al-Quran yang dipanggil dengan surah Masa (al-Asr).

Allah menghantar dua malaikat kepada manusia untuk mencatat segala yang dilakukan individu pada setiap saat, minit, jam, hari, bulan dan tahun hingga ke akhir hayat manusia.

Rasulullah sudah memberikan peringatan kepada kita, bagaimana memanfaatkan masa dalam lima keadaan iaitu:

Masa muda sebelum tua.
Masa sihat sebelum sakit.
Masa kaya sebelum miskin.
Masa lapang sebelum sibuk.
Masa hidup sebelum mati.

Masa muda jangan dipersia-siakan kerana ia masa yang penuh dengan kecergasan fizikal dan mental. Kecergasan ini sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin.
Ini kerana apa yang terjadi pada hari tua akan ditentukan mengikut apa yang kita lakukan ketika muda. Masa muda tidak bertahan lama dan apabila tiba masa tua, keremajaan hanyalah kenangan.
Masa tua adalah segala-galanya, sudah tiada kekuatan untuk bekerja, selera makan menurun dan menghidap pelbagai jenis penyakit.

Apabila sudah mencapai usia emas, pasti berbahagia dan gemilang bagi mereka yang mengurus masa dengan baik ketika mudanya.
Bagi yang kecundang menguruskan masa muda akan menjadi warga emas yang malang. Tidak selesai di dunia, malah di akhirat kelak mereka akan dipersoalkan apa yang dilakukan ketika zaman remajanya.

Selain itu, nikmat kesihatan juga perlu dihargai. Tubuh badan kita adalah milik Allah, maka wajib kita menjaga amanah ini dengan sebaik mungkin.
Sebarang bentuk perbuatan yang menjejaskan kesihatan disifatkan al-Quran sebagai mencampakkan diri ke lembah ‘kebinasaan’.
Ramai yang tidak menghargai nikmat kesihatan ini. Buktinya ramai yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah, arak serta lumba haram yang akhirnya membawa kesengsaraan.
Ingatlah hidup tidak terhenti di sini saja kerana akhirat kelak kita akan ditanya bagaimana kesihatan digunakan sama ada untuk kebaikan atau sebaliknya.
Jika dikurniakan badan yang sihat, jangan digunakan untuk tujuan membunuh, merompak, memeras ugut atau meragut. Amat tidak elok jika kita boleh bermain bola sehingga berjam-jam tetapi meninggalkan solat yang hanya untuk beberapa ketika saja.
Sanggup berjaga malam untuk berkaraoke sampai pagi sehingga solat Subuh dua rakaat ditinggalkan terus. Ingatlah, di akhirat nanti kita akan ditanya.

Kekayaan juga tidak kekal selama-lamanya. Ia boleh bertambah dan hilang sekelip mata. Justeru, kekayaan adalah amanah, mendapat dan menggunakannya mengikut peraturan Allah.
Harta boleh dicari sebanyak mungkin tetapi bukan untuk menjadi seperti Qarun yang mabuk dengan kekayaan lalu dilaknat dan diazab. Usah menjadi Tha’labah yang kaya tetapi subur dengan kebakhilan.
Kekayaan adalah alat dan kemudahan untuk mencapai kebaikan atau keburukan. Dengan harta, kita menjadi dermawan, dengan harta juga memudahkan kita menjadi tamak wang dan dengan harta juga boleh ke syurga atau ke neraka.

Peluang terakhir yang amat penting dan tidak mungkin dilepaskan adalah masa hidup sebelum mati. Kata Saidina Ali: “Sesiapa yang ingin hidup selepas mati, bersedia dengan amalan dan sesiapa yang tidak beramal, tiada lagi kehidupan (kenikmatan) selepas mati.”

Demikianlah lima kesempatan masa yang mesti dijawab manusia. Menjawab bukan dengan lidah, tetapi dengan perbuatan dan amalan mereka lakukan.

Saturday, January 14, 2012

SELAMAT DATANG TUAN PUTRAJAYA

Kami lahirkan irama keterharuan
Atas kesudian Dato' Seri PM dan Puan Seri Datin
Mencemar singgah ke kawasan yang serba doif ini
Memacu kenderaan Perdana meninggalkan singgahsana Putrajaya
Yang jelasnya kami pun tak mengerti hebatnya

Harapnya PM dan Puan Seri membawa bersama
Buah gembira khazanah negara
Untuk dikongsi rakyat jelata yang semakin disesak harga

Kami teringinkan aksesori berkualiti yang original
Kami dah bosan dengan barang-barang 're-cond' dan 'recycle'

Kami ingin merasai jantung robot dengan rekaan tercanggih
Bukan dengan menagih panadol dan ubat batuk.

Kami mahu lahirkan anak yang berjaya ke angkasa raya
Bukannya dididik bagaimana berhutang paling selamat.

Kami sangat selesa di Tanah Tinggi yang di jadi skrip filem Hindi
Bukan kenyang dengan taik judi

Kami tahu ada butik-butik hebat di gedong-gedong mewah
Bukannya artis yang ketagih berbogel.

Bawakanlah segala hasil mahsul ketuanan Putrajaya
Jangan dibawa kekorupan ketuanan Malaya

Kami kenal sangat Tuan Putrajaya dan idea Transformasi 1Malaysia nya.

Thursday, January 12, 2012

DATANGNYA IKHLAS

Sabda Nabi s.a.w: “Orang yang awal dibicarakan pada Hari Kiamat seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah berperang keranaMU sehingga syahid”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan ...agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia? Dia menjawab: “Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan ke dalam neraka. (riwayat Muslim)

Terimakasih atas perkongsian dari Sahabat Izuan Joe..

JANGAN JADI PEROSAK JEMAAH

Nabi Muhammad amat memberati akhlak sahabat dalam etika berjemaah sehingga dalam suasana perang sekalipun dikekalkan benteng solat jemaahnya. Malah inilah strategi sulit diterap Nabi SAW yang sentiasa digeruni musuh. Inilah kekuatan yang jadi rahsia kemenangan tentera Islam.

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela agamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh. surah al-Shaff - 4

Selain menyeru umat Islam supaya mengupayakan diri hadir solat berjemaah, Rasulullah SAW juga galakkan ahli-ahli solat mendisiplinkan diri untuk mematuhi akan adab-adab saat berdiri dalam sof jemaah.

Melurus dan merapatkan saf bererti mesti menjaga kaki. Ketika solat berjemaah jarak yang terbaik ialah sehingga menyentuh jari kaki ahli jemaah lain di sebelah kita. Ia sekali gus mempertautkan ukhuwah serta mampu membuang rasa keegoan diri. Seperti yang disebut hadis sahih riwayat al-Bukhari di bawah:

"Adalah semua kami (sahabat) bersentuh bahu kami dengan yang lain, demikian juga hujung kaki." (Riwayat al-Bukhari)

Jarak dua kaki menjadi penting dan tergolong dalam sunah yang khusus apabila menunaikan solat secara berjemaah bagi memperolehi kualiti yang terbaik dan pahala terbanyak. Antara hadis-hadis yang lain:

"Luruskanlah saf kamu (ketika solat), sesungguhnya aku nampak kamu dari belakangku." (Riwayat al-Bukhari).

Ingatan para imam buat barisan membetulkan sof merupakan sunnah yang menjadi amalan Nabi SAW.

"Mestilah kamu meluruskan saf kamu atau kamu akan bercanggah (melakukan kesalahan) dengan arahan Allah di hadapan-Nya." (Riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas amat penting dan memberikan ancaman bagi mereka yang bermalasan dalam merapat dan meluruskan saf. Tanpa disiplin tersebut, manusia akan berada dalam rasa keegoaan masing-masing hingga berasakan geli untuk menyentuh kaki ahli jemaah di sebelah mereka. Di samping itu, ia juga menunjukkan jemaah tersebut kurang ilmunya hingga akhirnya tindakan ini jika dibiasakan maka Allah S.W.T akan membiarkan berlakunya permusuhan dan pertengkaran dalam masyarakat ini.

Apabila dibelai sifat ego tersebut kelak akan mewujudkan suasana huru-hara seterusnya tidak mustahil sesebuah jemaah boleh rosak binaannya.

Makmum juga diarahkan senantiasa taat kehendak imam yang telah dilantik (berpandukan syarat tertentu) sebelum memilih jalan mufaraqah (juga melalui syarat ketat * rujuk kitab feqah muktabar).

Dalam sesebuah jemaah, ahli perlu patuh kehendak yang diputuskan jawatankuasa (majlis syura) walaupun berlainan pendapat. Perbezaan terutama dalam perkara dasar mesti mendapat persetujuan jawatankuasa yang diketuai Tuan Pengerusi. Ini antara adab jemaah yang perlu dipatuhi.

Tanpa merapatkan saf juga memberi peluang dan ruang untuk syaitan sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W :

"Luruskan saf kalian, dan luruskanlah bahu-bahu kalian, dan tutuplah celah-celah. Jangan biarkan celah-celah tersebut untuk syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, nescaya Allah akan menyambung (urusan) nya. Barangsiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah akan memutus (urusan) nya." (HR Abu Daud 666, Sohih Targhib wa Tarhib 495)

“Seberat-berat solat ke atas golongan munafiq ialah solat `Isya’ dan solat Subuh. Jika mereka tahu kelebihan pada kedua-dua solat tersebut, tentu mereka akan menunaikannya (secara berjemaah) walaupun dengan cara merangkak (ke tempat solat).

Sesungguhnya aku berhasrat (disatu masa) memerintah (sahabat-sahabat) menunaikan solat (fardhu secara berjemaah) dengan memerintah seorang lelaki bersolat (menjadi imam) bersama-sama sahabat (yang hadir), kemudian aku akan keluar dengan sekumpulan lelaki bersama seberkas kayu api untuk mencari mereka yang tidak menunaikan solat fardhu (secara berjemaah) maka aku akan bakar rumah-rumah mereka.”

Nota kaki aku : Patutla aku ditibai cukup-cukup oleh AYAH bila gagal solat berjemaah. Bukan tu saja.. Sah-sah datang berjemaah pun masih kena lagi...
Ayah tanya "Mu Masbuq berapa rakaat?"

Tuesday, January 10, 2012

PERAK MENANG TIPIS

Stadium Ipoh (10.1.12) - Beraksi dihadapan 5,000 penyokong di stadium Ipoh, Perak berjaya mengutip 3 mata berharga hasil kemenangan tipis ke atas pasukan dari Pantai Timur, Terengganu. Pemain import nombor 25 Michael Kubala berjaya membolosi gawang 'penyu' yang dikawal Ahmad Sharbinie pada minit ke-75 separuh masa ke-2. Pemain berusia 31 tahun dari Slovakia itu merembat gol sulung ke penjuru kiri gawang dari jarak kira-kira 30 meter untuk kembali menggamat stadium setelah bermula hambar pada separuh masa pertama.

Perak tercari-cari tempo permainan sebenar dengan pasukan pelawat ternyata lebih ghairah untuk mendapatkan gol. Terengganu walaupun tanpa kehadiran pemain import, beraksi baik pada separuh masa pertama dengan serangan yang diketuai oleh Ashaari Muhamad dan Manaf Mamat. Pertahanan Perak bagaimanapun berjaya mengekang asakan bertali arus Terengganu.

Penyokong yang 'boleh tahan' ramai ternyata kurang gembira dengan aksi sulung Kejor Yop Kejor apabila pasukan mereka beraksi dibawah gred sebenar dengan hantaran-hantaran tak tepat dan dilihat merapu walaupun menang.

Akmal Rizal yang dilihat kurang berbisa telah diganti Mohd Failee pada minit-70. Barisan 'midfield' diketuai Kapten Syahrul Nizam juga kerap hilang position dan kawalan bola. Pertahanan agak baik walaupun ada ketika melakukan 'mistake' mudah dengan membiarkan barisan serangan Terengganu di zon penalti. Perak nampak lebih teruja bermain dengan hantaran jauh dengan sasaran mereka pemain import Kubala dan Popovic. Dan keadaan ini mengakibatkan barisan tengah hanya sekadar berlari mengejar bola.

Diharap Perak dapat memperbaiki persembahan di 'game' akan datang.
Gol daripada Kubala boleh dikatakan terbaik setakat ini. Terlalu awal untuk membandingkan beliau dengan lagenda Repasi.

Keputusan akhir Perak 1, Terengganu 0..

P/S - Lazlo Repasi adalah mantan pemain Perak yang mengungguli kasut Emas walaupun beraksi separuh musim 1997/1998.

POLITIK ITU BENAR (SIRI 2)

Rasulullah SAW meletakkan perlantikan pemimpin politik termasuk dalam perkara amanah yang besar. Jika tersilap, boleh menempah kemusnahan kiamat.

Dinyatakan oleh hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Dari Abu Hurairah RA katanya : sedang kami berada bersama Rasulullah SAW yang sedang bercakap kepada khalayak ramai, tiba-tiba datan seorang badawi (penduduk luar kawasan Madinah) dia terus bertanyakan Nabi SAW : "Bilakah berlakunya kiamat (peristiwa yang memusnahkan alam seluruhnya)?" Tiba-tiba Rasulullah SAW meneruskan percakapannya tanpa menghiraukan Si Badawi itu. Ada kalangan yang beranggapan kerana tidak senang dengan cara dia bertanya. Ada pula yang beranggapan mungkin tidak mendengar pertanyaannya. Tiba-tiba Rasulullah SAW bertanya dimana dia orang yang bertanya bila berlaku kiamat tadi? Si Badawi menjawab : "Ini dia, sayalah orangnya."
Sabda Rasulullah SAW : " Apabila dihilangkan amanah!. Si Badawi bertanya lagi "Bagaimana berlaku hilangnya (amanahnya itu)?"
Dan Rasulullah SAW menjawab : "Apabila diletakkan Al-Amru (urusan politik) kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah berlakunya kiamat (kemusnahan alam seluruhnya)."

Hadis ini jelas menegaskan bahawa kerosakan alam berlaku, apabila Al-Amru yang berkait dengan Ulil Al-Amri (pemimpin politik) diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya.

Teori memisahkan politik daripada agama adalah penyelewengan daripada agama Allah yang dibawa oleh para nabi, yang berlaku dalam sejarah agama Kristian di Eropah.

Apabila Raja Rom menganut agama Kristian, dan kemunculan ahli Sains dengan berlakunya pengaruh Tamadun Islam yang membawa kepada Revolusi Industri.

Bagi menyesuaikan dengan Agama Kristian, mereka telah meminda Kitab Allah ajaran Nabi Isa (yang konsep dan dasarnya sama dengan ajaran Rasul ASW) seperti pindaan yang dirakamkan dalam Injil Methew yang mengatakan Politik perlu dipisahkan daripada agama.

Fahaman ini dimasukkan penjajah Eropah ke dalam pemikiran Dunia Islam dengan serangan hebatnya melalui pendidikan, media (cetak dan elektronik), politik dan urusan duniawi seluruhnya kecuali perkara akhlak dan keluarga. Para ulama sepakat meletakkan fahaman ini termasuk dalam ajaran sesat.

Politik yang terpisah dari agama tidak dimasukkan dalam perkara amanah kerana skop agama melibatkan perhitungan dosa dan pahala. Peluang ini digunakan oleh pengamalnya untuk membolot apa saja bentuk keuntungan bagi memperkayakan diri, keluarga dan kroni.

Pihak yang tidak mengenal helah politik songsang ini akan merasa selesa apabila diberi peluang ekonomi, pangkat dan apa saja perjanjian.

Akhir-akhir ini wujud percubaan untuk mempengaruhi institusi pendidikan tinggi yang merupakan tunjang pembangunan insan. Kalau mereka ini sentiasa disogok keperluan jasad tanpa makanan rohani nescaya akan lahir serigala lapar menjadi gembala kambing.

Apabila politik tak lagi dikira amanah, akan lahir pemimpin bernafsu serakah seterusnya yang menjuarai kezaliman dan tipu daya. Rakyat kemudian menjadi hamba zalim dan tipu atau terus kekalkan kebodohan walaupun cerdik dan pelajarannya teriktiraf.

Harta negara, kerajaan dan rakyat diperkosa sewenangnya. Dari tanah-tanah termasuk felda, lembu dan kambing serta minyak habis dikebas. Sehingga yang tinggal hanyalah sedikit subsidi dan kemegahan melihat tingginya menara kembar Petronas.

Allah meletakkan sebab atas kaum itu sendiri tidak ingin berubah dari keadaan jahat kepada kebaikan oleh kerana tidak menunaikan perintah-Nya.

Allah juga tidak akan mengubah keadaan mereka selama mana mereka tidak mengubah sebab-sebab kebodohan dan kemunduran mereka.

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi. Mereka berkata: mengapakah Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah al-Baqarah, 30)

Tunaikan amanah kita sebagai ahli politik sebenar..

Sunday, January 8, 2012

90112 BUAT ANWAR DAN MALAYSIA

Apakah kes Anwar yang nak diumumkan pada 90112 tak penting? Orang yang masih bermentaliti sedemikian wajar ulangkaji semula analisanya. Apa yang difikirkannya jelas songsang. Rakyat Malaysia perlu mengakui kepentingan isu Anwar ini.

Bila mahkamah (sekarang di Jalan Duta) tetapkan 90112 adalah tarikh jatuh hukum kes dakwaan liwatnya, TV dan paper mula bergendang. Penting bila ianya jelas mendahului isu-isu lain. Walaupun ada orang tak minat tapi kerajaan melalui medianya seolah-olah memaksa rakyat untuk sedar wujudnya kes itu sekurang-kurangnya.

Sekuriti negara mula kalut. Kata mereka pengikut Anwar akan kembali membuat onar. Akan menyesakkan ibu negara. Sebarang himpunan akan diharamkan. Polis diarah bertugas 'overtime' lagi, buat 'roadblock' sana sini. Orang kampung tak berlesen kembali susah hati. Menyumpah masing-masing.

Bukan kali ini saja sensasi Anwar tapi sejak 3 tahun kebelakang, setiap pergerakan kesnya pasti jadi 'huru-hara'. Tapi 90112 beza istimewanya. Ianya Tarikh penentuan sama ada Anwar memilih jel atau terus dengan siri jelajah negaranya.

Anwar juga telah menyediakan beberapa solusi untuk sebarang kemungkinan yang akan dihadapi beliau. Termasuk dibunuh, ditembak sekalipun.

Sejak dari 1998 (liwat part one) hingga sekarang (liwat part two) Anwar telah dibeban pelbagai dakwaan. Turun naik mahkamah hampir 15 tahun. Dan selepas jatuh hukuman 901, ada satu lagi dakwaan bakal menunggu beliau (video seks).

Semasa tuduhan pertama dibuat, Anwar adalah pemegang jawatan Nombor 2 iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dan sewaktu dakwaan yang kedua dibuat, beliau adalah Bakal Ahli Parlimen pilihan pengundi kawasan Permatang Pauh (Anwar menang melalui Majoriti lebih 15,000) merangkap ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Berdasarkan 'background' hebat Anwar, dakwaan atau pertuduhan tidak boleh dibuat hanya melalui peguam-peguam 'biasa'. Dakwaan wajib dibuat melalui Ketua Peguam Negara. Maknanya pendakwaan terhadap Anwar melibatkan kes berprofil tinggi dan sebarang kesilapan boleh menjejaskan sistem kehakiman. Ianya melibatkan pertaruhan besar untuk indeks kehakiman di Malaysia dimana seluruh dunia bakal menumpukan perhatiannya.

Undang-undang Malaysia telah melakukan kesilapan pertama (lawak Dr Mahathir) buat Anwar pada siri Liwat 1998. Dunia bagai menunggu kali kedua sebarang keadilan untuk Anwar. Sebarang kesilapan yang berlaku dalam proses penghakiman 90112 boleh menjejaskan kredibiliti negara yang boleh menimbulkan keraguan kepada pelabur yang ingin ke Malaysia.

Kredibiliti Undang-undang Islam juga turut sama terlibat kerana pertuduhan Qazaf dibuat Anwar telah dinafikan Mahkamah Syariah. Undang-undang Islam yang berupaya melindungi hak majoriti muslim di Malaysia ini terang-terangan gagal berfungsi sepatutnya

Untuk rakyat Malaysia yang inginkan sesuatu perubahan, mereka melihat 90112 adalah sangat penting. Untuk melihat suatu kebaikan buat negara terbukti 90112 adalah penting. Sama ada sokong ataupun tidak, kedua-duanya sama penting. Bagus bagi yang sedar kewujudan isu ini dan tahniah buat yang sedar kepentingannya..

POLITIK ITU BENAR (SIRI 1)

Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 122:

Maksudnya: (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah: 122)

Sabda Rasulullah S.A.W.

مَنْيُرِدْاللَّهُبِهِخَيْرًايُفَقِّهْهُفِيالدِّينِ

Maksudnya: (Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya faqeh (faham) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim

Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khususnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagian besar umat Islam.

Proses hijrah dari Makkah ke Madinah juga merupakan strategi politik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahajalah yang boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak menguntungkan Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin
(i) menolak penggunaan Bismillah,
(ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasulullah,
(iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah,
(iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Nabi SAW terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.

Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud:

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).

Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman sesebuah jemaah yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari’yyah.

Bagi memelihara 'base' politik Islam itu penubuhan Syura wajib dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi: Al Quran, Hadith, Ijmak, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya.

Pendekatan politik bersama pertubuhan bukan Islam adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Rasulullah juga ingatkan sesebuah jemaah Islam dengan sabda Baginda :

Maksudnya: (Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia, laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

Sesungguhnya Islam itu Benar,
Mati itu Benar,
Alam Kubur itu Benar,
Syurga itu Benar dan
Politik itu Benar..

Wednesday, January 4, 2012

BENARKAN SAHAJA HIMPUNAN ITU

Benarkan saja himpunan itu.
Bukannya orang lain, rakyat kita.
Mereka tak sebuas mana pun
Bukan atas tiket huru-hara.
Kawallah undang-undang bukan menyekat melaluinya

Benarkan saja perhimpunan ini
Bukannya mereka tidak mengenal susila.
Kalau sekadar tuntut hak.
Mereka memutuskan untuk mengikut jalan 'hina' didunia.
Selagi tidak menggugat batasnya.
"Tak salah la..!"
Kan perlembagaan keramat 10 jelas.
Mereka tak sebodoh sangkanya.
'Eh..! Bukankah untung begini?..
Himpunan yang jauh lebih bijak dari 'Merdeka'
Lebih bermoral dari mengira detik tahun baru.
Lebih mulia dari untuk menyokong korup dan zalim.
Nauzubillahi min dzalik..

Benarkanlah perhimpunan itu
Raikan dengan penuh kasih
Belai mereka baik-baik.
Baru orang kata kita ni hebat
Ini tidak!
Terus tembak saja.
Bukannya mereka tak sedar sebelum ni pun tembakan serupa.
Mereka tetap datang.. Kenapa?
Masih tidak bersenjata.
Masih tak 'fed-up'
Malah orang lain pulak jadi 'fed-up'.

Benarkan himpunan ini
Mereka nekad buat pilihan
Walaupun nampak sentiasa tidak bijak
Tapi pilihan mereka sangat waras
Mereka bukan 1 atau 2.
Sejumlah besar mewakili mereka

Benarkan sahaja himpunan itu
Dah pemimpin tu mereka pilih, datangla mereka menyokong.
Walaupun dilihat tidak berakal tapi cubalah berfikir buat mereka.
Benar juga kata orang, makin dibunuh figura tersebut, makin hidup ideanya..

Monday, January 2, 2012

BOX-OFFICE 2011

Inilah adegan Blokbuster 2011 yang kenangannya menarik minat Sidang Senduk. Tarikh-tarikhnya tidak disertakan (gunakan haji Google).

1. Bersih 2.0
Seluruh negara terkesan (pre hingga pasca) dengan himpunan ini yang di'suspek' pihak pemerintah bakal menggugat keamanan negara. Bukan saja KL, Kawasan Bukit Gantang juga suatu ketika diumpamakan Zon Perang . Warna 'official' kuning menambahkan suasana huru-huru di Malaysia.

2. Kebangkitan arab mesir
Virus kebangkitan umat Arab merebak bermula di Tunisia. Fenomena di Mesir lebih impaknya bila kerajaan Malaysia terpaksa menyediakan belanja kapal terbang 'free' untuk membawa ramai mahasiswanya.

3. Mat Indera
Nama Aktivis PAS, Mat Sabu sahamnya melonjak tinggi apabila kenyataan mengenai Mat Indera bukan komunis disuarakannya dibahas semua lapisan termasuk ahli-ahli Sejarah. Tahun ni umat Islam terpaksa beraya bersama 'Mat Sabu'..

4. Budak muda the return
Senduk menjadi saksi berhimpunnya budak-budak muda melibatkan 4 buah kampung. 4 ekor kambing panggang menjadi menu utama. Kampung-kampung lain selain Senduk ialah, Changkat Ning, Bendang Siam dan Kepala Bukit.

5. Revolusi Libya
Rakyat Libya bangkit berperang dengan pemerintahnya sehingga mengakibatkan terbunuhnya 'Ikon Libya' Muammar Gadafi.

6. Pingat emas SEA bola
Walaupun buat kali ke-2 berturut-turut, pingat Emas ini lebih manis bila dimenangi di Stadium Keramat Bung Karno. Lebih nikmat bila tercipta ditengah-tengah konfrontasi Malaysia-Indonesia.

7. Skandal Lembu NFC
Penyelewengan dana RM250 juta yang ditimbulkan pihak Audit Negara ini telah dibongkar satu-persatu selain melibatkan nama-nama besar termasuk menteri Wanita. Siasatan sedang berjalan.

8. Video Seks
Melibatkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang perbicaraan kes liwatnya masih lagi berjalan. Tuduhan dibuat oleh 'Trio Datuk T'. Salah seorang saksi 'T' (Rahim Tambi cik) didapati tarafnya sangat meragukan. Disamping buat pendakwaan mereka juga melangsungkan upacara 'sumpah pelik' di masjid.

9. Adam Adli dan mahasiswa progresifnya
Mereka dituduh 'tidak beradab' apabila spontan menurunkan gambar PM di tiang bendera PWTC sebagai protes kepada AUKU. Mereka kemudian diugut 'Ludah' oleh orang-orang kuat PWTC. Satu demo susulan telah di lakukan kemudian di UPSI. Seperti biasa, apabila polis datang, kecederaan teruk peserta pasti akan berlaku.

10. Serangan wartawan Di Somalia
Sekumpulan wartawan berita RTM, TV3, Awani dan Bernama telah di'ambush' oleh peluru sesat sehingga menyebabkan kematian jurugambar Noramfaizul dari Bernama.

Buatlah pilihan sendiri untuk 'ranking' popularitinya. Sidang Senduk sekadar buat senarai tanpa prejudis beberapa momen patut dikenang 2011 dan jadikan iktibar untuk 2012.