VOCALIST

Friday, July 29, 2011

INI BARU SINGAPURA

Skuad bolasepak Malaysia perlu menerima hakikat tersungkur (tak layak ke 'next round') ditangan jiran tetangga mereka Singapura dengan keputusan seri 1-1 semalam. Perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil disaksikan 90,000 penonton kebanyakannya penonton tempatan. Malaysia perlu mengakui kehebatan Singapura sebagai kuasa baru 'Asia Tenggara'. Walaupun 10X ganda muatan SNBJ diisi, Singapura adalah lebih hebat.

Pada aksi pertama Harimau Malaya tumpas 5-3. 'Post-mortem' yang dibuat sejurus tewas di Stadium Jalan Besar pada 23 Julai lalu merumuskan bahawa antara faktor utama kekalahan adalah kehadiran 5,6 'awang import' dalam skuad Singapura. Heboh dibuatnya Akhbar Perdana mengenai 'terer'nya pemain import Skuad Singa walaupun ada yang umurnya dah cecah veteran (Alex Duric berusia 40 tahun).

Takutkan pemain 'import' adalah mentaliti kuno segelintir rakyat Malaysia. Jangan lupa liga Malaysia pernah meriah dengan pemain import satu ketika. Pemain-pemain sempat 'berjemaah' bersama.

Ingat.., Pasukan yang kita terkial-kial lawan semalam baru ber'level' ASEAN. Walau menewaskan Singapura sekalipun, nasib Skuad Harimau belum mantap untuk berada di level berikutnya. Tak jumpak lagi yang taraf Asia macam Iraq, Iran, Arab Saudi dan Bahrain. Macam Korea, Jepun dan Australia jangan kira lagi, itu dah masuk 'world class'.

Kita dah tengok cara Skuad Singapura beraksi. Walaupun bukan awang import, mereka lebih tersusun, lebih berstrategi dan cepat membaca permainan lawan. Pemain Singapura miliki kawalan bola, hantaran tepat dan persefahaman baik walaupun banyak 'berlakon'.

Auuummmmmm
Disini boleh dilihat beberapa siri 'friendly match' dengan team luar sebenarnya tak berkesan 'untuk pasukan'.  Kedatangan Arsenal, Liverpool dan Chelsea sekadar melancong dan kutip duit. Baru melancong.. FAM perlu memerah otak lagi lepas ni bagaimana nak hilangkan kegerunan pemain kepada pemain asing. Kita baru bertemu pasukan bersaiz kecil di Tanah Singapura.
Ayuh bintang muda..anda masih lagi bergelar Harimau Malaya..Bangkit!!dan sampaikan semangat rakyat Malaysia.

Nota Kaki - Pasal apa Harimau tak pakai jersi Kuning?

Tuesday, July 26, 2011

TAZKIRAH PENGHUJUNG SYAABAN

WARKAH KHAS BUAT SAUDARAKU ANGGOTA POLIS 

 Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu

Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja. Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.
 

Tugas Mulia

Saudaraku anggota polis,

Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas. 

Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.

Saudaraku anggota polis,
Tugas seorang anggota polis -sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu ‘Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran’. Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu ‘Mencegah Kemungkaran’. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum. Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. 

Allah berfirman: (maksudnya):
“Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Nabi s.a.w pula bersabda:
“Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).

Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.

Bahaya Kuasa

Saudaraku anggota polis,
Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya. 
Ia boleh bertukar dari ;
1. melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya.
2. menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya.
3. memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya. 

Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.

Saudaraku anggota polis,
Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara. Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri. Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.
Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan. 

Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.

 Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi s.a.w:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Dalam riwayat Ahmad yang lain:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Allah Tidak Lupa
Saudaraku anggota polis,
Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu. Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa. Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya ‘apakah salah saya?’. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.

Dunia Sementara

Saudaraku anggota polis,
Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan. Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. 

Firman Allah (maksudnya):
“Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).

Saudaraku anggota polis,
Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil. Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya. Adil seadil-adilnya. 

Bak kata Nabi s.a.w:
“Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk” (Riwayat Muslim).
Sabda baginda juga :
“Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari).

Nasihati Hasan al-Basri
Saudaraku anggota polis,
Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan ‘atasan’. Maka, mungkin ada yang berkata ‘kami hanya menjalankan tugas’. Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu ‘Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik. Kata ‘Umar bin Hubairah:
“Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi satu kesalahan di sisi agama? Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.
Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit. Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid.

Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat. Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai ‘Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta”. 

Maka menangislah Gabenor ‘Umar bin Hubairah”. (rujukan: Mir at al-Jinan wa ‘Ibrah al-Yaqzan)

Saudaraku anggota polis,
Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat. Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.

Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.

Saudaraku anggota polis,
Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak. Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil. Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!

Mohd Asri Zainul Abidin
Mantan Mufti Perlis..

Thursday, July 21, 2011

BERSIH 2.0 : SIAPA HEBAT?

Maka tersebutlah kisah segala bana jentera kerajaan habis disesah Sang pemerintah bagi misi gagalkan hasrat pasukan bergelar BERSIH. TV baru, TV buruk, Radio baru, Radio buruk, paper baru dan paper lama tak jemu-jemu memutar siaran dan mencetak perkhabaran keji buat BERSIH. Mereka 'trained' rakyat supaya mesti bersangka kotor.
Pihak pemerintah memula langkah dengan mengHARAMkan segala kerja BERSIH. Baju, seluar, mafla, sepanduk termasuk ceramah dah di'fatwa' haram. Hasilnya beberapa tangkapan telah dibuat dan ceramah yang Pro-Bersih disekat sehingga sanggup gunakan perintah mahkamah.

 Arakian tertangkaplah beberapa orang yang kononnya cuba berlagak ala-Komunis Chin Peng dengan penemuan beberapa helai baju berwajah 'otai-otai' pimpinan Parti Komunis Malaya. Komunis ni dikata MOU pulak dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Sosialis (PSM) jadi komunis 'terkejut' dan bakal menyertai BERSIH. Menteri KDN semakin mengeras "Ini Anasir Subversif!! (kegiatan haram yang secara rahsianya teringin mengguling kerajaan secara tidak demokratik)". BERSIH juga turut mengeras.

Komunis tak cukup hebat. Polis pulak telah menemui aneka senjata termasuk parang, pisau dan yang paling 'terror' ialah Bom Molotov. Baju BERSIH turut tersangkut. Ni nak merusuh atau demonstrasi aman? Malaysia semakin terancam. Semakin panas..

Oleh sebab merasa terancam, khatib-khatib sekitar KL 'terpaksa' mengancam jemaah Solat Jumaat supaya elakkan BERSIH. "Muslimin sekalian, jauhilah kamu semua dari Himpunan Haram BERSIH". Maka dikhabarkanlah makmum tadi kepada suku kerabat mereka akan amanat Tok khatib.

Semakin dekat kepada tarikh 9hb semakin berdebar. Semakin tak berpuas hati, pemerintah melalui polis-polisnya mengisytihar Kuala Lumpur sebagai kawasan yang patut dijauhi. Polis menutup pintu rundingan. Berdendanglah TV, Radio dan Paper perdana siang malam. Sekatan penguasa aktif 24 jam setiap pintu masuk Tol PLUS. Ini Bukan sekatan nak 'check' lesen dengan Road Tax. Ini dah 'waran' geledah. Kalau kapcai, bawah 'seat' pun kena periksa. Polis membongkar larangab 90 individu larangan. Dasyhat penangan BERSIH ni. Mereka bertambah popular. 

Hari yang dinanti pun telah tiba. Hari ditunggu pihak Pro dan pihak Anti. Umpama orang beriman yang ghairah menunggu ketibaan Ramadan. Kedua-dua pihak bertegas tak akan berubah (sedikit perubahan, penguasa menutup terus jalan masuk KL). Rakyat bergerak rutin seperti biasa. Belum kelihatan jelmaan Chin Peng dan Rasyid Maidin. Namun yang cerah pada paginya bertukar mendung. Ya..! Hujan turun dengan lebat tiba-tiba pada petang hari. Hujan rahmat buat 6000 (anggaran Perdana) geng BERSIH yang telah pun di sirami 'water cannon dan bom kanister. Dalam 'pertempuran' bersejarah ini, pihak polis terlebih dulu mendedahkan senjata mereka sebelum pihak BERSIH sempat mengatur strategi 'rusuhan'. 

Tangkapan telah dibuat. Ketika ini masih belum kelihatan ke udara Bom molotov. 'Perusuh' masih menyimpan pisau dan parang mereka. Disebabkan pihak FRU telah membancuh begitu banyak air 'water cannon', jadi satu pembaziran untuk terus menyimpan. Satu pihak masih melaung Bersih, reformasi, kezaliman dan bertakbir dan satu pihak lagi menjerit-jerit perkataan bersurai dan tangkap. BERSIH kemudian bersurai sebelum Solat Asar sebelum sempat mengguna senjata Ganasnya. Sebelum menyalin baju 'komunis'. Dan sebelum sempat meng'huru-hara'kan KL. 

Maka Pihak Polis Pemerintah dengan bangganya mengisytihar BERSIH gagal dan mereka sangat hebat. Hebat kerana segala bentuk kekacauan, bom molotov, huru-hara, ganas dan penggulingan berjaya diGagal. Yang datang adalah saki-baki tak mempeduli ancaman berkali-kali Media Perdana. Dah macam tak peduli 'fatwa' Halal Haram. Polis guna kaedah Tangkap dan Surai sebelum Rusuh dan Kacau.

BERSIH juga anggap mereka berjaya. Mereka berjaya bolos beratus sekatan penguasa. BERSIH cukup cerdik. Dulu (BERSIH 1) kebanyakan peserta Pak-Pak Lebai. Kali ni mereka bawa beribu-ribu profesional (Lawyer, doktor, engineer dan segala macam profesor). Dikalangan mereka, perlembagaan Malaysia sudah dalam hafalan. Mereka berjaya buat 'KL Tegang' (lapor surat khabar) selepas kedatangan beribu polis. Kehadiran 6000 orang (surat khabar perdana) ditafsir cukup berjaya. Mereka lebih 'bijak' dan 'berhati-hati' untuk merusuh dan mengacau.

Kini semua genre aksi babaknya tamat sementara. Chin Peng tak turut serta. Aksi saspen molotov meletup gagal disaksi. Parang tidak berjaya berterbangan keudara. Segalanya atas label rusuhan seperti disangka tidak timbul. Tiada 'bencana alam buatan tangan' terjadi.
Yang tinggal kini, bersaksi semua orang akan belambak-lambaknya video khas mengaitkan keganasan pihak berkuasa terhadap orang yang disangka perusuh di pasaran. Pihak berkuasa sekarang sudah diposisi bertahan. Bersusun-susun dakwaan kini terpaksa mereka tempuhi.
Siapa untung dan siapa rugi disini?Siapa dianggap Hebat dalam BERSIH?..

Sunday, July 17, 2011

NASIB SI PLASTIK SAMPAH KUNING

Sekadar Kosmetik
Aku tidak rasa malang menimpa diriku
Dengan tebiat segelintir manusia
Label dengan persepsi buruk
Tuhan itu Maha Mengetahui niatku
Aku sekadar membantu
Dari melepak menghalang jalan
Membusuk dekat-dekat kejiranan
Merosak mata dan emosi orang


Mulia sekali si Pengutip Sampah
Tidak salah aku ringankan kerja mereka
Dengan bungkusan plastik pilihanku
Semoga dengan transformasi bersih ini
Aku berupaya mencuci dunia
Dengan warna kuning

Thursday, July 14, 2011

HADRAH SENDUK BERTARAF DUNIA

world class

Hari 9hb Julai 2011, Kumpulan hadrah telah dipilih sebuah syarikat berasaskan air terbesar di Malaysia bergelar Spritzer Sdn Bhd untuk menjayakan Program Pembuatan Kilang Mesra Alam Bertaraf Dunia. Kami dipanggil untuk menyambut keberangkatan tiba DYM Tuanku Sultan Perak beserta Permaisuri yang dijadualkan merasmikan Majlis Pelancaran tersebut. Untuk melancarkan program, kami diminta untuk hadir dua kali latihan 'rehearsal' yang di dikelolakan Spritzer.

Bertuah dapat kenal pegawai protokol Sultan, Tuan Bakar (agak ja nama dia pasal dengar orang dok panggil). Tuan Bakar yang garang 'gila'. Hampir tension ahli muzik Senduk dibuatnya. Sampai satu ketika dia nak cakap Arab dengan kami. Dia kata suara dan ketukan kami tak 'power'. "Hang main sendiri tengok" Maksudnya dah 'panas' la tu budak-budak ni.

pose dengan taukeh..


Kami juga dapat berkenalan dengan Staff Spritzer yang begitu 'friendly'. Spritzer membekalkan kami berkotak-kotak air mineral 'free' setiap kali keluar dari premis mereka. Ada air Pop, Tinge dan memacam. Kami letak disurau air tu. Terhibur juga hati kami walaupun setiap kali pergi dan balik kena tolak van (enjin starter out).

Geng Bangra 1Malaysia
Macamana pun kami tetap beri persembahan terbaik bagi membalas kepercayaan Spritzer. Insya Allah kami akan menjadi 'model' bagi mempromosi segala produk Spritzer pada orang kampung. Kami tau Spritzer telah berjasa menjadikan Hadrah Senduk bertaraf Dunia.

Wednesday, July 13, 2011

EP 2 BERSIH 2.0 BROADWAY : KLCC CROSSROAD SHOW

 "Bersih ! Bersih !" Muncul kumpulan kecil dari belakang Jalan Pudu dan betul-betul belakang gerai mamak kami lepak. Kami kemudian memutuskan untuk 'join' kumpulan kecil kira-kira 1000 orang ni.

"Kering baju hang.. mai dari mana?" Ada seorang brader asal Taiping (member lama aku saudara Naim Mutalib) menegur jujur pada kami. Kami tak mampu menjawab soalan yang boleh menyinggung perasaan mereka. Gambaran suasana perarakan sangat harmoni, ceria dan bersahaja. Peserta sempat singgah bershopping dikiri-kanan jalan yang terdapat pelbagai gerai. Kami mula sedar perasaan duduk dalam perjuangan seterusnya bergerak melalui lorong Pudu sehingga Jalan Sultan Ismail. Kami semakin gembira apabila menyaksikan semakin ramai pejuang menyusup masuk dalam kumpulan.
Marilah bergerak maju....

"Dah dekat 20,000 orang ni" kami menyusuri laluan berhadapan premis Hard Rock Cafe menuju Jalan Ampang menghala ke arah Jalan Melaka.

"Patah Balik ! KLCC !!.." Group kami kemudian telah di 'langgar' oleh kumpulan besar kira-kira ratusan ribu manusia dari Masjid Jamek. Kumpulan Besar ini cukup bermotivasi tinggi. Mereka dikhabarkan telah di 'pressure' teruk disana. Mungkin mereka ini 'komunis' yang diburu penguasa. Emosi perjalanan kami semakin meluap-luap semangatnya. Sejarah telah tercatat disini. Jumlah manusia dah tak teranggar lagi. Kami mula bergabung. Terdapat pelbagai lapisan manusia disini dan seganas mana agaknya mereka ni. Disini mungkin ada tok guru, ustaz, tok imam, doktor, barber, toke bundle, peguam, pemuzik, tok sami, budayawan, sasterawan, tukang masak, penoreh getah, suri rumah, toke durian dan macam-macam lagi. Bayangkan bermula Jalan Ampang ke KLCC, 6 lorongnya diisi penuh manusia. Kami bergerak ke KLCC. "Eh ! mana Mat Ajam".
The KLCC
Kami kemudian bermukim di persimpangan KLCC, Jalan Ampang sambil mendengar laungan semangat pemimpin-pemimpin. Kelihatan di tengah-tengah himpunan, Mat Ajam sedang 'sibuk' mendengar dan melaung kata semangat. Kedengaran lagu Negaraku juga dinyanyikan pada masa itu. Kami dijangka bersurai selepas itu.

Ketika kepala otak sedang memikir hendak bersurai, sepasukan besar polis menyerang kami dengan 'water cannon' tanpa sebarang amaran. Semua orang ketika itu bertaburan lari mencari tempat berlindung. Aku, Atan, Isma dan adiknya Arif berpegangan sambil jadikan 'KLCC Twin Tower' sasaran kami. Terima Kasih kepada pasukan penguasa atas usaha penyuraian mereka. Kami kemudian ber Jamak Qasar di Masjid AsSyakirin berhampiran KLCC. Jemaah tersentuh dengan Doa Qunut Nazilah bacaan Tuan Imam bertugas. Kami ramai-ramai bertakbir dan berselawat ramai-ramai sejurus selepas itu. "Sollollah 'ala Muhammad"

"Kami kat Surau Kampung Baru" aku pun menapak ke Kampung Baru mencari Mat Ajam dan seterusnya merancang menaiki monorel disana. Sempat pulak kami pekena teh mamak di Restoran Kari Kepala Ikan Kampung Pandan. Berjumpa pulak Encik Din pegawai Khidmat Trong. Dia melaporkan beberapa tangkapan telah dibuat termasuk Tuan Guru Presiden. Beliau juga memaklumkan hasrat PAS untuk mengumpul sejuta ahli jika Tok Guru tidak dibebaskan segera dalam masa 24 Jam. Kami menukar arah perjalanan kami ke monorel Chow Kit apabila mendapati begitu ramai polis disekitar Jalan Raja Muda kemudian menyusuri Lorong Hospital. Jam hampir pukul 6.30 Pm.

"Kami kena tahan, tolong cari nombor IC pasal IC dah kena ambik" Ah...cadang kami mahu meraikan kemenangan kami di rumah sewa Gading terbantut tiba-tiba. Kami terus menghubungi Eddie dan kumpulannya untuk mendapatkan khidmat peguam. Serbasalah kami dibuatnya kesan tangkapan mengejut Mat Ajam. Kecewa kerana tidak sempat menyelamat beliau. Kesal membiarkan dirinya keseorangan tadi.

Posing dengan KLCC lepas 'show'..
Kami kemudian bergegas menaiki monorail ke KL sentral seterusnya dengan pantas menempah komuter balik ke Stesen Seri Setia. Kami mahu segera kembali ke Pulapol untuk menunggu pembebasan Mat Ajam. Impian kami untuk pulang ke Senduk malam harinya sedikit terbantut. Ada 3,4 Abang Polis bersiar di ruang menunggu Platform bawah tanah hentian komuter. Sampai malam nampaknya bertugas untuk negara.

"Tut..! Tut..! Kami dah bebas, depa hantar kami kat KL Sentral.." Mat Ajam tiba-tiba menelefon kira-kira jam 7.45 pm. "Biar betul hang ni? Cepat sangat ni" Aku terpaksa menunggu dengan penuh keraguan kemunculan Mat Ajam. "Sah Mat Ajam !". Kami Berpelukan gembira. "Allahuakbar !"

Jelajah tamat
Kami kemudian mengambil kenderaan yang diparking di Seri Setia dan seterusnya bergegas menjemput Eddie dan member-member skuad yang lain. Kami semua (skuad awal) kembali bertemu semula di rumah Gading di Kampung Dato' Haron. Semua dedah 'fail' cerita masing-masing. Kami kemudian dijamu kacang goreng Ngan Yin sebelum sejam selepas itu mengorak langkah kembali ke kampung.


"Bila nak balik? Macamana semua selamat?" Ayahanda Paknjang cuba mendapat maklumbalas dari kami. "Nanti kami cerita kat rumah". Kami memberi jaminan akan menceritakan setiap saat lawatan istimewa kami ke Kuala Lumpur. Kami pasti gembira dengan suasana perjalanan kami tadi dan merasa sangat bertuah menjadi sebahagian dari perjuangan.
Walaupun gembira dengan pembebasan seorang anggota skuad kami tapi sedih apabila diberitakan pemergian Allahyarham Baharuddin Ahmad yang mati kesan terhidu bom asap di perhimpunan. Allah telah memilih dirinya mewakili kami.
...Al-Fatihah...

AMBIGA JUGA RAKYAT MALAYSIA

Ambiga adalah seorang rakyat Malaysia berbangsa India BUKAN beragama Islam. Beliau juga bekas Presiden Majlis Peguam dan Pengerusi IFC yang matlamatnya memperjuangkan hak asasi manusia. ISLAM juga perjuangkan Hak Asasi dan memiliki kaedah khas untuknya. Qisas adalah contoh perjuangan Hak Asasi yang terkandung dalam Islam.

Firman Allah S.W.T :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ
عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." ( Al Maidah :8)

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang BUKAN Islam dan pejuang HAK ASASI, Ambiga layak untuk mempertahan hak rakyat Malaysia untuk menganut apa saja ajaran agama mengikut peruntukan perlembagaan. Perlembagaan Malaysia yang diusahasama Lord Reid dan Pembesar MELAYU. Perlembagaan JUGA memperuntukkan Agama Islam sebagai agama rasmi serta posisi hak istimewa kepada orang melayu sebagai Bangsa Asal Tanah Melayu.

Hebatnya pembesar Melayu
Sebagai pengamal undang-undang profesional, Ambiga mengesan kelemahan dan kelonggaran yang terdapat pada pelaksanaan SYARIAH yang termaktub dalam Enakmen Undang-Undang Islam khususnya perkara Murtad dimana kes Murtad tidak sesuai dibicarakan di Mahkamah Syariah (rujuk Kes Lina Joy, 1999. Lina dilaporkan tidak pernah mengamalkan Ajaran Islam sejak lahir dan Murtad sejak 1990 dan kes ini telah menjatuhkan kredibiliti Undang-Undang Syariah). Dan untuk makluman, Undang-Undang Islam di Malaysia sejak Merdeka adalah hasil 'usaha' Pejuang, Pembesar dan Hulubalang yang bergelar Jagoan Melayu. Undang-undang jenayah Islam bersumber kepada Kanun Ta'zir yang hukumannya dibawah budi bicara pemerintah.

Pejuang-pejuang Islam KHUSUSNYA PAS menyahut tanggungjawab sejak merdeka dengan sedaya upaya menegakkan Undang-undang Syariah Di Malaysia. PAS secara komited selepas mengambil pemerintahan Negeri Kelantan pada tahun 1990 telah meluluskan Enakmen Syariah (Tahniah). Enakmen Undang-Undang Islam yang diusahakan Kelantan turut mengandungi kaedah bagi penyelesaian khususnya masalah Murtad. Tiada agenda politik peribadi melainkan berusaha menyelesaikan masalah kepentingan Umat Islam khususnya. Usaha Kerajaan Kelantan bagaimanapun digagalkan pemerintah ketika dengan penuh penghinaan. Adakah kita pernah tahu kenyataan pemerintah waktu itu melabel HUDUD sebagai penyekat kemajuan (Wawasan 2020) apabila manusia  hilang anggota tangan dan kaki? Kita terpaksa menelan pahit apabila Lee Kuan Yew berhujah Islam penyebab kemunduran tapi kita patut sukar menerima seorang pemerintah Islam yang mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Firman Allah S.W.T :

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya : " Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembang-kan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya".
 ( Ali Imran : 104)


Pemegang Tampuk kuasa Kerajaan Malaysia dilihat begitu gagal memperjuangkan isu Umat Islam melalui pengukuhan Undang-Undang Islam iaitu Syariah. Sebagai pejuang Islam, PAS terpaksa mengambil tanggungjawab dakwah yang ditinggalkan pemerintah yang dikatakan ketua sebuah negara Islam. Melalui Tok-Tok Guru dan Ilmuwan didalamnya, PAS berusaha memberi pelbagai penerangan kepada seluruh Umat Islam termasuk Non-Muslim tentang Islam. Ulama-ulama ini bukan sahaja tidak memperolehi sebarang bantuan malah dihalang dengan pelbagai sekatan termasuk dari sudut tauliah ceramah (Majlis Ilmu terpaksa berlangsung dicelah-celah pokok) walaupun ramai diantaranya bergelar Profesor dalam bidang khusus termasuk Syariah.

artis realiti TV
Hasilnya bukan saja orang BUKAN ISLAM khususnya Ambiga, malah yang mengaku Islam pun turut sama terhalang dari dakwah. Dan segala petaka kerosakan termasuk moral Umat Islam adalah berpunca dari kelemahan yang terbukti wujud pada pelaksanaan Undang-Undang Syariah yang menjadi penguasa Tanah Malaysia ketika ini.

BERSIH juga satu lagi tuntutan hak asasi yang mencalonkan PROFESIONALISMA Ambiga sekali lagi sebagai pengerusinya. BERSIH adalah GABUNGAN 60 pertubuhan lain bukan pertubuhan khusus. Pilihan Raya yang adil adalah tuntutan utama rakyat berwakilkan mereka. Walaupun BERSIH dan Murtad sangat berbeza dasarnya namun tuntutan perkara Hak Asasinya masih dilihat seiras. Keduanya mempunyai persamaan dari segi begitu LEMAH nya pentadbiran pemerintah Negara saat ini.

EP 1 BERSIH 2.0 BROADWAY : MENCARI TITIK PERJUANGAN

Tiada kata lagi mampu dilafaz melainkan sangat gumbira bercampur terharu menjadi sebahagian dari BERSIH 2.0 setelah merempuh perjalanan letih dan kritikal ke Ibu Negara Kuala Lumpur. Skuad kami terpaksa mengharung 4 sekatan berbeza (Bukit Gantang, Tol Kuala Kangsar, Federal Highway dan Kampung Dato' Haron) saat mula bermusafir keluar Kampung Senduk hinggalah menjejak tempat penginapan Kampung Dato' Harun. Kami semua tahu Plan BERSIH 2.0 dan 8 tuntutan hak pilihanraya Adil nya dan tanpa belah bagi kami menyokongnya.

Sebelum Subuh kami berjejak di Ibu Kota KL. Kami diberi 'rehat' 2,3 jam seusai Solat Subuh. (driver la, kelindan espeseli bangku belakang terang-terang tido dan dapat disaksikan melalui cermin pandang belakang).

Selesai 'tibai' sarapan pagi jam 10 Am, macam student 'outing' kami berkonvoi ke stesen komuter Seri Setia. Ketenangan untuk melangkah kedalam  gerabak komuter terganggu, kami terpaksa berhadapan dengan sekatan Polis. Umpama di sekatan Bukit Gantang, Ajam dan Pesal dipantau isi begnya. Suspek..!. Dan dia berjaya terlepas. Teringat aku akan sekatan polis di area Bukit Gantang seminggu yang lalu bagi menyekat rakyat disana mendengar amanat pimpinan. "Dosa kering!.." kata salah seorang polis disitu.

"Ting-tong! Stesen berikutnya KL Sentral" Ada Minah kat corong-corong speaker dalam gerabak buat pengumuman yang kami akan tiba ke destinasi dituju. Kami pun terus bergerak ke Stesen Monorail sambil mencilok-cilok beberapa Encik Polis area KL Sentral. KL Sentral tenang. Di Kedai Mapley sebelah stesen dan sambil minum-minum kami berpecah kepada 3 group kecil. Kami, kami dan kami membeli tiket untuk bergerak ke Bukit Bintang.

"Stesen Jalan Hang Tuah dan Stesen Mahameru ditutup, penumpang boleh turun distesen berikutnya" Ayat tadi dah di 'translate' kan. Alhamdulilah!!.. Nasib baik tak tutup semua.

Kami pun meronda sekitar Bukit Bintang, Low Yat dan Times Square mengikut geng masing-masing..."6 orang Bukit Gantang kena tahan" Eddie maklumkan info semasa..Ishh.. Boleh bertahan lagi ka kami ni?..
Kami kemudian melepak di Kedai Mamak di Imbi Plaza. Jam ditangan menunjukkan angka 1 Pm.

"Bersih!! Bersih!! Pilihanraya.!!". Tiba-tiba muncul sekelompok manusia keluar dari celahan Times Square menghala arah kami. Kelibat Ustaz Idris dilihat mengekori kelompok yang rata-ratanya kaum Tionhua ni. Tiupan semangat menyapa perasaan kami. "Ingat anak bini oii..". Aku terkenang amanat seorang kawan sebelum kami menjengah Kota KL ni. "Sebab ingat anak bini la aku datang sini". Ya..aku masih waras memikir masa depan anak-anak aku. Kami dah 'study' mengenai artikel 10 perlembagaan Malaysia yang membenarkan kami berhimpun secara aman.




'Bergerak Jam 1.30 Pm'. Eddie dilantik secara tak rasmi sebagai 'marsyall' kami. Sejak menembusi Kota Metro ni, dia lah menjadi jurupandu kami semua. Yang lain tu bukannya tak tau tapi saja buat tak tau..

Kami mula bergerak dan disuatu Jalan Bukit Bintang Off Jalan Pudu terdapat kumpulan kecil Patriot kiraan 100 keatas berbaju merah sambil memegang bendera Malaysia. Group pendahulu Eddie, Paksu, Mat Yo, Pesal dan Choin dah pun duduk dalam kumpulan demonstrator Bukit Bintang tadi sejak saat itu kami terputuhubungan dengan group Eddie. Kumpulan ini telah pun terkepung teruk depan dan belakang. Kami yang lain masih bersidai di kaki lima Jalan Pudu. Masih menunggu peluang mencelah ke dalam group. Sekali-sekali kami di "Hoi! Hoi!" oleh FRU bagi menghalau kami pergi. Satu ketika satu group kurang 100 yang kemudian dipimpin Ustaz Mujahid tiba muncul dari Jalan Hang Tuah. Upaya kami masih tidak kuat untuk menyertai mereka. Kemungkinan team dari Bukit Gantang..Allahuakbar!!..

"Hoi!! Hoi!!" Kumpulan FRU tadi tiba-tiba berlari kearah kami sambil menghalau dengan cota ditangan. Kami berbaki 4 'peserta' terus secara otomatik duduk gerai mamak. Dari gerai tadi kami menyaksikan secara 'real' FRU membelasah kedegilan Puak Patriot yang gagal bersurai. Mungkin Pengerusi kumpulan Patriot ni 'redho' dibelasah agaknya bagi sekali-kala merasa nikmat berdemo. Jelas kaler unggu 'water cannon' menbasahi kumpulan kecil Patriot ni. Kami meneruskan pesanan Teh Tarik sambil diteman hujan yang tiba-tiba turun dengan lebatnya. 4,5 orang dari geng Merah tadi nampaknya sedang diberi rawatan kecemasan. Hujan sudah pun berhenti. Kami masih duduk merenung nasib perjuangan adakah kami berpeluang menyertai perarakan atau perhimpunan kali ke 2 ini.

Thursday, July 7, 2011

TERIMA KASIH PM KITA

Syukur kita miliki PM perihatin
Sanggup luang masa
Temani dari awal kerjaya
Hingga otak memikir 'punch out'

PM kita
Walau sibuk dengan 1Malaysia
Dengan Plan Transformasinya
Alih-alih sudah ada disisi kita

Terima kasih PM kita
Buat krew-krew nya
Idea kreativitinya
Sentiasa menghibur kita semua

# Catatan ini dedikasikan buat keindahan lagu ' PM Kita ' yang ke udara kira-kira 10 kali setiap sehari di Radio Perak Aman Jaya. 

FATHU MAKKAH UMPAMA SEBUAH INSPIRASI

Fathu Makkah adalah sebagai simbolik kemenangan dan kejayaan Rasulullah SAW untuk membuka pintu hati penduduk Makkah. Meskipun kedatangan Baginda dan 10,000 tenteranya untuk menghukum kaum Quraisy yang telah mengkhianati Perjanjian Hudaibiyah, namun mereka tidak menghadapi tentangan Quraisy, bahkan berjaya menjejak ke Bumi Suci itu dengan Aman dan Selamat.

" Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu (Wahai Nabi) kemenangan yang nyata, supaya Allah memberi ampun terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya ke atasmu dan memimpin kamu ke jalan yang lurus, dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak). "
Surah Al-Fath (48 : 1-3)

Sebelum itu, Rasulullah SAW telah mengirim satu ingatan berbentuk tip-tip keselamatan buat penduduk Makkah melalui bapa mertuanya Abu Sufyan (Abu Sufyan telah berikrar taat setia pada Nabi dan juga mengucap syahadah).

Setiba di Makkah Abu Sufyan pun membuat satu pengumuman : 
" Wahai kaum Quraisy sekalian ! Sesungguhnya saat ini muhammad bersama 10,000 tenteranya sedang menuju ke Makkah. Pada hematku, tiada siapa yang mampu menghadapinya"
Kemudian mengulangi Pesanan Baginda sekali lagi buat semua penduduk Makkah yang berbunyi : 
" Barangsiapa yang merasa gerun berdepan dengan Tentera pimpinan Muhammad, mereka bolehlah pulang ke rumah masing-masing, tutup pintu dan kunci ataupun mereka masuk masjid ataupun masuk ke rumah Abu Sufyan "

Saidina Bilal Al-Habsyi RA diarahkan Rasulullah memanjat bumbung dan meng 'Azan' kan di setiap empat penjuru Kaabah sejurus selepas berjaya tanpa pertumpahan darah memasuki Kota Makkah. Lantikan Bilal bagi mengangkat martabat seorang yang pernah dihina oleh penduduk Makkah semasa bertaraf hamba 10 tahun lalu.  Kejayaan Fathu Makkah difahami melalui tingginya nilai jihad dan syahid, nilai kesabaran (terutama hikmah dan kesabaran kisah Hudaibiyah, bagaimana perselisihan awal dengan sahabat) dan pelbagai nilai 'mehnah' dan bala. Ramai balu dan anak-anak yang menangisi kehilangan suami serta bapa mereka yang syahid. Sahabat-sahabat kesayangan Nabi SAW.

Semasa melangkah kaki dengan penuh keyakinan memasuki ke Kota Makkah, Nabi SAW Berulang-ulang mengalunkan dengan enak Surat Al Fath (1,2 & 3) secara taranum. Sebagai Panglima Perang juga Rasulullah SAW berpesan kepada sahabat supaya melangkah ke Kota Masjidil Haram melalui jalan berbeza bagi mengelakkan berlakunya pertumpahan darah. Itulah niat diilham dari mimpi Rasulullah SAW memasuki Kota Makkah dengan penuh terhormat dan inilah janji Allah SWT dalam maksud Firman Nya :

" Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, dengan mencukur kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang dekat "


Rujukan bersumber : Kisah Hidup Nabi Dan Peperangan Di Zamannya
Tulisan : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tuesday, July 5, 2011

MAHU TIDAK MAHU

Kami TIDAK mahu yang ini..
(Merompak tanah orang miskin.
Membunuh anak ikan di sungai.
Mabuk pesta sambil minum todi.
Makan harta anak yatim.
Menculik anak dara orang.
Mencuri kabel telefon).

Kami hanya MAHU yang ini
(Nak ruang yang aman BERSIH lebih kurang 2,3 lorong sambil ber'dress' kuning)

ROADBLOK DALAM BABAK 'DOSA KERING'

" Hangpa jangan bohong..! Hangpa nak pegi ceramah..tengok muka pun tau.. 'dosa kering' saja dapat " 

Mungkin ini lah tok-tok guru asuhan PDRM. Semudah itu melabel orang nak ke ceramah memperolehi dosa kering. 'Fatwa' ni lah yang di lain-lain 'roadblock' guna pakai sebagai larangan pengharaman orang ramai yang nak mendengar amanat dari pemimpin-pemimpin mereka. Yang datang pun kebanyakannya tok-tok lebai dan orang kampung. Mereka hanya nak dengar suatu jawapan bagi persoalan isu semasa dari mulut pemimpin yang pernah mereka buat pilihan dulu. Biasanya ceramah akan berlangsung dengan suasana aman. Disana ada petugas khas ber'jersi' merah yang ikhlas menjaga disiplin program. 

Disuatu sudut ada pesta jualan pelbagai barangan dan benda makan. Baju, mi goreng, kacang kuda, minyak wangi, CD kuliyah, kopiah dan macam-macam lagi. Sambil dengar ceramah bolehla 'shopping'. Ada juga ambil peluang 'reunion' jumpak kawan-kawan lama.

Pidato barisan penceramah sangat terkawal. Semestinya bermula dengan 'Ummul Kitab' dan berakhir dengan Tasbih Kifarah dan Surah Al Asr. Kebanyakan pemidato jemputan adalah Ustaz dan Tok-tok Guru. Pidato akan menyentuh kezaliman pemimpin dan beberapa teguran khas. Ustaz adalah lebih arif bab adab dalam perkataan. Diselit-selit dengan hujah-hujah Al-Quran dan Hadis serta pandangan ulama kontemporari. MC kemudian umumkan kutipan derma bagi pembiayaan pelbagai program mendatang.

Kami pun dirundung hairan. Dimanakah munculnya 'fatwa' khas untuk peminat-peminat ceramah pada malam tu. Difahamkan lebih 10 ribu hadirin yang datang dari pelusuk Perak. Dari mana timbulnya terma 'dosa kering' tersebut dan
dari manakah agaknya terasuhnya 'ustaz-ustaz' ni. Memang kami berbohong malam tu tapi itulah upaya yang ada untuk menembusi sekatan-sekatan penguasa yang nampaknya mengepong kawasan tapak program. Apakah ada 
'penjenayah' merbahaya sehingga  dikepong begitu rupa..?

Friday, July 1, 2011

KAMI, ABANG BOB DAN @#$%&*

KAMI

"Road blok disetiap jalan masuk dan berpuluh FRU dah berkawad di sana. Lori water canon ja tak nampak lagi" Ni betul bukan pertempuran biasa. S/U Sharo bagitau masa meeting khas pasal pengangkutan penceramah. "Abih nak cilok kot mana?".
"Takpa..Kita pikir macamana".
Wah!! meriahnya suasana Bukit Gantang kalau macam ni. Orang sini rindu saat-saat sepopular dan se'femes' PRK Bukit Gantang dulu.

Meeting ' geng komunis '

Bob Lokman akhirnya selamat diiring kami ke tempat sepatutnya (Masjid Cht Ibol untuk Program kuliah) seperti di jadualkan. Kami diancam seolah-seolah mengiring Chin Peng ke Bukit Gantang.
"Bihun Sup Tuan..kami orang sini" Kami disoal dalam perjalanan mengambil Bob Lokman. "Ooo..Bihun Sup Changkat Ibol tu" Haha..kami semua tau Encik Polis ni bukan orang tempatan.

ABANG BOB

"Diaorang nak tangkap saya ke? dengan sedikit kemusykilan Abang Bob soal kami. Abang Bob layak menyoal apabila melihat aksi FBI kami ketika menjemput beliau. " Saya tak sebut pun @#$%*! masa berceramah di Changkat Lada semalam" Kami terus tinggalkan dia dekat Masjid Changkat Ibol. Sedikit sebanyak kami bercerita pasal pola masyarakat Bukit Gantang ni, Tok-tok guru yang dilahirkan disini dan status ilmu penduduk. Kami berusaha meredakan sedikit 'pressure' pada beliau dari asyik memikirkan pelbagai sekatan kerana beliau akan jadi artis di pentas malam ni.

'Maharaja Lawak'
"Bagi saya mee goreng, nanti kalau 'didalam' saya tak boleh order lagi" lawak Abang Bob memang 'real' masa kami minum-minum depan Masjid. Kami bersuka-suka masa tu mendengar 'rancangan Raja Lawak' sebelum Solat maghrib. Kami biarkan Abang Bob melayan mee nya sorang-sorang. Kami juga belum pasti nasib kami malam nanti. "Saya heran la..diaorang nak tangkap saya ke? jadi tak ceramah malam ni " Abang Bob menyoal untuk kali kedua.

@ # $ % & *

Kami sebenar dah sepakat pada meeting lepas untuk meletakkan @#$%&* sebagai Tema ceramah malam tu walaupun undian penggunaan @#$%&* menang dengan majoriti mudah. Tapi kami tidak menjangka risiko yang terpaksa dihadapi sangat tinggi. Tema yang dipakai telah menyebabkan Pasukan 'Besar' milik PDRM telah turun padang. Tuan-Tuan Polis yang lencana berpaku-paku pun terpaksa 'overtime' sampai malam tinggalkan anak isteri. Orang-orang kampung yang nak cari durian dihimpit ketakutan. Nak kena pakai helmet dan pasang 'road tax'. Kalau dilihat suasana lewat petang hari tu, macam Arwah Osama Laden nak buka cawangan baru kat Kepala Bukit. Kami semua memikirkan adakah Tema asal telah mengganggu sambutan hadirin malam tu.

" Depa mungkin akan datang balik nak tangkap DS Nizar, rampas projektor dan PA" Kami ambil langkah berhati-hati sebelum berada di zon selesa. Masa ni petugas boleh makan. Cucur kucai dan Lemang dah siap bakar dah tersedia.
Apa Yang Kami Boleh Buat
LCD dah terpasang. Orang dah mula serbu tempat ceramah jam 9.30 Pm. "Aku ni dah jadi ahli, jadi apa salahnya aku datang ziarah kawan-kawan ahli.?.Abang Bob sekali lagi menyoal. Memang Bob Lokman masih popular malam ni. Malam ni DS Nizar juga 'test' bakat seni nya. Nizar henjut lagu Isabella satu 'shoot'.
" Dia Isabella..Lambang Cinta yang lara...." Terkesima penonton dibuatnya.

Hadirin memang ramai diluar jangka setelah di kaji macam-macam sekatan dan ugutan yang datang.
 "Orang kampung teringin nak test ber'demo kot" Malam ni.

Kira Untung
Kami sebenarnya telah berjaya. Berjaya realisasikan program walau diduga macam-macam. Berjaya memindahkan Artis Terkemuka Tanah air ke tempat sepatutnya. Kami berjaya mengelirukan Pihak Berkuasa dengan Tema @#$%&* kontroversi ini.

P/S : Aku dah dapatkan Buku Tulisan Abang Bob bertajuk ' Aku, Isabella dan Tok Kenali ' siap tandatangan. Menarik dan aku dah Khatam malam tu jugak.