VOCALIST

Thursday, November 25, 2010

PAK DA 'UD LEGENDA KENANGAN

Kali terakhir aku bersembang dengan arwah Pak Da ( sinonim orang kampung) ketika di beranda rumahnya. Ada tangga kecil dimana tetamu perlu waspada langkahan untuk elak trajedi. Dari beranda yang berlantaikan kayu lama, boleh dilihat kawasan keliling rumah yang dipenuhi majoriti pokok manggis dan durian. Begitu bersesuaian keadaan rumah dengan perwatakan tuan yang sentimental, murah senyum dan cermat geraknya.



Arwah ketika itu sedang tekun hasilkan bubu barunya. Bubu lama bagaimanapun masih relevan. Sengaja dibuat baru sebagai 'spare part'. Sambil menyulam ikatan bubu, beliau juga sempat ceritakan beberapa pengalaman menangkap ikan di Sungai Senduk. Katanya, sumber ikan banyak bergantung kepada tahap kedalaman air sungai. Jenuh jugak bubunya nak menampung banyaknya ikan ketika musim hujan bermula. Ikan terboi, haruan, sebarau dan kenjing adalah beberapa spesis ikan yang biasa menghuni bubu beliau.

Dibawah rumahnya juga ada sebuah basikal tua yang masih elok berjasa untuk tuannya. Basikal inilah menjadi temannya untuk kemana-mana. Jemaah masjid pada hari Jumaat akan sentiasa melihat kelibat arwah bersama tunggangannya kalau berselisih. Pak Da akan sentiasa hadiahkan senyum ketika disapa. Arwah juga merupakan aktivis surau Senduk yang aktif tetapi akhir-akhir ini keuzuran sedikit membatas pergerakannya. Untuk ke Surau pada malam, lampu suluh yang diikatnya dengan tali akan membantu pergerakannya ke majlis bacaan Yassin dan program pengajian.

Pak Da rezekinya adalah bergantung terus dari sumber bumi Allah. Selain pakar disungai, Arwah juga hebat memanjat apa saja jenis pokok sama ada manggis, cempedak atau langsat. Ketika kecil hobi aku juga memanjat terutama pokok manggis. Beberapa pokok manggis milik Ayah aku ada di belakang dapur rumahnya. Tapi kalau pagi ke tengahari seguni manggis turun dari pokok, Pak Da dah turunkan satu raga manggis. Kederat 'super' Arwah ketika itu bagai menyuntik motivasi pada aku.

Waktu dulu, di musim manggis, bacang dan durian, rumah Pak Da adalah laluan rasmi aku sama ada mencari buah durian atau memanjat pokok manggis. Lebih kurang 5 kali sehari ulang-alik aku kekebun. Kalau Arwah ada diberanda, kekadang beliau akan mengisyaratkan aku kalau ada buah durian jatuh ke tanah dan memberikan aku sedikit semangat untuk mencari. Kekerapan aku melalui laman rumahnya kemudiannya telah menyentuh hatiku melihat Arwah Pak Da begitu gigih dan sabar melayan kerenah anaknya yang kurang upaya. Sesekali aku melihat dia memandi, memakai dan melayan anaknya. Namun begitu beliau masih sempat mengukir senyum untuk aku.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakan (wahai Muhammad) sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”. Al Jumu'ah - 8

Kini Pak Da telah dipanggil menemui Perekanya Yang Maha Agung. Tiada lagi kelibat kayuh basikalnya. Tiada lagi ukiran senyum dilempar untuk kita. Sungai Senduk tidak lagi dapat melihat Arwah dengan bubunya sama ada baru atau lama. Di suatu sudut di Surau Senduk susuknya tidak lagi kelihatan. Namun nama dan semangatnya tetap jadi ingatan. Dia telah menjadi legenda yang akan dikenang. Takziah terutama untuk ahli keluarga dan begitu juga seluruh warga Senduk yang kehilangannya. Pak Da telah menghembuskan akhir nafasnya pada awal pagi 22hb November 2010 bersamaan 15 Zulhijjah 1431 H dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Senduk pada tengaharinya.

........ALFATIHAH.....

No comments:

Post a Comment