VOCALIST

Wednesday, November 7, 2012

HAK GRADUAN PASTI


ظَهَرَ الفَسادُ فِى البَرِّ وَالبَحرِ بِما كَسَبَت أَيدِى النّاسِ لِيُذيقَهُم بَعضَ الَّذى عَمِلوا لَعَلَّهُم يَرجِعونَ

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (Ar-Rum : 41)

Saya ingin membawa kepada tuan-tuan, puan-puan, ibu-ibu,bapa-bapa dan pelajar-pelajar semua satu kisah pendek untuk direnung dan diteliti sebagai pengajaran buat semua. Ianya berlaku pada zaman Amirul Mukminin Saidina Umar AlKhattab. Dan tiada siapa mampu mempertikai kehebatan Saidina Umar RA sebagai pemimpin yang sangat berjiwa rakyat.

Seorang lelaki telah datang menemui Khalifah Umar al-Khattab r.a. mengadukan hal kederhakaan anaknya. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa menunaikan hak-hak bapanya.

Anak itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?”

Umar menjawab: “Ya.”

Dia bertanya lagi: “Apakah ia wahai Amirul Mukminin?”

Jawab Umar: “Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran).”

Anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapaku tidak pernah melakukan satu pun perkara tersebut.

Mengenai ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan “Ju’olan” iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun dari al-Quran.

Umar lantas berkata kepada lelaki itu: “Kamu telah datang mengadukan kederhakaan anakmu, walhal kamulah yang telah menderhakainya. Kamulah yang telah berlaku buruk dan jahat sebelum dia berlaku demikian terhadapmu.”

Saidina Umar RA akhirnya meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri.

Hari ini ramai ibu bapa mendakwa kemusnahan institusi keluarga adalah berpunca dari salah laku anak-anak mereka. Hari ini ramai ibu bapa menunaikan hak-hak yang tak sepatutnya seperti hak mendedah aurat, hak berakademi fantasia dan paling merisaukan, hak memilih untuk murtad. Dan hari ini bukan saja budaya buang anak, malah budaya buang ibu bapa juga tidak lagi pelik. Tanpa disedari punca asalnya juga adalah dari kegagalan ibu bapa itu sendiri menyempurnakan hak-hak yang sepatutnya diperolehi anak-anak mereka.

Terdapat sebilangan Ibu bapa gagal menunaikan tuntutan hak anak mereka iaitu memberikan didikan yang paling baik contohnya seperti pesanan Saidina Umar RA dalam kisah tadi. Sudah tentulah didikan yang terbaik adalah memberikan pengetahuan asas agama kepada anak-anak contohnya pengajian Al-Quran. Kenapa Al-Quran difokuskan Saidina Umar? Sebab Al-Quran itu Imam. Kalam Allah ini adalah manual/panduan No-1 kehidupan kita didunia. Jika sebuah kereta itu Al-Quran adalah manual panduannya,gaya mengikut panduan sahajalah mampu menyelamatkan pelbagai penyakit moral yang semakin parah dinegara kita Malaysia khususnya. Sebuah kereta yang baik sudah pasti perlukan pemandu berhemah.

Disini, di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), kita masih lagi menyediakan tapak yang baik bagi ibu bapa yang ingin menyelesaikan hak atau tuntutan pendidikan yang baik buat anak-anak.

Saidina Ali Karamallahu Wajhah pernah mengingatkan kita melalui pesanan masyhurnya.

“Ajarlah anak-anakmu, bukan dalam keadaan yang serupa denganmu. Didiklah dan persiapkan lah anak-anakmu untuk suatu zaman yang bukan zamanmu. Mereka akan hidup pada suatu zaman yang bukan zamanmu.”

Sekian dari :
Ketua Pemuda PAS cawangan Batu 8
Mohammad Aizam Shafie
Merangkap Penyelia PASTI Nur Hidayah

* Ucapan tahniah untuk mereka yang terlibat atas kejayaan graduan-graduan PASTI sesi 2012 dan selamat berkonvokesyen.


No comments:

Post a Comment