Asas kepada pembentukan muslim bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan daulah Islamiyah. Tanpa perkara ini, cita-cita untuk melihat masyarakat menghayati Islam akan sukar. Keluarga dianggap sebagai paksi utama mengembangkan pengaruh dalam masyarakat Islam.
Kegagalan dalam perjuangan berlaku apabila ahli keluarga gagal dididik duduk bersama dalam perjuangan Islam. Lebih malang, apabila mereka tidak berusaha menyemai penghayatan Islam jauh sekali untuk bersama merasai pahit getir perjuangan Islam.
Kadang-kadang alasan kurang bijak diberikan seperti bersandarkan kegagalan usaha Nabi Nuh AS mendidik anak dan isteri beliau. Adakah mereka sedar Nabi Nuh AS berdakwah siang dan malam untuk keluarga dan umatnya?. Sebagaimana maksud firman Allah ; Kata Nuh "Aku berdakwah malam dan siang, namun pengikut aku tidak bertambah malahan mereka lari dari dakwah aku.."
Adakah kita sanggup mengorbankan keenakan malam untuk berdakwah buat keluarga?
Sejarah perjuangan dakwah Nabi Muhammad SAW juga bermula dari keluarga baginda sendiri sebagaimana maksud firman Allah "Berikanlah peringatan buat ahli keluarga yang terdekat dahulu.."
Sebagai bukti, Rasulullah SAW sanggup menghukum puteri kesayangan baginda sendiri sebagaimana maksud sabdanya : "Jika Fatimah sekalipun yang mencuri, nescaya aku potong kedua tangannya."
Rasulullah berjuang bermula melalui isteri Saidatina Khadijah binti Khuwailid kemudian Saiyidina Ali seterusnya menyeru kepada kerabat Bani Mutalib. Kemudian kepada para sahabat sehingga tidak ada lorong di Makkah yang tidak dilalui Rasulullah bagi usaha dakwahnya.
Islam mengajar kita untuk berdoa supaya dapat dibentuknya keluarga Islam dan zuriat yang baik untuk membangunkan masyarakat yang baik. Ini merupakan impian bagi ahli sesebuah pergerakan Islam sebagaimana yang digambarkan oleh Allah SWT ; "Dan juga mereka yang diredhoi itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata ; "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati kami melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa." (Al-Furqan : 74)
Oleh itu Islam telah menekankan daripada awal lagi kepada setiap pasangan lelaki dan wanita melalui maksud sabda Rasulullah SAW ; "Kahwinlah dengan seorang perempuan yang hartawan, rupawan, kenamaan dan keagamaan dan pilihlah perempuan yang beragama."
Rumahtangga yang baik tidak dapat ditegakkan jika fikrah perjuangan Islam tidak difahami pasangan suami isteri. Bagaimana kita hendak membawa risalah Islam yang lebih besar jika kemelut kefahaman Islam tidak berupaya diselesaikan khasnya buat keluarga sendiri.
Ustaz Idris Ahmad.
No comments:
Post a Comment