VOCALIST

Thursday, July 26, 2012

RAMADAN DAN KARYA PERANG

Banyak kisah yang terkait dengan bulan yang mencurah dengan keberkatan ini. Kisah Ramadan dan perang tidak akan berpisah. Ramadan mengertikan 3 unsur penting perihal mentaliti umat Islam, iaitu tentang jihad, revolusi dan penaklukan sebagai rangsangan buat jiwa.

PERANG BADAR

Antara yang dan paling terkenal dan kritikal adalah perang Badar pada 17 Ramadan 2 Hijrah. Baginda SAW berangkat keluar dari Madinah pada 8 Ramadan dengan alat kelengkapan yang serba kekurangan.

Sejarahwan, Ibnu Hisyam berpendapat, kemenangan dalam peperangan inilah yang menentukan martabat umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Didalam perang ini juga, diutus Allah SWT malaikat untuk menolong Muslimin bagi menghancurkan tentera musyrik.

Perang ini meletus pada pagi Jumaat di Badar yang menyaksikan kemenangan 313 tentera Islam diketuai Rasulullah SAW sendiri dengan menewaskan lebih kurang 1000 tentera Musyrikin Mekah.

PERANG KHANDAQ (AHZAB)

Tiga tahun selepas itu (5 Hijrah), tentera bersiap sedia berhadapan dalam siri peperangan Khandaq. Pada bulan Ramadan inilah parit (Khandaq) digali mengelilingi kota Madinah. Senario ini tidak pernah berlaku pada Bangsa Arab. Ia adalah buah fikiran seorang sahabat Parsian bernama Salman Al-Farisi.

Bertempurlah tentera Islam Madinah dengan tentera perikatan Musyrik (Quraisy, Yahudi, munafiq) bermula pada bulan Syawal hingga Zulkaedah. Akhirnya tentera Rasulullah SAW berjaya memecah belahkan ikatan musyrik.

FATHUL MAKKAH

Pada 20 Ramadan 8 Hijrah terjadinya satu 'Revolusi Pembukaan Kota Makkah' dan penghancuran berhala besar-besaran. Nabi SAW keluar dari Madinah dan berpuasa pada 10 Ramadan lalu diikuti para sahabat. Baginda kemudian berbuka di Mukadid (Asfan-Amjad).

Mekah pun jatuh tertawan di tangan Muslimin tanpa pertumpahan darah. Setelah tercapainya 'revolusi' aman di Makkah, nabi bermastautin disana selama 15 malam dengan solat qasar.

Berkata Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir Ramadan. Khalid Al-Walid diarah hancurkan berhala Uzza, Amr Al-Ash merobohkan Suwa' dan yang lainnya merobohkan Manat.

PERANG ANDALUSIA (SEPANYOL)

Kini semangat Ramadan hadir pula pada era sahabat. Islam waktu menjejak bumi Sepanyol. Thoriq Bin Ziyad dan Musa Ibnu Husair memimpin 12,000 askar Islam berdepan dengan 90,000 kuffar diketuai Raja Rhoderic of Visigoth. Tariq pun mengarahkan askarnya membakar kapal-kapal sevelum bertempur dengan Raja Rhoderic.

Katanya "Sesungguhnya syurga Allah terbentang luas dihadapan kita dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu cuma ada dua pilihan sama ada mati lemas atau syahid."

Mereka menang lalu membebaskan Sepanyol, Sicily dan sebahagian Perancis. Era keemasan Islam di Andalus bertahan selama 700 tahun.

PERANG JERUSALEM (SALIB)

Pada Ramadan 584 Hijrah, Panglima Islam Salahuddin Al-Ayyubi berhasil mengalahkan kedegilan tentera Salib. Jerusalem (Baitul Maqdis) dan beberapa wilayah dikuasai semula tentera Islam dari Salibian (knight templar).

Ketika Ramadan, para penasihat Salahuddin menyarankan beliau berehat kerana risaukan kesihatan dan ajal beliau.
Salahuddin menjawab, "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam"

Mereka kemudian terus berperang, lalu berjaya memecah benteng Shafad yang kental. Kisah ini berlangsung di pertengahan bulan Ramadan.

Demikian banyaknya cerita kegetiran perang yang menghiasi Ramadan kita. Semua cerita banyak menggambarkan plot dan babak menarik untuk dijadikan modal persembahan.

Sebagai jalan bagi melawan hawa nafsu yang bergelora, Umat Islam hari ini patut membudayakan Ramadan dengan kisah dari 'filem-filem' perjuangan yang dilalui umat Islam terdahulu.

"..Sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa." (Al-Baqarah : 183)

Tapi yang banyaknya dalam Alam Melayu ini berkisar hal resepi sahur dan berbuka, buffet Ramadan, rakaat terawih, kuih raya, balik kampung dan bermaaf-maafan.

Umat Melayu juga kurang sensitif dengan perjuangan rakyat Islam Palestin, Syria dan Yaman. Malah jiran paling hampir di Selatan Thailand dan Rohingya dimana 'etnik' Islam hampir pupus turut dipandang sepi. Satu keadaan berpunca dari penguasa yang jarang mengambil peduli tentang perjuangan Islam seluruh dunia. Sebaliknya sibuk dan makin terdesak dengan 'perjuangan Janji Ditepatinya'


HARGA AYAT 1000 DINAR

Apabila singgah kebanyakan premis perniagaan di Malaysia (contoh restoran) yang Islam sebagai agama rasminya, biasanya tergantung sepotong ayat Al-Quran bergelar 'Ayat seribu dinar'. Pemilik menghiasnya dengan harapan bantuan rezeki dari Allah. Ini 'trend' biasa yang jadi amalan popular sejak turun-temurun disini.

Sesuatu ayat itu diturun bukan untuk suka-suka melainkan ada musababnya (asbabun-nuzul). Menurut banyak riwayat, sebab ayat seribu dinar diturunkan Allah
adalah kerana peristiwa berkaitan seorang sahabat bernama Auf bin
Malik al-Asyja'i yang mempunyai anak lelaki yang diikat dalam tawanan kaum Musyrikin.

Beliau mengadu perkara itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda meminta
Auf supaya bersabar sambil bersabda kepadanya yang
bermaksud: "Sesungguhnya Allah akan memberi jalan keluar kepadamu."

Rasulullah kemudian meninggalkan satu amalan buat pasangan Auf Bin Malik melalui ayat "La Haula wala quata illa billah...." dan diserunya keduanya membaca secara komited setiap hari.

Dengan izin Allah, Ternyata tidak lama selepas itu anaknya berjaya melepaskan diri daripada tawanan
pihak musuh. Dengan seekor kuda musuh, beliau meloloskan diri dari tempat tawanan tersebut.

Dalam perjalanan pulang Anak Auf disekat oleh sekumpulan 100 ekor unta. Apabila berjaya melepaskan diri, tiba-tiba kumpulan unta tadi mengekori beliau sehingga tiba dirumah.

Auf terharu dan terkejut menyaksikan senario tersebut. Bukan sahaja bila melihat kepulangan anaknya tetapi bagaimana anaknya membawa sekumpulan 100 ekor unta. Beliau segera bertemu Rasulullah SAW.

Apabila ditanya kepada Nabi SAW. Sabda Baginda. "Itu adalah milik kamu.."

Kemudian turunlah AYAT SERIBU DINAR ini yang bermaksud: "Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan untuknya jalan keluar (dari masalah hidup). Dan memberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Dia akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan perkara yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu". (al-Talaq:2-3)

(Hadis riwayat Ibnu Jarir)

Taqwa merupakan jalan penyelesaian kepada apa saja kesulitan. Apabila mengaku beriman dengan kitab Allah, wajib beriman kepada seluruh isi kandungan Al-Quran. Bukan dipilih sekerat-sekerat.

Pastikan ayat yang tergantung didinding itu memberi 'harga', makna dan rahmat buat premis tersebut. Penghuni mesti dari orang yang takut Allah, jaga aurat, jaga solat, kuat sedekah, tak menipu, tak menindas orang, tak rasuah dan tak buat kemungkaran yang lain. Dan Allah akan tunaikan janji orang takut Allah ini melalui pelbagai punca rezeki yang tak disangka.

Kuliah Subuh : Ustaz Sofi Farid
Tarikh : Ahad 22.7.12
Lokasi : Surau Assomadiah

Monday, July 23, 2012

UMAR DITUNDUK SURAH TOHA

Umar berjalan dilorong-lorong mundar-mandir sambil membawa pedang yang entah berapa banyak nyawa disembelihnya. Semua Quraisy Mekah tau siapa Umar. Seorang pemuda bengis, kejam, degil dan panas baran. Apabila pedang dihunus, isyaratnya akan ada mangsa untuk dibunuh hari itu. Apabila membeliak merah mata Umar, maka tidak mustahil ada yang bakal jadi sembelihannya. Apabila Umar dalam situasi demikian, jangan cuba dihalang laluannya. Pasti nahas!.

Kali ni buruan seterusnya ialah Muhammad. Ramai musyrik Mekah menyebarkan berkenaan Muhammad perkara yang tidak disenanginya. Umar semakin berang. Dengan pedang terhunus, dia terus meluru untuk membunuh mangsanya.

“Hai Umar, apa yang kau cari?”
Dengan suara hampir memekik, nada benci beliau menjawab, “Muhammad! aku mahu cari Muhammad untuk aku tunjukkan dia pedang aku ini dan menghabiskan nafasnya!”
Lelaki itu membalas, “Hai Umar, dari kau cari Muhammad yang entah berada di mana, lebih baik kau pergi ke rumah adik kandung kau sendiri. dengarnya, dia sudah mengikut ajaran Muhammad”.

Tak dapat dibayang remuk-redamnya perasaan Umar ketika ini. Merah telinga Umar mendengar jawapan itu. Dia tak menjawab. Mata pedangnya lebih pandai mengatur ayat dari lidahnya. Kakinya melangkah laju ke arah rumah adik kandungnya, pengikut Muhammad.

Dilihat daun pintu rumah adiknya tertutup rapat. Hatinya berat untuk percaya yang adiknya telah mengkhianatinya. Adik perempuan yang paling dia sayang telah mengikut Muhammad yang paling dia benci! Diketuk dedaun pintu. semakin lama semakin kuat dan pantas. kenapa lambat mahu buka? apa yang sibuk sangat?

Di dalam rumah itu suasana kelam kabut. Adiknya, fatimah sangat pasti itu suara abangnya yang bengis. dia tak mahu bayangkan akibat jika abangnya tahu yang dia sedang belajar membaca al-quran.
Fatimah tahu jika dia tak buka pintu itu, Umar pasti dapat robohkannya dengan sekali ayun. Dia bangun dan membuka pintu.
“Apa yang kau tengah buat tadi? kenapa kau lambat buka pintu? Apa yang kamu sembunyikan di belakang kamu itu?”
Fatimah semakin erat menggenggam ayat2 Al-Quran yang sedang di bacanya tadi. Abangnya takkan dapat pegang tulisan ayat suci itu. Walau apapun yang terjadi. Fatimah nekad.

“Aku dengar kau sudah jadi pengikut muhammad”, umar bertanya lagak algojo berlakon hakim.

“Ya.." PAAAANGGGG!!! Jatuh Fatimah terkulai dilempang tangan pahlawan perang itu. Dari mulutnya keluar darah. Fatimah menangis menahan sakit.

Fikiran Umar berkecelaru, beliau sesal bertindak sebegitu kejam ke atas adik kandung perempuannya. Timbul rasa bersalah yang amat sangat. Umar duduk disamping adiknya, cuba memujuk.

“Adik, bagi aku tengok apa yang kau baca tadi”.
“Tidak, abang masih najis! abang tak boleh pegang ayat suci ini”. Terbukti Fatimah kuat akidahnya walau tahu akibat keengganannya itu, mungkin tangan abangnya akan singgah kali kedua.

Tangan fatimah memegang pipinya menahan rasa pedih. darah dari mulutnya masih mengalir.
“Kau kena mandi dulu, kemudian aku akan bagi kau baca ayat suci ini”
Umar yang menanggung rasa bersalah itu turut saja kemahuan adiknya. setelah selesai mandi, beliau menghulurkan tangan kepada adiknya.

Beliau membaca ayat itu perlahan-lahan.
Surah Taha ayat 1-6.
1]
Too’ Haa.
[2]
Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.
[3]
Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah. Allah
[4]
(Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
[5]
Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.
[6]
Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi

Badan Umar jadi lemah. “Ini bukan rekaan Muhammad, tak mungkin Muhammad dapat buat sesuatu yang indah seperti ini.”
“Mana Muhammad? aku mesti jumpa dia”
Fatimah keliru. adakah abangnya mahu mengapa-apakan kekasih Allah? dia sanggup menahan pipinya sekali lagi jika perlu. “kau nak buat apa jumpa muhammad?”
“Aku mesti isytihar Islam depan Muhammad sendiri”
“Benarkah begitu?”
“Ya, sekarang beritahu aku di mana muhammad”
“Muhammad, RasuluLlah di bukit Sofa”

Umar berlalu pantas. dia tak sabar lagi nak berjumpa kekasih ALlah, Muhammad. dia mahu sangat peluk muhammad sekarang. lagi dipikirkan, semakin laju langkahnya.
RasululLah ketika itu sedang berbincang dengan sahabat-sahabat beliau. Tiba-tiba datang seorang 'infomer' berlari-lari memberitahu Umar sedang menuju kemari dengan pedang terhunus. Hamzah yang turut berada disitu tersentak. Dia maju dan sedia untuk mempertahankan Muhammad. Ia menyenteng lengan bajunya dan mencapai pedangnya.

“Wahai Muhammad, kau jangan bangun, biar aku saja yang bereskan si Umar itu”

Muhammad SAW bangun kemudian memberi isyarat agar Hamzah duduk. Para sahabat yang lain mulai risau. Baginda bingkas menuju ke muka pintu. Kini Umar mengetuk-ngetuk pintu meminta dijawab.
Rasulullah membuka pintu lantas mencapai leher baju Umar, dipulas dan ditariknya Umar sehingga hampir jatuh. Umar tidak pula melawan.
“Tiada Tuhan selain Allah, dan kamu Muhammad adalah pesuruh Allah”
lantas RasululLah memeluk Umar. Doa baginda telah dijawab Allah. sebelum ini baginda berdoa agar satu dari dua umar memeluk Islam iaitu Umar al khattab atau Umar bin syam (Abu Jahal). Nyata Islam semakin bersinar selepas itu.
Perjalanan Umar yang pada mulanya ingin menghabiskan Muhammad bertukar terus sehingga beliau menjadi salah seorang yang paling mencintai RasululLah.
Umar, seorang yang sangat berani dengan manusia tetapi sangat takut kepada Allah. Ini kisah Umar.

Kisah ini membuktikan kehebatan Al-Quran dalam membuka petunjuk kepada manusia. Manusia sebengis Umar sekalipun turut tunduk diperlakukan Kalam suci Allah ini.

Bacalah Al-Quran disamping mengharap sesuatu petunjuk dan hidayah kepada kita, Insyallah terutama di bulan Ramadhon penuh Barakah ini.

Friday, July 20, 2012

PERUTUSAN RAMADHON SIDANG SENDUK

Selamat menyambut kedatangan ramadhan. Bulan rahmat, bulan pengampunan, bulan kasih sayang dan bulan mujahadah.

Ramadhan bukan hanya sekadar puasa, tetapi tadarrus, qiamulalil, infak, ukhuwah, tazkirah, dan lain bagi membina jatidiri sebagai pejuang Islam.

Ramadan juga dikira bulan mengharap. Yang banyak dosa harap diampun. Yang kurang amal harap bertambah kali ini serta diterima. Yang kurang ilmu diharap bertambah kefahamannya. Dulu Al-Quran habis 1 juzuk, kali ini naik ke 2 juzuk. Dulu solat jemaah maghrib, kali ini dengan isyak dan subuh. Bermakna Ramadan kali ini lebih baik dari Ramadan lalu. Itulah harapannya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud ;
"Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keampunan maka diampunkan segala dosa-dosa yang lalu" (Bukhari & Muslim)

Semoga kita dapat merancang apa yang akan dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ini. Seperti azam untuk khatam Quran, menggabungkan diri dalam saf amilin kepada perjuangan Islam, dan memastikan agar matlamat dari ramadhan iaitu mencapai maqam taqwa dapat dicapai.

Semoga Ramadan kali ini lebih baik.

Salam Ramadhan.
Sidang Senduk

MENAGIH SYURGA AR-RAYYAN

ALLAH tidak mensyariatkan puasa dengan tujuan yang sia-sia. Hasil kajian sains moden menunjukkan puasa memberi banyak faedah kepada kesihatan. Salah seorang daripada sarjana moden (orientelis) yang membuat kajian tentang puasa ialah, Allan Cott. Beliau telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan berbagai negara, lalu memuatkannya dalam sebuah buku 'Why Fast' iaitu pelbagai hikmah puasa.

Puasa adalah amalan sejagat. Bukan umat Nabi Muhammad SAW sahaja disyariatkan berpuasa. Bahkan umat-umat Nabi terdahulu juga berpuasa tetapi dengan tata cara yang berbeza.

Begitu juga dengan haiwan dan tumbuh-tumbuhan, adakalanya mereka menahan diri daripada makan dan minum apabila berhadapan dengan situasi-situasi tertentu.

Pun begitu ia tidak bermakna darjat dan status puasa orang Islam setaraf dengan puasa-puasa yang lain. Puasa yang benar menurut perintah Allah dan aturan Nabi memiliki banyak keutamaan dan kelebihan:

DALAM sebuah hadis Nabi menjelaskan lima kelebihan bulan Ramadan yang tidak diberikan kepada umat terdahulu.

“Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka iaitu bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi syurganya setiap hari, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampun bagi mereka pada akhir malam (Hadis Imam Ahmad dan Muhammad bin Nasar al- Baihaqi daripada sahabat Abu Hurairah).

SEBAGAI dorongan dan motivasi orang-orang yang menjaga puasanya Nabi berkata: "Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan Ar-Rayyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya." (Hadis Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad daripada sahabat Sahal bin Sa’d).

ALLAH juga menjanjikan pahala yang sangat banyak bahkan tanpa batas kepada orang-orang yang ikhlas dan menjaga kualiti puasa mereka. Sahabat Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi bersabda bahawa Allah berfirman: "Setiap amalan anak Adam adalah baginya (pahala menurut kadar yang ditentukan) kecuali puasa, sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang mengganjarinya secara khusus…"

Dalam hadis Qudsi yang lain pula Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagiku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad ditangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. (Hadis Imam Ahmad, Muslim dan an-Nasai daripada sahabat Abi Hurairah dan Abi Sa’id).

Hadis ini juga memberi isyarat bahawa puasa juga berfungsi sebagai terapi jiwa. Allah menjanjikan rasa gembira sebanyak dua kali kepada orang-orang yang berpuasa. Kali pertama ialah ketika berbuka puasa dan kali kedua ialah ketika bertemu dengan Allah.

ANTARA keutamaan puasa yang besar dan bermakna ialah, ia adalah merupakan penyebab kepada keampunan daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan. Ini seperti yang disampaikan oleh sahabat Abu Hurairah r.a dari Nabi yang bermaksud: "Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan dosanya yang telah lalu." (riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Dalam teks yang lain pula Nabi menyebut yang bermaksud: "Solat lima waktu, solat Jumaat hingga solat Jumaat berikutnya dan Ramadan (puasa) hingga Ramadan berikutnya adalah merupakan penebus dosa di antara selagi mana dosa-dosa besar dijauhi." (riwayat Imam Muslim).

PUASA adalah perisai buat membenteng diri daripada melakukan dosa dan menjauhi api neraka. Nabi pernah berkata: "Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana ia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat". (Hadis Imam Ahmad dan an-Nasai daripada sahabat Usman bin Abi al-As)

Mendokong makna yang hampir senada dalam hadis yang lain Nabi menyebutkan, “Sesiapa yang berpuasa sehari di jalah Allah, nescaya Allah akan jauhkan neraka Jahannam sejauh perjalanan 100 tahun.” (Hadis Imam Nasa’i ).

Pernah suatu ketika seorang pemuda yang mahu menikah datang bertemu dengan Nabi. Oleh kerana kekurangan upaya nafkah untuk menikah, maka Nabi menyuruh lelaki ini berpuasa buat mengekang nafsunya.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”
(Bukhari & Muslim)

Mohd Riduan Khairi

Wednesday, July 18, 2012

PUASA PASAR RAMADHON

Jika sekadar menahan makan dan minum, kita gagal mencapai visi puasa sepertimana orang-orang terdahulu (beriman). Malah kita hanya akan menyeksa kehendak perut yang ketagihkan makanan.

Hawa nafsu

Apa sebenarnya puasa muslim ialah bagaimana cara mengekang cabaran hawa nafsu sebelum ini. Dan Ramadhon menjadi platform khas anugerah Allah untuk melatih hambaNya. Bulan ini disediakan berbagai disiplin khas bagi tujuan latihan dan contoh paling mudah ialah membaca Al-Quran. 'Sibuk' dengan amal soleh berupaya mengawal nafsu jahat yang cuba menguasai diri.

Ganjaran

Allah SWT mengurniakan bukan sahaja sewaktu berpuasa, sepanjang Ramadhon segala amal baik akan digandakan ganjaran. Ini bermakna ganjaran pahala itu sesuatu yang perlu diyakini kebenaran dan kewujudannya. Dan Allah menilai walau sekecil manapun amalan jika yang ianya berunsur kebaikan. Dan bulan Ramadhon, Allah SWT meningkatkan lagi pendapatan muslim jika mereka meyakini perkara ini seterusnya mengusahakannnya.

Keampunan

Pada bulan Ramadhon juga Allah menawarkan ruang luas kepada hambaNya untuk meminta keampunan dan bertaubat. Kesempatan ini perlu diambil umat Islam untuk memohon ampun daripada Allah yang Maha Pengasih. Dan bila wujudnya keampunan, bermakna ia ada kaitan dengan dosa yang perlu diyakini orang-orang yang beriman.

Allah menjanjikan kemenangan buat orang soleh sebagaimana yang telah diberikan kepada Ahlil Badar. Tentera Badar yang jiwa mereka disemat taqwa. Sebaliknya jika gagal, jadilah puasa kita sekadar lapar dan dahaga yang akhirnya dilunaskan di pasar Ramadhon petang harinya.
Apakah kita mahu nilai puasa kita turun ke pasar Ramadhon?

RAMADHON DATANG LAGI!!

Surau Assomadiyah melalui orang muda sidang senduk akan cuba memperhebatkan program Ehya Ramadhon..
Misi ; Tadarus Al-Quran, Qiamulail, Zikir munajat, Selawat, Kuliah Subuh, Usrah, Majlis buka posa & Sahur, Jualan Amal dll.
* Kami memerlukan sokongan dari sahabat2 semua termasuk berbentuk wang RM dan tenaga..
*budak2 muda wajib terlibat.
*sesiapa yang berminat berinfaq fisabilillah, segerakan usaha anda!!

"Semoga Ramadhon lebih Barakah"



Monday, July 16, 2012

ISLAM, POLITIK DAN HUDUD

Apabila sudah wujud kalangan wakil rakyat Umno yang mencadangkan undang-undang hudud, maka tercetus kenyataan-kenyataan balas yang mengejutkan. Ada NGO yang meminta supaya jangan mempolitikkan hukum hudud. MCA pula menuduh Umno sudah hilang akal dan ada kelompok yang berdiam diri kerana jahil. Maka lebih baik diam sahaja. Lebih mendukacitakan pula ialah kalangan ilmuan Islam yang berada dalam kelompok Umno ikut sama berdiam diri, sama ada yang sudah tua atau yang bergelar ulama muda. Kalau yang kami telah luluskan di Kelantan dan Terengganu itu hudud ciptaan PAS, sila tunjukkanlah di mana silapnya dan mana dia hudud Islam yang sebenarnya. Marilah kita menerima kenyataan ini secara positif dan berbincang secara ilmu dengan menunaikan amanah perintah Allah dan hudud adalah hukum Allah secara nas sehingga para ulama bermazhab diharamkan berijtihad.

Kesedaran sepatutnya berlaku dengan merebaknya jenayah yang menakutkan dan penjenayah yang tidak takut kepada undang-undang yang ada walau pun hukumannya lebih keras daripada hudud, seperti hukuman gantung mati mandatori kepada pengedar dadah. Bahkan tidak ada rasa gerun terhadap anggota polis yang menguatkuasakan undang-undang, sehingga rumah pegawai tinggi polis juga menjadi mangsa yang sama dan dadah boleh diedar ke dalam lokap, penjara dan pusat seranti. Ini menunjukkan bahawa keberkesanan undang-undang itu kerana mendidik masyarakat bukan menghukum tanpa mendidik walau pun terlalu keras hukumannya, ia tidak memberi kesan kepada penjenayah dan bakal penjenayah.

Hudud adalah salah satu daripada tiga jenis undang-undang jenayah yang dibahagikan oleh hukum Islam iaitu, qisas, hudud dan takzir. Menurut hukum Islam, politik adalah syarat melaksanakan undang-undang jenayah. Salah satu daripadanya ialah hudud, saperti juga politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Apabila Allah tidak menurunkan ayat-ayat hukuman jenayah termasuk hudud ketika Rasulullah S.A.W. berada di Makkah sebelum berhijrah ke Madinah. Rasulullah juga tidak melaksanakan mana-mana undang jenayah ketika berada di Makkah. Maka mengikut hukum Islam tidak diizinkan bagi seseorang bahkan haram berdosa sekiranya menangkap pencuri di rumahnya dan melaksanakan hukum hudud sendiri. Begitulah juga terhadap penjenayah yang lain. Pelaksanaannya mewajibkan penyiasatan dan kehakiman yang adil dibawah kuasa politik yang mengadakan kerajaan yang sah berdaulatnya. Maka Rasulullah S.A.W. terpaksa berhijrah ke Madinah setelah dihalang berpolitik di Makkah. Boleh jadi mereka yang melarang hukum hudud dipolitik itu jahil ilmu politik, khususnya politik Islam.

Ada pun MCA yang menuduh Umno sudah hilang akal, menandakan Umno tidak berdakwah. Ini kerana politik tidak dihubungkan dengan dakwah. Sebenarnya Umno tidak hilang akal, tetapi akalnya datang semula setelah hilang. Tahun 80-an pernah seorang wakil rakyat Umno daripada negeri Johor mencadangkan wanita diberi pakai cawat besi. Di waktu itu hukum hudud dianggap jumud atau tidak bertamadun dan berbagai-bagai kenyataan songsang dikeluarkan mereka. Namun kita mengharapkan ia timbul kerana kejahilan mereka. Bagaimana pula dengan ahli-ahli biro agama Umno yang diam membisu atau bersilat di hadapan Allah bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan, atau dengan ungkapan 'kami pun mahu melaksanakan juga, tetapi belum tiba masanya'. Sekarang sudah lima puluh tahun lebih Umno memimpin negara, masih belum tiba masanya.

Bersyukur kepada Allah kerana PAS telah berjaya mencetuskan kesedaran kembali kepada Islam, sehingga suaranya bukan sahaja berjaya menerima kedatangan beberapa tokoh Umno untuk menyertai PAS secara terbuka atau secara senyap, tetapi juga menerima kedatangan kalangan pagawai kerajaan dan para ilmuan. Tercetusnya suara pelaksanaan Islam dalam diri Umno menandakan suara PAS sudah masuk ke dalam telinga mereka yang berada dalam bahtera Umno. Mengapa masa lebih setengah abad bahtera Umno masih tidak sampai ke destinasi melaksanakan Islam yang ditunggu-tunggu? Mungkin laksana mereka yang menaiki bas ekspres yang tidak membaca tiket yang dibeli atau apa yang ditulis ke mana arahnya politik kenderaan Umno.

DAP yang bergaul dengan PAS menentang hukum hudud secara terbuka dan berhujah dengan tegas. PAS terpaksa menjawab hujah DAP dan melayan media Umno yang mahu melagakan PAS dengan DAP. Namun tidaklah sampai DAP menuduh PAS hilang akal sebagaimana MCA sebut kepada Umno.

Ikhlas daripada

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Saturday, July 14, 2012

PROMOSI RAMADHON BULAN JIHAD

"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan atas kalian puasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa." (Al-Baqarah : 183)

Bagi yang merindui Ramadhon saat kedatangannya amat terasa. Ramadhon memaknai perjuangan sama ada secara historis mahupun ideologis. Historisnya bagaimana kehebatan umat terdahulu di Madinah, mengangkat panji Islam melawan pengusung panji kekufuran dibarisi musyrik Mekah. Dan ideologisnya, Ramadhon dikaitkan dengan ketakwaan, istiqamah, dakwah dan sabar dalam perjuangan Islam

Ramadhon tanpa mengisahkan kekentalan perjuangan Badar bagaikan tiada ertinya. Ahlil Badrain adalah ikon jihad bagi melawan arogansi kekufuran. Jihad mereka menurut pendapat ulama adalah jihad secara syari'e iaitu suatu tuntutan kekal yang tidak dapat diubah sama ada terbunuh atau menang.

Ulasan jihad dipaparkan Syaikhul Islam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah dalam kitabnya 'Zaadul Ma'ad fi Hahdyi Kahiril 'ibad' mengambarkan empat tingkatan jihad.

Jihad melawan hawa nafsu, jihad melawan syaitan, jihad melawan orang kafir dan jihad melawan munafikin. Keempat-empat jihad tersebut memilliki tingkatan kepentingannya sendiri dan melawan hawa nafsu menjadi jihad paling utama.

Ibnu Qayyim menambah lagi : "Adapun jihad melawan hawa nafsu juga memiliki empat tingkat."

Pertama dengan memeranginya dengan cara menuntut ilmu Al-Huda (Islam) dan Dinul Haq iaitu tiada kejayaan dan kebahagiaan dunia akhirat kecuali melalui Islam. Melengahkannya bermakna ia akan sengsara dunia akhirat.

Kedua : Memeranginya dengan mengamalkan pelajarannya (mengamalkan ajaran Islam), dikhuatiri ilmu itu akan membahayakannya atau hilang manfaat.

Ketiga : Memeranginya dengan berdakwah dan mengajar kepada yang belum arif. Dikhuatiri dia akan terancam masuk kedalam penyembunyi petunjuk dari Allah. Ilmu tidak bermanfaat padanya bahkan berbuah azab.

Keempat : Memeranginya dengan bersabar diatas kesulitan dakwah disakiti orang sama ada lisan (verbal) atau bukan lisan (non-verbal).

Jika semua tingkatan berjaya disempurnakan maka menunggu diakhirnya ialah gelaran golongan Rabbaniyun. Barangsiapa berilmu, beramal kemudian mengajarkan ilmunya maka dia layak disebut terhormat disinggahsana langit. Dan akhirnya berolehlah apa yang disebut orang yang berTaqwa.

Jika jihad dilihat seumpama pertempuran, ia juga perlukan persiapan. Ketika berada di Madinah dan masih dibawah tekanan pendudukan Mekah, Allah hanya mengizinkan perang bagi membela diri. Sehinggalah melihat kondisi muslimin yang terbilang lemah maka diperintah kewajiban berperang keatas musuh.

Apakah yang disiapkan untuk mengisi 'bulan jihad' ini? Apa persiapan melawan hawa nafsu? Apakah nafsu sudah berhasil ditewaskan? Disaat musuh semakin menjadi-jadi, disaat itu juga kita bergelumang dosa, kelalaian dan kekhilafan. Sanggupkah berdiri dibarisan hadapan pemegang panji Islam? Oleh itu jadikan Ramadhon sebagai penyuntik elemen jihad.

"Dan Berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa." (Al-Baqarah : 179)

Surau Assomadiyah dengan kerjasama budak-budak Sidang Senduk berhasil mengusahakan satu sesi gotong-royong perdana pada 15.7.12 hari Ahad lepas. Kerja amal yang bermisi memulihkan keindahan surau ini juga moga-moga dapat memberikan keselesaan beribadat buat ahli jemaah apabila hadir beramal di surau pada bulan Ramadhon akan datang. Terimakasih kepada semua krew-krew terlibat. Allahuakbar!!.





Tuesday, July 10, 2012

TANGGA TARBIYAH

Asas kepada pembentukan muslim bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan daulah Islamiyah. Tanpa perkara ini, cita-cita untuk melihat masyarakat menghayati Islam akan sukar. Keluarga dianggap sebagai paksi utama mengembangkan pengaruh dalam masyarakat Islam.

Kegagalan dalam perjuangan berlaku apabila ahli keluarga gagal dididik duduk bersama dalam perjuangan Islam. Lebih malang, apabila mereka tidak berusaha menyemai penghayatan Islam jauh sekali untuk bersama merasai pahit getir perjuangan Islam.

Kadang-kadang alasan kurang bijak diberikan seperti bersandarkan kegagalan usaha Nabi Nuh AS mendidik anak dan isteri beliau. Adakah mereka sedar Nabi Nuh AS berdakwah siang dan malam untuk keluarga dan umatnya?. Sebagaimana maksud firman Allah ; Kata Nuh "Aku berdakwah malam dan siang, namun pengikut aku tidak bertambah malahan mereka lari dari dakwah aku.."
Adakah kita sanggup mengorbankan keenakan malam untuk berdakwah buat keluarga?

Sejarah perjuangan dakwah Nabi Muhammad SAW juga bermula dari keluarga baginda sendiri sebagaimana maksud firman Allah "Berikanlah peringatan buat ahli keluarga yang terdekat dahulu.."

Sebagai bukti, Rasulullah SAW sanggup menghukum puteri kesayangan baginda sendiri sebagaimana maksud sabdanya : "Jika Fatimah sekalipun yang mencuri, nescaya aku potong kedua tangannya."

Rasulullah berjuang bermula melalui isteri Saidatina Khadijah binti Khuwailid kemudian Saiyidina Ali seterusnya menyeru kepada kerabat Bani Mutalib. Kemudian kepada para sahabat sehingga tidak ada lorong di Makkah yang tidak dilalui Rasulullah bagi usaha dakwahnya.

Islam mengajar kita untuk berdoa supaya dapat dibentuknya keluarga Islam dan zuriat yang baik untuk membangunkan masyarakat yang baik. Ini merupakan impian bagi ahli sesebuah pergerakan Islam sebagaimana yang digambarkan oleh Allah SWT ; "Dan juga mereka yang diredhoi itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata ; "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati kami melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa." (Al-Furqan : 74)

Oleh itu Islam telah menekankan daripada awal lagi kepada setiap pasangan lelaki dan wanita melalui maksud sabda Rasulullah SAW ; "Kahwinlah dengan seorang perempuan yang hartawan, rupawan, kenamaan dan keagamaan dan pilihlah perempuan yang beragama."

Rumahtangga yang baik tidak dapat ditegakkan jika fikrah perjuangan Islam tidak difahami pasangan suami isteri. Bagaimana kita hendak membawa risalah Islam yang lebih besar jika kemelut kefahaman Islam tidak berupaya diselesaikan khasnya buat keluarga sendiri.

Ustaz Idris Ahmad.

Thursday, July 5, 2012

JALAN JEMAAH

Allah menegaskan bahawa Islam sahaja agama yang lurus, jangan sekali-sekali kamu mengikut agama atau isme (fahaman) ciptaan manusia yang banyak itu nescaya ia membawa perpecahan dan menyesatkan kamu jauh terpesong dari jalan Allah.

Menurut satu riwayat, Ibnu Mas'ud berkata bahawa satu hari Rasulullah SAW pernah mengguriskan satu garisan ditanah sambil bersabda bahawa inilah jalan Allah.

Kemudian baginda SAW membuat garisan yang banyak dikiri dan kanan garisan lurus itu seraya berkata, syaitan menyeru manusia berpegang teguh pada jalannya.

Lalu baginda membaca ayat yang bermaksud : "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutinya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan lain (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan itu (yang lain) menceraikan-beraikan kamu daripada jalan Allah." (Surah Al-An'am : 153)

Jabir RA meriwayatkan bahawa : "Satu hari kami duduk disisi Rasulullah SAW. Baginda SAW mengguris satu garisan dihadapannya seperti ini, lalu Baginda bersabda yang bermaksud "Ini adalah jalan Allah."

"kemudian baginda SAW mengguris dua garisan disebelah kanan garisan lurus itu dan dua garisan disebelah kirinya sambil berkata, ini adalah jalan-jalan syaitan.

Lalu Baginda SAW meletakkan tangannya diatas garisan tengah sambil membaca ayat ini (Surah Al-An'am : 153)

Menafsirkan ayat ini (Surah Al-An'am : 153), Ibnu Abbas RA berkata, Allah memerintahkan Umat yang beriman supaya berada dalam jemaah Islam dan mencegah mereka daripada bertelingkah dan memencilkan diri daripadanya.

Sesungguhnya binasa umat terdahulu dari kerana fahaman mereka jauh terpesong daripada agama Allah dan bercanggah pendapat dengan ajaran Islam yang sebenar.

Islam tidak membenarkan umatnya bercanggah pendapat dalam perkara dasar dan memaafkan mereka apabila berselisih pendapat dalam masalah furu' (cabang)

Sebagai contoh, Islam menetapkan bahawa pelaksanaan syariat adalah wajib bagi sebuah kerajaan Islam sama ada masyarakat majmuk wujud ataupun tidak kerana ia adalah dasar atau perkara pokok dalam Islam.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

PARANOID - SEARCH

Lirik minggu ini menggambarkan berkenaan serangan sindrom paranoid. Sindrom libatkan mental dan jiwa tersebut menyebabkan perasaan pelik dialami bukan sahaja pada orang berkenaan malah orang sekeliling yang melihatnya. Lagu ini didendangkan kumpulan Search Album Karisma 1992, Side B..

Dengan sound metal berat dari dua beradik Kid dan Din. Lagu ini di intro dengan bunyi derap tapak kaki kuda menunjukkan 'mood' seksaan dan gelap bagi pengidap gejala ini.

Apa yang kau katakan
aku tak mengerti
bicaramu sesama
tapi asing bahasa
membuat aku bingung
melihat tiap langkahmu
aku tiada lagi
bertimbangrasa ahh haa

Hey jangan kau
memijak rumput dihalaman
tidak kah kau tahu
ia kan merasa sakit
lama aku terkurung
dalam kandang yang gelap
di injak pula itulah dia

chorus:
ramai orang yang berada
luar jendela melihat aku
bagai orang salah
kecil dan sendiri
aku rasakan
tiada siapa dapat ku percaya

Paranoid(3x)
Siapa engkau

Karya Cipta : M.Nasir

PAK BAEN STORY : HANTU BAYANG-BAYANG

Semakin ramai bersesak di perkarangan banglo mewah Pak Baen. Mereka terdiri dari kalangan wartawan suratkhabar, pemberita radio dan TV, penggosip dari majalah hiburan, pemburu hantu (seekers), pengkritik sukan dan penduduk sekitar. Semuanya datang untuk menunggu pengumuman status parang Kaung Kasi yang khabar anginnya akan kembali beraksi.

"Bila tarikh sebenarnya? Adakah masih ada gemilang bisanya? Apa statistik sebenar pembunuhan terdahulu? Berapa nilai harga jualannya? "

Soalan-soalan yang hadir umpama hujan anak panah ini membuatkan Pak Baen semakin kritikal 'stress'nya. Habis cicak dan lipas disekitar rumahnya dibunuh kejam Pak Baen hasil tindak balas emosinya.

Soalan-soalan ini juga membuatkan hari-hari yang ditempuhi beliau bertambah tidak tentu haluan. Pak Baen semakin 'phobia' hendak melangkah keluar dari pintu rumahnya. Hendak membuka jendela rumah sekalipun tidak berupaya. Lebih teruk hendak membuka pintu jamban rumahnya pun diajak isterinya temankan.

Terkenang Pak Baen akan seorang kenalan, Moen (bukan nama sebenar). Teman rapatnya itu mengidap satu penyakit mistik yang pelik. Dia mengalami alahan teruk kepada orang awam. Cukup ngeri untuk berselisih dengan orang apatah lagi bertegur sapa. Akhirnya Moen mati tidak lama selepas beberapa minggu membawa sekali kemisterian penyakitnya. Arwah Moen tidaklah mengidap penyakit-penyakit kronik mahupun sakit tiga serangkai. Tapi hidup Moen sentiasa dibawah tekanan sekeliling. Mungkin inilah penyakit pelik yang sering didebatkan pakar-pakar perubatan dunia.

"Paranoid?" tanya Pak Baen kepada hatinya..

Pak Baen pernah membaca kisah sindrom Paranoid ini di sebuah akhbar tempatan. Masih ingat lagi ruangan ringkas rencana tersebut betul-betul disudut bawah kanan sebelah iklan nombor 4D akhbar berkenaan.

Antara kandungan tulisan tersebut ialah ;

"Paranoid didefinisikan sebagai gejala mental di mana seseorang meyakini bahawa orang lain ingin membahayakan dirinya. Paranoid juga didefinisikan sebagai gangguan mental yang ditandai dengan kecurigaan yang tidak rasional/logis.

Pada penderita skizofrenia paranoid, ditandai dengan simptom-simptom / indikasi sebagai berikut:

1. Adanya delusi atau waham, yakni keyakinan palsu yang dipertahankan.

- Waham Kejar (delusion of persecution), yaitu keyakinan bahwa orang atau kelompok tertentu sedang mengancam atau berencana membahayakan dirinya. Waham ini menjadikan penderita paranoid selalu curiga akan segala hal dan berada dalam ketakutan karena merasa diperhatikan, diikuti, serta diawasi.

- Waham Kebesaran (delusion of grandeur), yaitu keyakinan bahwa dirinya memiliki suatu kelebihan dan kekuatan serta menjadi orang penting.

- Waham Pengaruh (delusion of influence), adalah keyakinan bahwa kekuatan dari luar sedang mencuba mengendalikan fikiran dan tindakannya.

2. Adanya halusinasi, yaitu persepsi palsu atau menganggap suatu hal ada dan nyata padahal kenyataannya hal tersebut hanyalah khayalan.

3. Gejala motorik dapat dilihat dari ekpresi wajah yang aneh dan khas diikuti dengan gerakan tangan, jari dan lengan yg aneh dan juga dapat dilihat dari cara berjalannya.

4. Adanya gangguan emosi

5. Penarikan sosial (social withdrawl), pada umumnya tidak menyukai orang lain dan menganggap orang lain tidak menyukai dirinya sehingga dia hanya memiliki sedikit teman.

Diduga, penyebab gangguan kepribadian ini disebabkan oleh 'respon' pertahanan psikologis (mekanisme pertahanan diri) yang berlebihan terhadap berbagai stress atau konflik terhadap egonya dan biasanya sudah terbentuk sejak usia muda.

Apabila gejala yang muncul sulit untuk dikendalikan, sebaiknya meminta bantuan profesional."

Mengikut beberapa hujah profesor-profesor psikiatrik, sindrom ini biasanya menyerang personel-personel yang mempunyai rekod silam gangguan mental. Namun begitu Pak Baen tidak pernah sesekali mengisahkan cerita-cerita lama peribadi beliau untuk tatapan umum.

"Ahh! Aku tak seteruk itu.."

Pak Baen rasa dirinya masih normal. Beliau masih kreatif. Untuk menikmati sup ekor kegemaran di restoran ala-Thai bersebelahan kampungnya, Pak Baen terpaksa keluar dengan memakai kostum ala Drakula konon supaya dirinya tak dapat dikesan. Dan sehingga kini orang ramai belum berjaya menjejak taktikalnya.

Monday, July 2, 2012

LAYAR GERGASI SIDANG SENDUK

Pada awal pagi hari Isnin jam 2.45 am, satu lagi lembaran sejarah baru tercatat di Kampung Senduk. Pagi itu, julung-julung kalinya 'Final' EURO 2012 antara Sepanyol dan Italy dapat disaksikan 'live' di layar gergasi. Bertempat di perkarangan rumah Pakcik Awang (kami sudah gelar tempat ini Dataran Sidang), kami membawakan secara rasmi kehangatan aksi final yang turut dirai seluruh dunia pada waktu yang sama. Tayangan ini hasil usaha kecil sidang senduk dengan kerjasama Surau Assomadiyah.

Sebelum itu, kami telah membuat persediaan rapi dari sudut logistik, hidangan makanan dan audio visual 'engineering'. Kita bertuah kerana YB Abdul Malek sudi menghulurkan sumbangan bagi kejayaan program. Kita juga menerima sumbangan menu laksa daripada CEO MS 'bundle', Pakcik Mansor. Selain itu kami dijamu menu kerang rebus yang diusaha sendiri 'exco' Sidang Senduk.

Kami berbesar hati menerima kehadiran penonton-penonton fanatik kedua-dua pasukan termasuk dari luar kariah. Orang-orang kuat Surau termasuk Paklang Haji Saleh, Paknjang Mat Ali dan Paklong Wi juga dilihat hadir memberi sokongan walaupun terpaksa mengorbankan tidur mereka. Penonton dilihat sangat selesa di 'stadium' perlawanan akhir Euro tersebut sehingga ada yang berkeadaan berbaring santai menonton aksi perlawanan.

Alhamdulillah dan terimakasih diucapkan kepada semua krew sama ada terlibat secara langsung atau tidak. Terutama pihak Surau Assomadiyah yang begitu menyokong kuat usaha ukhuwah kami ini. Kami mula 'imagine' untuk menganjurkan lebih banyak program melibatkan 'big screen' selepas ini.



KEKEJAMAN PRANDELLI DI EURO 2012

Tahniah buat skuad Spain dan penyokongnya kerana unggul menawan European Cup buat kali ke-2 berturut-turut seterusnya mencipta hatrik kalau dicampur dengan 'world cup' apabila membenam teruk Azzuri 4-0 di pentas final Euro 2012. Jaringan besar yang tidak memenuhi piawaian perlawanan segenting final. Melihat 'game' semalam, ternyata Spain lebih istimewa dari Itali walaupun tiada peningkatan luarbiasa La Roja dari sudut corak persembahannya sejak menjuarai World Cup 2010.

Sepanyol terus kekal sebagai kuasa bolasepak moden dengan corak taktikal 'total football' indah melalui idea asal warga Belanda, En Johan Cruyff yang kemudian memilih kelab Sepanyol, Barcelona untuk ujikajinya. Formasi yang diinovasi Sepanyol ini meninggalkan pemilik asalnya, Belanda yang hanya mampu berbangga sebagai pencipta asal taktik tersebut. Belanda ternyata disumpah oleh 'total football' pada edisi Euro kali ini. Kita juga terpaksa meninggalkan kemasyhuran England dan formasi kuno 4-4-2 yang hanya sesuai dipraktikkan untuk pasukan bolasepak sekolah sahaja.

Kekejaman Bolasepak.

Selain berbahas perihal kekuatan pasukan yang menang, lazimnya 'team' terlingkup pasti terdedah kepada kritikan. Bagi yang kalah beberapan teori kelemahan seperti jentera pasukan, corak taktikal, mutu pengadil, ketumpulan serangan dan kelemahan pertahanan antara punca kezaliman kepada mutu persembahan.

Juga menjadi punca ialah kesilapan 'coach' dalam merencana strategi. Jerman misalnya ketika bertemu Itali pada pertembungan separuh akhir telah dikritik hebat apabila merombak barisan hadapan mereka.

Dan isu utama kali ni mempersoalkan kebodohan 'Italian Job', Pradelli dalam pemilihan pemainnya. Dalam pertembungan segenting perlawanan akhir Euro, penonton biasanya akan membahagi kepada beberapa fahaman, penyokong tegar, peminat atas pagar, pengkritik serta pengkaji. Sekurang-kurangnya mereka ini menagih 'show' terbaik sebagai buah tangan kali ini.

Kita akui Sepanyol memenuhi standard yang sepatutnya mereka lakukan. Tapi, Prandelli telah berlaku kejam apabila memasukkan pemain tempang, Chelini dalam '1st eleven'. Akibatnya dia hanya mampu beraksi selama 15 minit awal sebelum digantikan dengan Diamanti. Dan apakah mimpi kedua Prandelli itu menukar Cassano dengan Di Natale seterusnya memasukkan pemain 'hamstring' Thiago Motta menggantikan Montolivo? Kedua-dua pemain tersebut sebenarnya masih belum mencemar teruk persembahan pasukan. Padahnya dapat disaksikan 'Italian' keletihan beraksi 10 orang apabila 'penyakit' Motta menyerang lagi. Ianya sejenis seksaan kepada dunia bolasepak khususnya apabila pemain-pemain dipaksa beraksi dibawah tahap sebenar, sama ada 'injured' atau kesilapan posisi.

Apa yang direka Prandelli itu telah memadam reputasi gahnya semasa membenam Jerman pada aksi 'semi final'. Secara tak langsung dia telah menzalimi keazaman seluruh peminat dan pengkritiknya termasuk di Malaysia yang bersengkang mata menunggu sehingga lewat pagi. Aksi berat sebelah yang tak sepatutnya dipentas final itu juga mungkin kurang disukai peminat La Roja. Idea negatif tersebut berisiko melahirkan pembenci-pembenci bolasepak bila hilangnya 'fighting spirit' yang dicari-cari kebanyakan peminat bolasepak hasil taktikal kejam Prandeli. Ianya seumpama masa sebenar bola telah tamat.

Adakah Prandeli membawa bersama ketakutan kepada skandal bolasepak Itali ke final Euro 2012?